Home Novel Keluarga Dia Yang Mengerti
Bab 4

4

7 BULAN KEMUDIAN.


"AKU rasa budak ni memang ada yang tak kena, Suri.” Mak Bidan Sauyah bersuara sambil membedung bayi itu, usai saja dimandikan. Tubuh kecil itu tidak berhenti menangis. Selesai saja dibedung, tubuh bayi itu bertukar tangan.

“Apa maksud mak bidan?” Suriyana bertanya dengan dahi berkerut. Dia yang berhajat mahu menyusukan bayi yang kurang sejam dilahirkan itu terbantut.

“Kau susukan budak tu dulu. Naik pening kepala aku ni, dengar dia berteriak. Entah lapar ke, takut ke, tak tahulah...” komen Mak Bidan Sauyah.

Suriyana akur. Bayi dalam dakapan itu akhirnya tertidur kekenyangan.

“Aku rasa budak ni ada yang tak kena. Saat dia dilahirkan, anak kau ni terkena kayap ular. Laki kau pulak terbabas dalam gaung. Hujan lebat tak berhenti-henti, kilat sambar-menyambar, guruh berdentum-dentam macam gempa bumi. Amat menakutkan!” Mak Bidan Sauyah menyambung cerita mereka yang tertangguh tadi.

“Maksud mak bidan macam mana? Saya tak faham.” Tersentap Suriyana mendengar pendapat bidan itu.

“Kau tengok leher anak kau tu. Pelik, kan? Macam mana baru lahir, tapi leher dah macam kena sembelih macam tu. Badan dia masa aku sambut tadi pun, menggeliat-geliat, macam tenggiling. Mata dia pulak, pandang atas aje,” jelas Mak Bidan Sauyah.

“Dah tu, kenapa?” tanya Suriyana lagi, masih tak faham dengan cerita itu. Wajahnya macam orang nak menangis.

“Senang cerita, anak kau ni ada benda yang tak kena. Dia bawak mudarat kepada kau sekeluarga. Itulah, beranak di bulan Safar ni memang tak bagus.” Mak Bidan Sauyah berterus terang.

“Apa kaitan pulak beranak di bulan Safar ke, bulan Ramadhan ke? Apa maksud mak bidan yang anak ni bawa mudarat?” marah Suriyana dengan kata-kata Bidan Sauyah. Menggigil-gigil tubuh Suriyana menahan emosi.

“Hmm... tapi kau tak usah fikirkan sangat hal ini. Kesihatan kau kena jaga. Jangan sampai angin meroyan masuk dalam tubuh kau pulak. Ingat, lepas tujuh hari umur budak ni, bawa dia ke rumah aku. Tahulah aku, nak ubatkan dia macam mana.” Mak Bidan Sauyah berpesan panjang lebar. Nada suaranya kedengaran memujuk menyedari wajah Suriyana tegang. Bidan Sauyah tahu yang Suriyana marah dan terkejut dengan kata-katanya.

“Mak bidan jangan cakap benda yang mengarut! Jangan sesekali cakap anak Suri macam ni, tau!” bentak Suriyana. Suaranya meninggi.

“Terpulanglah kau nak percaya ke tak, Suri!” Mak Bidan Sauyah bertegas.

“Sabar Suri, sabar!” Suara Kasnah kedengaran memujuk Suriyana yang tiba-tiba mengongoi panjang sebaik saja Mak Bidan Sauyah keluar dari bilik itu. Wanita itu sudah mahu pulang ke rumahnya kerana hujan sudah reda. Cuaca kembali tenang pada petang itu.

“Betul ke apa yang mak bidan tu cakap, Kak Nah?” tanya Suriyana dengan wajah keliru. Esak tangisnya masih kedengaran. Terhinggut-hinggut bahunya menahan sedu-sedan di jiwa.

Kasnah membungkam. Tiada jawapan untuk pertanyaan itu. Dia setia di sisi birasnya, menggosok belakang tubuh Suriyana yang nampak keliru dan kesedihan.

“Jangan percaya sangat, Suri. Segala apa yang berlaku tu hanya kebetulan.” Juriah yang tercegat di muka pintu bilik itu menyampuk perbualan menantu-menantunya. Geram juga Juriah dengan kata-kata Mak Bidan Sauyah tadi.

‘Ada ke patut, dalam keadaan macam ni, Sauyah tu boleh bagi pendapat yang karut-marut macam tu!’ marah Juriah akan sikap Mak Bidan Sauyah.

“Tapi, kalau kau nak tahu Juriah, anak Mansor yang baru lahir tu pun, jadi macam ni. Bini Mansor meninggal selepas bersalinkan budak tu. Selang beberapa minit kemudian, abang budak tu jatuh dari tangga rumah, patah leher. Adakalanya kena percaya, ada anak yang bawa mudarat. Segala kejadian buruk tu petandanya. Kena berubat Juriah sebelum banyak perkara buruk berlaku.” Satu suara menyampuk dari ruang tamu. Azizah, seorang wanita di kejiranan Juriah memberi buah fikirannya.

“Astaghfirullahalazim. Zaman dah moden, Cik Zizah oiii. Mana ada lagi kepercayaan yang macam tu. Dasar Ekonomi baru dah dilancarkan. Orang dah pun pandang ke depan, bukan taksub dengan zaman jahiliah lagi. Dulu-dulu memanglah, sampai anak yang baru lahir kena tanam hidup-hidup,” bidas Juriah akan kata-kata wanita seusianya tadi.

“Aku cakap benda betul, Yah! Terpulang kaulah nak percaya ke tak. Tapi, ada baiknya budak tu diubatkan. Karang tak pasal emak dan neneknya pula terkena. Ayah, abang dan adiknya dah terkena. Aku cuma ingatkan kau aje, Juriah. Perempuan baru lepas bersalin, tubuhnya lemah.” Wanita yang bernama Azizah tadi bersuara tegas.

Azizah sudah berdiri di sebelah Juriah, di muka pintu bilik Suriyana. Sesekali matanya menyinggah ke wajah Suriyana dan Kasnah yang terlopong memandangnya. Masing-masing terdiam.

Juriah pun tak tahu hendak kata apa. Cuma benaknya berpendapat, semua itu kolot semata-mata. Semua itu hanyalah kepercayaan karut dan tahyul. Khurafat! Segala apa yang berlaku adalah qadak dan qadarnya. Setiap musibah yang berlaku punya cerita yang tersendiri. DIA Maha Mengetahui akan setiap hikmah kejadian-Nya.

“Nah, Nah!” Suara cemas, jeritan seorang lelaki dari tangga rumah mengejutkan seisi penghuni rumah itu.

Kasnah berlari keluar menyedari suara Mahmud seperti dalam keadaan panik. Juriah turut meluru, menyertai Kasnah.

“Kenapa bang?” tanya Kasnah kalut melihat keadaan Mahmud bersimbah peluh.

“Anak kita, anak kita!” Jeritan cemas Mahmud membuatkan Kasnah meluru turun mendapatkan suaminya yang sedang mencempung tubuh kecil bayi mereka.

“Kenapa, bang? Kenapa dengan Fiz?” Kasnah panik melihat wajah bayi mereka, Hafiz yang sudah pucat lesi. Matanya kuyu. Ada buih-buih putih keluar daripada mulutnya.

“Mud, kenapa Mud? Kenapa dengan cucu mak ni?” Giliran Juriah pula bertanya. Dia terkejut melihat keadaan Hafiz begitu.

“Anak kau tu sawan gamaknya, Mud.” Wanita yang bernama Azizah tadi, turut menyertai mereka. Dia mengamati wajah bayi yang kian terkulai itu.

“Hah, sawan?! Cepat Mud, bawak Fiz pergi hospital.” Juriah mengarah separuh menjerit.

“Memanglah nak bawak pergi hospital, mak. Tapi, kereta Mud tak boleh start. Telefon rumah mak, berkali-kali tapi tak dapat. Mungkin gangguan line, masa hujan tadi. Kebetulan pulak, tak ada langsung jiran tetangga nak mintak tolong. Tunggu teksi punyalah lama tadi. Tu yang Mud berlari ke mari,” jelas Mahmud yang masih lagi dalam kemengahan.

“Astaghfirullahalazim. Ya ALLAH, kenapa begitu banyak dugaan berlaku hari ni? Bertimpa-timpa, kenapa ya ALLAH? Tidaklah ENGKAUuji kami sebagai hamba-Mu melainkan dengan kemampuan kami, Ya ALLAH.” Juriah sudah menangis. Tangannya diangkat tinggi ke langit, memohon kekuatan daripada-Nya. Tubuhnya menggigil-gigil.

“Eh, cepatlah Mud! Budak sawan ni, bahaya kalau lengah-lengah ke hospital. Takut ada serangan kat otak pulak. Bila besar nanti, Mak Jah takut jadi tak betul aje anak kamu ni Mahmud, Kasnah.” Suara wanita bernama Azizah itu kian keras dan menekan bunyinya. Mendesak tindakan mereka agar pantas ke hospital.

“Ha’ahlah, bang...cepatlah! Ya ALLAH, tunggu apa lagi?!” Kasnah menjerit, panik dengan kata-kata Azizah tadi.

“Yalah! Yalah! Mak, Mud nak pinjam kereta. Mud nak bawak Hafiz ke hospital ni,” pinta Mahmud mendesak. Badannya menahan gigil mendengar kata-kata Azizah tadi. Dia tidak mahu sebarang perkara buruk berlaku ke atas satu-satunya zuriat yang mereka ada. Sudahlah hendak dapat zuriat itu, bertahun-tahun mereka menunggu dengan bermacam-macam ikhtiar.

Juriah berlari memanjat anak tangga rumah, mendapatkan kunci keretanya di dalam bilik tidur. Tidak lama kemudian, kunci kereta bertukar tangan. Mahmud buru-buru menghidupkan enjin kereta dan membawa Kasnah bersama bayi mereka Hafiz ke hospital.

“Kan betul kata Mak Bidan Sauyah, kau tak percaya Yah.” Azizah mencucuh semula perasaan Juriah tentang isu yang dibincang mereka tadi.

“Zizah... semua ni tak ada kena-mengena dengan cucu aku yang baru lahir tu!” marah Juriah, masih mahu mempertahankan pendapatnya.

“Aku bunuh kau! Aku bunuh kau!” Dari atas rumah, Suriyana bertempik kuat.

Juriah dan Azizah yang masih di tangga rumah terperanjat besar. Mereka saling berpandangan sebelum berlari mendapatkan Suriyana.

“Mengucap, Suri! Mengucap. Sabar,” pujuk Juriah melihat keadaan Suriyana yang meracau-racau, macam orang hilang akal. Di tangannya sebatang cucuk sanggul, bersedia mahu merodok benda itu ke perut anak yang baru dilahirkannya tadi.

“Anak ni memang tak guna. Menyusahkan!” tempik Suriyana. Dia mengacah-acah mahu membenamkan cucuk sanggul tadi ke perutnya juga ke perut bayi yang nampak lena di dalam bedungan, di atas katil itu.

“Bagi mak benda tu, Suri. Bagi mak!” pujuk Juriah lagi sambil merapati tubuh menantunya.

“Mak tak usah nak pujuk Suri. Mak jangan nak halang Suri lakukan semua ni. Suri tak mahu lebih banyak masalah berlaku lepas ni. Budak ni memang bawa sial. Betul kata Mak Bidan Sauyah tadi. Baru sehari dia kat dunia ni, dah macam-macam hal berlaku. Sebab tu dari dulu lagi Suri dah tak mahu mengandungkan anak ni!” Suriyana menjawab dengan nada geram. Suaranya tersekat-sekat menahan tangis. Namun ada ketikanya dia nampak menyinga, ekspresi terlalu marahkan bayinya itu.

“Ya ALLAH, Tuhansedang menguji kita sekeluarga, Suri. Tak ada kena-mengena dengan hal sial tu. Jangan fikir macam-macam, Suri. Mengucap. Beristighfar. Suri masih letih tu. Jangan fikir yang bukan-bukan ya, nak?” Juriah masih berusaha menenangkan Suriyana. Emosi menantunya nampak berkecamuk.

Suriyana berusaha juga mahu menikam zuriatnya itu meskipun Juriah sudah memeluk kejap tubuhnya.

“Mak, anak mak accident kat Taiping tu. Tak tau kisahnya macam mana. Diah dan Zul pun tengah sakit tu. Kena kayap ular lagi. Sekarang tengok, anak Abang Mahmud pun kena sawan. Mak nak cakap apa lagi?!” Suriyana berteriak, sambil mahu meloloskan tubuhnya daripada pelukan mentuanya.

Usaha Suriyana bukan calang-calang. Hampir saja Juriah jatuh lantaran ditolaknya. Juriah nekad melawan dengan segala kudratnya. Dia menentang habis-habisan tindakan gila menantunya itu. Dalam keadaan separuh waras itu, segala kemungkinan boleh berlaku.

“Sudah! Mak cakap, sudah! Mengucap! Ingat ALLAH.” Juriah pantas menampar pipi Suriyana beberapa kali.

Sanggul rambut di tangan menantunya itu dirampas lantas dibaling keluar tingkap yang sedia terbuka. Juriah terus-menerus memeluk tubuh Suriyana yang meronta-ronta marahkan tindakannya tadi.

“Maafkan mak sebab tampar kau, Suri! Maafkan mak!” Juriah menangis dalam menenangkan Suriyana itu.

“Arghhh!” Suriyana nampaknya makin marah. Tindakan Juriah itu makin mencabar amarahnya. Dia masih berusaha meloloskan badannya dan terus-terusan melawan tindakan Juriah. Dia bertempik-tempik mahu menerkam tubuh kecil yang sudah pun menangis nyaring, terjaga daripada lenanya.

“Ya ALLAH, Zizah. Ambik budak tu. Cepat! Selamatkan dia!” teriak Juriah menyedari Azizah tercegat di muka pintu.

Suriyana hampir berjaya melepaskan dirinya. Azizah yang sejak tadi terkaku, panik melihat keadaan mereka. Dia akur dengan arahan Juriah. Dia segera mengambil bayi kecil itu. Didakapnya erat dan membawa keluar dari bilik itu. Azizah berlari dan membawa pulang bayi itu ke rumahnya yang tidak berapa jauh dari rumah Juriah.

Suriyana keluar dari biliknya cuba mengejar Azizah apabila kekuatan Juriah tidak mampu menangkis amukannya lagi. Di tangga rumah, Suriyana jatuh tersungkur. Kepalanya terhantuk di tiang batu. Berdarah.

“Ya ALLAH, Suri!” Juriah terkejut bukan kepalang. Dia yang masih kecungapan, menerkam menantunya itu.

“Kenapa mak, kenapa? Kenapa semua ni berlaku?!” Suriyana menangis teresak-esak. Dia meratap hiba di pangkuan Juriah.

Juriah tidak berkata apa-apa. Cuma hatinya sayu memandang wajah Suriyana begitu. Tanpa rela, air mata hangat laju bertitisan di pipi. Dia pun tidak berdaya lagi memikirkan sebab-musibab musibah yang menimpa mereka sekeluarga. Semuanya datang serentak, bertimpa-timpa.



SURIYANA menangis dan menangis lagi. Makanan yang disediakan untuknya dibaling keluar tingkap. Sesekali dia mengilai panjang. Sesekali dia berteriak kuat. Sesekali dia memanggil anak-anaknya, Faizul Ikhwan dan Mardiah Amna. Namun, anak-anaknya itu langsung tak mengendahkan emak mereka. Bukan mereka tak mahu mendekati Suriyana, tetapi mereka dalam keadaan cuak. Mereka nampak takut melihat perubahan mendadak emak mereka.

Keadaan Suriyana semakin menjadi teruk sebaik saja mereka tiba di rumah Mak Bidan Sauyah. Dia yang beria-ria mahu berubatkan bayi mereka, mendapat berita yang wanita itu meninggal dunia kerana dipatuk ular. Suriyana yang ketika itu ditemani Juriah dan Osman, terkejut bukan kepalang. Tempikannya makin menjadi-jadi. Langsung tidak terkawal lagi sehingga adakalanya dia seperti orang tidak siuman.

Andai kata dia nak melalak, dia akan melalak. Andai kata dia nak menjerit, dia akan menjerit sesuka hati. Kalau dia nak menangis, dia akan menangis semahunya. Rambutnya yang mengerbang tak dipedulikan. Pakaiannya yang tak bertukar berhari-hari lamanya seperti tak menjadi masalah buatnya.

Sesekali Suriyana akan melayan Osman bercakap dengan baik, bertanya khabar akan keadaan tangannya yang masih bersimen. Tetapi, sesekali juga Suriyana akan mengejek sikap Osman yang sering meninggalkan dia dan anak-anak kerana urusan luar. Adakalanya percakapannya dengan suaminya itu penuh dengan fitnah dan pertuduhan.

Suriyana menyangka Osman telah menduakannya. Fikiran Suriyana nampak berserabut. Jiwanya nampak kacau- bilau. Demi melampiaskan tekanan dalam jiwanya, Suriyana akhirnya mengamuk dengan membaling semua barangan sesuka hati.

Bayi kecil yang dinamakan Wardina Amni itu tak pernah disusunya lagi. Dia sudah tak mempedulikan kewujudan bayi itu. Atau mungkin dia menganggap zuriatnya itu sudah mati. Kalau dia terpandangkan bayi itu dalam dukungan Juriah mahupun Osman, dia akan menengking-nengking kuat. Mulutnya menghamburkan kata-kata kesat seorang ibu terhadap anak kecil itu. Suriyana jelas menyimpan dendam terhadap bayi itu.

“Kau memang anak tak guna! Tak guna! Kau rasalah apa yang aku rasa bila kau dah besar nanti. Menyusahkan aku. Kau memang menyusahkan aku!” jerit Suriyana setiap kali terpandang wajah bayi kecil itu.

Wardina Amni menangis nyaring seperti faham yang dia sedang dimarahi.

“Jangan macam ni, Suri. Sabar! Ingat ALLAH! Bawa mengucap. Anak tu tak pernah bersalah pun. Suri jangan cakap macam tu. Dia anak kita. Kata-kata seorang ibu terhadap anaknya berbisa. Kasihan dia esok-esok, Suri. Suri kena ikhlas, ikhlas dengan takdir-Nya!”

“Abang cakap memanglah senang. Suri yang tanggung semua ni.”

“Suri, sejak awal mengandung lagi mak ajak tinggal dengan mak. Suri yang tak mahu. Mak tahu susah payah mengandung tu bila tiada yang temankan. Mak pun risau kenangkan Suri dengan anak-anak kat rumah tu. Tapi, kedai mak tak ada orang nak tengokkan kalau mak pergi rumah Suri lama-lama,” pujuk Juriah, menenangkan perasaan menantunya.

Dia tak seronok melihat perkelahian antara Osman dan Suriyana itu. Dalam keadaan tertekan begitu, Suriyana memang akan mengungkit setiap pengorbanannya. Dalam keadaan itu juga, Juriah mahu membela Osman yang selalu berulang-alik ke Utara Sememanjung untuk mendapatkan stok barangan bisnes mereka.

‘Arghhh, sudahlah mak! Kalau tak sebab mak yang arahkan abang ke situ sini, abang takkan abaikan Suri dan anak-anak. Kalau tak sebab mak yang suruh abang ke Taiping, abang takkan pergi ke sana. Abang takkan kemalangan sampai begini jadinya. Dan kalau mak tak terlalu mementingkan bisnes mak, Suri takkan terberanak di rumah mak!’ bentak hati Suriyana geram.

“Sabar ya, sayang.” Osman lembut memujuk apabila Suriyana terdiam dengan kata-kata Juriah itu.

“Suri memang boleh sabar. Tapi, tengoklah tangan abang tu. Sebab siapa? Sebab anak tak guna nilah!” marah Suriyana dengan pujukan suaminya itu.

“Suri, tangan abang ni sikit aje. Kata doktor, kurang sebulan nanti, okeylah. Kemalangan tu tak ada kena-mengena dengan anak ni. Dah nasib abang...”

“Arghhh... budak tu memang sial!” Suriyana berlari masuk ke bilik dan menghempas daun pintu sekuat hati.

Osman terdiam. Ikutkan rasa, mahu juga tangannya melayang ke pipi isterinya itu. Perkataan anak sial dan anak tak guna yang disebut Suriyana berulang-ulang membuatkan dia panas hati. Dia muak dengan kata-kata Suriyana itu. Isterinya seperti sengaja mencurah petrol di atas unggun api. Jiwanya tiba-tiba terbakar dengan api kemarahan, marak menyala.

“Man, Suri tu sakit. Kau kena sabar layan kerenah dia,” bisik Juriah ke telinga Osman.

Osman meraup wajahnya mendengar bait kata Juriah. Syukurlah ibunya ada di situ. Perasaannya kian reda meskipun dia masih buntu memikirkan segala apa yang berlaku. Dalam keadaan tangan kanannya masih bersimen, tindakannya agak terbatas untuk memantau Suriyana dengan lebih baik. Syukurlah, mereka sekeluarga tinggal bersama Juriah dan wanita itulah yang menguruskan segala keperluan mereka sekeluarga.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.