Home Novel Keluarga AKU TURUT BAHAGIA ~ ASMAH HASHIM
SINOPSIS DAN BAB 1

SINOPSIS

Hati isteri mana yang tidak kecewa tiba-tiba suami yang dicintai ingin berkahwin lagi. Demi cinta dan ingin menunaikan kemahuan suami tercinta. Ummi Khadeeja berkorban dengan mengizinkan suaminya berkahwin lagi. Ummi Khadeeja berharap pengorbanannya tidak sia-sia. Amir Hudzaifa seorang guru agama yang mempunyai maahad sendiri. Dia merasakan dirinya perlu berkahwin lagi hanya kerana inginkan seorang isteri untuk menjaga dan membantu menguruskan maahadnya. Atas alasan itulah dia meminta izin isterinya, Ummi Khadeeja untuk berkahwin lagi.

Cinta tidak pernah diminta kehadirannya. Cinta datang sendiri, dari mata turun ke hati. Itulah yang dialami oleh Syifa' Umaira gadis belasan tahun yang masih lagi belajar di Universiti Al-Azhar. Kerana cinta dia turuti syarat yang telah ditetapkan oleh bakal madunya. Kerana cinta dia sanggup menawarkan diri untuk menjadi isteri kedua. Kerana cinta dia sanggup melukakan hati orang tuanya sendiri.

Berlaku konflik antara mereka bertiga apabila Syifa' Umaira mula tidak mahu mematuhi segala syarat yang telah ditetapkan oleh madunya. Dia bertegas untuk melanggar semua syarat tersebut sehingga mereka bertiga dalam dilema. Mampukah kebahagian menjadi milik mereka? Mampukah wujud keharmonian dalam rumah tangga yang dibina? Kekalkah rasa cinta di hati Syifa' Umaira? Redhakah Ummi Khadeeja dengan perkahwinan yang dipersetujuinya pada awalnya? SESALAN TIDAK TERUCAP mempunyai jawapannya.

BAB 1

Usai kelas malam, Amir Hudzaifa memanggil Ummi Khadeeja ke ruang kamar tidur mereka. Dia mendekati suaminya yang sedang membelek sesuatu. Lalu berlabuh di sebelah lelaki yang cukup dihormatinya itu. Wajib seorang isteri taat dan hormatkan suami. Syurga seorang anak di bawah telapak kaki seorang ibu, syurga seorang isteri pula pada keredaan seorang suami. Itulah lelaki yang dicintai di dunia dan semoga di akhirat juga. Tetapi cintanya kepada sesama manusia tetap ada batasnya kerana dia lebih mencintai ALLAH SWT dan RasulNYA.

Suami bukan haknya. Cuma dipinjamkan ALLAH SWT kepadanya. Ummi Khadeeja melemparkan senyuman dan memandang wajah suaminya dengan penuh kasih dan sayang. Amir Hudzaifa menarik tangan isterinya untuk duduk lebih rapat dengannya. Dia menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan-lahan. Wajahnya serius dan berkali-kali Ummi Khadeeja mendengar suaminya itu beristighfar. Jantungnya berdegup kuat, apa pula masalahnya ini. Belum pernah suaminya serius begitu.

"Ija, abang ni serba salah sebenarnya. Sebelum abang cakap, abang nak minta maaf." Amir Hudzaifa menyusun kata-kata. Berkerut dahi Ummi Khadeejah mendengar kata-kata suaminya

"Tak cakap lagi dah minta maaf. Abang buat salah dengan Ija? Rasanya tak ada,” dia memandang wajah suaminya. Tidak berkelip.

“Sebenarnya begini Ija,” suaminya terdiam lagi. Dia rasa berdebar-debar. Sepucuk sampul surat berwarna coklat diserahkan kepadanya. Semakin tidak keruan perasaannya. Amir Hudzaifa mengeluarkan beberapa keping gambar dan diserahkan kepada isterinya. Ummi Khadeeja memandang wajah suaminya dan gambar itu silih berganti. Jantungnya berdegup. Laju. Hatinya meneka yang bukan-bukan. Tetapi, dia cepat pula berdoa supaya bukan perkataan itu yang bakal didengarnya. Dia beristighfar. Dia merasakan darahnya memancut ke muka. Tidak! Tidak mungkin suaminya akan menikah lagi. Hatinya semakin tidak keruan dan dia tidak faham kenapa gambar tersebut diperlihatkan kepadanya.

“Ija... abang tahu, Ija isteri yang baik, jujur dan bertanggungjawab. Abang tidak pernah pertikai apa sahaja layanan Ija pada abang selama ini. Baik zahir mahu pun batin. Alhamdulillah abang amat berpuas hati.” Amir Hudzaifa menarik nafas panjang. Dia melepaskannya perlahan-lahan. Dahi Ummi Khadeeja berkerut. Lain macam saja bunyi kata-kata suaminya.

“Sebenarnya gambar-gambar itu calon bakal isteri abang yang dicarikan oleh kawan-kawan abang. Semua mereka itu adalah pelajar-pelajar Malaysia di Mesir,” sambung Amir Hudzaifa lagi. Ummi Khadeeja terkejut mendengarnya. Calon isteri? Benarkah apa yang didengarnya. Dia memandang wajah suaminya tidak berkelip. Dia tercari-cari sebabnya. Tapi kenapa? Kenapa suaminya ingin berkahwin lagi? Dirinya tiada jawapan. Ah! jawapan itu ada pada suaminya. Dia memandang wajah suaminya lagi. Wajahnya penuh duka itu merayu kepastian.

“Abang bernikah lagi bukan sebab nafsu Ija. Bukan juga kerana Ija sudah tua. Jangan sesekali Ija berfikir begitu. Tujuan abang bernikah lagi adalah untuk mencari calon isteri yang mampu menjaga maahad kita ini. Abang mahu maahad kita ini dijaga dengan baik, abang kasihan dengan Ija, terpaksa menjaga dan menguruskan maahad ketika ketiadaan abang di sini. Ada masanya Ija terpaksa menemani abang berdakwah di luar daerah. Abang pula akan sentiasa berada di luar dan tiada siapa yang akan menjaga maahad. Mungkin Ija berfikir kita ada pekerja yang boleh membantu tetapi tidak sama. Abang nak ahli keluarga atau salah seorang dari kita sendiri yang menjaga dan menguruskan maahad ini. Orang lain yang menjaga tidak akan sama seperti mana kita menjaganya sendiri Ija. Demi ALLAH, abang tiada niat untuk mengecewa dan menyakiti hati Ija, itu sebabnya abang meminta izin terlebih dahulu darimu sayang,” lembut suara Amir Hudzaifa menuturkannya. Matanya menjunam tepat ke wajah Ummi Khadeeja.

Ummi Khadeeja masih tidak terkata apa-apa, hanya matanya berbicara. Mulutnya terkumat-kamit bagaikan ingin berkata-kata tapi tiada suara yang kedengaran. Siapalah yang tidak terkejut. Angin tiada, ribut pun tidak, tiba-tiba pokok bergoyang. Tergamam dia mendengar kata-kata suaminya itu. Selama enam belas tahun mereka hidup bersama melayari bahtera. Meredah onak dan duri. Susah dan senang bersama. Suka dan duka silih berganti. Hari ini suaminya berterus-terang ingin bernikah lagi. Haruskah dia tersenyum? Ketawa, gembira atau menangis? Atau meratap sehingga mengeluarkan air mata darah? Bohong jika dia

katakan tiada perasaan gundah di hati. Tipu kalau dia katakan tiada gusar di jiwa. Perempuan mana yang sanggup hidup berkongsi kasih dengan perempuan lain. Tidak pernah suaminya bercakap atau bergurau untuk bernikah lagi. Apa yang mampu dia katakan lagi. Keputusan sudah dibuat walaupun kononnya hendak meminta izin terlebih dahulu.

“Abang harap Ija dapat memilih sendiri calon yang sesuai. Cari yang serasi dengan Ija. Boleh dijadikan teman, kawan dan sahabat Ija. Juga isteri untuk abang. Abang takkan paksa Ija. Abang mahu Ija ikhlas membenarkan abang bernikah lagi. Abang ingin pernikahan abang ini mendapat restu dari Ija.” Amir Hudzaifa memegang lembut tangan Ummi Khadeeja. Dia mengusapnya perlahan-lahan. Ada getar di tangan itu. Sejuk dan dingin. Amir Hudzaifa memandang wajah Ummi Khadeeja yang semakin pucat. Kalau dihiris dengan pisau pasti tidak berdarah. Dia memeluk isterinya erat dengan penuh kasih dan sayang.

Tiada suara yang keluar dari mulut Ummi Khadeeja hanya tubuhnya menggigil. Terdengar sedu-sedan dan lelehan air mata membasahi bahu suaminya. Amir Hudzaifa menguatkan pelukkannya dan mengusap belakang isterinya perlahan-lahan seperti memujuk. Sayu hatinya mendengar tangisan isterinya yang telah banyak berkorban untuknya. Malam itu tiada keputusan yang keluar dari mulut Ummi Khadeeja.

Amir Hudzaifa hanya mampu mengeluh. Sudah seminggu isterinya itu membisu seribu bahasa. Tidak bercakap. Senyuman yang diberi juga begitu hambar. Namun urusan rumahtangga tidak pernah diabaikan. Segalanya sempurna seperti biasa. Makan minum tetap terhidang dengan kemas dan teratur. Pakaian tetap bersih dan tersusun. Cuma Ummi Khadeeja tidak mahu bercakap dengannya, sepatah ditanya, sepatah juga jawapan yang diterima.

Serba salah jadinya. Apakah Ummi Khadeeja tidak bersetuju dengan cadangannya itu? Hati Amir Hudzaifa diulit resah. Tidak sampai hati pula hendak menyakiti hati isterinya itu. Jika isterinya tidak bersetuju untuk dia bernikah lagi, dia bersedia menarik balik cadangannya itu. Biarlah dia berusaha cara lain untuk menjaga maahad dan di waktu yang sama dia mampu keluar berdakwah di luar daerah. Hanya pada ALLAH SWT dia memohon petunjuk dan semoga ALLAH SWT akan memberikan jalan keluar yang terbaik untuknya dan kegiatan dakwahnya.

Dato’ Ibrahim dan Haji Salleh sudah berkali-kali bertanyakan tentang hal tersebut kepadanya. Dia hanya meminta kedua sahabatnya itu bersabar dan memberinya masa untuk menyelesaikan masalahnya dengan isterinya. Keluarga Ummi Khadeeja dan keluarganya juga harus diberitahu. Dia tidak mahu membelakangi mereka dalam membuat keputusan yang akan mengubah seluruh kehidupannya itu.

Masa terus berlalu. Ummi Khadeeja tetap dingin, sedingin salju. Sepatah ditanya sepatah yang dijawab. Tiada gurau senda, usik mengusik. Hanya wajah muram yang terpancar. Asyik termenung sepanjang masa. Jauh sekali renungan Ummi Khadeeja, bagai memikirkan sesuatu. Amir Hudzaifa memerhatikan sahaja tingkahlaku isterinya dari kejauhan. Ambillah sebanyak mana masa yang isterinya inginkan. Amir Hudzaifa tahu, dia tidak boleh terus mendesak dan memaksa. Ada kala sakit kepalanya memikirkan keadaan isterinya itu. Amir Hudzaifa tidak henti-henti berdoa semoga Ummi Khadeeja akan kembali seperti dahulu, mesra, manja dan penyayang. Biarlah isterinya mengambil masa berfikir sehingga dia mampu memberi jawapan yang diinginkan. Amir Hudzaifa tahu bukan mudah seorang perempuan untuk mengizinkan suami mereka dikongsi dengan perempuan lain. Begitu jugalah isterinya.

Setiap malam dia melihat isterinya itu bertahajud dan membaca Al-Quran. Suara gemersik isterinya dan diikuti sedu-sedan membuatkan hatinya pilu. Apakah Ummi Khadeeja sedang berperang dengan perasaannya sendiri. Dia beristighfar memohong agar ALLAH SWT memberi pertolongan untuk dia menyelesaikan segala masalahnya itu. Semoga ada jalan keluar yang terbaik untuk dirinya dan juga Ummi Khadeeja. Itulah harapannya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.