Home Novel Keluarga AKU TURUT BAHAGIA ~ ASMAH HASHIM
ISTERI MUDAKU SAYANG~ BAB 24


Syifa’ Umaira menghempas diri di atas katil. Sarapan di pagi hari itu dia hanya menyediakan biskut dan roti bakar sahaja. Sejak subuh suaminya keluar, sampai sekarang belum lagi pulang ke rumah. Perutnya sudah mula berbunyi. Syifa’ Umaira menyumpah dalam hati, kalau hendak ke mana-mana bagi tahulah dahulu, ini tidak, detik hati kecilnya. Syifa’ Umaira bingkas bangun dan menjengah ke tingkap. Dia memandang ke arah rumah madunya, bertutup rapat, tidak ada di rumah agaknya? Fikir Syifa’ Umaira sendiri. Uh! Dia mengeluh kasar. Dia ingatkan pagi ini giliran suaminya dengan madunya itu tetapi ada sehari lagi untuk dia bersama suaminya. Baru beberapa jam ditinggalkan dia sudah merasa bosan. Macam mana jika tinggal sehari semalam atau dua puluh empat jam.

Mata Syifa’ Umaira meliar memandang persekitaran ruang tamunya, hiasan yang membosankan. Ditambah tinggal sendiri menambah kebosanannya. Kalau ada televisyen atau komputer riba boleh juga dia melayan internet dan menonton. Syifa’ Umaira mengeluh lagi. Dia mula mengira dengan jarinya. Hish! Sudah seminggu rupanya dia berkahwin dengan suaminya. Pejam celik, pejam celik, sudah seminggu, cepat masa berlalu. Syifa’ Umaira menuju ke dapur, air milo yang dibuatnya sejak pagi tadi sudah pun sejuk. Milo kalau sudah sejuk bukannya sedap melainkan ditambah ais. Syifa’ Umaira menyimpan mug berisi air milo itu ke dalam peti sejuk dan duduk di meja makan. Dia memandang sepi roti bakar yang sudah sejuk dan keras, hilang selera untuk menjamahnya. Syifa’ Umaira mengetap bibir. Bila tidak buat sarapan, suaminya bising-bising. Biskut yang masih berbalut plastik disimpan semula ke dalam bekas. Nasib baik tidak dibuka dari plastiknya jika tidak sudah tentu lemau dan terpaksa dibuang. Syifa’ Umaira mengemas kembali meja makan. Hari semakin mendekati tengahari. Syifa’ Umaira memuncungkan bibir. Pasti dia kena masak untuk makan tengahari. Semalam lauk-pauk dibeli oleh suaminya. Malam tadi makan di tempat suaminya beri kuliah. Hari ini, mahu tidak mahu kenalah dia memasak. Dia menggaru kepala, masakan apa yang hendak dia masakan untuk suaminya. Dia mana tahu lauk kegemaran suaminya. Dia mana tahu apa yang suaminya suka dan tidak. Baru seminggu kahwin tentulah banyak perkara yang belum dia tahu tentang suaminya. Syifa’ Umaira mendengus sendiri.

Jam 11.00 pagi baru Amir Hudzaifa melangkah pulang ke rumah. Sejak subuh dia belum menjamah apa-apa makanan. Harap-harap Syifa’ Umaira ada menyediakan sarapan untuknya. Isterinya Ummi Khadeeja dan anak-anak sudah keluar ke bandar bersama Haji Salleh suami isteri. Amir Hudzaifa melangkah laju. Para pelajarnya sudah pun masuk ke kelas yang berikut pula. Amir Hudzaifa memberi salam dan mengetuk pintu yang berkunci rapat.

Syifa’ Umaira yang sedang membelek bahan-bahan mentah dan sayur-sayuran di dalam peti sejuk mengerutkan sudahi. Sayur-sayuran banyak sebab semalam madunya ada menghantar sebekas sayur-sayuran segar. Mungkin ambil di kebun maahad agaknya, teka Syifa’ Umaira. Udang, sotong, dan ikan darat ada dalam peti sejuk. Tunggu masaknya sahaja. Dia mengeluh. Tidak tahu apa yang harus dia lakukan. Pening kepala dia memikirkannya. Susahnya jadi isteri orang. Kalau dia masih belajar dan tidak berkahwin tentu dia tidak perlu bersusah payah begini. Sendiri gatal dan cari penyakit, rasakanlah sendiri.

“Mai….Mai…!” panggil Amir Hudzaifa. Dahi Syifa’ Umaira berkerut. Dia menutup semula peti sejuk dan melangkah ke ruang tamu. Keadaan pintu dan tingkap tertutup membuatkan dia tidak mendengar orang memberi salam.

Syifa’ Umaira menguak daun pintu. Amir Hudzaifa berdiri mencekak pinggang di muka pintu, matanya tajam memandang Syifa’ Umaira.

“Abang? Maaflah, Mai di dapur tadi itu sebab tak dengar abang beri salam.” Syifa’ Umaira memberi ruang untuk suaminya masuk ke dalam rumah.

“Mai buat sarapan tak? Abang lapar ni, belum jamah apa-apa sejak pagi tadi.” Amir Hudzaifa duduk di sofa sambil membuka serban di kepala dan diletakkan di atas meja kopi di hadapannya. Dia memandang semula ke arah Syifa’ Umaira yang masih lagi berdiri di muka pintu.

“Kenapa tak buka tingkap? Jangan biar tertutup je, udara bersih tak masuk ke dalam rumah,” mata Amir Hudzaifa masih lagi memandang Syifa’ Umaira.

“Tadi sibuk sehingga lupa nak buka,” jawab Syifa’ Umaira. Dia berjalan ke arah tingkap dan membukanya satu persatu.

“Mai buat sarapan apa hari ni?” tanya Amir Hudzaifa lembut. Syifa’ Umaira mengeluh.

“Mana ada sarapan lagi? Sudah pukul berapa ni? Kalau dah tahu nak sarapan, abang baliklah cepat-cepat, ini sudah pukul 11.00 pagi, biskut adalah.” Syifa’ Umaira melabuhkan punggungnya di sebelah Amir Hudzaifa dan tersenyum.

“Selalunya abang akan bersarapan pukul 7.30 pagi, tapi hari ini ada taklimat di pejabat. Tengahari pula abang makan selepas zohor. Makan malam pukul 6.30 petang. Minum malam selalunya dengan para pelajar.” Jelas Amir Hudzaifa waktu makannya. Terlupa hendak memberitahu isteri mudanya itu.

“Baru nak cakap? Tadi memang Mai buat sarapan awal. Sampai tengahari ni baru nampak muka tentulah sarapan tu sudah tak boleh di makan lagi,” Wajah Syifa’ Umaira cemberut. Dia memeluk tubuh.

“Mai tak tanya pun, kan. Macam mana abang nak cakap?”

“Jadi, nak makan juga ke? Mai tak masak apa-apa pun hanya ada roti bakar dan biskut je. Cukup kot.” Syifa’ Umaira menatap wajah suaminya. Terdiam Amir Hudzaifa. Roti dan biskut sahaja? desis hati kecil Amir Hudzaifa. Dia mengeluh.

“Bolehlah, dari perut abang masuk angin,” malas Amir Hudzaifa hendak bising-bising, nanti lain jadinya. Dia akan memberi Syifa’ Umaira masa untuk belajar menguruskan rumah tangga, menguruskan makan minumnya, pakaiannya. Pagi tadi pun jubah yang hendak digunakan masih tidak bergosok, akhirnya terpaksalah dia pakai jubah yang digunakan malam tadi. Nasib baik tidak dimasukkan ke dalam bakul dan dibasuh. Amir Hudzaifa mengeluh lagi.

“Kenapa abang mengeluh, macam tak suka je?” Syifa’ Umaira mengerut dahi.

“Taklah… pergi ambilkan abang air dan biskut pun tak apalah, sudah lapar sangat ni,” Amir Hudzaifa mengusap perutnya yang berbunyi sejak tadi. Syifa’ Umaira mencebik dan bingkas bangun menuju ke dapur. Secawan kopi panas dibancuh, sepiring biskut dihidangkan bersama dibawa ke ruang tamu.

“Biskut je? Roti bakar mana?” tanya Amir Hudzaifa sambil matanya meneliti sarapan yang terhidang. Syifa’ Umaira mencebik, tadikan minta biskut saja tidak sebut pun nak roti, bisik hati kecil Syifa’ Umaira.

“Tadi abang kata biskut je, mana ada sebut roti pun?” Syifa’ Umaira mencekak pinggang. Amir Hudzaifa menggelengkan kepala, inilah padahnya berkahwin dengan anak bongsu yang tidak tahu menguruskan rumah tangga.

“Tak apalah, jangan nak marah-marah pula,” kata Amir Hudzaifa tidak mahu memanjangkan perkara tersebut. Dia membuka plastik yang membalut biskut dan mencicahnya ke dalam kopi panas. Kopi pula nipis sahaja. Minum sahajalah, sedap atau tidak itulah rezekinya hari itu. Syifa’ Umaira memerhatikan sahaja suaminya menjamah biskut dan kopi yang dibuatnya tadi. Dia menarik nafas lega kerana Amir Hudzaifa tidak marah-marah seperti semalam.

“Untuk tengahari, Mai bercadang nak masak apa?” Amir Hudzaifa menghabiskan air kopi yang bersisa di dalam mug. Lima bungkus biskut habis dijamahnya. Sudah terbiasa menjamah makanan yang berat sewaktu sarapan. Bila makan biskut sahaja, tidak sedar pun habis 5 bungkus. Syifa’ Umaira menggaru kepalanya. Dia masih belum memikirkan menu yang hendak dimasaknya, lagi pun dia bukannya pandai sangat. Kalau masak telur goreng dengan ikan sardine dalam tin, bolehlah.

“Abang suka makan sambal, tak kira sambal apa. Suka masak lemak cili api dan kari kepala ikan. Kalau sayur, abang makan semua jenis sayur-sayuran, baik untuk kesihatan. Minuman pula abang suka teh hijau dan kopi tapi kenalah buat pekat serta kurangkan manisnya,” terang Amir Hudzaifa. Dia bercerita tentang makanan dan minuman kegemarannya. Dia berharap Syifa’ Umaira mampu memasaknya dan jika tidak tahu belajarlah dari orang yang mengetahuinya.

“Mai tak makan pedaslah bang… Mai suka makan sup terutama sup ayam,” sempat lagi dia bercerita tentang masakan kegemarannya pula. Syifa’ Umaira menyengih. Amir Hudzaifa mengeluh. Dia tidak suka makan ayam terutama sup ayam. Nampaknya selera dia dan Syifa’ Umaira tidak sama.

“Pergilah masak. Nanti terlewatlah pula, jawabnya tak makanlah abang tengahari nanti,” sindir Amir Hudzaifa. Perlahan-lahan Syifa’ Umaira duduk di sebelah Amir Hudzaifa dan diurut belakang suaminya perlahan.

“Nak masak apa? Mai mana tahu masak?” Syifa’ Umaira menyengih. Amir Hudzaifa memandang wajah isteri mudanya. Dia mendengus kasar.

“Masak jelah! Apa pun, tadikan abang dah bagi tahu lauk kegemaran abang,” kata Amir Hudzaifa tegas.

“Tapi, bang!” Syifa’ Umaira serba salah.

“Apa tapinya?” Amir Hudzaifa mengangkat kening.

“Mai tak pandai siang ikan, selalunya emak yang siangkan. Mai, cuma tukang makan je.” Syifa’ Umaira mengecilkan mata dan tersenyum. Amir Hudzaifa menggelengkan kepala. Dia mengeluh kasar. Syifa’ Umaira tersengih. Amir Hudzaifa menapak ke dapur.

Amir Hudzaifa menyiang ikan-ikan yang berada di dalam peti sejuk. Membasuh dan menyimpannya semula. Hanya dua ekor ikan lampam dikelar, disapu garam dan kunyit untuk digoreng dan dibuat sambal. Syifa’ Umaira hanya duduk di kerusi memerhati.

“Kenapa duduk je? Bantulah abang potong sayur kangkung tu.” Amir Hudzaifa memuncungkan bibirnya ke arah sayur kangkung yang terletak di atas meja makan. Syifa’ Umaira menyengih lagi. Sakit benar hati Amir Hudzaifa melihat tingkah laku isteri mudanya itu. Sepatutnya waktu begini dia tidur sebelum zohor, ini tidak terpaksa pula menyiang ikan dan memasak bagi pihak isterinya yang tidak pandai apa-apa itu. Kalau setakat sambal ikan bukan susah mana pun takkan tidak tahu atau malas nak mencuba. Amir Hudzaifa mengeluh dalam hati.

“Tengok apa yang abang buat ni, nanti abang tak nak ajar lagi tau,” kata Amir Hudzaifa tegas. Dia merebus cili kering. Ditambah tiga biji bawang besar dan diblend sehingga lumat. Ikan yang sudah digoreng garing diletak dalam pinggan. Dia memanaskan minyak dan menumis cili yang diblend tadi. Ditambah garam dan sedikit gula. Dibiar sehingga garing dan masak betul. Setelah siap masak sambalnya dituangkan ke atas ikan tadi. Siap untuk dimakan. Syifa’ Umaira masih lagi menyiang sayur kangkung. Amir Hudzaifa menggelengkan kepala. Lambatnya buat kerja menyiang sayur kangkung pun tidak tahu.

“Mai buat apa ni? Nak buat bunga rampai ke?” Amir Hudzaifa memandang sayur kangkung yang diracik halus oleh Syifa’Umaira.

“Abang tak ajar pun macam mana nak potong?” jawab Syifa’ Umaira.

“Nasi sudah masak ke?” tanya Amir Hudzaifa. Syifa’ Umaira menggeleng perlahan.

“Pergi masak nasi dulu, tak payah makan sayur hari ni, kobis ada, saya makan kobis mentah jelah.” Amir Hudzaifa mengambil kangkung yang telah diracik halus dan dibuang ke dalam tong sampah. Semakin dilihat semakin sakit hatinya. Amir Hudzaifa beristighfar berkali-kali. Dapur lintang pukang, bersepah sana sini.

“Macam mana nak sukat airnya ni?” tanya Syifa’ Umaira. Dahi Amir Hudzaifa berkerut seribu. Kalau dia marah, keadaan akan jadi semakin teruk. Baik bersabar sahajalah selagi boleh. Amir Hudzaifa mendekati Syifa’ Umaira.

“Awak masak berapa sukatan ni?” mata Amir Hudzaifa menjunam ke arah periuk nasi yang berisi beras dan sudah dipenuhi air.

“Tak kira pun main letak je?” jawab Syifa’ Umaira macam orang bingung.

“Ini nak makan sepuluh orang, sayang oi!” jerkah Amir Hudzaifa. Hampir penuh periuk nasi kecil itu berisi beras yang sedang dibasuh oleh Syifa’ Umaira.

“Abang tak cakap pun?” Itulah jawapan selamat Syifa’ Umaira. Amir Hudzaifa menggaru kepalanya. Dia mengeluh kasar. Dia menyalin beras tersebut ke dalam periuk yang lebih besar. Beras sudah dibasuh dan basah tidak boleh disimpan melainkan ditos dan dijemur semula atau simpan ke dalam peti sejuk. Itulah yang selalu dilakukan oleh Ummi Khadeeja

apabila tiba-tiba menerima undangan untuk ke mana-mana majlis tanpa diduga sedangkan ketika itu dia sudah mula hendak menanak nasi. Untung dia suka memerhatikan isteri tuanya itu melakukan kerja rumah, bila waktu terluang walaupun bukan selalu.

“Kena masak beras tu juga ke?” tanya Syifa’ Umaira seperti orang bodoh. Amir Hudzaifa tersenyum sinis.

“Abang dah masak, takkan nak mengemas dapur yang berselerak ni pun, Mai tak boleh buat?” Sindir Amir Hudzaifa. Dia membuka apron plastik yang dipakainya dan berlalu ke dalam bilik untuk membersihkan diri. Sudah hampir waktu zohor sebentar lagi dia hendak ke surau pula. Matanya terasa letih kerana bangun sejak pukul 4.30 pagi dia belum melelapkan mata. Gara-gara isterinya terpaksalah dia bersengkang mata dalam kuliah nanti.

Waktu malam nanti jawabnya nasi goreng menjadi santapannya. Dia pasti Syifa’ Umaira mesti pandai buat nasi goreng kerana itulah menu para pelajar di luar negara atau di dalam negeri sendiri sebab mudah dan menjimatkan. Usai mandi Amir Hudzaifa bersiap untuk ke surau. Bajunya masih tidak bergosok. Amir Hudzaifah sudah tidak larat hendak mengeluh lagi. Dia menghidupkan seterika dan mula menggosok jubah yang hendak di pakai. Kalau dia menyuruh

Syifa’ Umaira pasti banyak omelan isterinya itu nanti. Pasti dia sedang sibuk mengemas dapur yang berselerakan.

“Abang ke surau dulu.” Amir Hudzaifa menjenguk ke dapur setelah selesai memakai jubahnya dan bersiap serba ringkas. Minyak wangi tidak pernah dilupakan kerana ia sebahagian dari sunah Rasulullah SAW. Baginda SAW sangat suka dengan wangi-wangian. Syifa’ Umaira masih lagi bertungkus-lumus mengemas dapur hanya tersengih menampakkan barisan giginya yang tersusun kemas itu

“Abang makan tengahari lepas zohor tau.” Amir Hudzaifa mengingatkan isteri mudanya itu akan jadual makan tengaharinya. Entah dengar, entah tidak. Amir Hudzaifa melangkah ke surau. Dia meraup mukanya dengan kedua belah tangannya. Para pelajar sudah pun memenuhi ruang solat. Mereka duduk tenang, ada yang berzikir dan ada yang mengaji. Masa yang ada tidak baik dibiarkan kosong. Amir Hudzaifa sempat memandang ke arah tempat letak kereta. Masih tidak kelihatan kereta Haji Salleh ini bermakna isteri dan anak-anaknya belum pulang lagi. Biarlah mereka keluar ke bandar sekali-sekala tanpa bersama dengannya. Mereka harus menyesuaikan diri kerana tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga sudah pun bertambah. Keluarga keduanya juga perlu diberi perhatian. Bukan mudah rupanya berpoligami. Amir Hudzaifa mengeluh sendiri.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.