BAB 4
Ustazah
Bariah terkejut dengan kedatangan Syifa' Umaira. Gadis manis itu jarang bertandang ke
rumahnya. Mereka hanya bertemu di kelas
atau pun di masjid. Syifa' Umaira gadis
yang pendiam dan suka menyendiri. Dia
mengenali Syifa' Umaira tetapi tidaklah serapat dia mengenali Jama'yah dan
Azidah rakan sebilik Syifa' Umaira .
“Syifa'
Umaira? Er!… silalah masuk,” pelawa Ustazah Bariah. Syifa' Umaira melemparkan
senyuman dan melangkah masuk.
“Maaflah, datang
tak beritahu ustazah,” kata Syifa'
Umaira. Dia terus duduk di ruang tamu yang agak kecil itu. Mata syifa' Umaira liar memerhati,
terjengah-jengah ke dalam bilik. Tercari-cari kelibat seseorang.
“Tak apa, rumah saya
sentiasa terbuka untuk semua pelajar Malaysia,” kata Ustazah Bariah ramah. Matanya tidak terlepas memerhatikan Syifa'
Umaira.
"Ustaz tak ada," kata Ustazah Bariah seperti tahu apa
yang sedang dicari Syifa' Umaira.
“Kenapa ni? Resah semacam je,” usik Ustazah Bariah. Syifa' Umaira tersenyum lagi.
“Begini ustazah.” Syifa'
Umaira diam semula. Ustazah Bariah duduk
bersila di hadapan Syifa' Umaira. Apalah
yang hendak disampaikan oleh gadis manis ini, detik hati kecil Ustazah
Bariah.
“Cakap je lah, yang awak malu-malu kucing ni kenapa?” Ustazah Bariah menampar peha Syifa'
Umaira. Dia tersenyum melihat gelagat
Syifa' Umaira yang malu-malu ala itu.
Syifa' Umaira tersengih. Buntu memikirkan ayat yang sesuai untuk menyampaikan hasrat
hatinya.
“Saya… Saya nak tanya… betul ke Ustaz Amir Hudzaifa
mencari calon untuk dijadikan isteri
keduanya?” Tanya Syifa' Umaira
tergagap-gagap. Takut tersalah cakap dia
juga yang malu nanti. Dahi Ustaza Bariah
berkerut. Wajah Syifa' Umaira ditenung
dalam-dalam.
“Mana awak dengar
ni? Siapa cakap kat awak?” Ustazah
Bariah terus bertanya.
“Bukan apa, tadi Jama'yah balik dari jumpa ustazah, kan? Dia yang bagi
tahu.” Syifa' Umaira menundukkan kepala. Terasa malu pula apabila Ustazah
Bariah memandang sinis padanya
“Cepatnya berita
itu sampai kepada pelajar perempuan lain ya, awak percaya?” Ustazah Bariah ketawa. Giliran Syifa' Umaira pula mengerutkan
dahi. Apa halnya pula, takkan salah berita yang dibawa oleh Jama'yah tadi, tidak
mungkin mereka permainkan dia? Kalau salah berita yang disampaikan, malu besar
dia nanti. Macam mana ini, kata hati
kecil Syifa' Umaira. Dia mula resah. Merah padam mukanya menahan malu. Ustazah
Bariah pula asyik tersenyum sahaja
memandangnya. Sahlah dia dipermainkan,
kata hatinya lagi. Sekejap Syifa' Umaira
duduk antara dua sujud, sekejap bersila, sekejap bersimpuh. Ustazah Bariah memerhatikan sahaja tingkah
laku gadis di hadapannya itu.
“Yang awak menggelabah semacam tu kenapa?” Ustazah Bariah ketawa lagi. Gelihatinya melihat gelagat Syifa' Umaira
yang mula resah, serba salah pun ada.
“Kalau tak benar
berita yang disampaikan kepada saya, saya
minta maaflah. Menganggu ustazah je.” Syifa' Umaira sudah bersedia untuk
bangun. Semakin galak Ustazah Bariah
ketawa.
“Awak ni Mai,
sudahlah susah nak jumpa saya. Bila ajak
ke rumah selalu menolak. Hari ni tiba-tiba datang tanya soalan pada
saya, betul ke Ustaz Amir Hudzaifa cari calon isteri? Lepas tu mengelabah macam kucing nak beranak, resah tak tentu pasal. Manalah saya tak ketawa,” kata Ustazah Bariah saja hendak mengusik Syifa' Umaira.
“Kalau tak betul, saya minta diri dululah.” Syifa' Umaira bingkas bangun. Ustazah Bariah menarik tangannya menyuruh dia
duduk semula. Dia memandang wajah gadis
manis kacukan melayu-arab itu. Memang
cantik gadis yang berada di hadapannya.
Ramai siswa yang terpikat dengan Syifa' Umaira. Cantik orangnya, secantik namanya. Ada beberapa pemuda masuk meminang tetapi
semua pinangan itu ditolak oleh Syifa' Umaira. Suaminya bagaikan agen pencari jodoh di
situ. Jika ada pemuda yang ingin
menyunting mana-mana siswi mereka akan terus berjumpa dengan Ustaz Baharom, suaminya.
“Kenapa awak
tanya soal itu pada saya? Awak berminat ke?” Soal Ustazah Bariah. Syifa' Umaira memandang wajah Ustazah Bariah
yang sudah serius semula. Syifa' Umaira
tersenyum. Ustazah Bariah turut
tersenyum.
“Ustazah tak jawab
pertanyaan saya tadi? Betul ke Ustaz
Amir Hudzaifa mencari calon isteri?” Tanya Syifa' Umaira semula. Ustazah Bariah mengerling sekilas pada Syifa'
Umaira dan tersenyum manis.
“Betul? Tapi kenapa? Awak teringin nak jadi calon ke?”
“Itu sebab saya datang jumpa ustazah. Saya memang nak jadi calon,” lancar saja ayat
itu keluar dari mulutnya. Ustazah Bariah
terlopong mendengarnya. Biar betul anak
dara ini, takkan sanggup nak jadi isteri ke dua?
“Awak jangan main-main Mai! takkan awak
sanggup jadi isteri kedua Ustaz Amir Hudzaifa?” Ustazah Bariah seperti tidak
percaya dengan pengakuan anak gadis di hadapannya ini. Syifa' Umaira tersengih. Dia menganggukkan kepala mengiyakan kata-kata
Ustazah Bariah tadi.
“Ya, ALLAH… awak benar-benar
sanggup ni?” Ustazah Bariah meminta
kepastian. Semakin kuat anggukan Syifa' Umaira. Ustazah Bariah mendengus kasar, pelik sungguh anak gadis ini, pinangan lelaki
bujang ditolak mentah-mentah, lelaki yang sudah beristeri pula yang dia mahu.
“Saya sanggup ustazah.
Sebenarnya… dah lama saya simpan perasaan
pada Ustaz Amir Hudzaifa.” Syifa' Umaira
berterus-terang. Terkejut Ustazah Bariah
mendengarnya. Macam tidak percaya pula
gadis secantik Syifa' Umaira akan jatuh cinta dengan ustaznya sendiri. Walaupun tidak mengajar sepenuh masa di universiti
tersebut, kehadiran Ustaz Amir Hudzaifa
banyak membantu pelajar-pelajar di universiti itu menambah ilmu di dada. Dengan ketampanan Ustaz Amir Hudzaifa,
kredibilitinya, ilmunya yang tinggi tidak mustahil ramai yang menyimpan
perasaan pada Ustaz Amir Hudzaifa dalam diam. Syifa' Umaira adalah salah
seorang dari mereka. Ustazah Bariah
menggelengkan kepala. Gadis ini terlalu
berani, detik hati kecil Ustazah Bariah.
“Awak tak boleh
semudah itu menyatakan kesanggupan awak menjadi isteri kedua, Mai. Kenalah
bertanya dulu dengan keluarga awak. Apa pula kata mereka nanti? Lagi pun awak masih belum habis belajar lagi,
takkan nak kahwin?” Nasihat Ustazah
Bariah.
“Hati dah suka ustazah, nak buat macam
mana?” Syifa' Umaira mengeluh.
“Suka? Suka yang bagaimana, Mai?”
“Suka… sukalah… takkan ustazah tak faham?" Syifa' Umairah mencebik. Ustazah Bariah macam nak permainkan dia pula.
“Jatuh cinta?” teka Ustazah Bariah dan tersenyum.
“Iyalah!” jawab
Syifa' Umaira sepatah. Dia menundukkan
muka. Terasa tebal pipinya apabila menyuarakan perasaannya
kepada Ustazah Bariah. Ustazah Bariah adalah isteri Ustaz Baharom yang menyambung pelajaran peringkat Master di
Universiti tertua di dunia itu, Universiti Al-Azhar. Tempat yang menjadi pilihan utama
pelajar-pelajar dari Asia tenggara untuk mendalami bidang agama. Ustaz Baharom
merupakan kenalan Ustaz Amir Hudzaifa dan juga anak murid yang tekun
mendapatkan ilmu dari ustaz tersebut.
“Dalam diam awak
menyimpan perasaan pada Ustaz Amir Hudzaifa? Dah lama ke jatuh hati?” usik
Ustazah Bariah. Syifa' Umaira
bermain-main dengan jari-jemarinya yang runcing itu. Ustazah Bariah tersenyum melihat tingkahlaku
Syifa' Umaira yang pemalu itu. Malu seorang gadis. Namun berani menyuarakan hasrat hati.
“Ustazah
janganlah mempersendakan saya… malu saya.” Syifa' Umaira tidak berani bertentang mata
dengan Ustazah Bariah.
“Cuba awak pandang
mata saya, berterus-terang dengan saya.
Kenapa awak nak menjadi calon isteri kedua Ustaz Amir Hudzaifa. Takkan cinta je? Cinta saja tak cukup, Mai.” Ustazah Bariah meminta kepastian.
“Saya sayang beliau kerana keimanannya. Saya cintakan beliau kerana ilmunya tinggi. Saya
kasihkan beliau kerana kebaikannya,” kata Syifa’ Umaira berterus-terang. Ustazah Bariah mengangkat kening. Terkejut dengan pengakuan gadis manis itu.
“Awak serius ni?” Ustazah Bariah meminta kepastian. Syifa’ Umaira mengangguk. Ustazah Bariah menarik nafas panjang dan
melepaskannya perlahan-lahan. Biar betul
budak ini. Tidak mungkin gadis ini sanggup menjadi isteri kedua. Syifa’ Umaira masih muda, cantik dan masih
lagi belajar. Tidak terfikirkah dia akan
masa depannya. Bukan salah menjadi
isteri kedua, tetapi? Ahh! Kenapalah terlalu mengikut kata hati tanpa memikirkan
akibat dari tindakannya itu.
“Mai, saya tidak
melarang keinginan awak. Tapi baik awak
bincang dulu dengan keluarga awak. Kalau mereka tak setuju, susah awak nanti. Apatah lagi bila hasrat awak ni saya dah
sampaikan kepada Ustaz Amir Hudzaifa.
Kalau dia dah setuju, keluarga awak pula tidak, macam mana?”
“Keluarga
saya? Rasanya mereka tidak menjadi
masalah. Lagi pun bukan saya berkahwin
dengan orang sebarangan. Selama ini pun jika ada yang meminang, saya
beritahu mereka. Mereka serahkan pada saya untuk buat
keputusan. Belum pernah mereka mempersoalkan tindakan saya
waktu saya menolak semua pinangan,” kata Syifa' Umaira semakin berani menyuarakan
pendapatnya.
“Itu lelaki
bujang trang tang tang! Ini suami orang,
lain Mai. Situasi sama tapi tak serupa.”
Ustazah Bariah masih lagi cuba menasihati Syifa' Umaira agar tidak membuat
keputusan terburu-buru.
“Saya dah nekad
ustazah, cinta saya terlalu mendalam pada Ustaz
Amir Hudzaifa. Siang malam hanya
wajah dia je yang terbayang di mata saya. Tolonglah ustazah, usahakan agar saya menjadi
calon pilihan Ustaz Amir Hudzaifa,“ rayu Syifa' Umaira, hilang perasaan malu. Apa yang penting segala impiannya akan
tercapai untuk berkahwin dengan orang yang dicintainya. Ustazah Bariah
mengeluh. Nekad sungguh gadis manis ini.
Kalau sudah jatuh cinta, segala-galanya indah.
Sebab cinta manusia sanggup buat apa sahaja. Kerana cinta, manusia hilang rasa malu.
“Mai… saya pun tak tahu nak cakap apa lagi. Bukan mudah Mai, bagi seorang perempuan
berkongsi kasih dengan perempuan lain. Awak
perempuan, saya pun perempuan. Saya sendiri
tak sanggup nak bermadu. Saya tak tahu
nak kata apa. Saya macam tak percaya
pula. Selama ini awak selalu
menolak bila ada orang nak menyunting
awak untuk dijadikan isteri. Mereka yang
datang meminang bukan calang-calang orang.
Iyalah nak kata apa lagikan? Mungkin mereka bukan jodoh awak? Tapi menjadi isteri nombor dua bukan perkara
mudah. Hati dan perasaan kita mudah
tercalar, perasaan iri hati, cemburu, pasti ada. Keikhlasan
penting Mai dalam hidup berpoligami ini.
Bukan cukup hanya kerana cinta dan sayang sahaja. Awak
bukan setakat berkongsi suami tapi berkongsi segala-galanya. Saya rasa baik awak balik dulu. Buat istikharah. Cari jawapan yang pasti. Minta petunjuk ALLAH SWT.”
“Saya dah buat
Istikharah, ustazah. Hanya wajah Ustaz
Amir Hudzaifa sahaja yang terbayang di mata.” Syifa' Umaira tersenyum manis. Menggambarkan keinginannya terhadap Ustaz
Amir Hudzaifa. Ustazah Bariah
menggelengkan kepala. Berita baru sahaja
disampaikan takkan sempat buat solat Istikharah? Biar betul budak ini, bisik hati kecil Ustazah
Bariah.
“Saya
dah fikir masak-masak ustazah. Inilah
keputusan saya. Saya ingin menjadi calon
isteri kedua Ustaz Amir Hudzaifa. Kalau
boleh biarlah jadi ya,” kata Syifa' Umaira mengharap. Ustazah Bariah mengeluh. Tidak malunya. Ada senyum di hati. Ada risau di jiwa. Ustazah Bariah tidak
terkata. Keputusan dibuat tanpa merujuk pada orang tua, buruk nanti akibatnya.
“Keluarga awak macam mana?”
“Tak apa, tahulah
saya menguruskannya,” kata Syifa' Umaira
penuh yakin.
“Kuliah awak
bagaimana pula? Takkan nak belajar sekerat jalan, sayanglah.”
“Insya-ALLAH
pasti ada jalan keluar yang terbaik buat saya,” kata Syifa' Umaira dengan penuh
semangat. Ustazah Bariah mengeluh.
“Kalau awak dah
beriya-iya hendak sangat, saya boleh kata apa.
Beginilah, esok awak datang bawa gambar awak pada saya. Nanti saya akan sampaikan pada Ustaz
Baharom. Dia yang menguruskan hal ini. Cuma,
sambil-sambil tu fikir-fikirkanlah semula keputusan awak, ya! Saya tak nak awak
kecewa di kemudian hari, Mai.” Ustazah
Bariah terus memujuk agar Syifa' Umairah memikirkan keputusannya.
“Insya-Allah, ustazah. Esok saya akan hantar gambar saya. Terima kasih atas nasihat ustazah. Saya tahu apa yang saya lakukan.” Syifa Umaira tersenyum. Hatinya menari-nari riang. Perasaan hatinya yang selama ini dipendam
dalam diam akhirnya terlahir juga.
Semoga
dialah yang akan menjadi pilihan Ustaz Amir Hudzaifa. Biarlah dia yang menjadi isteri kedua Ustaz
Amir Hudzaifa. Pertama atau kedua tidak
menjadi soal yang penting dia akan hidup bersama dengan orang yang dicintainya.
“Semoga
awak ada jodoh dengan Ustaz Amir Hudzaifa, Mai,” lembut suara Ustazah Bariah menuturkannya. Syifa'
Umaira terlalu muda untuk mengetahui asam-garam kehidupan dalam rumah tangga. Hidup berdua suami- isteri pun banyak dugaan
yang terpaksa ditempohi inikan pula berkongsi dengan perempuan lain. Ustazah Bariah bimbang. Takut Syifa' Umaira
tidak mampu menghadapinya.
“Jazakumullah
khair, ustazah. Saya minta diri dulu.” Syifa' Umaira bingkas bangun dan berjalan ke
pintu, diikuti Ustazah Bariah. Mereka
berhenti seketika di hadapan pintu. Syifa'
Umaira menoleh memandang ke arah Ustazah Bariah. Mereka bersalaman dan berpelukan. Setelah mengucapkan salam, Syifa' Umaira pun
berlalu dari rumah Ustazah Bariah.
Hatinya berlagu riang. Impiannya untuk memiliki orang yang disayang akan
tercapai tidak lama lagi. Dia melangkah
dengan penuh yakin. Apa yang penting sekarang adalah berdoa semoga Ustaz
Amir Hudzaifa adalah jodohnya. Dalam
Islam sendiri ada garis panduan dalam memilih jodoh yang sesuai. Pilih kerana harta, kemulian, kecantikan dan agama. Pilihlah yang beragama kerana akan selamat
hidup di dunia dan akhirat. Ustaz Amir
Hudzaifa memiliki semua ciri-ciri tersebut.
Syifa' Umaira yakin dia tidak
tersalah pilih. Apa yang penting adalah
keimanan dan ketakwaan Ustaz Amir Hudzaifa.
Itulah kebahagian dunia dan akhirat apabila mempunyai seorang suami yang
berilmu, beriman dan bertakwa. Syifa'
Umaira tersenyum sendiri. Orang berilmu
seperti Ustaz Amir Hudzaifa pasti boleh berlaku adil. Senyumlah hati, bernyanyi
dan berlagu rianglah engkau. kekasih
hati akan kau miliki, detik hati kecil Syifa' Umaira.
Ustazah Bariah memerhatikan sahaja
langkah Syifa' Umaira dari tingkap rumahnya.
Dia menggelengkan kepala. Siapa sangka ya, gadis secantik Syifa' Umaira
akan jatuh cinta pada suami orang.
Patutlah Syifa' Umaira sanggup menolak pinangan beberapa pemuda
yang datang meminangnya, rupanya hatinya
telah dimiliki dan orangnya pula jauh lebih baik dan bukan calang-calang
orang. Ustazah Bariah tersenyum sendiri
apabila memikirkan Syifa' Umaira. Pasti
suaminya akan terkejut. Suaminya juga
beriya-iya hendak menjodohkan Syifa'
Umaira dengan adik bongsunya yang baru sahaja habis belajar dari Universiti di
Jordan. Nampaknya tidak kesampaianlah
hajat suaminya itu. Orang cantik pasti
menjadi rebutan. Tidak mengapalah
masih ramai lagi pelajar-pelajar Malaysia yang boleh dijadikan
calon untuk adik iparnya itu. Ustazah
Bahriah mengeluh lagi. Biarlah Syifa'
Umaira dengan pilihannya, jika itu yang dirasakan baik untuknya dan masa
depannya. Dia bukan sesiapa pada Syifa'
Umaira. Orang kalau sudah mabuk cinta, semuanya baik pada pandangan mata. Semoga jalan yang Syifa' Umaira pilih ini
adalah yang terbaik untuknya.