Home Novel Keluarga AKU TURUT BAHAGIA ~ ASMAH HASHIM
DUGAAN DEMI DUGAAN ~ BAB 29 - 30


Syifa’ Umaira menangis semahu-mahunya. Terasa berat beban yang sedang ditanggungnya itu. Bukan mudah rupanya berkongsi kasih dengan suami orang. Dia terpaksa berkongsi kasih bukan sahaja dengan Ummi Khadeeja tetapi anak-anak suaminya juga. Tidak sampai sehari ditinggalkan dia sudah meroyan macam orang gila. Bagaimana nanti Jika ditinggalkan dua hari, tiga hari atau berminggu-minggu. Ah! Bosannya. Syifa’ Umaira mencampak bantal ke lantai. Sejak subuh suaminya sudah kembali ke rumah madunya. Tinggal dia sendiri dengan perut yang masih belum berisi. Bukan tiada bahan mentah dalam peti sejuk. Cuma dia tidak tahu bagaimana hendak memasaknya.

Perlahan-lahan Syifa’ Umaira melangkah juga ke dapur. Perutnya yang berkeroncong perlu di isi. Stok maggi pun ada. Jawabnya makan mee segera sahajalah dia tengahari ini. Itulah, waktu di rumah dahulu langsung tidak ingat nak membantu emaknya memasak. Sibuk berkurung dalam bilik kononnya membaca buku. Dia memang tidak minat memasak. Dia tidak suka ke dapur. Leteran ibu tua tu di pandang sepi sahaja.

“Nanti bila sudah kahwin, laki kau suruh memasak, tapi tak tahu jangan salahkan mak pula. Bukan mak tak suruh kau belajar dan bantu mak di dapur. Tapi pemalas. Kau ingat kalau kau kahwin dengan orang kaya pun kau tak perlu memasak langsung. Kita ni perempuan Mai. Nak pikat suami kenalah pikat perutnya dulu. Kalau dia sudah makan kenyang di rumah tak perlulah dia makan di luar,” leter Hajjah Halimah panjang lebar. Syifa’ Umaira tidak keluar-keluar dari biliknya. Waktu itu dia baru sahaja selesai ambil SPM dan cuti rehat selama tiga bulan sementara menunggu keputusan peperiksaan.

“Awak leter kat siapa Limah? Sakit telinga saya mendengarnya.” Haji Mansor menggelengkan kepala. Kalau ada di rumah suara gemersik isterinya itu akan berkumandang dengan berbagai nada. Tidak penat agaknya. Syifa’ Umaira yang mendengar tersenyum sendiri.

“Leter kat anak dara awak tulah.” Hajah Halimah menjeling tajam.

Syifa’ Umaira menyeka air mata yang mengalir di pipinya. Rindu benar dia dengan emaknya di kampung. Sejak dia berada di maahad itu belum sekali pun dia menelefon kedua orang tuanya bertanyakan khabar. Lagi pun dia merasa malu hendak menelefon ahli keluarganya. Tentu mereka akan bertanyakan tentang dirinya. Makan minumnya kerana mereka tahu dia tidak pandai memasak dan menguruskan rumah tangga. Menyesal pula tidak belajar dahulu. Mungkin sekarang masih tidak terlambat tapi malulah bila diketahui orang yang dia tidak pandai memasak. Syifa’ Umaira mengeluh kesal. Kesal dengan kemalasan diri sendiri.

Dia menuang dua cawan air dalam periuk dan meletakkannya di atas dapur. Sebungkus maggi kari di keluarkan dari almari. Air mula mendidih. Dia mengikut semua arahan yang terdapat dalam sampul maggi tadi. Usai makan dia bercadang untuk berehat sahaja. Esok pagi baru dia akan bertemu suaminya. Dia tersenyum sendiri apabila melihat wajah Amir Hudzaifa yang kebimbangan apabila dia mengatakan ingin membunuh diri. Syifa’ Umaira hendak membunuh diri? Tidak sama sekali. Sambil mengacau maggi yang sedang menggelegak fikirannya ligat berputar memikirkan apa yang harus dilakukan untuk meneruskan kehidupannya di sini. Usai makan dia bercadang hendak keluar berjalan.

Pasir Mas Kelantan. Agak jauh kedudukannya dari Kota Baharu. Kalau hendak ke Kota Baharu memakan masa hampir sejam baru sampai. Syifa’ Umaira mengeluh sendiri. Pekan Pasir Mas bukannya besar sangat . Dia berkira-kira hendak membeli peti televisyen. Peduli apa jika pelajar-pelajar di maahad ini tidak dibenarkan menonton televisyen. Ketinggalan zaman betul. Sedangkan di rumah mereka tetap menonton malah buka internet lagi. Hanya peraturan di maahad telah menetapkan begitu. Mahu tidak mahu terpaksalah mereka mengikut. Syifa’ Umaira mengeluh sendiri. Dia tidak pernah belajar di maahad seperti ini. Dia bersekolah rendah di sekolah kebangsaan dan menyambung pelajaran di sekolah agama kebangsaan. Pengisian agama tidaklah terlalu berat tetapi yang asas itu tetap wajib dibuat. Lepas ambil peperiksaan STAM dia mengikut cadangan ayahnya untuk menyambung pelajaran dalam bidang agama di Mesir. Untung keputusan STAMnya cemerlang. Tidak habis semester dua dia sudah gatal hendak bernikah. Semuanya kerana cinta. Kerana cinta dia korbankan segala-galanya. Kerana cinta dia hancurkan perasaan kedua orang tuanya yang ingin melihat dia mengenggam segulung ijazah. Syifa’ Umaira melepaskan keluhan berat. Mahu sahaja dia menangis memikirkan segala tindakan yang dia lakukan terhadap kedua orang tuanya. Dia menghancurkan terus harapan mereka.

Syifa’ Umaira menjengah keluar rumah. Sunyi sepi. Macam tiada orang. Mungkin para pelajar masih di dalam kelas. Kedudukan rumah yang jauh sedikit dari jalan lalu lalang pelajar membuatkan suasana terasa sepi. Hanya waktu solat sahaja akan nampak para pelajar kerana surau berada hampir dengan rumah dan hanya sungai yang menjadi sempadan antara surau dan rumah. Syifa’ Umaira mula mengatur langkah menyeberangi sungai. Titi besi tetapi berbentuk kayu merentang sungai yang tidak begitu besar. Desiran air sungai mendamaikan sesiapa sahaja. Tetapi tidak memberi sedikit pun ketenangan dan kedamaian dalam hatinya yang sedang berserabut itu. Syifa’ Umaira berdiri seketika. Memandang sekeliling. Ke mana harus dia pergi. Kiri menuju ke kebun sayur, kolam ikan dan tempat ternakan ayam, kambing. Di sebelah kanan kawasan kelas pengajian, ruang pejabat, perpustakaan, pusat sumber dan dewan serba guna. Terdapat juga bangunan asrama lelaki, perempuan dan rumah guru. Luas juga kawasan maahad ini. Syifa’ Umaira menapak perlahan-lahan, melawat kawasan. Macam wakil rakyatlah pula. Cuaca panas tidak dihiraukan. Daripada berkurung macam orang gila di dalam rumah, baik dia keluar .

Kebun sayur di jelajahi. Syifa’ Umaira teruja melihatnya. Terdapat berbagai jenis sayur-sayuran di situ. Kelihatan beberapa orang pelajar dan pekerja sedang membersihkan kebun. Syifa’ Umaira tidak menegur mereka. Dia terus masuk dan meniti di atas batas sayur.

“Puan hendak ke mana? Tak dibenarkan masuk ke kebun di waktu kami sedang membersihkan kawasan ini.” Tegur seorang pekerja. Syifa’ Umaira mengerutkan dahi.

“Ini isteri Walid, Pak Itam,” sampuk seorang pelajar. Lelaki yang dipanggil Pak Itam menjunamkan pandangan pada Syifa’ Umaira. Dia mengerutkan dahi. Syifa’ Umaira mencekak pinggang memandang lelaki yang dipanggil Pak Itam itu.

“Pakcik tak kenal saya ke?” tanya Syifa’ Umaira. Pak Itam menggelengkan kepala. Pelajar lelaki tadi meneruskan kerjanya. Dia tidak mahu menganggu Pak Itam dan isteri ustaznya. Biarlah mereka bersembang. Pak Itam sudah sebulan bercuti tentulah dia tidak tahu yang Ustaz Amir Hudzaifa sudah bernikah lagi. Tiada siapa pula yang memaklumkan kepadanya.

“Bila pula Ustaz Amir bernikah lagi?” Soal Pak Itam kebingungan. Syifa’ Umaira mendengus kasar.

“Sudah seminggu lebih, pak cik” Syifa’ Umaira memandang sekeliling. Dia menjeling.

“Maaflah saya tak tahu. Sebenarnya waktu begini tiada siapa dibenarkan masuk ke kebun. Hanya selepas waktu asar sahaja dibenarkan masuk ke dalam kawasan kebun. Itu pun hanya pelajar yang ditugaskan bekerja di kebun ini sahaja boleh masuk dan memetik sayur-sayuran yang telah matang. Jadual ada dicatitkan di pintu pagar depan tu,” beritahu Pak Itam Syifa’ Umaira mencebik. Hendak masuk kawasan kebun pun kena ikut peraturan dan waktu tertentu, teruknya. Tidak sesuai langsung.

“Tak apalah kalau macam tu pakcik.   Orang gila mana agaknya yang buat peraturan macam ni , tak sesuai langsung,” kata Syifa’ Umaira. Dahi Pak Itam berkerut mendengarnya. Peraturan itu Ummi Khadeeja yang menetapkannya kerana tidak mahu kebun itu lunyai dikerjakan oleh para pelajar yang tidak tahu menjaga kepentingan maahad. Hanya pelajar yang ditugaskan sahaja akan dibenarkan masuk ke dalam kebun sayur tersebut. Kalau para pelajar yang ingin memasak kehabisan sayur-sayuran mereka hanya perlu maklumkan ke pejabat dan bekalan akan dihantar ke asrama mereka. Pelajar senior yang selalu memasak sendiri jika punya waktu dan ada kesempatan. Jika tidak mereka turut makan di kantin juga. Pelajar kelas rendah selalunya akan makan di kantin. Pak Itam menggelengkan kepala. Kasar benar bunyi kata-kata isteri muda Ustaz Amir Hudzaifa ini. Syifa’ Umaira berlalu meninggalkan kawasan tersebut. Badannya sudah mula berpeluh. Matahari terik memancarkan cahayanya. Syifa’ Umaira berjalan menuju ke pejabat maahad. Dia mendekati bangunan setingkat yang bercermin gelap itu. Membuka pintu yang tidak berkunci. Dia melangkah masuk. Beberapa orang staf maahad sedang bekerja. Mereka terkejut melihat Syifa’ Umaira melangkah masuk tanpa memberi salam.

“Ada apa Puan? Boleh saya bantu?” Sapa seorang gadis muda bertudung labuh. Cantik dan manis orangnya. Syifa’ Umaira memandang sahaja gadis tersebut.

“Bilik Ustaz Amir mana?” Tanya Syifa’ Umaira. Gadis tersebut menunjuk ke arah bilik yang tertutup rapat. Syifa’ Umaira mencebik. Dia mendekati bilik tersebut.

“Puan nak ke mana tu?” tanya gadis tersebut lagi.

“Biarkan Haliza… itu isteri muda Ustaz Amir,” beritahu seorang lelaki dan melemparkan senyuman pada Syifa’ Umaira namun tidak berbalas. Mereka berdua saling berpandangan. Gadis yang bernama Haliza itu duduk semula ke mejanya. Syifa’ Umaira memutar tombol pintu. Berkunci.

“Mana kunci bilik ni?” tanya Syifa’ Umaira.

“Kuncinya ada pada Ustaz Amir, puan. Kami tak simpan kunci bilik ustaz,” beritahu pekerja lelaki tadi. Syifa’ Umaira mendengus kasar. Dia mencebik.

“Berapa orang staf di sini?” Syifa’ Umaira serius. Tiada senyuman, tiada kemesraan.

“Semua staf termasuk ustaz yang mengajar ada lima belas orang puan,” jujur Haliza menjawabnya.

“Ramainya!” Syifa’ Umaira bagaikan terkejut. Buat apa staf ramai-ramai. Untuk apa? Urusan apa? Semuanya dia harus tahu. Bukankah tujuan perkahwinannya dengan Amir Hudzaifa untuk membantu menguruskan maahad tersebut.

“Tak ramai sangat puan, malah tak mencukupi. Jika Ustaz Amir keluar daerah, tenaga pengajar akan kekurangan seorang, padanlah dengan jumlah pelajar dan tugas di sini,” sambung Haliza lagi. Syifa’ Umaira membuntang memandang Haliza.

“Kalau dah seorang hanya buat satu kerja, beratus orang pun tak cukup,” sindir Syifa’ Umaira. Terkejut Haliza mendengarnya. Terbeliak mata Haliza mendengar kata-kata isteri muda majikannya.

“Siapa pengurus di sini?”

“Ummi Khadeeja puan di bantu oleh Ustaz Din,” Haliza tetap menjawab walaupun kurang selesa dengan cara Syifa’ Umaira bertanya dan menyoal. Macam mereka ada buat salah pula. Serius dan tidak mesra. Tidak macam Ummi Khadeeja lembut dengan para pekerjanya dan disenangi oleh semua orang.

“Oh ya ! saya nak tanya, ada tak dikalangan pelajar perempuan yang pandai memasak?” Mata Syifa’ Umaira tepat memandang Haliza. Gadis itu berfikir seketika. Siapa yang paling pandai memasak. Dia mengherotkan mulut sambil berfikir. Pen di tangan dipusing berkali-kali dan masih membaca seorang demi seorang pelajar perempuan di maahad itu.

“Kalau tak silap saya ada dua orang, pelajar senior, namanya Sa’adiah dan Zaiti,” Haliza mengangguk mengiyakan maklumat yang diberi. Syifa’ Umaira berfikir seketika.

“Esok selepas subuh suruh mereka datang ke rumah saya,” arah Syifa’ Umaira.

“Untuk apa puan?” Haliza bertanya semula. Setahu Haliza selepas solat subuh para pelajar ada kelas hafalan. Mana mereka boleh pergi ke mana-mana.

“Itu hal saya, buat apa awak nak tahu?”

“Sebabnya puan, semua pelajar wajib hadir kuliah halafan, tidak boleh tidak. Mereka tidak dibenarkan meninggalkan kelas tersebut jika tidak meminta kebenaran dari Ustaz Amir sendiri atau Ummi Khadeeja,”

“Ini arahan dari saya, samalah dengan arahan dari Amir Hudzaifa atau pun Ummi Khadeeja. Awak tak faham ke?” Lengking suara Syifa’ Umaira.

“Tapi puan?” Haliza serba-salah.

“Kalau mereka tak sampai di rumah saya pada waktu yang saya beritahu tadi, siap awak!” Ugut Syifa’ Umaira. Haliza menunduk. Lain macam betullah isteri muda Ustaz Amir Hudzaifa ini, tidak seperti Ummi Khadeeja yang tidak suka mengarah tetapi paling suka membantu.

“Baik puan!” Haliza mengalah. Kalau tidak disampaikan dia akan kena. Kalau disampaikan juga dia akan menghadapi masalah. Haliza mengeluh.

“Berapa orang pelajar lelaki dan perempuan di maahad ini?” Syifa’ Umaira terus bertanya.

“Pelajar lelaki dua ratus orang, pelajar perempuan seratus orang sahaja puan,” Haliza menyampaikan maklumat dengan jujur. Isteri muda Ustaz Amir Hudzaifa perlu tahu jugakan. Haliza melemparkan senyuman. Syifa’ Umaira tetap berwajah serius. Haliza mengeluh dalam hati. Mahalnya senyuman. Haliza menyambung semula kerja-kerjanya. Orang tidak sudi hendak bermesra. Tidak payahlah terhegeh-hegeh tunjuk mesra.

“Ustazahnya berapa orang?”

“Empat orang saja, yang selebihnya ustaz. Kelas kita campur lelaki dan perempuan tetapi di pisahkan oleh dinding dewan,” terang Haliza. Syifa’ Umaira mengangguk-angguk. Haliza tersenyum dalam hati. Macam boss besarlah pula. Haliza melepaskan keluhan. Nampak gayanya ada perubahan nanti dalam pengurusan maahad. Kalau dilihat dari tindak-tanduk Syifa’ Umaira yang kurang mesra Haliza bimbang ramai orang tidak akan selesa dengan kehadiran isteri muda Ustaz Amir Hudzaifa itu. Berbeza dengan Ummi Khadeeja yang cepat mesra dan tidak sombong. Manusia rambut sahaja sama hitam tetapi hati lain-lain.

“Esok jangan lupa suruh pelajar perempuan tu datang jumpa saya di rumah,” arah Syifa’ Umaira. Haliza mengangguk tanpa berkata sepatah pun. Layan sajalah. Nanti ada pula aduan yang sampai kepada Ustaz Amir Hudzaifa, lagi masalah. Haliza mengeluh. Ustaz Din pula ada kelas. Kalau tidak tentu dia tidak perlu menjawab semua soalan dari isteri muda Ustaz Amir Hudzaifa. Haliza mengeluh lagi.

Syifa’ Umaira melangkah keluar tanpa pamitan. Dia berjalan dari satu kelas ke satu kelas. Melihat pelajar dan ustaz yang mengajar. Dia tidak menghiraukan mata-mata yang memandangnya.

“Syifa’ Umaira? Nak ke mana?” Sapa Zaiton yang baru keluar dari rumahnya berhampiran asrama perempuan. Syifa’ Umaira terkejut melihat kelibat Zaiton, sahabat suami dan madunya itu.

“Saja jalan-jalan tengok maahad. Bosan di rumah,” mata Syifa’ Umaira liar memandang sekeliling tidak langsung memandang wajah Zaiton yang berdiri tegak di hadapannya.

“Kalau bercakap dengan orang, janganlah liar memandang ke tempat lain. Tak sopan,” tegur Zaiton. Kurang selesa dengan cara dan sikap Zaiton yang agak sombong padanya. Syifa’ Umaira mendengus kasar. Dia selalu mati akal dengan isteri sahabat suaminya yang tidak segan-segan menegur perangai dan sikapnya. Jika orang lain menghormatinya tetapi Zaiton akan lantang dan berani membidasnya.

“Kak Zaiton dari mana ni?” tanya Syifa’ Umaira cuba beramah-mesra. Zaiton tersengih sumbing.

“Dari rumah nak ke surau, sudah hampir masuk waktu Asar.” Zaiton berlalu meninggalkan Syifa’ Umaira sendirian di situ. Malas dia hendak melayan sikap sombong Syifa’ Umairah. Tengahari tadi nak buruh diri, petang ini elok je. Zaiton mencebik. Syifa’ Umaira melihat jam di tangan, rupanya sudah lama dia berjalan. Peluh sudah membasahi wajah dan lehernya. Dia mengesat peluh dengan hujung baju. Dia berpatah kembali ke rumah. Esok pula dia berjalan lagi. Mahu tengok asrama pula. Mata Syifa’ Umaira sempat memandang rumah madunya yang tersergam tidak berapa jauh dari rumahnya. Bayang suami dan anak-anaknya masih tidak kelihatan keluar untuk ke surau. Entah-entah masih bermesra dengan isteri tuanya itu. Syifa’ Umaira mengetap bibir. Tiba-tiba hatinya terasa pedih dan sakit memikirkan perkara yang bakal terjadi antara suami dan madunya itu. Syifa’ Umaira melangkah masuk ke dalam rumah dan menghempas daun pintu dengan kuat. Protes? Namun siapa yang dengar. Syifa’ Umaira mencebik. Dia keletihan. Badannya terasa melekit. Panas sungguh cuaca di luar . Kalau ikutkan hati mahu sahaja dia berehat di rumah. Apabila memikirkan dia tinggal seorang diri tidak buat apa-apa, baik dia keluar ambil angin. Boleh juga melawat seluruh kawasan maahad yang kini menjadi tempat tinggalnya.

Ummi Khadeeja menyiapkan hidangan petang. Kuih bingka gandum kegemaran anak-anak dan suaminya sudah siap dibakar. Tengahari tadi suaminya balik makan di rumah, walaupun agak lambat. Mungkin masalah suaminya dengan isteri mudanya sudah selesai. Ummi Khadeeja melepaskan keluhan. Berbeza sungguh Syifa’ Umaira yang dia jumpa sewaktu sudah bertunang dengan suaminya dengan Syifa’ Umaira yang sudah menjadi isteri suaminya. Bagaikan dua orang yang mempunyai nama yang sama tetapi berlainan karektor dan sikap.

Ummi Khadeeja duduk di meja makan yang sudah terhidang bingka gandum dan kopi panas. Sebentar lagi pasti anak-anak dan suaminya akan pulang usai solat asar. Dia termenung jauh memikirkan rumah tangga baru suaminya. Syifa’ Umaira cantik pada wajah tetapi banyak kekurangan. Apakah semua orang cantik berperangai seperti madunya itu? Tentulah tidakkan. Manusia dilahirkan dengan berbagai perangai dan karektor. Setiap orang berlainan sikap dan cara.

Jauh di sudut hatinya semoga Syifa’ Umaira benar-benar redha dan ikhlas berkahwin dengan suaminya. Dia juga berharap Syifa’ Umaira boleh menerima dia bukan sahaja sebagai madu tetapi juga kawan dan sahabat. Dia juga berharap madunya itu boleh menerima kehadiran anak-anaknya. Pendek kata Syifa’ Umaira harus sayang apa sahaja yang menjadi milik suaminya. Suami mereka adalah lelaki yang sama. Mereka disatukan dalam satu perkahwinan poligami berkongsi seorang lelaki yang sah menjadi suami mereka. Tidak perlu tamak haloba. Berkongsi segala-galanya. Walaupun bukan kehidupan keseluruhannya namun tetap berkongsi walaupun hanya sebahagiannya.

Ummi Khadeeja tidak tahu entah apa lagi masalah yang menunggu di masa depan. Dia berharap semuanya berjalan dengan baik. Biarlah perkahwinan kedua suaminya ini membawa keberkatan dan rahmat. Apa pun dugaan yang datang semoga hatinya tabah menghadapinya. Semoga suaminya mampu berlaku adil dan tidak berat sebelah. Semoga anak-anak bahagia dan tetap tenteram di hati. Tidak risau dengan apa yang terjadi sehingga menganggu pelajaran mereka. Bukan mudah berpoligami. Setiap perempuan mempunyai perasaan cemburu atau boleh juga dikatakan setiap manusia ada perasaan cemburu, iri hati, dengki, sayang, benci, suka, gembira, kecewa, bahagia. Semua perasaan itu ada dalam hati manusia hanya keadaan dan masa yang akan membuat iyanya mengalir keluar dan bila iya akan diguna pakai. Baik atau tidak hanya keadaan yang menentukan. Ummi Khadeeja mengeluh sendiri. Dari kejauhan sudah terdengar suara anak-anak dan suaminya bergurau senda. Ummi Khadeeja tersenyum riang. Hilang segala masalah yang sedang berkumpul di dada. Biarlah hari ini hari yang penuh dengan keceriaan dan kegembiraan. Walaupun dicacatkan kejadian tengahari tadi tetapi itu tidak akan mematahkan semangatnya untuk melihat keluarganya terus kekal bahagia seperti dulu. Kebahagian yang kekal abadi baik di dunia dan di akhirat… Amin.

BAB 30

Syifa’ Umaira mundar-mandir di ruang tamu. Matanya asyik memerhati jam di dinding. Bibirnya asyik mengomel sendiri. Sesekali menjengah keluar tingkap. Pukul 7.00 pagi. Jam 7.30 pagi baru suaminya akan sampai ke rumah. Dia perlu menyediakan sarapan. Dua orang pelajar yang disuruh datang ke rumah tidak juga sampai-sampai. Jangan-jangan Haliza terlupa bagi tahu. Susahlah macam ni. Dia tidak betah duduk. Dia gelisah. Syifa’ Umaira duduk di sofa. Cuba menenangkan hatinya sendiri. Kalau mereka tidak sampai, bagaimana? Apa yang hendak dimasak? Kalau ada mereka tentu boleh bantunya buat sarapan atau apa sahaja. Sekurang-kurangnya suaminya balik nanti ada makanan yang terhidang. Inilah parahnya kalau tidak ambil tahu atau belajar memasak sebelum berkahwin. Sudah berumah tangga, diri sendiri yang susah.

“Assalamualaikum,” suara orang memberi salam membuatkan Syifa’ Umaira tersenyum kembali. Menarik nafas lega. Dia berharap yang datang adalah orang yang ditunggu-tunggunya. Syifa’ Umaira bergegas ke muka pintu. Menjawab salam sambil membuka pintu. Berdiri di tepi pintu dua pelajar perempuan. Mungkin ini pelajar yang dikatakan oleh Haliza semalam. Mereka melemparkan senyuman.

“Mari masuk dulu,” pelawa Syifa’ Umaira lembut. Kedua-dua pelajar masih tersenyum dan melangkah masuk ke dalam rumah. Mereka menghulur tangan bersalaman dengan Syifa’ Umaira.

“Duduklah,” pelawanya. Kedua-dua pelajar mengikut sahaja arahan Syifa’ Umaira.

“Maaf, saya Sa’adiah dan ini kawan saya Zaiti. Ustazah Haliza suruh kami datang jumpa puan? Ada apa ya?” Sa’adiah memperkenalkan diri. Syifa’ Umaira duduk mengadap mereka. Dia tersengih. Harap-harap kedua pelajar ini dapat membantu dia.

“Begini.... saya nak awak berdua datang ke rumah saya setiap pagi. Sediakan sarapan pagi dan sekalian dengan makan tengahari dan malam. Menunya saya tak kisah yang penting sedap” Syifa’ Umaira memulakan bicara. Berkerut dahi kedua pelajar itu, terkejut pun ada. Mereka saling berpandangan dan menjunamkan mata mereka memandang Syifa’ Umaira.

“Kami tak faham?” Sa’adiah menggelengkan kepala. Tidak faham apa yang dikatakan oleh Syifa’ Umaira.

“Saya cakap Bahasa Malaysia je? Takkan tak faham?” Syifa’ Umaira mendengus kasar.

“Maaf puan, waktu begini kami ada kelas hafalan. Kami wajib hadir. Kalau tak hadir nanti kami akan dikenakan tindakan disiplin,” Zaiti mengangguk. Sa’adiah turut mengangguk, mengiyakan kata-kata Zaiti.

“Ala! Takkan tak boleh ponteng langsung? Saya isteri ustaz awak tau? Takkan saya minta awak berdua berkhidmat dengan saya tidak dibenarkan?” Suara Syifa Umaira mula melengking, keras.

“Maaf puan, memang tak boleh!” Sa’adiah menundukkan muka. Tidak sanggup dia memandang wajah cemberut Syifa’ Umaira itu.

“Macam ni jelah, nanti saya bagi tahu suami saya. Kalau suami saya bersetuju awak berdua berkhidmat di rumah ini di waktu pagi, awak berdua kena buat juga.” Syifa’ Umaira mencebik. Sa’adiah dan Zaiti saling berpandangan dan melepaskan keluhan. Kenapa pula mereka kena berkhidmat di rumah isteri muda Ustaz Amir Hudzaifa sedangkan selama ini mereka tidak pernah pun di suruh membantu Ummi Khadeeja di rumahnya. Walaupun pernah di suruh oleh Ustaz Amir Hudzaifa tapi ditolak dengan baik oleh Ummi Khadeeja. Melainkan ada kenduri-kendara dan ada tetamu yang datang. Jika Ummi Khadeeja terpaksa menyediakan makanan yang banyak beberapa pelajar perempuan akan dipanggil untuk membantunya. Tetapi berkhidmat untuk urusan peribadi belum pernah diminta.

“Kalau macam tu kami balik dulu. kami tidak berani buat keputusan jika tidak dari Ustaz Amir atau pun dari Ummi sendiri. Maaf ya puan, kelas hafalan ni penting sebab setiap kehadiran akan diberi markah untuk menentukan kami lulus cemerlang dalam ujian penggal atau peperiksaan semester akhir.” Sa’adiah berterus-terang. Syifa’ Umaira mendengus kasar. Tidak menjadi rancangannya hari ini. Macam mana dia hendak menyediakan sarapan pagi untuk suaminya. Apa yang hendak dihidangkannya nanti. Kedua pelajar sudah pun berdiri dan bersedia untuk keluar dari rumahnya. Dia serba-salah. Kalau dipaksa lain pula jadinya.

“Yalah…pergilah balik!” Halau Syifa’ Umaira. Ingatkan kedua pelajar itu boleh disuruh ikut suka. Rupanya mereka benar-benar berdisiplin. Tidak berani ponteng kelas. Syifa’ Umaira memandang sahaja pelajar itu berlalu meninggalkan dia sendiri dengan masalah yang belum selesai.

“Assalamualaikum…” suara orang memberi salam membuatkan dia bangkit dan menuju laju ke pintu. Dia menjawab salam dan membuka daun pintu yang tidak berkunci hanya ditutup rapat oleh dua pelajar perempuan tadi. Hatinya yang sedang kecewa dan marah itu mencuka sahaja.

“Ayah pesan suruh hantar sarapan ni. Balik dari kelas ayah nak makan.” Airil Hakimi menyerahkan mangkuk tingkat yang berisi sarapan pagi kepada Syifa’ Umaira yang kebingungan.

“Ustaz Amir suruh awak hantar?” tanya Syifa’ Umaira. Airil Hakimi mengangguk. Sah-sah ibu tirinya tidak kenal siapa dirinya.

“Awak pelajar di sini juga ke?” Sudahi Syifa Umaira berkerut memandang wajah Airil Hakimi.

“Ya!” Jawab Airil Hakimi sepatah. Syifa’ Umaira memandang wajah budak yang berdiri di hadapannya agak lama. Macam wajah seseorang tetapi siapa? Dia mengeluh. Mangkuk tingkat dari tangan budak itu diambil. Airil Hakimi berlari meninggalkann Syifa’ Umaira sendirian tanpa berpamitan. Dia terus ke surau. Dia ingin mengulangkaji bacaannya dengan Ustaz Kamil guru Tahfiz di maahad ayahnya itu.

Syifa’ Umaira terus ke dapur. Mangkuk tingkat yang diberi oleh pelajar lelaki tadi dibuka. Bau aroma nasi lemak, sambal udang, telur mata kerbau dan hirisan timun membuatkan perutnya terasa lapar. Ini mesti dimasak oleh Ummi Khadeeja. Syifa’ Umaira mendengus kasar. Masakan madunya. Terasa tebal kulit pipinya. Terasa dihina oleh suami sendiri. Mungkin suaminya sudah menceritakan pada madunya yang dia tidak pandai memasak. Sukalah Ummi Khadeeja, dia isteri yang ada kekurangan. Kekurangannya tidak tahu memasak. Entah-entah mereka berdekah-dekah mentertawakan dirinya. Kalau ikutkan hati mahu sahaja dia mencampak makanan tersebut ke dalam bakul sampah sahaja. Sakit benar hatinya. Ummi Khadeeja sudah tahu kelemahan dirinya.

“Abang memang tak patut! Abang bagi tahu kat isteri tua abang tu Mai tak pandai memasak ya? Tu! nasi lemak di dapur… abang yang suruh dia hantar?” Syifa’ Umaira mencekak pinggang. Matanya membuntang memandang Amir Hudzaifa yang masih berdiri di muka pintu. Baru sahaja sampai di rumah sudah diserang bertubi-tubi. Belum pun kaki sempat melangkah bendul pintu suara Syifa’ Umaira bagaikan bertih jagung yang meluap setelah masak.

“Kenapa dengan awak ni Mai? Asyik nak marah je? Tak habis-habis lagi ke? Cuba bawa bertenang.” Amir Hudzaifa menapak menuju ke sofa. Dia menghempaskan punggung di sofa . matanya tertumpu pada isterinya yang mencekak pinggang. Wajah mencuka. Tiada senyuman. Tiada kelembutan.

“Siapa tak marah, kalau maruah diri diperendahkan oleh suami sendiri, dihina dan disindir!” lengking syifa’ Umaira. Amir Hudzaifa menggelengkan kepala.

“Siapa yang merendahkan maruah awak? Hina, dan sindir awak? Awak mengigau atau masih mamai… baru bangun dari tidur ke?” sinis. Amir Hudzaifa menyandarkan tubuhnya ke sofa. Badannya terasa letih. Otaknya letih, fikirannya kacau dengan sikap isteri-isterinya yang semakin memeningkan ini.

“Tak merendahkan maruah saya, awak kata? Hantar nasi lemak dengan lauk-pauk tu tak menghina saya? Sukalah isteri tua awak tu, tahu saya ni tak pandai memasak? Sukalah sebab awak tu tetap akan sayangkan dia, saya ni siapalah, harap muka je lawa tapi tak tahu memasak!” Leter Syifa’ Umaira.

“Mai… perut saya laparlah… saya pergi makan dulu ya? Untung saya suruh anak bujang saya hantar nasi tadi, kalau tidak kebulurlah saya.” Amir Hudzaifa menuju ke dapur. Dia tidak menghiraukan leteran atau melayan kemarahan Syifa’ Umaira. Lagi dilayan pasti menjadi-jadi. Biarlah dia meroyan sorang-sorang, perut yang lapar harus diisi. Lepas isi perutnya yang kosong barulah selesaikan masalah.

Amir Hudzaifa menuju ke meja makan yang diletakkan di ruang dapur. Rumah yang di huni oleh isteri mudanya itu kecil sedikit dari rumahnya yang satu lagi. Rumah itu asalnya adalah rumah yang di bina sendiri oleh Haji Salleh untuk dijadikan rumah hinggap bila dia datang ke maahad itu. Memandangkan tiada tempat untuk dijadikan rumah untuk Syifa’ Umaira, Haji Salleh setuju menghadiahkan rumah tersebut kepada isteri mudanya.

“Mai…mana sarapan pagi abang? Mana nasi lemak yang anak abang hantar tadi?” Amir Hudzaifa hairan melihat meja makan kosong. Dia mendengus kasar.

“Mai sudah buang!” Jerit Syifa’ Umaira. Budak lelaki yang hantar nasi lemak itu tadi rupanya anak tirinya. Patutnya wajahnya macam pernah tengok. Syifa’ Umaira mencebik.

“Awak buat apa?”

“Mai buang!” Syifa’ Umaira menjeling tajam. Amir Hudzaifa beristighfar.

“Awak buang?” Amir Hudzaifa bagaikan tidak percaya dengan apa yang didengarinya.

“Cukuplah abang makan masakan isteri tua abang tu di rumah dia. Takkan di rumah saya nak makan masakan dia juga?” Syifa’ Umaira menegakkan tindakannya.

“Kalau awak pandai memasak, tak payahlah saya ambil makanan dari rumah sana. Awak tak tahu memasak, sarapan saya pun awak tak siapkan, air panas pun tak ada? Apa kena dengan awak ni? Kenapa asyik buat perangai? Kenapa hanya tahu nak menyakitkan hati abang?” Amir Hudzaifa tidak faham dengan perangai Syifa’ Umaira yang sentiasa berubah-ubah. Sekejap baik, sekejap macam orang meroyan sahaja. Kalau ikutkan hati mahu sahaja telapak tangan ini hinggap di pipi gebu Syifa’ Umaira. Amir Hudzaifa mendengus kasar. Sakit benar hatinya. Hampir hilang kesabarannya melayan kerenah Syifa’ Umaira.

“Awak buang rezeki ALLAH, Mai? Kenapa teruk sangat sikap awak ni?” Amir Hudzaifa menggelengkan kepala. Dia tidak faham sikap dan tingkah laku isteri mudanya yang tidak masuk di akal.

“Sakit hati, tau tak!” Jerit Syifa’ Umaira. Perasaan cemburu membuak-buak dalam dadanya. Benci, meluat semuanya ada, resah, sakit, berat dadanya menahan perasaan. Meronta-ronta hatinya, terasa dirobek-robek perasaannya. Tidak tahan dan tidak sanggup membayangkan kemesraan madunya bersama suaminya itu. Inikah cemburu. Dia cemburu? Cemburukan orang lain bersama suaminya. Apakah madunya tidak ada perasaan cemburu padanya? Bukankah Ummi Khadeeja juga perempuan?

“Istighfar Mai! Ingat pada ALLAH. Cuba ingat balik, kenapa Mai berkahwin dengan abang? Apa tujuan perkahwinan ini?” Nasihat Amir Hudzaifa.

“Mai dah tak tahan! Mai tak sanggup hidup bermadu! Mai tak sanggup berkongsi abang dengan perempuan lain! Tolong Mai, bang! Hati Mai sakit bila memikirkan abang bermesra dengan isteri tua abang tu. Pedih, tersiksa… abang faham tak?” Syifa’ Umaira mula menangis. Dia bukan berpura-pura. Memang dia tidak sanggup berkongsi. Selang sehari baru dia dapat bersama suaminya. Sehari ditinggalkan membuatkan jiwanya meronta kemarahan. Perasaan sakit menerjah, menjunam ke jantung hatinya. Bagaikan disiat-siat, dihiris-hiris. Cuma tidak kelihatan darahnya. Tidak kelihatan lukanya.

“Ya, ALLAH! Dari awal lagi, Mai telah diberitahu akan jadi isteri kedua abang. Mai sendiri yang setuju dan menawarkan diri. Kenapa baru hari ini baru terasa sakitnya? Kenapa tidak dari awal sebelum kita diijab kabulkan? Kenapa baru sekarang baru terasa tidak sanggup berkongsi abang dengan orang lain? Kenapa tidak dari awal, Mai memikirkannya sebelum membuat keputusan untuk menjadi isteri abang?” Amir Hudzaifa kecewa. Perasaanya pilu mendengar kata-kata Syifa’ Umaira. Kenapa baru sekarang Syifa’ Umaira merasa sakitnya berkongsi suami dengan perempuan lain. Kenapa dia bersetuju menjadi isteri keduanya? Perkara sudah terlanjur tidak mampu berpatah balik. Dia berkahwin bukan niat untuk mempermainkan perasaan seorang perempuan. Dia bukan berkahwin untuk seminggu dua selepas itu bercerai. Bercerai? Tidak sama sekali.

“Abang takkan faham, sakit benar hati ini,” kata Syifa’ Umaira dalam tangisnya. Amir Hudzaifa mati akal. Kenapa semua ini terjadi. Ya, ALLAH, Kau berilah aku kekuatan dan kesabaran. Amir Hudzaifa memandang kosong ke arah Syifa’ Umaira. Apa ayat yang sesuai untuk dia katakan pada isterinya itu.

“Pening kepala abang ni! Mai nak abang buat apa lagi? Ceraikan Mai? Atau ceraikan kak Ija? Itu yang Mai mahu?” Mata Amir Hudzaifa menjunam ke wajah sembab Syifa’ Umaira.

“Ceraikan salah seorang dari kami!!” Jerit Syifa’ Umaira. Amir Hudzaifa mengurut dada. Tidak percaya dengan kata-kata Syifa’ Umaira.

“SubhanaALLAH! Permintaan awak membuatkan tiang Arasy bergegar Mai! Awak sedar ke tidak ni? Mana hati dan perasaan awak? Baru kahwin dah nak bercerai? Dan atas alasan apa abang kena ceraikan isteri tua abang?” Amir Hudzaifa menggeleng kecewa.

“Mai tetap nak cerai! Mai tak nak fikir apa-apa!!” Syifa Umaira terus menangis dan menangis. Malas Amir Hudzaifa nak memujuknya. Biarlah Syifa’ Umaira layan gelodak hatinya sendiri. Biar dia bertenang sendiri. Perutnya yang lapar terasa kenyang. Amir Hudzaifa melangkah keluar. Sakit hati, sakit telinga kalau masih duduk mengadap isterinya yang macam orang kurang siuman itu.

“Abang! Abang!!” Laungan Syifa’ Umaira tidak dihiraukan. Semakin laju langkah Amir Hudzaifa menuju ke pejabat maahad. Biarlah dia mendapat ketenangan di situ. Kalau pulang ke rumah Ummi Khadeeja nanti banyak pula pertanyaan yang harus dijawab.

Amid Hudzaifa melangkah masuk ke dalam pejabat. Dia memberi salam. Pembantunya Ustaz Din sedang bercakap dengan dua orang pelajar perempuan. Haliza turut berdiri di sebelah pelajar tersebut. Mereka serentak menoleh ke arah Amir Hudzaifa.

“Kenapa ni? Ada masalah ke?” Amir Hudzaifa duduk di sebelah Ustaz Din.

“Sa’adiah dan Zaiti masuk lambat tadi waktu kelas hafalan,” terang Ustaz Din. Haliza hanya menundukkan mukanya.

“Kenapa Sa’diah? Zaiti? Tak pernah awak berdua buat macam ni? Ada hal apa awak lewat masuk kelas ? Kenapa?” Soal Amir Hudzaifa. Kedua pelajar itu saling berpandangan.

“Kak Haliza yang minta kami pergi jumpa isteri walid,” cerita Sa’adiah. Amir Hudzaifa mengangkat kening dan memandang wajah Haliza yang menunduk memandang lantai.

“Isteri yang mana Haliza? Kalau Ummi, dia takkan kacau pelajar waktu ni. Syifa’ Umaira? Isteri kedua saya? Dia nak apa?” Mata Amir Hudzaifa masih melekat di wajah Haliza yang kelihatan serba salah.

“Puan Syifa’ Umaira, dia yang minta pelajar ni datang ke rumah selepas subuh. Sebab apa, tak pula saya tahu ustaz?” Haliza tidak berani memandang wajah Amir Hudzaifa.

“Waktu awak berdua pergi, apa isteri saya cakap atau ada tanya apa-apa ke?”

“Dia suruh kami masak untuk dia, walid. Katanya setiap hari kami mesti datang dan bantu dia memasak.” Zaiti memandang wajah Ustaz Amir Hudzaifa. Dia tidak menipu itulah yang diminta oleh isteri muda Ustaz Amir Hudzaifa. Ustaz Din mengeluh. Amir Hudzaifa mengeluh. Haliza mengeluh. Sa’adiah dan Zaiti turut mengeluh.

“Pergi balik kelas. Awak berdua tak salah… jangan didenda mereka Din. Nanti saya tanya isteri saya. Kita tak pernah membenarkan pelajar kita ponteng kelas. Kalau nak bantu sepatutnya bukan waktu kelas sedang berjalan. Haliza, baik siapa pun yang minta tolong pada pelajar, kita jangan benarkan jika waktu kelas. Mereka belajar di sini berbayar. Kalau kena bantu isteri-isteri saya, bila pula mereka nak belajar?” Amir Hudzaifa bingkas bangun dan menuju ke pejabatnya yang bertutup rapat. Dia jarang berada di pejabat. Semua urusan maahad dijalan dan diaturkan oleh Ustaz Din. Dia kurang selesa dengan apa yang terjadi. Kenapa pula Syifa’ Umaira meminta kedua pelajar perempuan itu memasak untuknya. Inilah jadinya memilih isteri tidak usul-periksa. Makanan pemberian Ummi Khadeeja dibuangnya, macam mana nak suruh belajar dengan isteri tuanya itu.

“Lain kali jangan buat kesilapan begini lagi Haliza,” nasihat Ustaz Din.

“Saya sendiri serba salah ustaz. Takkan saya nak menolak permintaan isteri Ustaz Amir… tak berani saya.” Haliza mencebik. Buat salah, tidak buat pun salah. Kalau ikut peraturan memanglah setiap pelajar tidak dibenarkan ponteng kelas. Peraturan itu semua pelajar sudah sedia maklum. Permintaa dari isteri Ustaz Amir Hudzaifa, siapa yang berani engkar.

“Awak berdua kembali ke kelas. Lain kali kalau ada arahan baru berhubung dulu dengan saya, faham!” arah Ustaz Din.

“Maaafkan kami ustaz… lain kali kami beringat. Kami janji takkan buat lagi.” Sa’adiah dan Zaiti berlalu keluar dari pejabat urusan maahad. Mereka merasa lega kerana mereka tidak akan didenda akibat lewat masuk ke kelas. Bukan salah mereka tetapi arahan dari isteri Ustaz Amir Hudzaifa kenalah turutkan. Nanti dikata tidak mengikut arahanlah pula. Sa’adiah mendengus kasar.

“Kenapa ya, isteri muda Ustaz Amir tu suruh kita memasak? Agaknya dia tak pandai memasak tak, atau pun pemalas ?” Teka Zaiti. Mereka saling berpandangan, tersenyum dan ketawa serentak. Ada juga perempuan yang tidak tahu memasak. Kalau macam itu baik tidak usah jadi perempuan, bisik hati kecil Sa’adiah. Mereka berdua melajukan langkah kembali ke kelas pengajian.

Amir Hudzaifa memanggil Ustaz Din masuk ke pejabatnya. Minggu depan dia akan keluar daerah kerana ada jemputan untuk memberi kuliah. Amir Hudzaifa duduk menyandar di kerusi. Dia mengeluh. Melepaskan kepenatan. Penat berfikir dan penat menguruskan kerenah kedua isterinya. Seorang asyik menyindir sahaja bila bercakap. Seorang lagi dengan perangai yang bukan-bukan. Amir Hudzaifa menggaru kepala. Pening memang memeningkan. Sakit kepalanya. Dia mengeluh keras.

“Kenapa ustaz? baru dua… takkan dah pening?” Usik Ustaz Din. Amir Hudzaifa memandang pembantunya itu dan tersenyum.

“Susah nak memahami hati perempuan, kan? Sekejap baik, sekejap tak baik. Sekejap sayang… sekejap benci. Ada waktu suka, ada waktu meluat nak tengok.” Amir Hudzaifa tersenyum sendiri.

“Saya seorang pun tak terlayan ustaz… inikan dua macam ustaz,” serentak mereka ketawa.

“Iyalah Din... asam garam rumah tangga sukar untuk ditentukan. Ada macam-macam ragam dan kerenah. Hati perempuan macam pantai, sekali ombak menghempas sekali pantai berubah. Sudah terlanjur kenalah teruskan. Susah ke, senang ke? Saya akan cuba berlaku adil,” terang Amir Hudzaifa. Ustaz Din mengangguk. Mereka saling tersenyum.

“Kita teruskan perbincangan kita kepada perkara asal. Minggu depan saya keluar daerah. Sepanjang ketiadaan saya, awaklah yang akan uruskan dibantu oleh isteri baru saya. Giliran kak Ummi Khadeeja bermusafir dengan saya. Awak tunjuk ajarlah Syifa’ Umaira apa yang perlu dalam menguruskan maahad ini. Haliza akan membantu awak seperti biasa. Kalau ada yang tidak kena cepat-cepat beritahu saya, jangan biarlah perkara berpanjangan.”

“Baik ustaz… Insya-ALLAH. Ustaz jangan bimbang,” janji Ustaz Din. Dia bekerja di maahad itu sejak dibuka lagi. Dari hanya ada sepuluh orang pelajar dan dua orang tenaga pengajar sehinggalah ke hari ini sudah ada lebih tiga ratus orang pelajar dan lima belas tenaga kerja pelbagai sektor. Pendapatan dan sumbangan yang diterima juga tidak putus-putus. Segalanya berjalan lancar. Peraturan dan disiplin pelajar dipatuhi dengan baik. Syukur kepada ALLAH segala urusan di maahad berjalan lancar seperti yang diharapkan.

“Terima kasih Din, awak banyak membantu saya. Tanpa awak tak tahulah saya macam mana saya nak uruskan maahad ini.” Amir Hudzaifa memandang wajah Ustaz Din penuh harapan. Mereka saling berbalas senyum.

“Ustaz sudah minum ke? Sudah hampir pukul 11.00 pagi ni?” Ustaz Din tersenyum. Amir Hudzaifa tersenyum.

“Ada apa yang boleh saya makan dan minum?” Amir Hudzaifa tersenyum penuh makna. Ustaz Din ketawa kecil.

“Nanti saya pergi ambilkan.” Ustaz Din berlalu. Amir Hudzaifa menepuk perutnya yang mula berbunyi. Ada dua orang isteri tetapi sarapan pun belum dijamah. Dia tersenyum sendiri memikirkan nasib dirinya. Apakah semua orang yang berpoligami menerima nasib sepertinya. Harap-harap tidak.

“Ini, ada nasi lemak dan kuih bakar kemboja. Isteri saya yang masak pagi tadi. Dia suruh saya bawa ke sini, jamu staf kita. Ada lebihan memang sudah rezeki ustaz makan di sini. Silakan ustaz.” Ustaz Din meletakkan pinggan yang berisi nasi lemak berlaukan sambal ikan bilis dan telur. Air kopi panas dan sepiring kuih bakar kemboja. Amir Hudzaifa tersenyum. Dia membaca doa makan dan mula menjamah nasi lemak tersebut.

“Kalau tak ada apa-apa, saya minta diri dulu. Ada kelas.” Ustaz Din memohon diri. Dia ada kelas tengahari itu.

“Jazakumullah khoir, Din,” sempat juga Amir Hudzaifa berterima kasih. Ustaz Din tersenyum. Dia berlalu meninggalkan Amir Hudzaifa menikmati sarapannya. Amir Hudzaifa menghabiskan nasi lemak yang telah dihidangkan oleh Ustaz Din tadi. Terasa perutnya yang kosong berisi semula. Amir Hudzaifa menarik nafas lega. Perut terisi bolehlah dia berfikir dengan tenang. Air kopi dihirup perlahan menikmati rasa keenakannya. Dia menjamah sepotong kuih bakar kemboja. Terasa keenakan daun pandan dan telur. Isteri Ustaz Din memang pandai buat kuih. Tidak hairanlah kuih bakar kembojanya selalu mendapat tempahan dari penduduk persekitaran maahad.

Sudah banyak hari jugalah dia tidak berbual dengan sahabatnya Haji Salleh. Dia sendiri tidak mencari sahabatnya itu walaupun tinggal setempat. Merajukkah sahabatnya itu. Atau memang sengaja tidak mahu menganggu dirinya. Amir Hudzaifa melepaskan keluhan. Hati siapa yang harus dia jaga, hatinya sendiri atau hati kedua-dua isterinya. Nasib baik pentadbiran maahad tidak banyak masalah. Semua pekerjanya tahu tanggungjawab masing-masing. Tidak perlu disuruh atau diperintah. Amir Hudzaifa boleh menarik nafas lega kalau bersangkutan dengan soal pengurusan maahad tapi bila menyentuh bab rumah tangganya yang masih baru berpoligami masih tidak selesai malah semakin parah.

Keinginan siapa yang harus diikuti? Apakah dia harus menuruti kehendak Syifa’ Umaira atau keinginan Ummi Khadeeja yang inginkan kehidupan yang tenang dan damai. Inilah ujian untuknya. Ujian dari ALLAH SWT dalam menguji dirinya agar bersabar dengan dugaan yang datang. Semoga apa yang terjadi tidak menganggu-gugat keimanan dan ketakwaannya kepada ALLAH. Amir Hudzaifa menghabiskan kopi yang berbaki. Dia menghirupnya dengan rasa puas.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.