Home Novel Keluarga AKU TURUT BAHAGIA ~ ASMAH HASHIM
ANAK DAN ISTERI ~ BAB 22

Amir Hudzaifa meraup mukanya dengan kedua belah telapak tangannya. Hatinya gusar. Dia benar-benar bimbang melihat keadaan Aiman Haikal. Sudah dua hari anaknya pulang ke rumah namun belum sekali pun dia berkesempatan berbual dan bermesra dengan anak sulongnya itu. Anak-anak yang lain juga begitu dingin dengannya. Amir Hudzaifa mengeluh. Anak-anak adalah hati dan jiwanya. Dia bangga mempunyai tiga orang anak lelaki yang begitu taat dan patuh. Tidak pernah berkasar apabila bercakap dengannya dan Ummi Khadeeja. Tapi hari ini Aiman Haikal lain sekali. Entah di mana kebiadaban itu wujud dalam diri anak bujangnya itu. Apakah kerana kemarahan membuatkan manusia itu berubah tingkahlaku. Amir Hudzaifa mendengus sendiri.

Kehadiran Syifa’ Umaira yang berhias cantik tidak dapat mengubat hatinya yang sedang gundah gulana itu. Semua lintang pukang dan tonggeng terbalik. Lain yang diharapkan, lain pula jadinya. Dia baru sahaja merancang untuk memberitahu tentang perkahwinannya kepada ketiga-tiga anaknya selesai solat isyak nanti. Semua yang berlaku adalah kesilapan dan kelalaian dirinya sendiri. Kalaulah Aiman Haikal tidak melihat atau ternampak dia berdua-duaan dengan Syifa’ Umaira tentu sekarang ini dia masih lagi boleh berbual mesra dengan anak-anaknya. Ah! Dia rindukan gurau senda mereka. Dia rindukan celoteh mereka. Terasa sunyi di hati tanpa kehadiran anak-anaknya di sisi.

“Abang! Kenapa ni? Mai berhias dan berdandan cantik-cantik macam ni abang buat tak tahu je?” Syifa’ Umaira melentukkan kepala ke bahu Amir Hudzaifa yang bersandar di sofa. Amir Hudzaifa menarik tangannya. Dalam keadaan risau begitu, bagaimana mungkin dia dapat bermesra dengan isterinya. Hatinya tidak tenang, fikirannya asyik teringatkan anak-anaknya.

“Boleh tak, Mai jangan ganggu abang? Abang sedang berserabut ni,” kata Amir Hudzaifa. Malam nanti ada kuliah di kampung sebelah. Dalam keadaan dirinya tidak tenang begini tidak mungkin dia dapat memberi ceramah dengan baik.

“Ala! Pasal anak je pun? Abang tengok Mai ni lagi baik. Kalau anak abang nak marah pun biarkan jelah. Apa yang penting sangat? Budak-budak, esok lusa eloklah tu,” Syifa’ Umaira menjeling tajam. Dia tidak suka suaminya hilang tumpuan kepadanya.

“Awak apa tahu Mai? Mereka tukan anak-anak abang! Mereka adalah jiwa dan hidup abang, jangan ikut sedap mulut awak je!” Marah Amir Hudzaif. Kurang senang dengan kata-kata Syifa’ Umaira bagaikan tidak menghargai anak-anaknya. Syifa’ Umaira mencebik. Dia menghenyakkan tubuh ke sofa.

“Abang nak ke rumah kak Ija, tengok anak-anak.” Amir Hudzaifa bingkas bangun. Syifa’ Umaira turut bangun. Dia berdiri menghalang Amir Hudzaifa.

“Sekarang ni giliran Mai. Mengikut perjanjian tiada siapa yang boleh kacau giliran masing-masing. Abang dah lupa ke?” Syifa’ Umaira mencekak pinggang. Amir Hudzaifa terkejut dengan tindakan isteri mudanya itu. Amir Hudzaifa mendengus kasar.

“Abang nak tengok anak-anak abang Mai, takkan tak boleh?” Lengking suara Amir Hudzaifa.

“Kalau abang langgar syarat yang abang dan kak Ija sendiri tetapkan. Mai juga boleh langgar syarat yang telah Mai persetujui!” tinggi nada suara Syifa’ Umaira mengugut Amir Hudzaifa.

“Mai… ugut abang?” Jerkah Amir Hudzaifa. Syifa’ Umaira tersenyum sinis.

“Siapa yang mulakan dulu?” Soal Syifa’ Umaira. Amir Hudzaifa memandang tepat ke mata Syifa’ Umaira. Dia menggeleng kepala. Ummi Khadeeja tidak pernah bercakap kasar dengannya. Malah jauh sekali untuk membantah. Tetapi di hadapannya seorang isteri yang cantik, manis dan bergaya sanggup dan tega meninggikan suara kepadanya.

“Awak meninggikan suara pada abang, Mai? Abang suami awak tau?” Marah Amir Hudzaifa. Syifa’ Umaira mencebik. Dada Amir Hudzaifa berombak, menahan marah. Isteri yang baru dikahwininya sudah pandai melawan. Macam tak percaya pula dengan tingkah laku yang baru sahaja Syifa’ Umaira tunjukkan. Inikah dia isterinya yang dikahwini minggu lepas? Amir Hudzaifa menggelengkan kepala.

“Mai mempertahankan hak Mai bang! Bukan ada niat nak melawan abang pun,” kata Syifa’ Umaira tegas.

“Abang ada anak, Mai. Mereka anak-anak abang. Abang perlu tenangkan mereka bukan biarkan mereka terkapai-kapai begitu. Mai tak faham ke? Mai tak tengok keadaan anak-anak abang dua hari lepas ? Apa yang ada difikiran awak ni?” Marah Amir Hudzaifa.

“Esokkan giliran abang ke sana! esok sahajalah abang tengok anak-anak abang, muktamad!” kata Syifa’ Umaira tegas. Amir Hudzaifa terdiam. Dia memandang sahaja Syifa’ Umaira melangkah laju ke bilik. Amir Hudzaifa terduduk di sofa. Dia mengeluh kasar. Dia tidak percaya isterinya boleh bersikap kasar dengannya. Malah tidak segan-silu bertekak dengannya. Azan zohor berkumandang dari surau maahad. Amir Hudzaifa beristighfar. Dia bingkas bangun dan mula menapak hendak ke surau.

“Jangan curi-curi nak ke sana pula?” jerit Syifa’ Umaira. Terkejut Amir Hudzaifa. Alahai! Isteri muda, desis hati kecil Amir Hudzaifa. Dia melangkah keluar dan memandang ke arah rumahnya. Di manalah anak-anaknya dan bagaimana keadaan mereka sekarang? Amir Hudzaifa sayu, hiba hatinya melihat keadaan Aiman Haikal sewaktu dia tinggalkan tempoh hari.

Kerana gilirannya masih bersama Syifa’ Umaira maka dia tidak boleh ke rumah Ummi Khadeeja untuk menjenguk anak-anak . Dia sendiri yang telah menetapkan syarat tersebut.

Perangai Syifa’ Umaira yang lemah-lembut sebelum ini tiba-tiba menjadi kasar. Macam tidak percaya pula. Malam ini malam terakhir dia bersama Syifa’ Umaira setelah seminggu dia tinggal bersama isteri mudanya itu. Esok, usai subuh giliran Ummi Khadeeja pula. Amir Hudzaifa melangkah lemah menuju ke rumah Syifa’ Umaira. Hatinya tidak riang, hatinya tidak gembira seperti dua hari lepas. Ada luka bersarang di dada, ada kecewa mula berjambatan di hati. Wajah bengis Aiman Haikal merenungnya membuatkan hatinya tidak tenteram.

Syifa’ Umaira mencampak bantal-bantal yang berada di atas katil. Sakit benar hatinya. Jeritan suara Aiman Haikal anak sulong suaminya masih terngiang-ngiang di telinganya. Kasar dan kurang ajar, desis hati kecil Syifa’ Umaira. Semakin difikir semakin sakit hatinya. Ingatkan anak-anak tirinya sudah tahu akan perkahwinannya dengan ayah mereka, rupanya belum. Baru hendak bermanja-manja dengan suami yang baru dikahwini telah diganggu gugat pula oleh anak-anak tiri. Ah! Aku hanya kahwin dengan ayah mereka, mereka bukan sesiapa pada aku! Kalau mereka hendak sedih ke? kecewa ke? itu semua tidak ada kena mengena dengan aku, detik hati kecil Syifa’ Umaira.

Syifa’ Umaira melangkah ke dapur, sejak pagi tadi dia tidak menjamah apa-apa makanan. Nasi lemak pemberian Ummi Khadeeja di dapur masih tidak diusik. Hanya suaminya sahaja yang menjamah makanan tersebut. Di membuka peti sejuk, ada ikan, ayam, udang dan ketam. Sayur-sayuran beraneka jenis. Dia mengeluh. Selama Sembilan belas tahun dia belum pernah memasak hatta air panas. Duduk di asrama dia hanya membantu siang menyiang bahan-bahan mentah yang memasak adalah kawan-kawan serumah yang lain. Mereka pun tahu dia tidak pandai memasak.

Syifa’ Umaira menggaru kepala. Beras ada di dalam bekas, tapi bagaimana hendak menyukatnya. Dia mengeluh lagi. Susahnya macam ini, desis hati kecilnya. Akhirnya dia menutup peti sejuk. Nasi lemak berlauk sambal sotong dan telur goreng ditenung seketika. Rezeki sudah ada di depan mata buat apa ditolak, akhirnya nasi lemak itu menjadi makanan tengaharinya.

“Mai,” panggil Amir Hudzaifa. Dia memandang isteri mudanya yang sedang makan.

“Abang!” Syifa’ Umaira menyengih.

“Mai tak masak ke? Dah tengahari macam ni takkan makan nasi lemak je? Abang pun belum makan lagi tau?” Amir Hudzaifa mendekati meja makan. Hanya ada baki telur goreng yang diberi oleh Ummi Khadeeja bersama nasi lemak pagi tadi.

“Hari ni malaslah bang, letih masih belum hilang lagi ni. Beli je takkan tak boleh?” Syifa’ Umaira menghabiskan suapan terakhirnya.

“Semalamkan dah beli lauk, hari ni takkan beli juga? Bahan mentah penuh dalam peti sejuk tu, masak je lah,” suruh Amir Hudzaifa. Syifa’ Umaira menyengih lagi.

“Abang tak kira, abang tak suka makan makanan di kedai. Abang lebih suka Mai sendiri yang masak, lagi pun abang teringin juga nak rasa masakan Mai. Takkan nak makan lauk yang dibeli di kedai? Kalau macam tu biar abang kahwin je dengan tukang masak di kedai tu… bagaimana? Boleh ke?” Usik Amir Hudzaifa. Syifa’ Umaira mencebik.

“Mai nak masak apa? Mana Mai tahu memasak?” Kata syifa’ Umaira tidak segan-segan lagi. Terlopong Amir Hudzaifa mendengarnya.

“Takkanlah tak tahu langsung?” Amir Hudzaifa mengerut dahi. Syifa’ Umaira buat muka selamba dan menggelengkan kepala. Amir Hudzaifa terduduk di kerusi. Dia menggelengkan kepala.

“Nasi pun tak tahu?” mata Amir Hudzaifa tetap menikam mata isterinya. Syifa’ Umaira menggelengkan kepalanya lagi. Amir Hudzaifa mengeluh.

“Habis tu macam mana ni?” Amir Hudzaifa menjegilkan mata.

“Abang carilah tukang masak,” kata Syifa’ Umaira.

“Kalau abang cari tukang masak, isteri abang yang cantik manis ni nak buat apa? Mai tahu tak,kata orang-orang tua, nak tawan hati suami kenalah tawan perutnya dulu,” kata Amir Hudzaifa perlahan. Syifa’ Umaira mencebik. Wajahnya masam mencuka. Amir Hudzaifa melangkah ke ruang tamu. Untung pagi tadi dia menjamah nasi lemak yang diberi oleh Ummi Khadeeja jika tidak kelaparanlah dia sampai ke petang. Amir Hudzaifa menyandar di sofa.

“Abang, esok kita pergi beli perabut dan langsir baru ya. Mai pun bercadang nak beli televisyen, boringlah duduk sorang-sorang bila giliran abang ke rumah kak Ija.” Syifa’ Umaira mengurut belakang Amir Hudzaifa.

“Televisyen? Di maahad ni tak ada sorang pun beli televisyen melainkan rumah Pak Hamid sebab ada anak-anaknya. Rumah kak Ija pun tak ada.” Amir Hudzaifa menatap wajah Syifa’ Umaira. Apalah yang isteri mudanya ini pandai buat. Memasak tak pandai? Apakah mengemas juga tidak tahu? Sejak pagi tadi dia tidak melihat pun isterinya mengemas rumah, asyik berdandan menghias diri, bukan tidak boleh malah itu adalah terbaik dan sememangnya seorang isteri berhias untuk suaminya tetapi takkan itu sahaja yang dia tahu.

“Ala! takkan tak boleh. Mai tak kira… Mai nak juga!” kata Syifa’ Umaira tegas.

“Mai!” Amir Hudzaifa mengetap bibir.

“Muktamad, esok pagi-pagi kita pergi,” kata Syifa’ Umaira membuat keputusan.

“Esok giliran abang bersama keluarga abang yang satu lagi tu. Kalau Mai nak pergi beli barang, lusa baru boleh.” Amir Hudzaifa menyengih. Dia bingkas bangun dan masuk ke dalam bilik. Dia merebahkan tubuhnya di atas katil. Dia memandang siling. Fikirannya masih teringatkan anak-anaknya, sudah tenangkah mereka? Dia tidak menyangka begitu marah sekali Aiman Haikal kepadanya. Renungan tajam Ummi Khadeeja bagaikan menikam jantungnya. Lain yang dirancang, lain pula jadinya.

Amir Hudzaifa mengusap perutnya yang mula berbunyi. Malam ini diakan memaksa Syifa’ Umaira memasak. Kalau dibiarkan akan menjadi-jadi pula isterinya itu. Perempuan jenis apa jika nasi pun tidak tahu masak? Amir Hudzaifa masih memikirkan tentang perangain Syifa’ Umaira, dia mengeluh sendiri. Mengahwini perempuan yang hanya dikenali melalui gambar dan cakap orang inilah jadinya. Lain yang diharap lain pula yang dapat. Baru dia teringat malam ini ada kuliah di kampung sebelah jadi dia akan makan malam di sana. Melepas lagilah Syifa’ Umaira untuk masak makan malamnya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.