Wajah Hajjah
Halimah merah padam menahan marah. Kalau
diikutkan hati mahu sahaja dia cekik-cekik Syifa’ Umaira yang duduk membisu di
hadapannya. Haji Mansor asyik mengeluh sahaja. Syifa’ Umaira menundukkan muka tidak berani memandang wajah
kedua orang tuanya yang sedang angin satu badan itu. Kenapa mereka marah lagi padanya? Bukankah pinangan sudah pun diterima? Dia mencuri pandang kedua orang tuanya melalui
ekor matanya.
“Kau sedar tak apa
yang kau dah lakukan? Belajar dahlah
separuh jalan, dah tu gatal nak bernikah?”
Tempelak Hajjah Halimah. Syifa’
Umaira tetap membisu. Tidak berani bertentang mata dengan emaknya .
“Sudahlah Limah! Pinangan
pun kita dah terima. Awak bising pun tak ada gunanya. Sudah jodoh anak kita, nak buat macam mana?” Balas Haji Mansor. Kalau ikutkan marah siapalah tidak marah. Anak
harapan keluarga tiba-tiba buat perangai.
Berhenti belajar kerana hendak
berkahwin. Siapa yang tidak geram.
“Kalau ikut saya, saya tolak je!
Tapi dek kerana anak bongsu awak ni! Eee…! Geram saya dibuatnya!” Hajjah Halimah mengangkat tangan hendak
memukul Syifa’ Umaira.
“Sudah! Sudah!!”
Jerkah Haji Mansor. Geram pula
hatinya. Perkara sudah pun terjadi. Pinangan sudah pun di terima, separuh dari
hantaran yang telah ditetapkan juga telah diambil. Haji Mansur mendengus kasar. Hendak marah pun
sudah tiada gunanya.
“Apa salah emak
pada kau Mai? Macam ni sekali kau buat pada mak. Apa
pula kata saudara mara kita? Dah gatal nak berlaki, sampai laki orang pun
kau nak ambil?” Air mata Hajjah Halimah
mula mengalir. Sedih benar dia dengan
apa yang terjadi. Kenapalah anaknya yang seorang ini hendak sangat kahwin dengan
suami orang. Apakah sudah tiada lagi lelaki bujang yang
boleh dibuat suami. Bukan tidak ada
orang yang mahu. Cuma anaknya sahaja
yang jual mahal. Tolak pinangan lelaki bujang, anak teruna. Eee! Alih-alih terima pula pinangan suami
orang. Akal ada ke tidak? Hajjah Halimah mendengus kasar. Kenapalah hatinya sakit sangat. Dia mengurut
dada . Terasa berat di dadanya.
“Bawa bersabar
Limah! Nanti anak kita tak ada apa-apa, awak pula yang tumbang!” Haji Mansor menggelengkan kepala. Perempuan terlalu ikut emosi. Haji Mansor memandang wajah Syifa’ Umaira
yang tunduk memandang lantai. Haji Mansor mengeluh kesal, sesal kemudian
tiada gunanya.
“Maafkan Mai mak! Ayah. Hati
Mai dah cinta, nak buat macam mana?” Kata Syifa’ Umaira perlahan tapi mampu
didengari oleh Hajjah Halimah.
“Budak ni
kang…penampar naik ke muka?” Marah Hajjah Halimah. Panas benar hatinya. Kecewa dengan sikap Syifa’ Umaira yang ambil
mudah soal nikah kahwin. Hidup berumah
tangga hanya jika bersandarkan cinta sahaja tidak cukup, lebih-lebih lagi
berkongsi kasih dengan perempuan lain.
Hajjah Halimah takut Syifa’ Umaira tidak mampu menahan sabar dalam
menghadapi liku-liku hidup berumah tangga.
“Hadis
Rasulullah yang bermaksud: Jika datang
kepada kamu seorang lelaki yang kamu
redha terhadap agama dan akhlaknya, maka terimalah lamaran pernikahannya. Jika kami tidak melakukannya yang demikian,
maka akan terjadilah fitnah di atas muka bumi dan kerosakan yang besar. Baginda mengucapkannya tiga kali,”(Riwayat
Al-Tarmizi)… ayat itu sudah jelaskan ayah. Jadi takkan Mai nak tolak pinangan orang alim macam Ustaz Amir
Hudzaifa?” S yifa’ Umaira mula berani memandang wajah kedua orang tuanya.
“Eee! Siap keluar hadis pula! Kau sedar tak apa yang kau lakukan ni, Mai?
Belajar tak habis dah gatal nak bernikah. Kalau orang bujang, mak dan ayah tak kisah. Tapi, ini suami orang! Isteri
ke dua pula tu! Mana kau letak
akal kau Mai?” Hajjah Halimah tidak
habis-habis marahnya. Dia mengetap
bibir. Geram dia tengok wajah anaknya yang selamba tiada sedikit pun rasa
bersalah.
“Awak ni Limah,
tak penat ke? Ulang je cerita yang sama. Saya dah tahu, anak awak tu pun dah tahu. Ustaz Amir
Hudzaifa suami orang. Anak awak akan jadi isteri nombor dua! Dia dah
suka, biarkan je. Kalau ada masalah
nanti, pandai-pandailah selesai sendiri!” Haji Mansor angkat kaki. Malas bersembang lama-lama dengan orang
perempuan. Perkara dah selesai pun. Pinangan sudah pun di terima. Tidak perlu bising-bising lagi. Lagi difikir dan dibahaskan tidak akan ke mana kesudahannya.
“Mak! tolonglah
faham… Mai sendiri yang rela. Mai cuma minta mak dan ayah restu perkahwinan Mai
dan Ustaz Amir Hudzaifa. Mak redha dengan jodoh Mai ya. Ini pilihan Mai sendiri. Mai pasti akan hidup bahagia. Walaupun terpaksa berkongsi kasih dengan
perempuan lain.” Syifa’ Umaira memegang
lembut tangan Hajjah Halimah yang duduk
di sebelahnya. Dada emaknya masih berombak. Masih marah lagi. Syifa’ Umaira mengeluh. Hajjah Halimah memandang wajah anak bongsunya.
“Mak bukan apa Mai,
mak takut kau tak mampu hidup berpoligami, sedangkan perkahwinan yang hanya
seorang isteri berbagai masalah yang timbul.
Inikan pula berkongsi dengan perempuan lain.” Hajjah Halimah benar-benar
bimbang.
“Percayalah mak,
Mai akan hidup bahagia. Lagi
pun Ustaz Amir Hudzaifa cinta pertama Mai. Salah ke berkahwin dengan orang yang Mai
cintai? Berilah Mai peluang untuk membuktikannya mak!” Rayu Syifa’
Umaira. Hajjah Halimah serba-salah.
“Tak tahulah mak
nak cakap apa lagi Mai. Degil kau ni tak
boleh dinasihati. Tak mahu langsung dengar cakap orang!” Hajjah Halimah melenting semula. Sebak dada Hajjah Halimah
apabila memikirkan perkara itu. Sebagai seorang ibu hati mana yang tidak
terguris. Walaupun menteri pilihan Syifa’
Umaira, kalau suami orang hatinya tidak akan dapat menerimanya.
Jika itu ketentuan
Ilahi untukmu, anakku, sebagai ibu, aku tetap redha. Namun jauh disudut hati
kecilku tetap terselit rasa kecewa dan sesal di hati. Jika
kau gembira dengan pilihanmu, anakku. Aku
berduka kerana pendeknya akal fikiranmu.
Namun aku tetap mendoakan kebahagianmu, jika ini jalan yang kau pilih. Aku tetap mendoakanmu. Jika ini sudah suratan jodohmu, kata Hajjah
Halimah dalam hati. Air matanya mengalir
lagi.
Ya Allah, aku halalkan air susu yang diminumnya. Aku ampunkan segala dosa-dosanya. Jangan Kau uji anakku dengan ujian yang tidak
mampu dia hadapi. Kau berilah dia kebahagian hidup di dunia dan akhirat. Doa seorang ibu. Hajjah Halimah menyeka air mata dengan hujung
bajunya dan berlalu meninggalkan Syifa’ Umaira sendirian di ruang tamu.