Home Novel Keluarga AKU TURUT BAHAGIA ~ ASMAH HASHIM
TANGISAN DI HATI ~ BAB 14

BAB 14

Apa lagi hendak dikatakan. Jelas terpancar kegembiraan di wajah suaminya. Tidak perlu menuturkan kata, tidak perlu bercerita. Gerak gaya dan bahasa tubuh menjelaskan segala-galanya. Ah! Sakitnya hati hanya dia merasai. Sakitnya jiwa hanya dia yang mengerti. Entah banyak mana air matanya mengalir dikesempatan bila berseorangan. Tanpa diminta dan dipaksa air matanya akan mengalir sendiri. Hiba benar hatinya. Kecewa benar rasanya. Hati suaminya akan dibahagi dua. Kasih sayang suaminya akan dibahagi dua. Cinta suaminya akan dibahagi dua. Mampukah dia menghadapinya? Hanya masa yang akan menentukannya. Bersabarlah dengan dugaan yang ada. Ummi Khadeeja melipat pakaian yang akan dipakai oleh suaminya ketika majlis pernikahannya nanti. Lipatan bersama air matanya yang mengalir tiba-tiba. Ya, ALLAH, hati kenapa engkau bersedih lagi, sedangkan engkau sendiri telah mengikhlaskan

pernikahan ini. Janganlah kau berduka lagi. Janganlah kau bersusah hati. Engkau tidak sendiri. Engkau tidak akan sepi kerana ALLAH sentiasa bersamamu, detik hati kecil Ummi Khadeeja. Berkali-kali dia menyeka air matanya dari mengalir. Semakin ditahan semakin sebak dadanya.

“Ija buat apa tu?” Amir Hudzaifa melangkah masuk ke dalam bilik. Ummi Khadeeja cepat-cepat menyeka air mata di pipi dengan hujung bajunya. Dia menoleh dan melemparkan senyuman manis. Maniskah lagi senyumanku ini sedangkan hatiku berkecamuk dengan berbagai perasaan. Mampukah aku berlagak gembira sedangkan hatiku kecewa, bisik hati kecilnya.

“Siapkan beg pakaian abang. Baju dan semua keperluan abang sudah Ija masukkan ke dalam beg. Takut nanti ada pula yang tertinggal.” Ummi Khadeeja berwajah manis. Manis lagi wajah bakal pengantin baru untuk sekali lagi. Sabarlah hati.

“Ija tak nak ikut sekali ke majlis pernikahan abang? Kalau abang, nak sangat Ija ada bersama. Barulah terasa meriahnya,” lembut Amir Hudzaifa menuturkan kata. Ummi Khadeeja tersenyum sumbing. Tahukah kau perasaan isterimu kini, wahai suamiku. Engkau gembira, aku berduka. Engkau bahagia, aku sengsara. Aku hanya manusia biasa yang ada hati dan perasaan yang juga tidak buta dan tuli, hatinya terus berbicara.

“Tak apalah bang. Biarlah Ija menunggu di sini sahaja. Nanti tak selesa pula abang nak berbulan madu,” ada getar kecewa pada suaranya. Ummi Khadeeja terus berlagak biasa. Jangan sampai ketara nanti timbul lain pula cerita. Amir Hudzaifa tersengih menampakkan barisan giginya yang tersusun kemas dan teratur. Inilah padahnya bersuamikan orang yang kacak bergaya. Mudah sahaja orang jatuh cinta dan mudah pula dia bertukar rasa. Walaupun bukan semua namun kebanyakkannya. Ummi Khadeeja mendengus perlahan tidak mahu suaminya salah sangka dan mengetahui yang dia masih berduka.

“Ija tak apa-apakan?” Amir Hudzaifa mencari jawapan pada wajah yang tenang itu. Tiada riak duka. Tiada riak kecewa. Mungkin isterinya itu benar-benar ikhlas dan gembira dengan perkahwinannya nanti. Amir Hudzaifa tersenyum bahagia. Ummi Khadeeja tersenyum memandang suami tercinta. Pandai dia menyembunyikan perasaan duka di hati.

“Insya-ALLAH bang, Ija tak apa-apa,” perlahan Ummi Khadeeja menjawabnya. Biarlah kusimpan duka di hati. Tidak perlu, wahai suamiku engkau mengetahui. Tangan Ummi

Khadeeja masih tekun bekerja. Amir Hudzaifa menjadi pemerhati. Sesekali Amir Hudzaifa mengeluh. Dahi Ummi Khadeeja berkerut.

“Kenapa bang? Macam susah hati je? Takkan nak kahwin masih berserabut fikiran? Ija dah izinkan, apa pula masalahnya?” Ummi Khadeeja menyimpan semua pakaian yang telah dilipat ke dalam beg.

“Tadi Haji Salleh telefon, mengadu pasal keluarga Syifa’ Umaira minta duit lagi untuk buat kenduri.” Amir Hudzaifa mengeluh. Wang hantaran dan mas kahwin sahaja sepuluh ribu ringgit. Lembu seekor sudah dihadiahkan untuk dijadikan hidangan waktu majlis kenduri di sebelah perempuan. Ini minta lagi. Amir Hudzaifa menggaru kepala yang sengaja digunting hampir botak. Dia suka stail itu mudah untuk dijaga.

“Takkan duit untuk kenduri pun kita kena bagi bang? Tak pernahlah Ija dengar perkara macam ni. Setahu Ija, duit hantaran tulah yang dibuat kenduri, bukan begitu bang?” Ummi Khadeeja kehairanan. Kenapa pula keluarga Syifa’ Umaira meminta wang untuk buat kenduri. Duit hantaran yang diberi mereka gunakan untuk apa? Macam-macam permintaan keluarga Syifa’ Umaira. Baru-baru ini sibuk mereka menyuruh suaminya buat ujian HIV. Memanglah wajib dilakukan. Tetapi tidaklah perlu terlalu mendesak. Letih rasanya melihat sikap keluarga Syifa’ Umaira.

“Haji Salleh dah bising-bising suruh abang batalkan pernikahan ini. Cari je perempuan lain katanya.” Amir Hudzaifa mendengus kasar. Ummi Khadeeja mengangkat kening memandang wajah suaminya yang masih gelisah.

“Kalau dah banyak masalah kenapa tidak? Ramai lagi yang sudi?” Ummi Khadeeja sengaja menduga. Amir Hudzaifa tidak berkutik. Dia seperti berfikir sesuatu. Ummi Khadeeja mencebik.

“Janji tak boleh dimungkiri Ija. Kalau setakat duit kenduri seribu dua, tak apalah,” jawab Amir Hudzaifa. Ummi Khadeeja tersenyum sinis. Nampak sangat hatimu dah tertawan, suamiku. Masalah ada jalan penyelesaiankan? Ummi Khadeeja mengeluh perlahan.

“Iyalah, bang,” jawab Ummi Khadeeja. Malas untuk berbicara. Keputusan yang ada wajib diteruskan juga kerana hati sudah suka. Biar ombak dan badai datang melanda. Selagi

dayung di tangan teruskan sahaja. Selagi tidak karam dilangar badai, kapal yang sedang belayar teruskan pelayarannya. Ummi Khadeeja tersenyum sinis memandang wajah kekasih hati asyik mengeluh dari tadi. Tidak ada masalah cari masalah, tiada beban cari beban. Kalau sudah jodoh tidak ke mana biar yang menghalang raja atau sultan sekali pun tiada siapa mampu melawan takdirnya ILAHI. Semoga kebahagian itu milik mereka bersama.

“Ayah dan emak juga tak nak pergi.” Amir Hudzaifa melepaskan pandangan ke luar tingkap. Ada duka pada kata-katanya. Ada kecewa di dalam hati.

“Tak apalah bang. Apa yang penting mereka merestui abang dari jauh. Lagipun emak dan ayah abang dah tak larat nak berjalan jauh.” Ummi Khadeeja tersenyum. Amir Hudzaifa mengangguk perlahan. Mungkin benar kata Ummi Khadeeja. Ayah dan emaknya bukan kuat sangat, usia dan semakin lanjut tidak mampu berjalan jauh. Beg yang telah di isi dengan barangan keperluan Amir Hudzaifa di letak tepi. Ummi Khadeeja bingkas bangun. Dia melangkah ke katil dan menyandar di birai katil. Amir Hudzaif masih melayan perasaannya sendiri. Ummi Khadeeja memerhati tanpa berkata apa-apa. Amir Hudzaifa meraup wajahnya dengan kedua belah tangan. Dia mengeluh sambil melemparkan senyuman pada Ummi Khadeeja .

“Ramai yang membantah dari menyokong.” Amir Hudzaifa ketawa. Ummi Khadeeja tersenyum.

“Jika niat abang betul. Insya-ALLAH lama-lama masyarakat akan menerima,” jawab ummi Khadeeja. Amir Hudzaifa mendekati Ummi Khadeeja. Wajah redup isterinya ditenung seketika. Dia meletakkan punggung di atas katil. Tangan Ummi Khadeeka diraih dalam genggamannya.

“Terima kasih kerana mengizinkan abang berkahwin lagi… terima kasih kerana menjadi seorang isteri yang taat dan setia,” dahi Ummi Khadeeja dicium penuh kasih dan sayang. Terkesima Ummi Khadeeja seketika. Terasa diri disayangi. Bertuah rasanya diri dikurniakan suami yang penyayang, lembut dan bertanggungjawab. Tiada apa yang kurang. Berilmu dan beriman. Bak kata orang dunia dan akhirat berada di hadapan mata.

Tuduhan yang dilemparkan keluarga Syifa’ Umaira kepadanya tidak memberi kesan sedikit pun. Kejam sungguh tuduhan dan hinaan yang yang diterima dari keluarga bakal madunya itu. Apakah dia bersalah kerana suaminya ingin berkahwin lagi? Apakah dia penyebab sehingga suaminya mahu berkahwin lagi. Kenapa kesalahan perempuan sahaja dicari. Apakah perempuan penyebabnya terjadi poligami? Tidakkah poligami berpunca dari lelaki? Ummi Khadeeja mengeluh kesal.

“Kenapa Ija? Ada masalah lagi ke?” Tanya Amir Hudzaifa lembut. Terpancar sifat penyayang dalam diri suaminya itu. Bertuah kau Syifa’ Umaira, detik hati kecil Ummi Khadeeja.

“Ija masih bimbang pandangan masyarakat terhadap Ija bang. Selalu isteri tua di salahkan jika suami bernikah lagi. Ija harap, Ija mampu menelan semua tohmahan mereka nanti terhadap Ija. Apa salahnya abang berkahwin lagi sedangkan Ija sudah setuju. Ramai isteri sanggup biarkan suami mereka main kayu tiga di belakang dan buat maksiat dari membenarkan suami mereka berkahwin lagi.” Ummi Khadeja mengeluh kesal. Perkara halal dipandang buruk, yang buruk dipandang baik.

“Itulah sikap masyarakat hari ini Ija,” sambung Amir Hudzaifa. Ummi Khadeeja melintukkan kepala di bahu suaminya. Amir Hudzaifa memeluk tubuh isterinya erat.

“Poligami harus diikut bersama dengan ilmu. Tanpa ilmu dan iman maka terjadilah penganiayan. Seperti yang banyak berlaku di luar sana. Abang tak salahkan masyarakat jika memandang serong rumah tangga yang berpoligami. Semuanya kerana sikap mereka yang mengamalkannya tidak berilmu dan tidak mengikut syariat yang telah ditetapkan dalam agama kita,” jelas Amir Hudzaifa panjang lebar.

“Abang tak macam tu, kan? Abang takkan sia-siakan Ija, kan? Ija sedar diri bang, tak secantik dan segebu dulu. Tak secantik Syifa’ Umaira. Dia memang cantik dan memang sesuai dengan abang.” Ummi Khadeeja menyembamkan mukanya ke tubuh Amir Hudzaifa. Biarlah dia bermanja sepuas-puasnya dengan Amir Hudzaifa. Mungkin ini adalah yang terakhir? Siapa tahu?

“Jangan cakap macam tu Ija! Ija tetap di hati abang. Tanpa keizinanmu, abang tidak akan berkahwin. Biarpun bidadari dari syurga menjadi bakal isteri abang,” kata Amir Hudzaifa tegas. Ummi Khadeeja ketawa, dia memandang wajah suaminya. Manis sungguh mulutmu berkata, bang.

“Kalau macam tu, abang tak payah pergi nikah. Kita batalkan sahaja majlis ini,” uji Ummi Khadeeja. Amir Hudzaifa terdiam. Wajahnya berubah pucat dan tegang. Ummi Khadeeja tersenyum sinis. Hatimu telah dimiliki, bang. Tidak mungkin kau berpatah kembali, berbisik terus hati Ummi Khadeeja. Tidak mampu mengeluarkan kata-kata biarlah hatinya sahaja berkata-kata, dalam diam dan senyap hanya dia sahaja yang mengetahuinya.

“Eh! Tak boleh macam tu Ija. Persiapan semuanya dah dibuat. Duit abang pun dah banyak keluar. Kalau batal hilang semua, apa pun tak dapat!” Amir Hudzaifa mengerut dahi. Ummi Khadeeja ketawa sinis. Lelaki! kau tetap lelaki, suamiku. Ummi Khadeeja mengeluh.

“Tak berani ke? Abang dah jatuh sayang pada Syifa’ Umaira ya?” usik Ummi Khadeeja. Amir Hudzaifa tersipu malu.

“Bakal isteri, Ija, takkan tak belajar menyayangi,” jawab Amir Hudzaifa. Ummi Khadeeja tersenyum sumbing. Tidak mampu aku berbuat apa-apa bang kerana kini hatimu telah dimiliki. Ummi Khadeeja melangkah pergi membiarkan Amir Hudzaifa sendirian di kamar yang terasa semakin hari semakin sepi. Bagaikan senikata lagu, Sesalan tidak terucap, bila kau berubah sikap, ku sedar siapa diriku, kau jadi tempat berteduh! Ummi Khadeeja mengeluh. Bila kau berubah sikap, aku akan pergi jauh darimu bang, bergetar hati Ummi Khadeeja. Sayu dan hiba rasanya. Hanya air mata peneman setia setiap duka dan laranya

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.