HARI
ini Kak Sha, setiausaha Zafri mengadakan kenduri kesyukuran sempena berpindah
ke rumah baru di Sri Gombak. Sebelum ini, hampir lima tahun juga Kak Sha dan
keluarganya menetap di Bandar Baru Selayang. Selain ahli keluarga, dia turut
menjemput rakan sepejabat termasuk Zafri.
Patutnya
Zafri tiba dalam pukul satu seperti yang dijanjikan. Namun, secara tidak
sengaja dia terjumpa pula kawan lamanya di Bangsar. Padahal Zafri ke sana
hendak mencari bunga idaman, tetapi terjumpa kumbang pula.
Rugi
betul apabila hari ini tidak berpeluang dan tidak sempat hendak meninjau taman.
Anak buahnya juga terpaksa ditinggalkan di rumah Kak Jah kerana si kecil tidak
mahu ikut. Mujur pada hari ini Kak Jah tiada urusan lain, bolehlah menjaganya.
Borak
punya borak tidak sangka pula masa berlalu begitu pantas. Sedar-sedar jam telah
menunjukkan pukul 2.30 petang. Kesesakan jalan raya ditambah dengan hujan yang
turun mencurah-curah menyebabkan Zafri lewat tiba di rumah Kak Sha. Mujur juga
hujan telah berhenti ketika tiba di Sri Gombak.
“Sila-sila Encik Zafri, kenapa lambat?” tanya Kak Sha sambil mempelawa bosnya
masuk.
“Sorry la Kak Sha, tadi terjumpa kawan lama di Bangsar. Asyik sangat berborak
terleka pulak,” jawab Zafri sambil duduk di sofa.
“Tak apa, janji datang tapi tulah, kawan-kawan pejabat semua dah balik.
Tinggal saudara-mara saya saja, takut Encik Zafri yang segan. Makanan pun
tinggal saki-baki,” terang Kak Sha sambil mengemas meja yang sedikit berselerak.
“It’s okay Kak Sha,” ujar Zafri sambil tersenyum.
Tiba-tiba Zafri tersiku bingkai gambar yang diletakkan di atas meja sisi. Zafri
membetulkan semula kedudukannya sambil mengamati gambar tersebut. Tidak
berkelip mata Zafri memandangnya.
“Itu gambar semasa Kak Sha pergi ke Butchart Gardens kira-kira lima tahun
yang lalu. Semasa Kak Sha bekerja dengan syarikat lama,” terang Kak Sha apabila menyedari
Zafri seakan berminat dengan gambar tersebut.
“Oh! It’s really beautiful...” ujar Zafri, namun ada sesuatu yang
menarik perhatiannya. Walaupun tidak berapa jelas, gadis dalam gambar itu macam
pernah tengok sahaja.
“Gambar pemandangan yang cantik atau
orang dalam gambar tu yang
menarik?” duga Kak Sha.
“Hehe…dua-dua,” jawab Zafri sambil meletak semula bingkai gambar tersebut.
Hatinya masih tertanya-tanya apakah hubungan Kak Sha dengan gadis itu.
“Tak nak tahu ke siapa gadis sebelah Kak Sha tu? Kalau berkenan boleh Kak
Sha kenalkan. Orangnya masih belum berpunya,” sakat Kak Sha.
“Kak Sha ni…ke situ pulak,” tingkah Zafri namun dalam hati, cepatlah perkenalkan, tidak sabar rasanya.
“Yalah… Zafri kan masih sendiri, Aira pula solo. Apa salahnya kalau Kak Sha
rekomen,” cadang Kak Sha.
“Aira? Sedap namanya,” ujar Zafri sambil otaknya cuba mengingat sesuatu.
“Ingatkan tak berminat. Sebenarnya nama penuh gadis sebelah Kak Sha tu,
Aira Latisha. Walaupun kulitnya lebih kurang
Queen Latifah, namun manis orangnya.”
“Aira Latisha? Macam pernah dengar saja nama tu,” ujar Zafri pula.
“Ai, baru balik Malaysia dah familiar dengan nama gadis
Melayu? Pelik…” Sengaja Kak Sha mengusik.
“Duduk luar negera tak bermakna saya tak ambil tahu langsung tentang
bangsa dan negara asal saya,” balas Zafri pula, tidak mahu mengalah.
“Hmm…andai dah berkenan janganlah segan nanti melepas pula,” usik Kak Sha lagi.
“Okeylah. Kalau Kak Sha dah sudi membantu, saya lagi sudi menerima. Frankly
speaking, saya macam pernah saja jumpa kawan Kak Sha tu tapi tak ingat di
mana,” ujar Zafri berterus terang.
“Suatu perkembangan yang menarik. Kalau Encik Zafri betul-betul berminat,
Kak Sha boleh mainkan peranan sebagai orang tengah,” ujar Kak Sha menawarkan diri.
“Iya, kena pengeras tak?” tanya Zafri bagai tidak sabar-sabar pula.
“Tak main la pengeras-pengeras. Itu zaman Tok Kaduk. La ni zaman cyber,
Kak Sha nak iPad2 boleh?” Saja Kak Sha hendak pekena Zafri cukup-cukup lagipun bukan
selalu.
“Amboi, macam rasuahlah pulak!” perli Zafri padahal dia sendiri yang
bertanya.
“Dah Encik Zafri tanya pasal pengeras, kenalah minta yang canggih-canggih
sebagai balasan,” jawab Kak Sha.
“Kalau pasal Kak Sha, bukan setakat iPad2, kalau nak airportpun saya boleh sediakan,” jawab Zafri sambil tertawa gembira.
“Alangkah bagusnya andai Encik Zafri datang awal, boleh terus
Kak Sha perkenalkan. Ini kena cari masa lain pulak untuk kenalkan korang
berdua. Kempunan la Kak Sha...” keluhnya.
Memandangkan
hari pun sudah beransur petang, Zafri tidak lama di rumah Kak Sha. Selepas
menjamah sedikit makanan, dia minta diri untuk pulang. Perjalanan pulang ke
rumahnya pasti mengambil masa lebih satu jam ditambah dengan kesesakan jalan
raya.
“Thanks Kak Sha kerana sudi jemput saya makan-makan. Lain
kali jangan segan-segan ajak saya lagi ya,” ujar Zafri berbahasa.
“You are welcome Encik Zafri. Kak Sha yang kena ucap terima kasih kerana bos
sudi datang ke rumah,” ujar Kak Sha pula.
“Hmm…nanti kirim salam saya pada Aira Latisha ya.” Sempat juga Zafri meninggalkan
pesanan sebelum balik.
“Bos serius ke? Ingatkan main-main saja,” ujar Kak Sha seakan tidak percaya.
Sangkanya tadi Zafri hanya bergurau atau sekadar berbahasa.
“Kak Sha jangan lupa tau,” ujar Zafri mengingatkan Kak Sha sambil tersenyum.
“Bos dah beri lampu hijau, Kak Sha
jalan saja.”
“Assalamualaikum,”ucap Zafri sebelum berangkat pulang.
“Waalaikumussalam,” balas Kak Sha. 'Biar betul Encik Zafri ni? Aku main-main saja
dia serius pulak,' detik Kak Sha.
'Habislah aku. Mengamuk nanti si Aira kalau dia tahu
aku pandai-pandai hendak rekomen
dia dengan Encik Zafri. Hendak buat macam mana ni?' Kak Sha berkira-kira
sendiri. Aira ini bukan boleh percaya sangat. Mentang-mentanglah dia bekerja
dalam bidang perlandskapan, hatinya pun sekeras batu!