Haji Salleh
berjalan mendekati Amir Hudzaifa yang sedang leka memerhatikan air sungai yang
mengalir deras. Malam tadi hujan turun
dengan lebat. Haji Salleh turut
memerhatikan air sungai yang mengalir.
“Terasa tenangkan
bila melihat air sungai ni mengalir.
Hilang segala masalah yang sedang
mula bersarang di dada.” Amir
Hudzaifa menoleh memandang wajah sahabatnya itu. Mereka tersenyum. Dia beralih duduk di bawah pohon rambutan
yang rendang.
“Semalam tidur di
mana?” Haji Salleh masih memandang air sungai yang mengalir. Tidak sanggup dia
memandang wajah kusut Amir Hudzaifa.
“Di pejabat,” jawab Amir Hudzaifa tidak berselindung. Haji Salleh menoleh dan tersenyum. Dia mendekati dan duduk di sebelah sahabatnya
itu.
“Lama tak nampak haji? Ke mana menghilang dua tiga hari ni?”
“Ada… saja tak nak
menganggu ustaz.”
“Macam perli
je?” Amir Hudzaifa ketawa kecil. Haji Salleh menyengih.
“Setiap masalah
ada jalan keluar ustaz… jangan risau sangat,”
nasihat Haji Salleh.
“Entahlah Ji…
semua tunggang-terbalik… lain yang kita harapkan, lain pula jadinya,” runggut Amir Hudzaifa. Jangan kata seorang berpendidikan agama
tidak akan menghadapi masalah, lagi beriman seseorang itu semakin tinggi dugaan
menanti.
“Sabarlah
ustaz. Masing-masing sedang menyesuaikan
diri. Bukan mudah seorang perempuan
mahu berkongsi kasih dengan perempuan lain.
Orang perempuan ni kuat cemburunya.
Apatah lagi dengan sesama jantina. Jangankan
isteri-isteri ustaz, Ton sendiri
cemburukan saya kalau bersembang dengan perempuan lain.” Haji Salleh menyengih. Amir Hudzaifa ketawa.
“Susah betul nak
faham hati perempuan ni, kan? Emosi sentiasa berubah-rubah. Tidak pernah tetap pendirian,” rungut Amir
Hudzaifa.
“Perubahan hormon
ustaz,” terus mereka ketawa bagaikan
lucu dengan kata-kata Haji Salleh tadi. Seorang perempuan akan didatangi haid
atau keluarnya darah dari faraj mereka setiap bulan. Mengikut kitaran haid akan
berlaku dua puluh lapan ke tiga puluh dua hari mengikut individu ada yang datang selepas
dua puluh satu hari dari tarikh haid sebelumnya. Iya adalah darah kotor yang membentuk dalam
rahim perempuan yang tidak hamil. Sehari
dua sebelum berlakukan kedatangan haid hormon seorang perempuan itu akan
berubah. Dia akan murung, sakit kepala,
pening dan ada kalanya sakit di ari-ari.
Amir Hudzaifa tersenyum. Sungguh
indah ciptaan ALLAH SWT. Jika perasaan
terganggu maka putaran haid seorang perempuan itu akan bertukar, ada kalanya
lambat dan ada kalanya tidak datang langsung.
“Jauh mengelamun
tu, ustaz?” Haji Salleh menepuk
bahu Amir Hudzaifa. Hilang segala apa yang sedang difikirkan
sebentar tadi.
“Maafkan
saya.” Amir Hudzaifa menjunamkan
pandangannya ke wajah Haji Salleh.
“Banyakkan
bersabar ustaz. Berilah peluang pada
Syifa’ Umaira. Mungkin dia tengah
terkejut. Perubahan budaya kehidupan dari sendiri jadi berdua. Bila sudah berdua nak tambah tiga. Siapa pun akan marah tapi kita yang berumur
ni kenalah bersabar,” nasihat Haji Salleh.
“Pening kepala
saya ni, Ji. Sudahlah tak tahu
memasak. Nak uruskan rumah tangga pun
terkial-kial. Saya macam sudah salah
pilih pula.” Amir Hudzaifa ketawa
kecil. Haji Salleh mengangkat bahu. Isteri muda sahabatnya masih muda lagi. Baru
mengenal erti kehidupan berumah tangga.
Mungkin sebelum ini tidak pernah menguruskan rumah. Semua kerja rumah diuruskan oleh ibu atau
kakak sudah tu tidak mahu membantu, inilah jadinya. Haji Salleh mengeluh.
“Habis tu macam
mana? Suruh je dia belajar dengan Ija,
habis cerita,” cadang Haji Salleh. Amir Hudzaifa ketawa.
“Itulah masalah
yang paling berat. Apa pun saya akan cuba, Ji.
Manalah tahu dengan cara ni mereka boleh berbaik-baikkan?” Amir Hudzaifa tersenyum. Dia bersetuju dengan cadangan Haji Salleh
walaupun dia pernah bertanya pada Ummi Khadeeja
mengajar dan menyuruh Syifa’ Umaira
belajar memasak.
“Ji, bila nak
balik?”
“Esok bersama dengan
budak-budak tu, tak payah ustaz pergi hantar.
Biar saya bawa mereka balik ke asrama.”
“Terima kasih, Ji.”
“Ala… biasalah
ustaz. Anak-anak ustaz dah macam anak-anak saya juga.”
“Iyalah.”
“Ustaz uruskanlah
isteri-isteri ustaz. Masalah dengan
mereka kalau tidak diselesaikan segera nanti bila sudah berpanjangan diri ustaz
juga yang susah.”
“Mmm… .”
“Sabarlah ustaz,”
nasihat Haji Salleh. Amir Hudzaifa
mengangguk.
“Sedang
bersabarlah ni.” Amir Hudzaifa menoleh
ke arah Haji Salleh. Mereka sama-sama
ketawa. Air sungai yang mengalir deras diperhati dengan penuh
minat. Mata mengikut aliran sungai,
deras. Dalam kederasannya pasti ada
ketenangan dan keindahan tersendiri.
Amir Hudzaifa mengeluh. Begitu
juga Haji Salleh akhirnya mereka ketawa bersama. Entah apa yang lucu tidak dapat dipasti tapi
apa yang pasti hanya mereka sahaja yang
memahami.
Syifa’ Umaira
mengetap bibir. Semalaman suaminya tidak
balik selepas sahaja mereka bertengkar pagi itu suaminya terus menghilangkan
diri. Telefon bimbit tidak
diangkat. Tidak mungkin suaminya tidur
di rumah madunya. Ah! Semakin difikir
semakin sakit hatinya. Syifa’ Umaira
semakin marah apabila dia tiba-tiba di
panggil datang ke rumah madunya. Apa
pula halnya dia sendiri tidak tahu. Hanya itu sahaja pesanan yang
diterima. Pagi-pagi tadi dia ada nampak
Ummi Khadeeja bersama anak-anaknya dengan membawa beg besar. Mungkin anak-anak madunya telah pulang ke
asrama. Lega sikit hatinya tidaklah ada
alasan lagi suaminya nak menjengah ke rumah madunya. Alasan sahaja hendak jumpa anak tapi
sebenarnya rindu dengan isteri tua. Uh!
Syifa Umaira mendengus kasar.
Bila hidup
berkongsi perkara pertama adalah perasaan iri hati dan cemburu tidak boleh
buang dari hati. Syifa’ Umaira sendiri
tidak tahan membayangkan kemesraan madu dan suaminya itu. Walaupun tidak nampak di mata tetapi dia
yakin suaminya akan melayan madunya sama seperti mana dia dilayan. Ah! Sakitnya hati tak terucap dengan
kata-kata. Pedih, perit, terasa tebal
semacam sahaja perasan yang sedang bersarang di hatinya.
Syifa’ Umaira
menutup pintu rumah. Sebal sahaja
hatinya hendak ke rumah Ummi Khadeeja. Entah kenapa hatinya tidak boleh bersama
madunya itu. Berbeza waktu sebelum dia berumahtangga dengan suaminya
itu. Hatinya riang untuk berkongsi apa sahaja dengan madunya. Tetapi kini
kenapa perasaan itu tidak ada. Kenapa
benci yang bersarang di hati. Langkah
diatur perlahan sekali kalau boleh tidak perlu sampai ke rumah itu.
“Kenapa
lambat?” Amir Hudzaifa menjengahkan
kepala di pintu. Syifa’ Umaira
mencebik. Dia berjalan menghentak-hentak
kaki. Terasa semacam sahaja di hati.
Berat, geram, benci, entah sukar untuk dia menafsir perasaanya sendiri. Amir Hudzaifa memandang tajam wajah cemberut
isteri mudanya itu. Tiada langsung keceriaan di wajah itu.
“Nak buat apa
ni?” Tanya Syifa’ Umaira sebelum
sempat dia melabuhkan punggungnya di
sofa. Ummi Khadeeja keluar membawa seteko air dan tiga biji cawan. Dia meletakkan di atas meja sofa. Dia duduk mengadap Syifa’ Umaira yang mencuka
sahaja wajahnya. Amir Hudzaifa mengambil
tempat mengadap mereka berdua. Dia
memandang wajah kedua-dua orang isterinya.
Dia mengeluh.
“Abang panggil
kalian berdua kerana banyak perkara kita perlu perjelas dan perincinkan. Abang tidak mahu masalah yang sedang berlaku
terus berlanjutan. Pening kepala abang
ni, tau tak?” Luah Amir Hudzaifa. Ummi Khadeeja menunduk. Syifa’ Umaira menjeling.
“Saya tak ada
masalah bang. Apa yang sedang berlaku
bermula dari isteri muda abang nilah.
Senang-senang tuduh anak saya nak bunuh dia. Pada hal dia yang jatuh sendiri. Ada orang nampak!” Ummi Khadeeja menjunamkan pandangannya ke
wajah Syifa’ Umaira yang masam lebih dari cuka epal itu.
“Memang anak akak
nak bunuh saya! Takkan saya nak tipu!” Syifa’ Umaira masih mempertahankan
kata-katanya. Dia tidak mahu kalah di hadapan
suaminya sendiri. Dia tidak mahu
suaminya mengesyaki dia berkata bohong. Tidak, tidak sama sekali!
“Sudah! Abang
panggil ke mari bukan suruh bertekak!
Abang panggil kerana kita hendak menyelesaikan masalah,” lengking suara Amir
Hudzaifa. Ummi Khadeeja menunduk
semula. Syifa’ Umaira memandang ke arah lain.
“Tak sampai
sebulan kita hidup bertiga kalian sudah buat perangai. Malu abang nanti kalau di ketahui oleh
masyarakat tentang perangai kalian berdua.
Tidak langsung menunjukkan sikap isteri seorang ustaz. Macam orang tak ada agama! Tak ada ilmu. Berbohong, iri hati, cemburu! Apa semua ni?”
marah Amir Hudzaifa.
“Mai dah tak
sanggup! Mai nak balik rumah orang tua
Mai. Mai tak sanggup berkongsi abang
dengan orang lain!” Syifa’ Umaira
mendengus kasar. Itulah perasaannya
kini. Dia ingin lepas bebas dari
perasaan sakit hati. Dia sudah tidak sanggup lagi hidup
berpoligami walaupun tidak sampai
sebulan. Terlopong mulut Ummi Khadeeja mendengarnya. Amir Hudzaifa
beristighfar. Dia tidak terkejut kerana sudah
berkali-kali Syifa’ Umaira memberitahunya.
“Apa awak cakap ni,
Mai? Awak sedar tak apa yang awak
cakapkan tu?” Ummi Khadeeja
menggelengkan kepala. Mudahnya berkata-kata.
Bercakap bagaikan orang tiada agama, tiada pegangan.
“Mai sedar! Sebab Mai
sedarlah, Mai cakap macam ni? Mai tak
sanggup dah, penat hati dan perasaan Mai… di tinggal suami, selang
semalam. Hidup sendiri sehari semalam.
Orang lain suami ada dua puluh empat jam, tapi Mai hanya sehari semalam lepas
tu giliran akak pula? Mai tak sanggup!”
“Bawa mengucap
Mai…!” Tinggi suara Amir Hudzaifa. Ummi Khadeeja pula tidak henti-henti beristighfar. Dia terkejut sebenarnya. Tidak sangka sama sekali madunya tidak lagi
ingin hidup berpoligami.
“Tolonglah bang…
lepaskan Mai!” Rayu Syifa’ Umaira. Amir Hudzaifa mengeluh. Dia sendiri bingung dengan sikap Syifa’
Umaira. Isterinya fikir senang untuk
dia berkahwin lagi dan mudah jugakah untuk dia melepaskan isteri yang baru
sahaja dikahwini. Apa kata orang? Apa
kata mentuanya?
“Bertenang
Mai.” Ummi Khadeeja bersuara.
“Tenang? Akak bolehlah tenang. Mai tak boleh!” Jerit Syifa’ Umaira. Penampar melekat di pipi. Terkejut.
Terdiam . Tiada kata yang keluar dari mulut masing-masing. Syifa’ Umaira memegang pipinya yang terasa
perit. Dia mengusapnya perlahan. Ummi Khadeeja memandang ke arah Amir Hudzaifa.
Sejak akhir-akhir ini mudah sahaja suaminya itu meletakkan tangan di muka.
“Abang!” lemah suara Ummi Khadeeja. Amir Hudzaifa meraup mukanya. Dia tidak tahan lagi. Sesuatu harus dibuat. Walaupun bukan itu caranya. Tetapi kesabarannya ada hadnya.
“Abang
minta maaf… sejak akhir-akhir ini sikap abang keterlaluan tapi abang tiada
pilihan. Cuba bertenang, Mai. Perkara boleh selesai tapi bukan dengan
bercerai.” Amir Hudzaifa diam sejenak.
Dia memandang wajah kedua-dua orang isterinya.
ALLAH SWT
berfirman, "Jadilah engkau pema'af dan suruhlah orang mengerjakan yang
ma'ruf" (Al-A'raf: 199)
Ayat di
atas diturunkan berkenaan dengan akhlak manusia, yang juga harus diterapkan
dalam kehidupan rumah tangga. Jika seorang suami mendapati isterinya yang cepat
marah, hendaknya dia menasihatinya dengan lemah lembut dan menghindari hal-hal
yang boleh membuat sang isteri marah.(sumber
Alislamu.com Pusat kajian Islam)
sabda Nabi s.aw,
"Tidak boleh seorang hakim memberi keputusan terhadap dua
orang (yang dibicarakan) sedang dia dalam keadaan marah ( terhadap salah
seorang atau sebab lain)". (HR. Bukhari).
Begitu
juga dengan dirinya. Dia harus bersikap adil, tenang dan sabar demi keharmonian
rumahtangganya. Dia adalah hakim dalam
sebuah rumah tangga apatah lagi rumah tangga poligami.
“Cuba faham
keadaan abang. Cuba kalian hidup dengan
tenang. Jika kalian tenang, fikiran abang
pun tenang, faham!”
“Maafkan Ija
bang.” Ummi Khadeeja mengeluh
kesal. Kenapa keadaan tiba-tiba menjadi
rumit sedangkan Syifa’ Umaira yang beriya-iya ingin menjadi isteri kedua. Bukan dia tidak bertanya dahulu. Bukan
tidak ada perbincangan antara mereka.
Surat perjanjian masih ada lagi. Sudah
lupakan Syifa’ Umaira akan janjinya dahulu.
“Minggu depan
abang akan ke luar daerah seminggu. Apa
yang terjadi hari ini, abang tidak mahu lagi terjadi. Giliran ikut abang, jatuh pada Ija… Mai akan
jaga maahad. Tiada alasan. Ini keputusan
abang,” tegas Amir Hudzaifa
menuturkannya. Syifa’ Umaira mendengus
kasar. Tangan kanannya masih di
pipi. Bertambah kebenciannya pada
madunya itu. Kenapa pula madunya yang
ikut. Kenapa tidak dia.
“Tapi?” Syifa Umaira cuba bersuara. Amir Hudzaifa mengangkat tangan.
“Ini keputusan
abang sendiri. Muktamad. Mai akan pantau sahaja pengurusan di
sini. Pastikan semuanya berjalan lancar. Abang tak nak dengar perkara yang pelik-pelik
berlaku. Jangan ganggu para pelajar. Mereka bayar untuk belajar di sini. Bukan jadi babu kita. Faham!” Amir Hudzaifa memandang sekilas wajah
isteri-isterinya seorang demi seorang.
Harap mereka faham apa yang dia katakan tadi terutama Syifa’ Umaira yang
masih baru dalam soal pengurusan dan mungkin tidak biasa.
“Mulai hari
ini, giliran tetap seperti biasa. Malam ini abang di rumah kak Ija. Esok di rumah Mai… begitulah seterusnya. Mulai esok Mai akan belajar memasak dari kak
Ija. Asas masakan. Abang nak Ija ajar
Mai. Cuba berbaik. Kita satu keluarga. Malu kalau orang lain tahu,” arah Amir
Hudzaifa.
“Abang tahu, Mai tipu abang tentang anak abang menolak
Mai tempoh hari. Walaupun kecewa, marah
dan sakit hati tapi abang terpaksa diamkan seketika sebab tidak mahu mengeruhkan
keadaan. Abang tidak pernah pukul
anak-anak abang. Akibat fitnah Mai,
abang ambil tindakan tidak adil pada anak abang. Mai… abang harap jangan diulang hal ini
lagi. Bercakaplah dengan jujur itu
tandanya kita orang beriman. Orang yang
menfitnah orang lain hukumnya bunuh.
Apatah lagi menuduh orang itu ingin membunuh kita. Berat hukumannya Mai. Orang itu pula anak abang, darah daging
abang. Anak tiri Mai. Apa salah anak abang pada Mai? “ Amir Hudzaifa melepaskan keluhan.
“Beri peluang pada
diri masing-masing untuk saling mengenal, bukan bermusuhan,” nasihat Amir
Hudzaifa lagi. Syifa’ Umaira diam. Ummi Khadeeja menunduk.
“Abang inginkan
rumah tangga yang aman, damai dan tenang.
Penuh limpahan kasih sayang antara kita.
Bukan bermusuhan.” Amir Hudzaifa
memejamkan matanya seketika. Apakah
semua yang terjadi adalah kerana dosa-dosanya kepada ALLAH SWT. Mungkin ada ibadatnya yang kurang. Amalannya yang salah. Kenapa dia mendapat isteri seperti Syifa’
Umaira sedangkan dia seorang yang berilmu, beriman dan bertakwa. Amir Hudzaifa beristighfar. Bercakap bagaikan orang tiada agama pula Dia teringat akan maksud ayat al-Quran
tentang musibah yang menimpa manusia.
Segala kejadian di alam ini
setiap saat dan setiap waktu semuanya diketahui ALLAH SWT. Sekali bernafas sudah diketahui ALLAH SWT. Tidak boleh lari walaupun sedetik cuma.
“Dan apa saja musibah yang menimpa kamu maka adalah disebabkan oleh
perbuatan tanganmu sendiri, dan ALLAH memaafkan sebagian besar (dari
kesalahan-kesalahanmu)." (As-Syuraa: 30)
“Abang
harap kalian faham. Tolonglah ikut
nasihat abang. Mai, tak usah diulangi
lagi perbuatan Mai yang tidak baik itu.
Abang faham, Mai juga manusia biasa.
Tidak lari dari membuat kesalahan.
Mungkin ini kelemahan Mai. Abang
terima dan kita cuba perbaiki perlahan-lahan, maksud ayat Al-Quran "dan
pisahkanlah mereka di tempat tidur mereka" (An-Nisa': 34). Abang sudah
lakukan perkara itu pada Mai. Supaya Mai
sedar akan kesalahan. Bukan
menambahnya.” Dia terpaksa tidur di
pejabat kerana ingin mengajar isteri mudanya itu agar tidak bersikap kurang
ajar dan tidak menghormatinya sebagai suami.
Nasihat sudah tetapi tidak didengari dan cara kedua diambil agar Syifa’
Umaira sedar. Namun Mai tetap tidak sedar maka "dan pukullah
mereka." (Al-Anfal: 34), tindakan ini terpaksa abang ambil. Ini adalah nasihat ALLAH SWT pada hambanya jika
ada isteri yang nusyuz. Jangan sampai
menjadi isteri yang nusyuz kerana tidak akan cium bau syurga. Dan Jika "Kemudian jika mereka
mentaatimu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkannya .
Sesungguhnya ALLAH Maha Tinggi lagi Maha Besar." (An-Nisa':
34). Abang akan berlaku adil pada kalian. Berpeganglah pada janji yang telah Mai buat…
“Dan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka berjanji.
Mereka itulah orang-orang yang benar-benar beriman dan mengerjakan kebajikan
dan mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa”.jelas Amir
Hudzaifa. Syifa’ Umaira terdiam tidak
terkata apa-apa. Jelas dan terang. (Surah
Al-Baqarah: 177)
“Ija, hayati
firman ALLAH SWT yang bermaksud "Orang-orang beriman itu
sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara
kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap ALLAH, supaya kamu mendapat
rahmat." (Al-Hujurat: 10).
Abang harap Ija faham.” Amir
Hudzaifa merenung tepat ke wajah Ummi Khadeeja yang menunduk. Dia tahu isteri pertamanya tidak akan
membantah segala arahan darinya. Cuma
keadaan yang terjadi adalah di luar perancangan mereka.
“Berilah
abang kesempatan untuk berlaku adil pada kalian. Berlaku adil dalam erti kata sebenar. Seperti perjanjian kita dahulu. Giliran selang semalam melainkan jika
bermusafir abang akan bawa salah seorang dari kalian dan mungkin ada ketika bawa kedua-duanya sekali. Berilah kerjasama pada abang ya, Ija…
Mai. Abang tetap sayangkan Ija. Dan akan belajar menyayangi Mai. Kita sama-sama berusaha mengenal hati budi
masing-masing. Kalau abang berada di
rumah kak Ija. Mai tidak boleh ganggu abang melainkan ada sebarang kecemasan
seperti sakit atau perkara yang tidak disangka.
Begitu juga sebaliknya. Semuanya
tidak susah jika kita saling bekerja sama,”
nasihat Amir Hudzaifa kepada kedua orang isterinya. Mereka saling menunduk.
Ummi
Khadeeja tidak terkata apa-apa.
Kesilapan yang tidak disengajakan.
Hanya kerana menurut kata hawa nafsu.
Godaan syaitan yang ingin menghancurkan kebahagian hamba-hamba ALLAH SWT dan umat Muhamad s.a.w. Dalam tidak sedar dia telah membuat suaminya
sakit hati. Dalam tidak sedar dia hampir
menjadi isteri yang nusyuz. Ummi
Khadeeja menyesal kerana mengikut perasaan amarahnya.
Syifa’
Umaira mengeluh. Dia faham maksud
suaminya. Dia tahu, dia nusyuz. Tetapi perasaan hatinya sebagai seorang
perempuan perlu juga diambil kira.
Bagaimana jika dia tidak mampu membuang perasaan cemburunya terhadap
Ummi Khadeeja. Apakah dia harus terus
bertahan. Mampukah dirinya melakukan perkara itu. Sebak dada Syifa’ Umaira
memikirkan masalah dirinya sendiri. Dia
tidak sekuat Ummi Khadeeja. Dia
lemah. Kekuatan dirinya tidak seutuh madunya
itu.
Amir
Hudzaifa menarik nafas lega. Dia sudah
buat apa yang sepatutnya sebagai seorang suami. Dia sudah cuba apa yang terbaik
buat keluarganya. Semoga mereka mahu
mendengar nasihatnya. Semoga hati mereka terbuka untuk menerima satu sama
lain. Kekuatan dan kebahagian sebuah
rumah tangga bukan terletak hanya pada dirinya seorang malah isteri-isterinya
harus sama memainkan peranan masing-masing.
Burung tidak boleh terbang dengan hanya menggunakan satu sayap
sahaja. Dia tidak akan membiarkan rumah
tangga yang di bina ini hancur begitu sahaja.
Dia akan cuba mempertahankannya selagi daya. Selagi mampu.
Semoga ALLAH SWT memberinya kekuatan itu. Amir Hudzaifa menarik nafas lega.
Hubungannya
dengan anak-anak juga sudah kembali pulih
Dia berharap mereka dapat menerima kehadiran ibu tiri mereka. Menyayangi sama seperti mereka menyayangi
mama mereka. Biarlah keluarganya bersatu
atas dasar kasih sayang, percaya mempercayai, rasa tanggungjawab antara satu
sama lain. Saling menjaga satu sama
lain.