BAB 19
AMIR HUDZAIFA
Dia memandu dengan
tenang. Dari Perak terus ke Kelantan
melalui Grik. Jalan yang mempunyai
sembilan puluh sembilan selekoh
tajam. Sudah banyak kemalangan berlaku
di sepanjang jalan yang bersimpang-siur itu.
Itulah jalan yang dekat bagi orang Utara yang hendak ke Pantai
Timur. Jalannya juga sudah semakin
cantik walaupun hanya ada dua lorong.
Panorama sepanjang perjalanan juga cantik. Akan melalui pekan-pekan kecil di sepanjang
jalan, bukit-bukau dan Tasik Kenyir
menjadi santapan mata.
Dia menarik nafas
lega. Majlis pernikahannya berjalan
lancar biar pun berlaku beberapa insiden yang
tidak disangka. Kelewatan
rombongan pengantin perempuan waktu akad nikah membuatkan hatinya menjadi
seram-sejuk. Takut-takut tidak jadi
pula. Tidak pula dia bertanya
kepada keluarga mentuanya sebab-sebab
kelambatan mereka. Biarlah dia simpan kenangan pahit itu dalam-dalam di sanubarinya. Untuk apa dia bertanya? Apakah jawapan mereka
nanti akan membuatkan dia merasa puas, atau akan menambah sakit dihati. Dia menarik nafas panjang dan melepaskannya
perlahan, bagaikan melepas lelah di dada.
Waktu di Kedah,
tidak henti-henti ucapan tahniah diterima dari rakan-rakan yang datang meraikan
majlis perkahwinannya dengan Syifa’ Umaira, malah mereka memuji-muji kecantikan
Syifa’ Umaira.
“Bertuah ustaz,
walaupun dah menjangkau 40-an masih laku lagi.
Dapat pula isteri masih anak dara
dan muda lagi. Cemburu saya,” kata salah seorang tetamu. Dia hanya
tersenyum. Kecantikan itu kurniaan ALLAH
SWT. Sudah jodohnya dengan Syifa’ Umaira
tiada siapa yang mampu menghalang. Dia memandang sekali imbas ke arah isterinya
di kelilingi tetamu muslimat. Sungguh
cantik Syifa’ Umaira malam ini, detik hati kecilnya.
“Nak tambah
cawangan ke Ustaz Ali? Kalau berani dan mampu apa salahnya,” kata seorang lagi. Lelaki yang bernama Ustaz Ali itu tersenyum. Tetamu
yang lain ketawa.
“Saya? tak beranilah, rasanya tak mampu nak berlaku
adil,” jawab Ustaz Ali
berterus-terang. Semakin galak mereka
ketawa. Dia turut ketawa. Bukan semua orang ditakdirkan berkahwin lebih
dari satu dan juga tidak semua mampu berpoligami.
“Hak
masing-masing, siapa rasa dia mampu tak salah,”
kata Amir Hudzaifa menasihati.
Dia sendiri bukan suka-suka untuk berpoligami ada matlamat dan tujuan
dan semoga tujuannya itu akan direalisasikan dengan jaya bersama bantuan kedua
orang isterinya nanti. Untuk menambah
zuriat juga adalah salah satu
matlamatnya. Dia tidak memberitahu
Ummi Khadeeja matlamat keduanya itu. Dia
tidak mahu isterinya itu berkecil hati lantaran tidak mengandung lagi
walaupun tidak terlalu tua. Usia tua atau muda bukan ketentuan untuk
mampu melahirkan anak. Buktinya Syaidatina Khadijah ra. mampu memberi zuriat kepada Rasulullah
SAW walaupun beliau sudah berumur.
Syaidatina Aisyah ra. tidak
dikurniakan seorang anak pun walaupun masih muda. Itulah Ketentuan ILAHI. Tiada siapa dapat mengubahnya.
Amir Hudzaifa
menoleh ke arah Syifa’ Umaira yang masih lena.
Mungkin keletihan . Biarlah dia
berehat secukupnya. Amir Hudzaifa
memandu dengan tenang dan berhati-hati, masih jauh destinasi mereka. Kenduri di rumah Syifa’ Umaira juga
meriah. Ramai tetamu diundang, jiran
tetangga, sahabat handai, rakan taulan dan ahli keluarga. Ucapan tahniah tidak henti-henti
diterima. Walaupun ada juga yang
bercakap di belakang, dia buat tidak dengar sahaja. Biarlah apa mereka hendak kata dan bercerita,
mereka ada mulut itulah fungsinya. Amir Hudzaifa mengeluh. Semoga impian dan harapannya menjadi
kenyataan dan kedua-dua isterinya boleh hidup rukun dan damai.
UMMI KHADEEJA…
Permintaan
suaminya agar dia turut bersama di majlis kenduri di rumah Syifa’ Umaira tidak
mampu ditolak. Ya, Allah berat sungguh
kakinya hendak melangkah ke rumah itu
lagi. Masih terngiang-ngiang suara Hajah
Halimah menghinanya. Perlukah dia buang
jauh-jauh perasaan itu demi kerana suaminya.
Sabarlah hati. Segalanya sudah
berlaku dan tidak mungkin berpatah kembali.
Pahit, manis, masin, masam harus ditelan demi suami tercinta.
Dengan ditemani
Zaiton isteri Haji Salleh, Ummi Khadeeja
menjejakkan kaki sekali lagi ke rumah itu.
Berdebar-debar hatinya sewaktu melangkah masuk. Semua tetamu yang berada di bawah
khemah menoleh dan memandang ke arahnya. Tidak mampu berkata apa-apa hanya senyuman
yang terukir di bibir. Langkah diatur
berhati-hati jangan ada pincang di mata sesiapa. Ah! Sukar untuk menolak jika ada sesiapa yang
membandingkan dia dan Syifa’ Umaira.
Madunya masih muda, dia sudah semakin senja. Biarlah apa yang mereka hendak kata. Masing-masing ada mulut untuk berbicara. Hati terguris tidak mengapa asalkan suami
tercinta sentiasa bahagia. Berbaloikah
pengorbanannya ini?
“Jemput masuk
Khadeeja. Kenalkan, inilah madu Mai,” kata Hajah Halimah memperkenalkan Ummi
Khadeeja kepada tetamu yang berada di
bawah khemah. Hajah Halimah menarik
tangan Ummi Khadeeja masuk ke dalam rumah.
“Duduklah, buat
macam rumah sendiri. Mai ada di dalam,
kejap lagi keluarlah tu.” Hajah Halimah
menghilangkan diri ke dapur. Ummi
Khadeeja hanya tersenyum tidak terkata
apa-apa sehinggalah Zaiton mencuit lengannya.
Mereka saling berpandangan.
“Nak makan nanti,
baca doa banyak-banyak. Manalah tahu,
hati orang kita tak tahu Ija. Rambut je
sama hitam, hati putih ke, hitam ke, kita tak nampak,” kata Zaiton sambil
menyengih. Ummi Khadeeja tersenyum.
“Kau ni Ton,
takkanlah sampai ke situ… mereka pun ada agama tau.” Ummi Khadeeja menggelengkan kepala. Dia tidak mahu berfikir yang
bukan-bukan. Di hatinya, apa yang penting adalah kebahagian suaminya
sahaja.
Tidak sampai
sepuluh minit makanan pun terhidang di hadapan mereka. Udang
Masak Sambal bersama petai, Ayam Masak Merah, Acar rampai dan Kurma
daging sedia terhidang. Terliur Ummi
Khadeeja melihat menu yang di hadapan
mata.
“Sedap
nampaknya,” kata Zaiton sambil
tersenyum. Ummi Khadeeja turut tersenyum.
“Jemputlah makan,
jangan malu-malu,” pelawa Hajah
Halimah. Seorang perempuan berbadan
gempal datang mendekati mereka dan membantu menyendukkan nasi ke dalam
pinggan. Nasi minyak dan nasi putih.
Ummi Khadeeja lebih suka makan nasi putih sahaja.
“Ini rupanya madu
si Mai ya? Eh! Ada juga orang perempuan
yang sanggup dimadukan ya? Nak dapatkan
payung emaslah katakan,” kata perempuan berbadan gempal itu tadi. Terlopong mulut Ummi Khadeeja dan Zaiton
mendengarnya. Seperti satu sindiran di telinga
mereka. Ummi Khadeeja tidak
melatah, dia hanya tersenyum mendengar
kata-kata perempuan itu tadi. Dalam hati
hanya ALLAH yang tahu.
“Mak Long… apa
yang merepek tu? Ganggu orang nak makan
je.” Hajah Halimah mendekati perempuan
berbadan gempal yang duduk bersimpuh di hadapan madu anaknya.
“ Ini Tok Long
Syifa’ Umaira, Khadeeja. Jangan kecil
hati ya dengan cakap-cakap dia. Dia memang begitu, suka menyibuk.” Hajah Halimah mengurut belakang emak
saudaranya dan tersenyum sinis. Ummi
Khadeeja hanya mengangguk perlahan.
Makanan yang enak di hadapannya terasa pahit di tekak, sepahit
perasaannya ketika itu. Para tetamu yang
datang pula asyik-asyik meninjau hendak
melihatnya. Kenapalah dengan manusia ni,
adakah pelik seorang isteri yang bersetuju suaminya berkahwin lagi. Kalau dah suaminya mampu kenapa tidak? Kadang-kadang geram juga dibuatnya. Mahu
sahaja dia membalas kata-kata mereka.
Kalau tidak difikirkan maruah suaminya sudah tentu mulutnya juga lancang
melawan balik.
“Tak takut ke
suami adik, diambil terus oleh cucu sedara
tok long?” Tanya perempuan gempal itu lagi. Ummi Khadeeja mengerutkan dahi, kurang selesa dengan soalan yang diberi. Ramai mata yang mermerhati. Tidak dijawab, nanti dikatakan sombong pula.
“Kalau saya tidak
yakin suami saya akan berlaku adil, saya tak izinkan dia bernikah lagi,” jawab
Ummi Khadeeja berterus-terang. Hajah
Halimah mengetap bibir. Wajah Ummi Khadeeja ditenung tajam.
“Mak long ni,
kacau mood orang tengah makan… kang terbantut selera,” sindir Hajah Halimah.
“Maafkan mak long
saya ni ya Khadeeja, suka merapu.” Hajah Halimah menarik tangan perempuan itu masuk ke dapur. Tidak beberapa
minit kemudia muncul Syifa’ Umaira dari dalam bilik. Berjubah putih, bertudung sedondon. Ummi Khadeeja memerhati dan mengamati. Memang cantik madunya ini. Bertuahlah
kau wahai suamiku, detik hati kecil Ummi
Khadeeja.
“Maaflah kak, tak
perasan yang kakak dah datang. Tadi sedang solat zohor.” Syifa’ Umaira bersalaman dengan Ummi Khadeeja
dan Zaiton. Mereka berbual mesra. Syifa’ Umaira turut menolong mengupas kulit
udang dan diletakkan isinya ke dalam pinggan Ummi Khadeeja. Mereka saling tersenyum dan ketawa. Terjungkit bibir tetamu-tetamu yang berada di
ruang tamu itu memerhatikan gelagat kedua madu itu. Lagi pula selera Ummi Khadeeja sudah mati mendengar kata-kata nenek saudara
Syifa’ Umaira tadi. Kalau soalan itu
ditanya ketika dia berseorang, tidak mengapa, ini tidak di majlis perkahwinan
yang dihadiri ratusan orang. Tentulah
dirinya menjadi perhatian kerana dia adalah isteri tua dan sanggup dimadukan. Hibanya hati tidak terkata. Sedangkan mereka juga perempuan. Apakah mereka tidak faham akan perasaannya. Ada tetamu
tidak segan-segan mengambil gambarnya dan kata nak dijadikan kenangan
seorang isteri yang mithali sanggup hidup bermadu. Luar biasa betul poligami ni ya, Ummi Khadeeja
mengeluh kasar. Syifa’ Umaira tidak
berlama melayan Ummi Khadeeja apabila dipanggil oleh ayahnya untuk
diperkenalkan kepada beberapa tetamu penting.
Hampir dua jam dia
menahan rasa. Umpatan dan sindiran
diterima dengan berlapang dada. Wajahnya bersahaja sedangkan hatinya menangis
sayu, hiba dan kecewa. Apatah lagi renungan
Hajah Halimah yang menyinga memandangnya.
Kalau tidak kerana suami tercinta, tidakkanku sudi melangkah ke rumah
itu. Air jernih bagaikan ingin mengalir
keluar di juring matanya. Cuba ditahan
agar manik mutiara itu tidak mengalir, nanti apa pula kata tetamu yang ada,
isteri tua menahan duka.
Di luar, Syifa’
Umaira dan Amir Hudzaifa bersalaman dengan tetamu yang ada. Ummi Khadeeja memerhatikan sahaja dari dalam
rumah. Untuk turut serta mungkin tidak,
bukan majlisnya. Zaiton mencuit bahu
Ummi Khadeeja.
“Kita nak duduk kat sini sampai pukul berapa? Ija selesa ke? saya tak selesai dah ni?” Zaiton dah macam cacing kepanasan. Sindir-menyindir, usik mengusik jelas di
telinga. Apakah mereka-mereka ini tak
faham perasaan orang lain agaknya, detik hati kecil Zaiton. Kalau tidak kerana majlis meraikan
perkahwinan Amir Hudzaifa sudah lama dia angkat kaki. Sakit telinga dan sakit hati mendengarnya.
Yang menyindir sama jenis, sama-sama perempuan.
“Ikhlas
konon? Berapa lama nak ikhlas
agak-agaknya. Madu saya, mula-mula
kahwin dengan suami saya punyalah baik, lepas sebulan dua mulalah buat
perangai,” kata seorang perempuan.
Zaiton tidak berani memandang, bukan kerana takut tetapi takut tidak
sabar perempuan itu dia ganyang.
“Ala! Nak dapat
payung emaslah konon? Ingat senang ke ALLAH
nak bagi? Kalau tidak disusuli dengan
ujian dan cabaran,” kata kawan yang
disebelah. Ummi Khadeeja masih
menundukkan muka.
“Banyak lagi
anugerah lain dari ALLAH selain payung emas.
Kalau akak, minta maaflah nak izinkan suami akak kahwin lagi. Orang lelaki kalau kita dah izin dan suruh,
tentulah nak sangat,” sampuk seorang
lagi teman mereka.
“Jangan yang muda
menjadi mangsa yang tua sudahlah ya,” sampuk Hajah Halimah. Terkedu Ummi Khadeeja dan Zaiton mendengarnya. Dan pasti iyanya
ditujukan kepada Ummi Khadeeja.
“Kak Limah, orang
lelaki boleh kahwin sampai empat. Jangan
suami si Mai nak tambah bini lagi sudahlah,” mereka terus
berkata.
“Iyalah Kak Limah,
orang lelaki ni kalau dah dua selalunya nak tiga, dan akhirnya empat,” sampuk
seorang lagi.
“Cubalah kalau dia berani madukan anak akak lagi! akak
potong ‘anunya’,” lengking suara Hajah Halimah. Berdesing telinga Ummi Khadeeja
mendengarnya. Tidak habis-habis lagi
mereka mengutuk dan memperkatakan tentang perkahwinan suaminya.
“Kenapalah Mai
yang cantik dan manis tu sanggup dimadukan ya, Kak Limah?” kedengaran suara seseorang bertanya. Ummi Khadeeja mengeluh kasar. Mereka masih tidak puas hati agaknya, desis
hati kecil Ummi Khadeeja.
“Kalau dah ada
yang mengoda? Nak buat macam
mana?” tuduh Hajah Halimah. Mahu sahaja Ummi Khadeeja menjawab. Kalau tidak kerana Syifa’ Umaira menawarkan
diri dan beriya-iya sanggup bermadu kerana ‘cinta’ dia sendiri tidak akan
memilih gadis itu menjadi calon isteri untuk suaminya. Apakah mereka tidak percaya dengan qada dan
qadar ALLAH SWT dan ketentuan takdir jodoh Syifa’ Umaira dan suaminya. Ah! Kejam sungguh kamu wahai
perempuan-perempuan, bisik hatinya sendiri.
Hampir petang baru
mereka boleh pulang dan cukup untuk membuatkan hati Ummi Khadeeja pedih telinga
dan hati. Mereka yang mengata sedikit
pun tidak merasa bersalah sedangkan orang yang mereka kata ada di hadapan
mereka. Jangan haraplah mahu meminta maaf. Hati Ummi Khadeeja merasa cukup tersiksa
bagaikan duduk dalam neraka sepanjang berada di situ. Waktu hendak berangkat pulang Hajah Halimah
tidak bersalaman dengannya pun, hanya berpamitan begitu sahaja. Sedih hati Ummi Khadeeja. Kalau kalian boleh menerima suamiku
sudi-sudikanlah menerima diriku juga, bisik hati kecil Ummi Khadeeja. Perjalanan dari Perak ke Kelantan terasa
jauhnya. Ummi Khadeeja melayan perasaan
dukanya sendiri. Suaminya masih bersama
Syifa’ Umaira, esok baru mereka akan berangkat pulang ke Kelantan. Zaiton dan Haji Salleh setia menemani Ummi
Khadeeja.
SYIFA’ UMAIRA
Hampir seminggu
menjadi isteri orang yang cintainya. Dia
terasa begitu bahagia. Amir Hudzaifa
melayannya persis seorang puteri, terasa dirinya dimanjai dan dilimpahi dengan
kasih dan sayang. Bertuah terasa dirinya
kini dan tidak sia-sia dia berkahwin dengan lelaki yang sudah berusia dan
matang seperti Amir Hudzaifa.
Kata-kata sindiran
dari sepupu sepapatnya tidak dihiraukan.
Mereka tidak akan faham situasi dirinya.
Dia menyintai suaminya dan jika sudah tertulis jodohnya dengan Amir
Hudzaifa, mereka tidak punya hak untuk memperkatakannya. Tok longnya juga marah-marah, menuduh dia
sudah gila. Syifa’ Umaira hanya mampu
mendengar leteran orang tua itu.
“Dah habis ke
jantan kat dunia ni, laki orang juga kau pilih?” Leter tok long di ruang tamu. Waktu itu Amir Hudzaifa tidak ada di rumah
keluar dengan ayahnya. Terdiam Syifa’ Umaira tidak berkutik. Pantang tok long kalau orang memotong atau menyanggah
kata-katanya.
“Kau Limah… takkan
tak boleh menasihati anak kau ni? Kau ingat, senang hidup berkongsi?” suara tok long berdesing kedengaran di
telinganya.
“Aku ni dah
berpuluh tahun dimadukan. Aku tahu pahit
getirnya. Siang malam aku berdoa agar
tidak ada anak cucu aku yang bermadu dan dimadukan. Alih-alih anak kau yang bermadu. Sakit hati aku ni…” suara tok long kedengaran
sedih. Di tepuk-tepuknya dada sambil
mengurut perlahan. Air mata mula mengalir ditubir matanya. Syifa’ Umaira memerhatikan saja. Kalau dipujuk dan dilayan semakin
menjadi-jadi nanti syarahan yang tidak diminta itu.
“Aku ni, isteri
tua. Siang malam berendam air mata
kerana tok wan long kau tak adil melayan aku. Mentang-mentang aku dah tua. Dipersia-siakan saja. Asyik dengan isteri mudanya ke hulu ke
hilir. Hati siapa yang tidak
sedih…” tangis tok long. Emak mengurut belakang tok long. Syifa’ Umaira tersenyum sendiri, baguslah kalau begitu, dia isteri muda.
Beruntunglah dirinya jika dilayan begitu.
Kalau yang merana adalah isteri tua, bukan dirinya. Syifa’ Umaira memandang sahaja emaknya
memujuk tok long yang sedang dalam kesedihan itu.
“Sudahlah mak
long, dia pun dah bernikah dengan laki orang, nak buat macam mana? Dah jodoh dia,” Hajah Halimah menjeling tajam. Syifa’ Umaira
buat tidak dengar. Tok long
mengangguk lemah sambil mengesat air matanya.
Sepanjang majlis
kenduri berjalan semuanya lancar dan teratur.
Kehadiran Ummi Khadeeja juga membuatkan suaminya tersenyum panjang dan
riang. Asyik dia melayan madunya makan
sehinggalah dia dipanggil keluar oleh ayahnya untuk diperkenalkan kepada
kawan-kawan lama ayahnya. Tidak sempat
dia nak bermesra dan berkenalan dengan lebih rapat dengan madunya itu. Syifa’ Umaira tersenyum lagi. Baki malam bersama suaminya masih lagi
bersisa dua hari. Sungguh indah
malam-malam dia bersama suaminya. Semoga
keindahan itu terus kekal di sanubari