Home Novel Keluarga AKU TURUT BAHAGIA ~ ASMAH HASHIM
BERUBAH HATI~ BAB 17

SYIFA UMAIRA memandang sepi jubah berwarna putih yang dihiasi manik dan labuci. Hadiah dari bakal suaminya kepadanya sewaktu bertunang dahulu. Hatinya terasa berat untuk meneruskan pernikahannya itu. Emak dan ayahnya masih di luar, sedang bersiap agaknya. Sengaja dia melengah-lengahkan waktu pernikahannya dari selepas maghrib dia meminta di adakan lepas isyak pula. Biarlah mereka menunggu sudah bosan nanti pasti mereka balik. Jadi tidak perlulah dia bernikah. Mudahkan. Syifa’ Umaira mengeluh .

“Mai…! Mai!” Panggil Haji Mansor sambil mengetuk daun pintu dengan kuat. Syifa Umaira yang masih mengelamun terkejut. Dia mengurut dada.

“Hish! Budak ni… kenapa tak keluar-keluar lagi ni? Saya dah takut nak jawab panggilan telefon Haji Salleh, tak pasal-pasal kena jerkah nanti,” rungut Haji Mansor pada isterinya, Hajjah Halimah yang masih bertelekung.

“Awak tak siap lagi?” Haji Mansor membuntang matanya memandang Hajjah Halimah yang masih termenung.

“Saya tak nak pergi! Saya malu, malu bang!!” Jerit Hajjah Halimah. Haji Mansor mencekak pinggang.

“Awak jangan nak cari pasal Limah! Cepat bersiap! Tak pergi lagi malu, awak tahu tak!!” Jerkah Haji Mansor. Haji Mansor mengetuk pintu bilik Syifa’ Umaira dengan kuat.

“Syifa’ Umaira! Cepat keluar, kalau tak ayah pecahkan pintu ni!” Ugut Haji Mansor. Syifa’ Umaira mengeluh kasar. Dia melangkah mendekati pintu, daun pintu dibuka perlahan. Haji Mansor memandang wajah anaknya yang murung.

“Yang tak bersiap lagi ni, kenapa?” Marah Haji Mansor. Kepalanya mula berdenyut melihat perangai anak dan isterinya.

“Mai tak nak pergi!” Syifa’ Umaira mula menangis. Haji Mansor tersandar di dinding bilik. Menyinga dia memandang wajah Syifa’ Umaira. Semakin lama semakin kecil sahaja di matanya. Kalau tidak ingat ALLAH pasti mati anak bongsunya itu dikerjakannya.

“Kau ingat semua ni main-main, boleh ubah ikut suka kau? Hah! Nak kahwin tergedik-gedik. Orang nasihat kau tak nak dengar… kami cakap kau buat tak tahu, buat bodoh. Hari ni kau cakap tak nak pergi? Mana maruah diri kau Syifa’ Umaira. Pernah ke kau fikir maruah kami sebagai orang tua kau? Pernah kau fikir nama baik ayah dan mak?” Jerit Haji Mansor ke telinga Syifa’ Umaira. Terkedu Syifa’ Umaira.

“Tapi ayah?”

“Tak ada tapi-tapi! Segalanya sudah diatur. Kau sendiri yang gatal nak bernikah sampai tak tahu membezakan bujang dan suami orang. Kononnya cintalah, sayanglah… bila dah sampai hari bernikah, tak nak pula. Baik kau bersiap sekarang! Ayah tak nak berkompromi lagi, suka atau tidak, malam ni kau harus bernikah juga! Sudah cukup kau membuat perkara bodoh. Ayah tak nak sama bodoh dengan kau!” Tinggi suara Haji Mansor. Terkulat-kulat Syifa’ Umaira memandang ayahnya yang sedang marah itu.

“Pergi siap sekarang!”jerit Haji Mansor apabila melihat Syifa’ Umaira masih tercegat tidak bergerak-gerak.

“Abang ni, budak tu tak nak pergi, biarkanlah. Buat apa dipaksa?” Hajjah Halimah membela Syifa’ Umaira. Kalau boleh dia sendiri mahu majlis itu dibatalkan sahaja.

“Awak pun sama dengan anak awak! Buat keputusan tanpa berfikir. Saya tidak mahu dengar apa-apa alasan lagi. Pergi bersiap sekarang. Saya dah tak sanggup dengar bunyi telefon tu. Apa lagi tercegat tu? Pergilah!” Habis tinggi suaranya menjerit. Sudah sampai tahap maximum. Syifa’ Umaira melangkah lemah. Hajjah Halimah menuju ke bilik dengan wajah mencuka. Syifa’ Umaira menghempas daun pintu dengan kuat tanda protes. Haji Mansor menggelengkan kepala. Kenapa kau buat ayah begini Syifa’ Umaira, tidakkah kau tahu ayah sayangkan kau. Biarpun marah dan bagaikan tidak merestu hubungan kau dengan bakal suami yang kau pilih, namun hati seorang ayah tidak sekejam seperti yang engkau sangka, wahai anakku, detik hati kecil Haji Mansor. Dadanya sebak. Dia menarik nafas panjang,tidak mahu air matanya tumpah di hadapan anak dan isterinya. Anak-anak serta saudara-mara yang lain telah pun ke masjid, tempat acara pernikahan itu akan di adakan.

Tepat jam 10.30 malam baru mereka sampai di masjid. Haji Mansor mendekati Haji Salleh yang memandangnya dengan penuh kemarahan.

“Maaf Ji…ada masalah sikit,”kata Haji Mansor sambil bersalaman dengan Haji Salleh. Haji Salleh menyambut dengan baik. Kalau ikut marah, macam-macam boleh jadi. Entah berapa ribu kali dia beristighfar menahan sabar, menahan marah. Marah itukan hasutan syaitan

Haji Salleh menarik tangan Haji Mansor untuk berjumpa dengan Amir Hudzaifa yang sedang bersolat sunat entah ke berapa kali .

“Boleh kita mulakan terus?” tanya Haji Mansor. Usai Amir Hudzaifa menghabiskan solatnya. Amir Hudzaifa tersenyum dan mengangguk perlahan. Haji Mansor memandang Imam Besar Masjid Sultan Azlan Syah. Iman Besar mengangguk. Wajah yang tegang tadi semuanya kembali ceria. Hanya perut yang berbunyi minta di isi. Haji Salleh mengeluh perlahan.

Pada mulanya Ustaz Muiz, Imam Besar Masjid akan menikahkan pasangan tersebut tetapi Haji Mansor ingin menikahkan sendiri anak gadisnya. Mereka sepakat dan setuju dengan cadangan itu Dengan sekali lafaz Syifa’ Umaira sah menjadi isteri Amid Hudzaifa. Semua tetamu dalam dua puluh orang menarik nafas lega. Segala-galanya berjalan lancar biarpun berbagai dugaan mendatang. Usai majlis, doa pun dibaca. Ingatkan majlis akan berakhir. Tiba-tiba Haji Mansor bangun untuk membacakan khutbah. Haji Salleh mengurut dada. Perut dah berkeroncong, hari dah lewat malam masih ada hati pula baca khutbah. Haji Salleh ingin melarang namun ditahan oleh Amir Hudzaifa. Para tetamu mula gelisah. Khutbah yang dibaca bagaikan dengar dan tidak dengar sahaja.

Haji Salleh menggelengkan kepala. Pada siapa agaknya khutbah itu disampaikan, dia sendiri tidak pasti kerana kebanyakan yang hadir terdiri daripada ustaz dan kadi yang sudah faham akan perkara munakahat itu. Tiada siapa yang sudi mendengarnya apatah lagi Haji Mansor sudah mula melalut. Kalau ikutkah hati mahu sahaja dia memberhentikan khutbah Haji Mansor. Haji Salleh perasan para tetamu sudah mula kurang selesa lebih-lebih lagi khutbah atau ceramah Haji Mansor bagaikan menyindir Amir Hudzaifa berkahwin lagi. Hampir 11.30 malam baru Haji Mansor berhenti. Haji Salleh menarik nafas lega begitu juga tetamu yang hadir.

Amir Hudzaifa mendekati Syifa’ Umaira yang telah pun sah menjadi isterinya. Dia mengajak isterinya solat sunat dua raka’at sebelum mereka turun ke dewan makan. Syifa’ Umaira menurut sahaja. Hatinya bercampur baur antara suka dan duka, antara gembira dan sedih. Usai solat dia mencium tangan Amir Hudzaifa. Suaminya tersenyum riang.

Di dewan makan tetamu mula menjamu selera, sambil bersembang sesama mereka. Wajah Amir Hudzaifa manis berseri, wajah Syifa’ Umaira tidak tergambar dengan kata-kata. Nasi Bukhari, Daging Masak Hitam, Ayam Goreng Berempah, Pajeri Nenas dan Buah-buahan

Citrus dihidangkan bersama Pulut Kukus Lemak dan Kuah Durian. Berselera para tetamu menikmatinya.

Hajah Halimah memandang wajah anak gadisnya sayu. Alahai! Anakku sayang, kau sudah bergelar isteri orang. Biar berjuta kesalahan kau lakukan pada emak, tidak pernah emak menyimpan dendam padamu sayang. Jauh di sudut hati ini ingin melihat kebahagianmu. Emak doakan kau tabah menempuh hari mendatang. Emak doakan jodohmu berpanjangan sehingga ke akhir hayat… . Berbahagialah wahai anakku dengan orang yang kau cintai dan sayangi. Doa emak sentiasa bersamamu, bisik hati kecil Hajah Halimah, setitis mutiara gugur di pipi cepat-cepat diseka agar tidak dilihat oleh sesiapa. Nasi yang sedap dan lauk-pauk yang enak sedikit pun tidak mengamit selera Hajah Halimah.

Syifa’ Umaira menarik nafas panjang,. Akhirnya aku menjadi milik orang yang aku cintai dan sayangi. Entah kenapa hatiku tidak gembira? Kenapa wajahku tidak ceria? Bukankah ini yang aku tunggu-tunggukan? Bukankah ini harapan dan impianku berkahwin dengan Amir Hudzaifa, pujaan hati? Apakah aku terpaksa dalam rela, lain macam bunyinya tapi itulah hakikatnya. Syifa’ Umaira mendengus kasar. Nasi sudah menjadi bubur, biarlah aku jalani juga hidup ini. Susah, senang biarlah aku hadapi, detik hati kecil Syifa’ Umaira.

Amir Hudzaifa menjamah makanan dengan hati yang berbunga. Bukankah ALLAH lebih mengetahui bahawa jodohnya dengan Syifa’ Umaira telah ditetapkan sejak azali lagi. Biar ribut dan badai datang melanda, jodohnya dengan Syifa’ Umaira tidak ke mana. Amir Hudzaifa tersenyum bahagia.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.