Home Novel Keluarga AKU TURUT BAHAGIA ~ ASMAH HASHIM
DUGAAN ~ BAB 16

Haji Salleh mundar-mandir di koridor masjid. Majlis pernikahan dicadang akan diadakan lepas maghrib, namun ditangguh ke isyak. Ini sudah lepas waktu isyak, bayang

pengantin perempuan masih tidak kelihatan. Haji Salleh gelisah. Apa pula permainan mereka kali ini. Haji Salleh mengeluh kesal. Sebelum ini sudah berkali-kali dia sms Ustaz Amir Hudzaifa agar batalkan sahaja pertunangannya dengan Syifa’ Umaira tetapi sahabatnya itu tidak mahu. Perjanjian tidak boleh dimungkiri, katanya lagi. Haji Salleh mendengus kasar. Rakan-rakan yang turu hadir bersama untuk majlis tersebut sudah mula gelisah. Sudah hampir jam sepuluh malam, rombongan perempuan masih belum kelihatan. Di masjid hanya ada ahli keluarga Syifa’ Umaira. Pengantin serta orang tuanya entah di mana? Puas juga dia bertanya pada mereka, namun mereka sendiri tidak tahu. Keluarga Syifa’ Umaira turut membantu menelefon.

Berkali-kali Haji Salleh menelefon Haji Mansor atau Syifa’ Umaira sendiri tetapi tidak berjawab. Haji Salleh tidak berani menegur Ustaz Amir Hudzaifah yang sudah gelisah. Apa pula masalah mereka sehingga lambat sampai. Berbagai perkara bermain difikiran Haji Salleh. Jangan mereka tidak menghadirkan diri sudahlah, malu Ustaz Amir Hudzaifa nanti, detik hati kecil Haji Salleh. Dia yang bertanggungjawab menguruskan perkahwinan Ustaz Amir Hudzaifa. Haji Salleh bingung, kepalanya sudah terasa sakit. Badannya mula berpeluh. Rimas dia rasakan ketika itu. Ustaz Amir Hudzaifa melambai ke arah Haji Salleh yang seperti cacing kepanasan. Haji Salleh menghampiri sahabatnya itu. Dia duduk tenang mengadap kawan, teman dan sahabatnya itu. Wajah Ustaz Amir Hudzaifa sudah pucat semacam saja. Risau Haji Salleh melihatnya.
“Maafkan saya ustaz. Saya dah telefon banyak kali tapi tak berangkat.”

“Tak apa Ji,bukan salah awak pun. Kita tunggu lagi setengah jam. Kalau tak datang juga baik kita batalkan saja.” Amir Hudzaifa gelisah. Dia merasa malu. Kawan-kawan yang sama-sama menunggu juga sudah kegelisahan. Apa sebenarnya terjadi dia sendiri tidak tahu. Kenapa keluarga Syifa’ Umaira buat dia begini. Segala kemahuan mereka sudah pun dia turuti. Duit hantaran, belanja kenduri dan lembu seekor sudah diberi. Apa yang yang tidak kena? Dari jam 6.00 petang dia dan rombongan sudah ada di masjid tersebut. Sejak dari tadi lagi belum sebarang minuman dan makanan dijamahnya. Jamuan akan diadakan lepas majlis akad nikah. Amir Hudzaifa mengeluh. Kasihan pada kawan-kawan yang turut datang bersama semata-mata ingin meraikan majlis pernikahannya.

“Saya cuba telefon sekali lagi ya, ustaz?” Tanya Haji Salleh. Amir Hudzaifa mengangguk perlahan. Dia berserah hanya pada ALLAH. Jika memang sudah tertulis jodohnya dengan Syifa’ Umaira tiada siapa mampu menghalangnya.

Haji Salleh melangkah meninggalkan Amir Hudzaifa dengan beberapa orang kawan. Dia mendail nombor telefon Haji Mansor, tetap tiada jawapan. Dia benar-benar marah dengan sikap keluarga Syifa’ Umaira yang tidak tahu menghormati Amir Hudzaifa. Selama ini tiada siapa berani bertindak seperti ini pada Amir Hudzaifa. Haji Salleh sendiri tidak faham apa masalah mereka agaknya. Suasana terasa tegang. Ahli jawatankuasa masjid juga terpaksa menunggu sehingga apa yang dirancang selesai. Orang yang berada di situ mula berbisik-bisik sesama mereka. Suasana yang tidak menyenangkan hati Haji Salleh.

Masih terngiang-ngiang di telinga Haji Salleh kata-kata Haji Mansor apabila meminta duit untuk majlis kenduri di rumahnya. Pening memang meneningkan kepala. Kalau ikutkan hati amarahnya mahu sahaja dia mengajak Amir Hudzaifa balik saja. Biarlah tidak menikah hari ini. Boleh sahaja mencari perempuan lain untuk dijadikan isteri sahabatnya itu. Tetapi apabila memikirkan kesannya pada nama baik Amir Hudzaifa. Haji Salleh cuba bertahan. Tahan sabar dan sabar menunggu.

“Takkan duit kenduri pun kami kena sediakan Tuan Haji? Hantaran sepuluh ribu tau? Bukan sikit. Ini minta tambahan lagi? Lembu kami dah bagi,” leter Haji Salleh waktu bertemu Haji Mansor di rumahnya untuk menghantar duit hantaran dan lembu yang akan dikorbankan pada hari kenduri nanti. Haji Mansor hanya tersenyum.

“Anak saya terpaksa berkorban tau Ji. Berhenti belajar. Lepas tu jadi isteri kedua pula. Saya mana ada duit nak buat kenduri-kendara ni. Duit dah habis tanggung pelajaran Syifa’ Umaira. Tidak salah rasanya saya minta duit untuk buat kenduri pula. Kalau nak bagi, bagilah. Kalau tak nak saya tak boleh nak buat apa. Kita buat majlis nikah je. Kenduri tak payah buat,” kata Haji Mansor tegas. Haji Salleh menyinga memandang wajah Haji Mansor.

“Berapa pula jumlah kali ni?” tanya Haji Salleh. Sudah malas dia hendak bertekak dengan Haji Mansor. Kalau bertegang urat pun tiada gunanya, Haji Mansor juga menang.

“Tak banyak, lima ribu je…”kata Haji Mansor. Haji Salleh mengurut dahi. Mata duitan ke orang tua ni, detik hati kecil Haji Salleh.

“Lima ribu? Banyaknya Tuan Haji?” Haji Salleh terkejut. Haji Mansor menyengih. Haji Salleh mengeluh. Kalau untuk anak dia sendiri, sudah lama dia batalkan pertunangan yang telah terjalin. Tidak ada ruginya. Masih banyak pilihan di luar sana yang masih layak untuk dijadikan isteri. Tapi apa dayanya Amir Hudzaifa sudah jatuh sayang dengan Syifa’ Umaira. Itu boleh dilihat dari kesungguhan sahabatnya itu dalam memenuhi semua permintaan keluarga bakal isterinya. Haji Salleh menulis jumlah yang diminta di atas sekeping cek. Dia menyerahkannya pada Haji Mansor. Senyuman masih terukir di bibir bakal mentua Amir Hudzaifa. Haji Salleh pulang dengan sumpah seranah dalam hati.

“Ji… macam mana ni? Jadi ke tidak? Nasi dah sejuk di bawah tu. Budak-budak katering dibayar gaji ikut jam,” tanya salah seorang wakil masjid yang menguruskan bahagian tempahan makanan. Haji Salleh mendengus kasar. Masalah, masalah! rungutnya sendiri.

“Tak apalah Bang Mid. Nanti saya bayar gaji budak-budak tu, suruh je mereka tunggu,” kata Haji Salleh. Dia semakin bengang. Kalau lagi lima belas minit tidak tiba juga, baik mereka balik ke Kelantan saja. Malu? Malulah, peduli apa! Dari menunggu bagaikan buah yang tidak gugur, baik berundur sahaja.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.