Home Novel Keluarga AKU TURUT BAHAGIA ~ ASMAH HASHIM
MAIN TARIK TALI ~ BAB 15

BAB 15

Khatijah memandang wajah Syifa’ Umaira yang muram. Dia menggelengkan kepala. Simpati sungguh dia dengan anak buahnya yang seorang ni. Sejak akhir-akhir ini Syifa’ Umaira banyak termenung dan bersendirian. Wajahnya tidak ceria, senyumannya tidak semanis dulu. Bagai berat bebanan yang sedang ditanggung.

“Nak beli kain tudung ke tidak ni? Mak su tengok muram je, tak bersemangat langsung. Kalau tak nak beli, baik kita balik je.” Khatijah mendekati Syifa’ Umaira. Tangan di kain tapi fikiran entah merawang ke mana.

“Maaflah mak su. Menyusahkan mak su je.” Syifa’ Umaira melemparkan senyuman. Dia fokus kembali. Beberapa helai kain kosong telah dipilih untuk dibuat tudung labuh. Khatijah membayar harga kain tersebut. Syifa’ Umaira pula berjalan-jalan sambil membelek beraneka jenis kain yang terdapat di dalam kedai tersebut.

“Beli tiga helai je,cukup ke?” tanya Khatijah. Syifa’ Umaira mengangguk lemah. Seperti orang hilang semangat. Khatijah menggelengkan kepala.

“Jom pergi minum, mak su hauslah.” Khatijah menarik tangan Syifa’ Umaira menuju ke restoran berhampiran. Syifa’ Umaira mengikut sahaja. Mereka masuk ke sebuah restoran masakan kampung berhampiran kedai kain di Bandar Ipoh. Mata Syifa’ Umaira memandang persekitaran restoran. Pelanggan tidak begitu ramai mungkin masih awal. Belum tiba waktu makan tengahari. Makanan yang terhidang bersusun kemas di atas rak yang disediakan.

“Mai, nak makan ke?” Tanya Khatijah. Syifa’ Umaira menggelengkan kepala. Tekaknya tidak selera hendak menjamah apa-apa makanan, hanya air menjadi santapannya. Mungkin kerisauannya membuatkan dia hilang selera makan. Setelah memesan minuman kegemaran masing-masing, mereka duduk santai sambil menunggu pesanan mereka tiba.

“Tinggal beberapa hari saja lagi Mai akan menjadi isteri orang. Sepatutnya gembira. Bukan bermuram durja. Lagi pun Maikan berkahwin dengan pilihan sendiri? Kenapa perlu ada duka dalam hati?” Khatijah merenung wajah anak buahnya yang suram dan muram itu.

“Mak su, kalau Mai batalkan pernikahan Mai dengan Ustaz Amir Hudzaifah, bagaimana?” Syifa’ Umaira menundukkan wajahnya tidak berani dia bertentang mata dengan emak saudaranya itu. Tersedak dan terkejut Khatijah mendengarnya. Dia mengurut dada. Dia beristighfar berkali-kali. Waras ke tidak anak buahnya ni, detik hati kecil Khatijah.

“Kenapa ni? Kenapa pula nak batal? Semua persiapan dah buat! Kad dah edar. Bunga telur dan siap. Khemah dah tempah. Jiran tetangga, saudara mara dah dijemput. Mai jangan main-main?” Khatijah menjegilkan mata.

“Entahlah! Macam tak bersedialah pula. Jauh di sudut hati, Mai rasa tak selesa sebab ayah dan emak bukan terima seratus peratus pun perkahwinan Mai ni. Mai takut tak bahagia nanti tanpa restu orang tua,” Syifa’ Umaira meluahkan rasa hatinya yang telah disimpan sejak berhari-hari lalu. Hanya pada mak sunyalah dia dapat meluahkannya. Dia tahu mak sunya tidak akan marah dan melenting mendengar kata-katanya itu.

“Mai, Mai! Bila nak buat sesuatu tu fikir dulu semasak-masaknya. Jangan ikut nafsu je. Tak sudah-sudah nak menyusahkan emak dan ayah. Semua persiapan sudah dibuat. Ya, ALLAH! Cukup-cukuplah Mai! Mai sendiri yang pilih. Ingat senang ke, mula-mula terima, lepas tu minta putus dan batal? Ini melibatkan maruah keluarga, Mai!” Khatijah mendengus kasar. Geram dia dengan sikap acuh tak acuh Syifa’ Umaira. Dia tidak mahu anak buahnya membuat keputusan terburu-buru tanpa memikirkan kesan dan akibatnya pada keluarganya dan keluarga bakal suaminya.

“Tapi mak su?” Syifa’ Umaira serba-salah. Apa guna dia berkahwin sedangkan orang tuanya bagaikan tidak merestui. Hubungan dengan emaknya juga hambar dan tidak semesra dulu. Sepatah ditanya sepatah yang dijawab. Bagaikan orang asing walaupun duduk di bawah satu bumbung. Jiwanya kosong. Hidupnya sepi tanpa gurau-senda ayah dan emaknya. Terasa rindu dengan pelukan dan belaian manja tangan orang yang telah melahirkannya ke dunia ini. Dada Syifa’ Umaira sebak. Semua ini salah dirinya sendiri. Kalaulah dia tidak mengikut kata hati pasti hubungannya dengan keluarga masih baik dan dia masih lagi belajar.

“Sudah terlambat Mai! Sepatutnya dari dulu Mai berfikir sebelum buat keputusan. Terlajak perahu, boleh diundur, terlajak perbuatan nak buat macam mana?” Khatijah mendengus kasar. Geram pula dia dengan Syifa’ Umaira. Apa yang ada dalam kepala otak anak buahnya itu dia sendiri tidak tahu. Dia ingat majlis kenduri kendara, nikah kahwin ini perkara main-main. Maruah keluarga! Semuanya melibatkan maruah keluarga. Nama baik keluarga akan tercemar jika perkara itu berlaku. Syifa’ Umaira sudah mula hendak menangis. Khatijah mengeluh kesal.

“Jangan nak tumpahkan air mata kat sini? malu orang tengok,” kata Khatijah separuh berbisik. Syifa’ Umaira menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan. Dia memandang wajah emak saudaranya dengan penuh mengharap.

“Tak payah buat muka kesian!” Marah Khatijah. Air yang dipesan tidak disentuh. Khadijah bingkas bangun, terus menuju ke kaunter dan membayar harga minuman. Terkulat-kulat Syifa’ Umaira memerhatikan langkah emak saudaranya itu. Dari kejauhan Khatijah mengamit Syifa’ Umaira yang masih tidak bergerak dari tempat duduknya. Wajah Khatijah mencuka. Marah ada, geram pun ada. Kalau lagi banyak dia bercakap silap haribulan penampar naik ke muka Syifa’ Umaira.

Langkah Khatijah laju sahaja berjalan ke kereta yang berada tidak jauh dari restoran tersebut. Syifa’ Umaira mengikut dari belakang. Khatijah mencampak bungkusan kain yang dibeli tadi ke dalam perut kereta dan melangkah masuk. Dia mengomel sendiri.

“Mak su...!” Syifa’ Umaira memandang sayu. Khatijah mendengus kasar. Wajah Syifa’ Umaira ditenung tajam. Kereta yang sudah dihidupkan enjin dibiarkan saja, tidak bergerak.

“Dengar sini Mai, semua yang terjadi Mai yang atur sendiri. Buat keputusan sendiri. Sebelum ni ramai yang dah nasihat, tapi tak nak dengar. Mak dan ayah dah larang, tapi kau degil! Jangan buat kerja bodoh yang boleh memalukan keluarga. Ustaz Amir Hudzaifa bukan calang-calang orang, ramai yang kenal dia, ramai anak muridnya. Kalau pernikahan ini terbatal. Orang tak kata dia salah tau! tapi Mai yang salah. Nanti orang akan bersangka buruk dengan Mai. Siapa yang nak kahwin dengan Mai masa tu? Cuba beritahu mak su? Bertindak biar bijak. Cinta konon? Kalau dah cinta kenapa nak ubah fikiran? Mai ingat perkara ni main-main? Mak su tak nak dengar. alau emak dan ayah tahu, entah apa lagi yang akan berlaku. Tinggal beberapa hari saja lagi. Ya, ALLAH… Mai, jangan harap kami nak faham Mai saja. Mai kena juga faham perasaan orang tua, Mai!” leter Khatijah panjang lebar. Syifa’ Umaira sudah menangis. Tidak berkesan pun di hati Khatijah. Sendiri cari penyakit, sendirilah cari ubatnya. Sendiri yang mencari masalah, sendirilah cari jalan keluarnya, bisik hati kecil Khatijah.

Syifa’ Umaira tidak terkata apa-apa. Hanya air mata yang berbicara. Dia tahu dia bersalah, kalau tidak kerana sikap orang tuanya pasti dia tidak akan bertindak seperti ini, berfikir seperti ini. Kedinginan sikap kedua mereka membuatkan hatinya sakit. Jiwanya meronta-ronta mengharapkan mereka. Mak Su Khatijah sendiri sudah mula marah-marah padanya. Sepanjang perjalanan pulang ke rumah, mereka tidak bersembang langsung. Khatijah mencuka. Syifa’ Umaira asyik melayan perasaan sedihnya.

Khatijah mengeluh sendiri. Hati siapa yang tidak simpati. Tetapi dia tidak mahu melayan perasaan Syifa’ Umaira yang suka berubah-ubah dan tidak tetap pendirian itu. Kalau dilayan haru-biru jadinya. Mahu mengamuk sakan kakak dan abang iparnya. Anak-anak zaman sekarang, buat sesuatu suka ikut nafsu. Perasaan orang tua tidak penting bagi mereka. Apa yang penting segala keinginan mereka terpenuhi. Khatijah memandu berhati-hati, jalan simpang hendak ke rumah Syifa’ Umaira hanya ada dua lorong sahaja.

Calon suami bukan calang-calang orang. Seorang hafiz, pakar hadis, berilmu dan tawaduk. Ingat senang hendak putus macam itu sahaja. Kalau orang keliling tahu tentu jadi bahan cerita. Sudahlah begitu, suami orang pula tu. Memang kerja gila. Sanggup dimadu gara-gara cinta. Bila ada masalah bukannya hendak menghadapinya, tetapi mula nak menarik diri. Khatijah memandang Syifa Umaira dengan ekor matanya. Sudah terlena anak buahnya. Keletihanlah tu, sebab terlalu banyak menangis. Khatijah menggelengkan kepala. Harap-harap kakak dan abang iparnya akan berubah sikap menerima kehadiran bakal suami anak mereka dengan baik. Restu orang tua penting dalam sebuah rumah tangga. Redha orang tua maka Redhalah ALLAH. Kalau ikut hati marah, mahu sahaja dia sekel-sekel kepala anak buahnya itu. Kalau ikutkan geram, mahu sahaja dia tempeleng muka Syifa’ Umaira supaya sedar yang dia berada di dunia nyata dan bukan dunia khayalannya sendiri.

Syifa’ Umaira termenung sendiri. Matanya terrpejam tetapi akalnya berjalan. Cuba mencari jalan keluar dari masalah yang sedang dihadapinya. Mak sunya sendiri sudah marah padanya. Orang tuanya sendiri semakin menjauh darinya. Dia tiada sesiapa untuk dia mengadu dan meluahkan apa yang dirasa. Kenapa hatinya begitu berat untuk meneruskan rancangan yang dia sendiri lakukan. Kenapa hatinya berat untuk menerima pernikahan yang dia sendiri merancangnya. Mungkin kerana sikap orang tuanya membuatkan dia berfikiran dan merasa begitu. Ya, ALLAH… aku ingin RedhaMu dan juga Redha orang tuaku. Setitis manik jernih jatuh di pipi. Syifa’ Umaira mengeluh lagi melepaskan beban di hati.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.