BAB 2
“Dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu…(Surah Luqman ayat
7)
UMMI KHADEEJA menadah tangan memohon petunjuk daripada ALLAH SWT. Dia tidak menentang hukum ALLAH SWT. Dia tidak
menentang poligami, cuma dia terkejut apabila suaminya meminta untuk berkahwin
lagi. Paling dia takuti, dia tidak boleh
menguruskan perasaannya sendiri.
Perasaan cemburu kepada perempuan lain. Dia tidak mampu berkata
apa-apa. Lidahnya kelu bagaikan
terkunci. Dia tidak bermaksud untuk membisu atau tidak bercakap dengan suaminya.
Entahlah dia sendiri tidak tahu apa yang harus dia katakan. Apakah dia harus menunjukkan reaksi
kecewa? Gembira atau suka dengan
permintaan suaminya itu? Dia sendiri
tidak tahu perasaannya ketika itu. Apa
yang pasti hatinya benar-benar sakit.
Enam belas tahun
bukan waktu yang singkat. Enam belas
tahun mereka hidup bersama. Kenapa
semuanya berubah dalam sekelip mata sahaja?
Mana janji manis suaminya sewaktu mereka baru berumah tangga dahulu? Dia menangis sayu.
Bagai terngiang-ngiang janji manis Amir Hudzaifa di malam pertama
mereka.
“Ija…
terima kasih kerana sudi menjadi suri hati abang. Abang berjanji akan setia hanya pada Ija. Ija
yang pertama dan terakhir untuk abang.
Abang tidak akan mensia-siakan Ija.
Abang tidak akan menduakan Ija.
Abang janji sayang.” Amir
Hudzaifa membelai lembut pipi gebu Ummi Khadeeja. Akhirnya anak gadis kawan baik ayahnya itu, menjadi miliknya abadi.
“Abang, jangan
mudah abang berjanji. Takut nanti abang
tak mampu nak tepati. Perjalanan hidup
kita masih jauh, bang. Kita tidak tahu masa depan kita. Ija
ucapkan terima kasih kerana abang sudi mengambil Ija sebagai isteri. Terima
kasih juga kerana menerima Ija seadanya. Semoga rumah tangga yang kita bina ini kekal
sehingga akhir hayat kita.” Ummi
Khadeeja memeluk tubuh Amir Hudzaifa erat.
Seerat kasihnya kepada suaminya itu.
Ah! Semua itu sudah berlalu.
Kenangan hanya tinggal kenangan.
Tidak mungkin akan berpatah kembali. Ummi Khadeeja menangis lagi. Itu cerita enam belas tahun dahulu,
sewaktu mereka baru mendirikan rumahtangga.
Sekarang ini semuanya sudah berubah.
Perasaan suaminya juga sudah berubah.
Bukan berubah ke jika niat di hati ingin kahwin lagi. Dia menangis sayu.
Amir Hudzaifa tersedar dari lena apabila mendengar suara Ummi
Khadeeja menangis. Dia yang berada di atas katil memerhati sahaja tingkah laku isterinya
dari kegelapan malam. Lampu bilik tidur
tidak dipasang. Sebak dadanya mendengar
suara tangisan isterinya. Perlahan-lahan
dia mendekati Ummi Khadeeja. Tubuh
isterinya yang masih bertelekung dipeluk erat.
“Jangan macam ni sayang! Hiba hati abang melihat keadaan Ija
begini.” Amir Hudzaifah membelai lembut rambut isterinya. Ummi Khadeeja menolak tubuh Amir Hudzaifa
lembut dan memandang wajah suaminya. Janggut yang kemas rapi, kumis yang tipis.
Hidung mancung bak seludang. Wajah kacak
yang menjadi idaman ramai gadis dan wanita yang mengimpikan suami yang kacak,
warak dan berilmu. Dia sungguh bertuah
memiliki suami seperti Amir Hudzaifa.
Bertuahkah dia kini apabila suami yang
disanjung tinggi tiba-tiba ingin menikah lagi?
“Kenapa semua lelaki menjadikan alasan berpoligami kerana mengikut
Sunnah Rasullullah SAW? Sedangkan Rasullullah SAW berkahwin bukan kerana nafsu.
Malah, perkahwinan poligami Baginda SAW
terjadi setelah tiga tahun wafatnya Syaidatina Khadijah r.a. Ini bermakna Rasulullah SAW setia kepada
seorang isteri selama dua puluh lima tahun!
Perasaan cinta itu tidak pernah hilang walaupun setelah wafatnya isteri
Baginda SAW yang tercinta. Kalaulah
benar ingin mengikut contoh Rasulullah SAW, kenapa tidak berkahwin setelah Ija
meninggal dunia?” Mata Ummi Khadeeja
masih menatap wajah Amir Hudzaifa di dalam kesuraman
malam. Sengaja dia tidak memasang lampu
sewaktu bersolat tahajud. Terkedu Amir
Hudzaifa mendengar tutur kata isterinya itu.
Tidak disangka soalan itu akan keluar dari mulut Ummi Khadeeja. Kenapa dia tidak pernah perasan tentang itu,
sedangkan sudah acap kali dia memberi contoh tentang poligami mengikut cara Rasulullah
SAW.
“Baginda berkahwin bukan kerana mengikut nalurinya sahaja, bang. Semua perkahwinan poligami Baginda SAW
bersebab dan ada yang berlaku atas kehendak ALLAH SWT. Atas alasan apa abang ingin berkahwin lain? Kalau atas alasan kerana sering bermusafir
dan abang ingin isteri baru abang
nanti membantu Ija menguruskan maahad, mungkin boleh diterima. Tetapi
apakah alasan itu sudah cukup kuat untuk membolehkan abang bernikah lagi?” Tanya
Ummi Khadejaa tegas, dalam esakan yang semakin menjadi-jadi. Amir Hudzaifa tetap membisu. Hatinya benar-benar terhiris dengan keputusan
yang dibuat oleh suaminya. Dia kecewa
memikirkan permintaan suaminya itu.
“Ija, jangan macam ni! Abang
tak bermaksud untuk menyakiti hatimu. Percayalah
pada abang. Abang akan berlaku adil
padamu. Abang tidak akan mensia-siakan
Ija dan anak-anak,” janji Amir Hudzaifa. Dia cuba meyakinkan isterinya.
Ummi Khadeeja masih lagi menangis.
Mampukah untuk dia hidup berkongsi kasih sayang suaminya dengan perempuan
lain? Persoalan yang sedang bermain difikirannya
ketika ini. Mampukah suaminya berlaku adil? Bukan sahaja dari segi giliran tetapi adil
dalam menjaga perasaannya sebagai seorang isteri dan perempuan? Ada ke
perempuan yang mahu menjadi isteri kedua kepada seorang lelaki yang mempunyai
tiga orang anak seperti suaminya? Bolehkah
keluarga gadis itu menerima suaminya itu yang masih lagi bergelar suami orang
sebagai menantu? Mahukah mereka melihat
anak gadis mereka dijadikan isteri kedua? Ummi Khadeeja melepaskan keluhan lagi. Dia
menyeka air mata dengan hujung telekungnya.
“Bawa mengucap Ija!” Pujuk
Amir Hudzaifa. Ummi Khadeeja memandang wajah suaminya dengan pandangan yang
sinis. Lelaki, mudah kau menabur janji,
mudah juga kau mungkiri, hatinya berkata-kata lagi.
“Ija masih sedar bang. Ija
masih ingat pada ALLAH. Cuma berilah Ija masa untuk memikirkannya. Hati Ija
cukup kecewa dengan keputusan abang.
Hati Ija hancur!” Jiwa dan
hatinya bagaikan kosong. Semuanya
bagaikan terawang-awang. Dia tidak
merasakan apa-apa lagi. Mungkin juga
hatinya kecewa. Naluri kewanitaannya terguris.
Hati perempuannya lebur bagai debu mendengar cadangan suaminya itu.
Mungkin itu yang dia rasakan ketika ini sehinggakan dia tidak mahu bercakap
dengan suaminya. Hati perempuan mana yang tidak sakit jika suami sendiri menyatakan keinginan untuk
bernikah lagi? Begitulah yang dia rasakan ketika dan saat ini.
Ya ALLAH… berikanlah aku kekuatan.
Ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi ujianMU ini, doa Ummi Khadeeja
dalam hati. Air matanya mengalir di
pipi. Dia menangis lagi. Ya, dia kecewa. Hatinya hancur. Dia tidak pernah terfikir suatu hari dia akan
dimadukan. Tidak pernah terlintas di hati suatu hari dia akan berkongsi suami
dengan perempuan lain. Semuanya bagaikan
mimpi. Sukar untuk dia percaya. Kalaulah dia tidak ada pegangan agama sudah
pasti dia akan menuduh suaminya sudah terkena buatan orang. Ummi Khadeeja beristighfar. Terlalu jauh fikirannya melayang. Berfikir yang bukan-bukan apabila hati sedang
sakit dan menderita.
“Abang beri Ija masa untuk memikirkan perkara ini. Abang tidak akan mendesakmu, sayang. Maafkan abang jika menyakiti hati kecilmu
itu.” Amir Hudzaifa serba-salah.
“Ija perempuan bang. Ada perasaan
cemburu. Ada perasaan iri hati. Ija hanyalah manusia. Sebagai seorang
perempuan sudah pasti tidak mahu suami Ija dikongsikan dengan orang lain. Hati
mana yang tidak hancur bang. Setelah
berbelas-belas tahun kita hidup bersama
akhirnya Ija akan dimadukan! Ija akan ada pesaing. Suami
Ija akan menyayangi perempuan lain. Suami Ija akan membelai perempuan lain. Suami
Ija akan berkongsi katil dengan orang
lain. Bukan dengan Ija seorang,” semakin laju air matanya mengalir lagi. Semakin pedih hatinya.
Ya, ALLAH! Mampukah aku menghadapinya, detik hati kecil Ummi Khadeeja. Dadanya sebak terasa sakit dan perit.
“Apa pandangan masyarakat
terhadap Ija nanti? Selama ini
masyarakat tidak pernah memandang baik pada sebuah rumah tangga poligami. Ada sahaja pandangan sinis dan menjijikkan!” Ummi
Khadeeja mengusap dadanya yang terasa berat.
“Ija, sudahlah!” Pujuk Amir
Hudzaifa. Dia cuba meraih tangan Ummi Khadeja, namun ditepis dengan pantas oleh isterinya.
'Hatiku sedang sakit tak mungkin dapat kau pujuk,’ kata hati kecil
Ummi Khadeeja.
“Abang tahu tak, pada mereka yang di luar sana, poligami adalah
perkara jijik yang dilakukan oleh mereka yang gatal dan tidak cukup hanya
mempunyai seorang isteri. Kegagalan
dalam menguruskan sebuah rumah tangga poligami menyebabkan masyarakat tidak
pernah memandang elok pada mereka yang berpoligami. Akan ada kata-kata nista mengatakan Ija
tak pandai melayan suami. Sebab itulah abang berkahwin lagi. Isteri muda
abang nanti pula akan dituduh
miang, sanggup mengambil suami orang. Fitnah masyarakatlah yang paling Ija
takuti bang! Siapa tidak kenal abang. Ustaz Amir Hudzaifah seorang Hafiz, pandai
dalam Ilmu Hadis. Seorang pendakwah
bebas yang lantang bercakap soal hukum. Bagaimanalah
reaksi rakan-rakan dan kenalan Ija dan abang
jika mereka mengetahui abang
berkahwin lagi?” Dia menangis
tersedu-sedu. Hiba sungguh hatinya. Rasa sakit yang menyucuk-nyucuk.
Ya, ALLAH! mampukah aku menghadapinya? Hati kecilnya terus berkata. Entah bagaimana reaksi keluarganya dan
keluarga mentua apabila mengetahui suaminya akan berkahwin lagi. Kesal dan sesal bermain di sanubari. Demi ALLAH dia tidak pernah terfikir suatu
hari nanti suaminya akan berkahwin lagi. Kini, iyanya bukan khayalan lagi. Bukan cakap-cakap kosong lagi. Dia mendengar sendiri permintaan
suaminya. Permintaan itu keluar dari
mulut suaminya sendiri. Keluar dari
mulut orang yang amat disayangi. Kekasih hati, sahabat dan rakan yang amat
dikagumi.
Ya, ALLAH! kuatkanlah hati hambaMu ini. Ummi Khadeeja menangis lagi. Hati perempuannya telah dihiris-hiris, hancur
dan kecewa. Pelukan dari Amir Hudzaifa tiada kehangatannya lagi. Semuanya terasa
dingin. Sedingin hatinya terhadap
suaminya kini. Perasaan benci menerjah
di hati. Bukan dipinta. Bukan dipaksa.
Iya hadir sendiri. Ummi Khadeeja beristighfar. Berdosa membenci suaminya sendiri tetapi
apakan daya. Hatinya benar-benar sakit,
perit, lukanya terlalu dalam.