HARI Sabtu minggu
berikutnya, Aira terpaksa juga balik kampung. Dua hari sebelum itu, abang long
telah menelefon menyuruhnya balik. Terpaksalah
dia menurut arahan bos besar, nanti tidak pasal-pasal kena tembak pula. Dalam
perjalanan balik, bermacam yang bermain di fikiran Aira.
Bagaimanalah
agaknya Zafri menghadapi abang long yang garang seorang diri tanpa dirinya
bersama? Sebenarnya dia hendak menelefon Zafri juga, bertanyakan hal itu namun
tidak terbuat pula.
Hairannya
Kak Sha pun tidak beritahu Aira perkembangan pertemuan tersebut. Mereka berdua
merajukkah? Dia tertanya sendiri.
Sudahnya
Zafri yang kena kenalkan diri sendiri kepada abang long dan Puan Ainun. Padahal
dengan Aira tidak perkenalkan diri lagi. Takut juga andai abang long bertanya
soalan cepumas yang sama. Nanti susah juga andai Zafri jawab lain dan dia pula jawab lain. Moga-moga semuanya okey,
doa Aira dalam hati.
Tidak dapat Aira bayangkan andai abang long
dapat tahu sebenarnya dia bukan saja tidak berapa kenal
dengan Zafri, malah berjumpa pun tidak lagi. Alih-alih abang long yang jumpa
dahulu calon suaminya berbanding diri sendiri. Memang teruk dia kena dengan abang
long andai abang long tahu.
SAMPAI di perkarangan
rumah, dari jauh sudah kelihatan Puan Ainun menunggu di muka pintu. Selepas
bersalam dengan ibunya, Aira tidak sangka ibunya terus memeluknya. Tiba-tiba dia
berasa terharu dan sebak pula dengan tindakan ibunya.
Puan
Ainun tidak cakap apa-apa, tetapi pelukannya begitu erat. Sudah berkurun
lamanya Aira tidak memeluk ibunya, terasa tenang jiwa dan raga. Terasa terbang
semua masalah yang dihadapi.
Apabila
masuk ke rumah, baru perasan abang long ada dan sedang duduk di ruang tamu.
Ingatkan tiada sebab keretanya tiada di garaj. Rupanya Kak Faridah bawa kereta
pergi ke kedai membeli barang.
Aira
bersalam dan mencium tangan abang long. Berdebar-debar juga jantungnya apabila abang
long pandang semacam sahaja.
“Pukul berapa bertolak dari rumah?” tanya Abang Long Azwan memulakan
bicara.
“8.30 pagi,” jawab Aira, pendek. Apabila duduk berhadapan dengan abang long, rasa
macam orang bersalah yang sedang disoal siasat pula. Apatah lagi abang long
sememangnya seorang anggota polis. Sebenarnya dia baru sahaja beberapa tahun
ditukarkan ke Semenanjung setelah lebih lapan tahun bertugas di Sabah.
“Bila pulak Aira tukar kereta Honda? Tak cakap pada abang pun.”
Pertanyaan
Abang Long Azwan buat Aira kecut perut. Macam mana boleh terlupa pasal kereta?
Nak jawab apa ni?“Sebenarnya kereta Aira rosak, masih dekat bengkel. Honda tu kereta Zafri.” Mujur minda pantas berfikir mencari
alasan.
“Aira dan Zafri dah lama kenal ke?” tanya Azwan.
Ini
yang Aira susah hendak jawab. Andai pada Zafri abang long kemukakan soalan yang
sama, apa agaknya jawapan Zafri?
“Lama tak lama juga la, tapi Aira
dan Zafri sama-sama terlibat dengan projek di Putrajaya.” Entah kenapa lancar pula Aira mereka
cerita, menjawab soalan Abang Long Azwan.
Azwan
mengangguk-angguk kepalanya. Puan Ainun pula hanya diam memerhati dan
mendengar. Wajahnya kelihatan ceria dan Aira turut rasa gembira.
“Abang tengok, Zafri tu baik orangnya. Nampak boleh pikul tanggungjawab
jaga Aira,” ujar Azwan setelah diam seketika.
Aira
berasa lega mendengarnya. Abang Long Azwan sudah boleh nampak ciri-ciri baik
dalam diri Zafri. Dia yang kononnya sudah lama kenal ini pun tidak dapat
membayangkan bagaimana rupa si Zafri. Entah handsome entah tidak.
Harap-harap Kak Sha mengemukakan calon yang memenuhi kriteria yang diinginkan,
janganlah Kak Sha hendak menganiaya dirinya pula. Dia berbicara sendiri.
“Nanti bincanglah dengan Zafri. Abang kalau boleh lagi cepat lagi bagus.”
Aira
menarik nafas lega, namun masih berdebar-debar.
“Nanti tak payah tunang-tunang, terus nikah saja. Aira dahlah duduk jauh
dari ibu. Sekurang-kurangnya lega hati ibu bila Aira dah bersuami.” Puan Ainun yang sejak tadi berdiam
saja kini menyuarakan hajat di hati.
Terkejut
juga Aira dengan permintaan ibunya.
“Betul kata ibu tu. Nanti suruh Zafri cepat masuk meminang, lepas tu terus
tetapkan tarikh pernikahan. Kalau boleh abang nak cepat nikahkan korang berdua.
Sekarang ni macam-macam boleh berlaku,” ujar Azwan berbau arahan.
“Baiklah abang long. Nanti Aira bincang dengan Zafri,” janji Aira.
Berbincang
dengan Zafri? Hmm…berbincang dengan Kak Sha adalah! Telefon Zafri pun tidak
pernah, inikan hendak berbincang. Lega rasa hati Aira apabila masalah sudah
selesai. Rasa macam semua beban yang berat jatuh dari bahu. Padahal isu calon
suami yang baru selesai, bab peminangan, akad nikah dan kenduri belum lagi.
SELEPAS bersolat isyak,
Aira menelefon Kak Sha. Kenalah laporkan perkembangan kepada penasihat dan
pembantu peribadi yang sentiasa sudi membantu di kala kesusahan.
“Assalamualaikum, Aira. Apa cerita?” Kak Sha bagai tidak sabar-sabar pula
macam dia yang hendak kahwin.
“Waalaikumussalam. Ibu kata tak payah tunang-tunang, terus kahwin saja,” ujar Aira walaupun sebenarnya segan
hendak beritahu Kak Sha.
“Amboi, macam tak menyempat-nyempat pulak?”Saja Kak Sha mengusik Aira.
“Kak Sha ni…”
“Kak Sha gurau aje. Kalau macam tu tak masalah, Zafri lagi suka. Silap
hari bulan esok pun dia sanggup berkahwin asalkan dengan Aira.” Kak Sha ketawa
sedangkan Aira sudah pening kepala.
“Bila boleh masuk meminang? Zafri dah tak boleh tunggu lagi tu,” seloroh Kak Sha.
“Kak Sha ni…buat Aira malu aje.”
“Aira nak malu apa? Kerja baik tak boleh tangguh-tangguh.”
“Kak Sha bincanglah dengan Zafri. Abang long memang nak Zafri cepat masuk
meminang. Entah apa yang dia risaukan, Aira pun tak tahu.”
“Seronoknya bila Aira akan berkahwin juga akhirnya. Kak Sha memang tak
sabar-sabar nak makan nasi minyak Aira. Zafri tu baik orangnya, beruntung Aira
dapat kahwin dengan dia,” ujar Kak Sha dengan gembiranya.
Aira
bagai tidak rasa apa-apa, Kak Sha pula yang lebih.“Kak Sha kenal tak mana-mana wedding
planner?” tanya Aira. Rasanya kalau dia yang uruskan sendiri majlis perkahwinannya,
mahu haru-biru. Itu tidak tahu, ini tidak tahu. Serba-serbi kena tanya oranglah
jawabnya.
“Buat apa nak cari wedding planner? Kak Sha sudi uruskan
perkahwinan korang berdua,” ujar Kak Sha menawarkan diri.
“Betul ni? Kak Shalah sahabat Aira dunia akhirat,” ujar Aira penuh kesyukuran. Lega
rasanya ada yang sudi membantu.
“Nanti Kak Sha tolong cakapkan dengan Zafri, ya. Apa-apa
nanti, Aira ikut aje malas nak
fikir-fikir,” sambung Aira.
“Kalau Zafri terjun lombong, Aira nak ikut jugak?”
“Taklah sampai macam tu cuma satu saja, tak payahlah buat besar-besar. Simple-simple
saja cukuplah.”
“Tak main la simple-simple, Zafri
bukannya tak ada duit,”balas Kak Sha.
“Bukan sebab tu, Aira dah berumur Kak Sha…seganlah,” terang Aira.
“Yalah, Kak Sha faham sangat dengan perangai Aira tu. Kalau boleh tak
payah jemput sesiapa. Kenduri pun masa akad nikah saja, kan?”
“Suka hati Kak Shalah, malas nak layan.”
“Jangan macam tu dik, Kak Sha gurau ajelah. ‘Hai! Mahu melompat sampai ke
siling si Zafri ni,’ detik Kak Sha dalam hati.