Home Novel Keluarga AKU TURUT BAHAGIA ~ ASMAH HASHIM
HARI PERTAMA ~BAB 20

Ummi Khadeeja terus membilang waktu dan masa. Sebentar lagi suami, madu dan anak-anaknya akan sampai, mungkin dalam waktu yang sama dan mungkin juga ada yang dahulu dan terkemudian. Hati Ummi Khadeeja berdebar-debar. Dia sendiri tidak tahu bagaimana hendak menyampaikan berita perkahwinan suaminya kepada anak-anak. Dapatkah mereka menerimanya, itulah yang dibimbangkan Ummi Khadeeja.

Usai solat, Ummi Khadeeja dan Zaiton mengemas rumah yang akan dihuni Syifa’ Umaira. Zaiton turut membantu. Sesekali matanya mencuri pandang tingkah laku Ummi Khadeeja. Kadang-kadang terdengar keluhan dari bibir sahabatnya itu. Kejap-kejap mendengus kasar. Seperti orang susah hati, wajahnya juga kelat. Siapa suruh cari penyakit izinkan suami kahwin lagi, detik hati kecil Zaiton.

“Ija…rimas akak tengok kau ni tau…tangan berjalan tapi mulut asyik mengeluh je… kenapa ni? Ada masalah lagi?” Dahi Zaiton berkerut memandang wajah Ummi Khadeeja yang kusut itu.

“Ija risaukan anak-anak, Ton. Ija masih tak dapat mencari ayat yang sesuai nak sampaikan pada mereka. Tentang perkahwinan baru ayah mereka tu.” Ummi Khadeeja mendengus kasar. Dia menghempas punggungnya ke sofa,menyandar dan memandang syiling. Zaiton duduk di sebelah.

“Sepatutnya mereka diberitahu sebelum ayah mereka kahwin. Ija dengan Ustaz Amir pandai-pandailah sampaikan pada mereka. Jangan sampai mereka terkejut dan memberontak sudahlah,” giliran Zaiton mengeluh. Dia sendiri turut bimbang. Ada seorang anak kawannya dapat tahu ayah mereka kahwin lagi terus hendak bunuh diri. Nasib baik dapat diselamatkan jika tidak bukankah suatu perkara yang sia-sia.

“Ija tak nak beritahu awal sebab takut menganggu pelajaran mereka pula. Waktu tu mereka sedang menghadapi peperiksaan akhir. Ija tidak mahu mereka terlalu memikirkan masalah itu.”

“Habis tu… sekarang ni kalau beritahu mereka… Ija fikir mereka takkan akan memikirkannya?” Soal Zaiton. Ummi Khadeeja mengeluh. Semoga ada jalan keluar yang baik untuk mereka sekeluarga.

Hampir masuk waktu asar baru Amir Hudzaifa dan Syifa’ Umaira sampai ke Maahad Darul Hikmah. Ummi Khadeeja dan Zaiton menyambut kepulangan dan kedatangan mereka dengan senyuman.

“Selamat datang ke Maahad Darul Hikmah, Syifa’ Umaira,” kata Ummi Khadeeja mengalu-alukan kedatangan pengantin baru dan juga madunya itu. Syifa’ Umaira tersenyum dan memeluk Ummi Khadeeja mesra. Beg pakaian dibawa masuk ke dalam rumah madunya yang hanya beberapa ela dari rumahnya. Syifa’ Umairah melangkah masuk diikuti Amir Hudzaifa dan Ummi Khadeeja. Zaiton terus balik ke rumah penginapannya. Dia tidak mahu menganggu mereka bertiga berkumpul buat pertama kali.

“Mulai hari ni, inilah rumah Mai…harap Mai suka dengan hiasannya. Maaflah akak tak pandai dalam soal hias menghias ni,” kata Ummi Khadeeja merendah diri. Syifa’ Umaira memerhati keadaan sekeliling ruang tamu itu. Langsir berwarna biru muda berbunga kecil warna putih, bukan warna kesukaannya. Sofa berwarna biru tua. Alahai! Teruknya pilihan warna. Warna biru tua, adalah warna yang tidak disukainya

“Maaflah, saya tak suka semua warna ni,” kata Syifa’ Umaira berterus-terang. Terlopong mulut Ummi Khadeeja mendengarnya. Berubah air muka Amir Hudzaifa. Dia memandang wajah Syifa’ Umaira yang bersahaja dan tidak ada rasa bersalah.

“Ini warna kesukaan abang Amir,” terang Ummi Khadeeja. Syifa’ Umaira menutup mulut dengan telapak tangannya dan tersenyum sinis.

“Biru tua dan biru muda warna kesukaan ayang? Maaflah kalau Mai tak suka.” Syifa’ Umaira memaut tangan Amir Hudzaifa. Ummi Khadeeja melarikan matanya dari melihat kemesraan pengantin baru itu.

“Tak apalah… kalau tak suka nanti kak Ija tukarkan yang baru. Er! Mai suka warna apa? Nanti Kak Ija carikan warna kesukaan Mai,” kata Ummi Khadeeja tergagap-gagap. Syifa’ Umaira tersengih.

“Tak apalah kak… nanti Mai ajak abang Amir pergi beli langsir dan sofa baru. Bolehkan bang?” tangannya masih dilengan Amir Hudzaifa. Ummi Khadeeja tersenyum sinis. Banyak duit laki dia? duit laki aku juga tu, desis hati jahatnya, lintasan iblis fikirnya lagi cepat-cepat dia beristighfar.

“Eer! Anak-anak dah balik ke? Tak nampak pun mereka?” tanya Amir Hudzaifa. Menukar topik lain. Pertanyaan Syifa’ Umaira tidak dijawabnya. Dia merengangkan tangannya dari belitan tangan Syifa’ Umaira. Amir Hudzaifa duduk di sofa. Sofa kesayangannya kenapa Ummi Khadeeja letak di sini? Fikirnya sendiri. Dia menepuk-nepuk sofa itu.

“Mungkin kejap lagi sampailah tu,” jawab Ummi Khadeeja acuh tak acuh.

“Kalau tak ada apa-apa, Ija keluar dululah, mungkin abang dan Mai penat.” Ummi Khadeeja meminta diri. Dia melangkah sebelum sempat Amir Hudzaifa berkata apa-apa. Langkahnya terhenti apabila mendengan jeritan Syifa’ Umaira dari dalam bilik. Amir Hudzaifa kelam-kabut melangkah masuk ke dalam bilik begitu juga Ummi Khadeeja.

“Kenapa Mai?” Amir Hudzaifa terkejut. Syifa’ Umaira menunjuk ke arah katil. Ummi Khadeeja memandang ke arah yang sama. Begitu juga Amir Hudzaifa. Tiada apa pun di atas katil tersebut.

“Tak ada apa-apa pun?” Amir Hudzaifa mengangkat bantal dan kain selimut tapi tiada apa yang dijumpai. Mata Ummi Khadeeja juga liar mencari takut-takut ular ke, lipan ke, yang masuk ke dalam bilik itu.

“Mai tak sukalah warna terang untuk bilik. Cadar warna merah, biar betul? Teruknya cita rasa kak Ija? Tak ada kelas langsung,” kata Syifa’ Umaira kasar. Amir Hudzaifa mengerut dahi. Ummi Khadeeja terdiam seketika mendengar omelan Syifa’ Umaira. Tadi ruang tamu, tidak suka warna biru. Masuk bilik pula tidak suka warna merah,sedangkan semua itu suaminya yang suruh letak dan pilih. Ummi Khadeeja mengetap bibir apabila dikatakan tidak ada kelas dalam memilih. Cuma itu sahaja yang ada buat masa ini. Apa yang ada digunakan sebaik mungkin sebelum bertemu yang baru dan warna yang disukai Syifa’ Umaira.

“Ini untuk sementara je Mai, nanti kita beli yang lain,” jelas Amir Hudzaifa memujuk. Ummi Khadeeja mengeluh perlahan. Dia akan suka apa yang suami dia suka, dia juga tak suka warna merah dan warna biru tapi Amir Hudzaifa suka, maka dia harus suka. Ummi Khadeeja lemas lama-lama di situ. Dia terus melangkah keluar sebelum sempat berpamitan.

“Ini semua cita rasa orang tua, bang! Mana sesuai dengan Mai?” kata Syifa’ Umaira lantang. Ummi Khadeeja mencebik. Kau berkahwin dengan orang yang hampir ke usia tua, itulah citarasanya, bisik hati kecil Ummi Khadeeja. Semakin laju dia menghayun langkah meninggalkan rumah setingkat itu.

“Ija…!Ija…! lajunya langkah kau,” Zaiton mendekati Ummi Khadeeja yang berjalan laju bagaikan berlari. Tercunggap-cunggap Ummi Khadeeja. Zaiton tersengih.

“Kau jumpa hantu ke?” usik Zaiton. Ummi Khadeeja menampar lengan Zaiton.

“Nak cepat buat air, nanti takut ada orang mati kehausan pula,” kata Ummi Khadeeja garang. Zaiton ketawa. Apa pula yang terjadi di rumah setingkat itu, ya? Apalah yang menyebabkan sahabatnya itu berangin, fikir Zaiton sendiri. Zaiton mengikut langkah Ummi Khadeeja ke rumahnya.

“Bukan ke tadi Ija dah masukkan air jus dan air kotak dalam peti sejuk, tu. Buka jelah peti sejuk. Bukan susah mana pun,” kata Zaiton yang tidak tahu hujung pangkal yang menyebabkan sahabatnya itu berangin satu badan.

“Ustaz Amir Hudzaifakan minum air panas, mana minum ais Ton!” Hampir sahaja dia jerkah sahabatnya itu. Ummi Khadeeja beristighfar tidak baik dia melepaskan geramnya pada Zaiton yang tidak tahu apa-apa.

“Hoi! Bini muda diakan ada? Ija dah lupa ya?” Lengking suara Zaiton. Ummi Khadeeja terduduk di sofa. Dia hampir terlupa bahawa suaminya sudah berkahwin lagi. Kerana sakit hati dengan kata-kata dan sindiran Syifa’ Umaira dia terlupa langsung semua itu. Zaiton mengurut belakang Ummi Khadeeja.

“Ija hampir lupa yang Ija dah dimadukan, Ton,” sayu nada suara Ummi Khadeeja. Zaiton mengeluh.

“Kenapa bengkeng semacam je ni? Ada apa yang tidak kena ke?” Soal Zaiton. Ummi Khadeeja mengeluh. Kemudian mengeluh lagi.

“Hiasan ruang tamu dan bilik, ada orang tak berkenan. Fesyen orang tua katanya tak mengikut peRedharan zaman.” Ummi Khadeeja mula tersenyum, kemudian ketawa pula. Zaiton mengerutkan dahi. Sudah mereng ke si Ija ni, detik hati kecil Zaiton.

“Ija ingat kot ada ular ke? binatang berbisa ke? Rupanya takut tengok warna cadar, merah menyala,” pecah gelak Ummi Khadeeja. Zaiton yang tidak faham pokok pangkal cerita hanya tersenyum.

“Maksudnya Syifa’ Umaira tak suka warna cadar tulah?” Zaiton meminta kepastian. Ummi Khadeeja mengangguk sambil ketawa. Sekacak-kacak suaminya, dalam pilihan warna memang teruk. Ummi Khadeeja tersenyum sendiri. Suaminya suka warna yang orang lain kurang suka seperti, merah cili, biru tua campur putih, oren atau jingga. Hiasan dalam rumah sendiri pula, Ummi Khadeeja yang memilih sendiri warna-warna untuk sofa dan langsir. Dia tidak harap suaminya memilih . Lihat sahajalah cadangannya untuk menghias rumah keduanya. Nasib baik Syifa’ Umaira tidak sakit jantung kalau tidak pasti pengsan. Ruang tamu langsir warna biru muda berbunga putih, sofa warna biru tua, kalau ikutkan memanglah cantik tapi bagi mereka yang tidak menyukai warna tersebut memanglah akan pening lalat. Kononnya warna merah menyemarakkan lagi cinta pengantin baru, akhirnya ditolak mentah-mentah oleh isteri muda suaminya. Hati Ummi Khadeeja masih digeletek, masih bersisa ketawanya melihat gelagat Syifa’ Umaira dan wajah suaminya apabila isteri mudanya tidak berkenan pilihan warna yang dibuat.

“Nasib awaklah, Amir Hudzaifa,” katanya sendiri.

Pada mulannya Amir Hudzaifa bercadang nak mengecat ruang tamu itu dengan warna biru putih tapi Ummi Khadeeja melarang. Dia menyuruh Pak Hamid dan beberapa pelajarnya mengecat seluruh rumah itu dengan warna putih sahaja jadi kalau ada pertukaran perabut tidak mendatangkan masalah untuk mengontraskan warna perabut dan dinding nanti. Ummi Khadeeja tersenyum lagi. Zaiton mengeluh. Sejak akhir-akhir ini sahabatnya itu terlalu banyak ketawa. Kata orang, mereka yang banyak ketawa sebenarnya orang yang banyak menangis, betul ke tidak? Tidaklah dapat dipastikan.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.