Home Novel Keluarga AKU TURUT BAHAGIA ~ ASMAH HASHIM
DALAM HATI ADA CINTA ~ BAB 6

BAB 6

SYIFA' UMAIRA membelek buku hasil tulisan Ustaz Amir Hudzaifa. Dia tersenyum sendiri. Ketampanan Ustaz Amir Hudzifa terserlah. Berkali-kali Syifa' Umaira membeleknya. Gambar Ustaz Amir Hudzaifa ada dalam buku itu. Bahagian kata pengantar, dipandang tidak jemu-jemu. Ya, Allah, kacak sungguh dia, detik hati kecil seorang gadis yang sedang mabuk asmara. Senyuman. Ketawa. Cara bercakap. Cara berjalan bagaikan sudah hafal di kepalanya. Bilalah rindu ini akan terpadam dalam sanubarinya, hatinya terus berbisik sendiri. Memikirkan lelaki pujaan yang bermain diminda siang dan malam. Siang bagaikan malam, malam bagaikan siang. Tidak tertahan rasanya hati menunggu orang yang dinanti mengapai rindu ini yang semakin menebal disanubari, Syifa' Umaira tersenyum sendiri.

Hatinya terus berlagu riang apabila dia dipanggil ke rumah Ustazah Bariah dua hari yang lepas. Rasa mahu didaki gunung Everest untuk berada di puncak yang paling tinggi untuk menggambarkan kegembiraan di hatinya. Mahu dipetik bintang di langit untuk disimpul menjadi bait-bait cinta bagi dilafazkan kepada kekasih hati yang jauh di seberang sana. Belum pun tahu berita apa yang dibawa, dia sudah berangan-angan. Semua itu tidak penting. Jauh di sudut hatinya dia mengharapkan berita yang akan didengarinya nanti dari mulut Ustazah Bariah adalah berita yang mengembirakan hatinya.

Syifa' Umaira duduk mengadap Ustazah Bariah penuh sopan santun. Menunggu dengan sabar ayat-ayat yang akan mengembirakan hatinya. Harapnya begitulah. Dia memandang wajah Ustazah Bariah dengan penuh harapan bahawa berita yang ingin disampaikan nanti adalah berita yang akan membuatkan dia tidur lena. Makan kenyang dan mandi basah.

“Minggu lepas Ustaz Baharom terima panggilan telefon dari Ustaz Amir Hudzaifa.” Ustazah Bariah diam sebentar. Dia mengambil nafas dan melepaskan perlahan-lahan. Dia melihat sahaja wajah Syifa' Umairah yang begitu teruja memandangnya. Kandungannya yang sudah mencecah lapan bulan diusap lembut. Dalam keadaan begini dia bukan boleh duduk lama-lama, cepat lenguh dan mengah.

“Jadi?” Tanya Syifa' Umaira tidak sabar. Ustazah Bariah tersenyum. Gopohnya gadis manis ini, tak sabar-sabar, detik hati kecil Ustazah Bariah.

“Sabarlah! Awak buat saya gementar pula.” Ustazah Bariah menampar peha Syifa' Umaira dan mereka tersenyum.

“Ustazah tu kalau bercakap, macam nak beritahu pada saya berita yang menyedihkan pula. Mana saya nak sabar?” Syifa' Umaira menjeling manja. Ustazah Bariah tersengih.

“Iyalah Mai, tengok wajah awak tu pun buat saya susah hati. Macam nak makan saya je?” Usik Ustazah Bariah. Syifa' Umaira ketawa, dia menutup mulutnya.

“Nak cakap ke tidak ni Ustazah?” Tanya Syifa' Umaira. Tidak sabar rasanya. Ustazah Bariah pula sengaja melengah-lengahkan masa. Ustazah menuang air teh panas ke dalam cawan dan meletakkan di hadapan Syifa' Umaira. Dia tersenyum sinis. Syifa' Umaira mula gelisah. Dia tidak sabar hendak tahu berita dari Malaysia. Berita baik dia terima dengan gembira. Berita buruk pun dia redha. Air di hadapan mata tidak penting lagi. Kehausan yang di rasa waktu berjalan ke rumah Ustazah Bariah sudah hilang kerana menelan air liur sendiri.

“Awak nak dengar berita baik yang mengembirakan atau berita buruk dan menyedihkan?” Ustazah Bariah mengangkat kening, menunggu jawapan dari bibir Syifa' Umaira. Gadis itu berfikir seketika. Mana yang lebih baik? Yang mengembirakan atau yang menyedihkan, fikirnya sendiri. Wajah Ustazah Bariah ditenung seketika. Ustazah Bariah tidak memberi apa-apa reaksi, hanya memerhati sahaja tingkahlaku Syifa' Umaira.

“Berita gembira dulu kemudian berita sedih,” jawab Syifa' Umaira perlahan namun jelas kedengaran di telinga Ustazah Bariah. Dengan hati yang berdebar-debar, Syifa' Umaira menanti. Dengan penuh harapan, Syifa' Umaira menunggu.

“Isteri Ustaz Amir Hudziafa memilih awak sebagai calon isteri untuk suaminya. Tapi ada syaratnya. Awak kena berhenti belajar,” kata Ustazah Bariah. Syifa' Umaira yang pada mulanya tersenyum mendengar dia dipilih menjadi calon isteri terus terdiam. Jawapan yang diharapkan sudah didengarinya. Cuma berhenti belajar? Itulah yang paling berat untuknya

“Macam mana? Setuju ke tak? Jawapan, mereka nak segera. Kalau Mai tak setuju dengan syarat tersebut, mereka akan cari orang lain,” tegas kata-kata Ustazah Bariah. Syifa' Umaira terkedu. Berhenti belajar? Belajar! Aduh! Macam mana ni? Hatinya yang bernyanyi lagu joget kini menyanyikan lagu dondang sayang pula. Lemah gemalai dan merimaskan.

“Atau, nak fikir dulu?” Ustazah Bariah tersenyum. Syifa' Umaira mengeluh. Tiada senyuman lagi. Tiada resah lagi yang ada cuma perasaan berat. Berat hati untuk menerima syarat tersebut.

“Kalau fikir dulu, ambil masa. Isteri Ustaz Amir Hudzaifa tidak mahu menunggu. Dia nak jawapan segera? Apa jawapan awak?” Ustazah Bariah terus mendesak. Sesak nafas Syifa' Umaira dibuatnya. Kepalanya mula berpinar. Ya Allah, kalau menerima, dia terpaksa berhenti belajar. Kalau menolak dia akan kehilangan cinta hatinya. Mana satu ni? Kalau boleh fikir dulu tidak apalah. Mereka nak jawapan segera, kata hatinya sendiri. Syifa' Umaira mengeluh lagi. Ustazah Bariah tersenyum sinis.

“Kalau nak sesuatu yang berharga, kenalah korbankan sesuatu yang berharga juga."

“Tak boleh ke saya sambung belajar sampai habis? Kalau dah kahwin pun takkan tak boleh belajar?” Tanya Syifa' Umaira macam orang dungu sedangkan sudah jelas dipendengaran telinganya syarat yang harus diikuti iaitu 'berhenti belajar'.

“Ustaz Amir Hudzaifa cari calon isteri baru untuk membantu dia menjaga maahad dan sama-sama turun berdakwah dengannya. Kalau isteri muda masih nak belajar, siapa pula nak jaga maahad? Tak tercapailah misinya. Baik tak payah! Baik dia cari calon yang dah habis belajar dan boleh membantu dia menguruskan maahadnya. Buat apa dia tunggu awak? Dan awak pun Mai, kalau dah nak belajar mengapa gatal menawarkan diri jadi calon isteri? Belajar je dulu. Kalau lelaki bujang yang meminang awak dulu, mereka tak meletakkan syarat suruh awak berhenti belajar. Dalam kes Ustaz Amir Hudzaifa, pujaan hati awak ni, awak wajib berhenti belajar. Kalau tak nak, saya rasa baik awak habiskan belajar baru cerita pasal kahwin,” pedih kata-kata Ustazah Bariah. Syifa' Umaira menelan air liur sendiri entah berapa kali. Dia mengeluh lagi.

“Kalau masih tak pasti, saya nasihatkan awak, tak payahlah susah-susahkan diri jadi isteri orang lagi. Pergi sambung belajar. Sampai dah berjaya baru awak fikir nak cari calon suami,” tegas kata-kata Ustazah Bariah. Wajahnya serius memandang Syifa' Umaira. Hari itu gatal sangat nak jadi calon. Bila orang dah setuju, dia pula main tarik tali. Ustazah Bariah mendengus kasar.

“Ustazah, macam mana ni?” Syifa' Umaira pula bertanya pada Ustazah Bariah. Berkerut dahi Ustazah Bariah. Nak je aku sekel kepala budak ni… kita dah cakap masih tak faham-faham, detik hati kecil Ustazah Bariah.

“Awak ni nak ke tidak? Kalau tak nak saya akan beritahu pada isteri Ustaz Amir Hudzaifa yang awak menolak. Kalau setuju, kenalah awak ikut syarat yang telah ditetapkan, susah sangat ke?” Ustazah Bariah mula meninggi suara. Syifa' Umaira terkedu. Ustazah Bariah dah marah, kata hatil kecilnya.

Kenapalah isteri Ustaz Amir Hudzaifa buat syarat macam tu. Syifah' Umaira mengeluh lagi. Kalau tidak setuju, tidak bolehlah dia berkahwin dengan lelaki pujaan hatinya. Kalau dia setuju punahlah harapan ke dua orang tuanya untuk melihatnya menggenggam segulung Ijazah. Perasaan siapa yang harus dia dahulukan. Perasannya sendiri atau perasaan orang tuanya.

‘Eee… apalah bodoh sangat! Kahwin sahajalah dulu. Lepas kahwin pandai-pandailah aku pujuk Ustaz Amir Hudzaifa benarkan aku belajar balik. Itu pun susah. Kedua-dua pun dapat. Sudah jadi isteri dia, apa yang dia boleh buat kalau aku berkeras nak sambung belajar juga. Isteri tuanya pun tak boleh buat apa-apa waktu itu. Kenapalah aku tak fikir dari tadi. Setuju je la, bisik hatinya lagi. Syifa' Umaira tersenyum semula. Lega hatinya dapat mencari jalan keluar. Keinginan hatinya dapat dipenuhi, kehendak orang tuanya dapat dituruti.

Ustazah Bariah memandang Syifa' Umaira yang semakin lama semakin kecil di hadapannya itu. Hampir sejam dia dan Syifa' Umaira berbincang. Sudah angin satu badan ni. Budak ni tidakak pasal-pasal kena pelempang aku, bisik hati kecil Ustazah Bariah pula. Syifa' Umaira tersengih menampakkan barisan giginya yang teratur kemas dan putih itu. Ustazah Bariah pula mencuka dan tidak mampu tersenyum lagi.

“Macam mana? Dah ada jawapan ke tidak?” Jerkah Ustazah Bariah. Syifa' Umaira terkejut. Dia mengurut dada. Garang juga isteri Ustaz Baharom ni, detik hati kecilnya. Kalau dia ketawa takut kena marah. Akhirnya Syifah' Umaira hanya tersenyum sahaja.

“Janganlah marah ustazah, nanti anak dalam rahim ustazah, mukanya masam macam cuka,” sempat Syifa' Umaira bergurau. Gurauan yang membuatkan Ustazah Bariah bertambah marah.

“Beginilah Mai ,awak ni buang masa saya je! Kalau awak tak nak, baiklah awak balik je, saya ni dah penat duduk macam ni. Perut saya ni dah sarat. Tak boleh duduk lama-lama. Ditambah melayan kerenah awak yang tak tetap pendirian ni buat saya sakit satu badan je tau!” Ustazah Bariah mendengus kasar.

“Maafkan saya ustazah, saya tak berniat nak sakiti hati ustazah. Maaf sangat-sangat. Saya setuju dengan syarat tersebut,” lancar lidah Syifa' Umaira menuturkannya. Ustazah Bariah menarik nafas lega. Selesai sudah tugasnya . Syifa' Umaira tersenyum riang. Hatinya bernyanyi lagi kali ini lagu joget rentak seratus enam, dia tersenyum sendiri. Ustazah Bariah mengurut perutnya yang memboyot. Dia mengeluh.

“Kalau macam tu, Ustaz Amir Hudzaifa minta alamat rumah keluarga awak. Mereka nak masuk meminang. Jangan lupa bagi tahu keluarga awak ada orang nak masuk meminang awak. Nanti bingung pula mereka.” Ustazah Bariah tersenyum semula. Kerja dan beres, detik hati kecilnya. Perkara yang lain pandai-pandailah mereka urusan sendiri.

Syifa' Umaira tersenyum lagi. Puas rasa hati, tidak lama lagi dia akan menjadi milik Ustaz Amir Hudzaifa yang dipuja-pujanya. Tidak lama lagi dia juga akan berhenti belajar. Ah! Biarlah, ada masa dia akan sambung pelajarannya semula. Kenapalah hati kau tersangkut pada hak orang lain. Apa istimewanya Ustaz Amir Hudzaifa hanya hatinya sahaja yang mengetahui. Ramai juga ustaz yang kacak yang dikenalinya tapi mereka tidak dapat menarik hatinya. Dengan Ustaz Amir Hudzaifa hatinya terpaut pandang pertama.

Beruntung rasanya diri akan bersuamikan seorang ustaz yang layak digelar Ulama’. Seorang ilmuan yang amat disegani, ramai pengikut dan anak murid yang mengikut pengajiannya. Kacak dan bergaya, ada karisma tersendiri. Yang melihat pasti tergoda, yang mendengar pasti tertawan. Hai…lah hati! Cukup-cukuplah. Tidak perlu terlalu memuji, orang sedang suka, semuanya indah belaka. Sabarlah hati kau pasti akan dibelai dengan cinta sejati dari orang yang terlalu engkau cintai. Hidup bersama, dikasih dan disayangi. Kebahagian menjadi milikmu kini, berkata-kata hatinya pada dirinya sendiri. Syifa' Umaira tersenyum puas. Dia merebah diri di atas katil. Tidurlah mata, pejamlah serapat-rapatnya kerana tak lama lagi kau akan melihat kekasihmu hadir di hadapanmu dengan senyuman yang berseri-seri. Buku tulisan Ustaz Amir Hudzaifa dipeluknya sehingga terlena.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.