13
OSMAN
meneruskan langkah, mengikut jejak kaki kedua mereka menuju ke hotel itu.
Meskipun hatinya bagai disiat-siat, namun dia bertekad. Dia mahu melihat
segalanya dengan lebih jelas. Dia tidak mahu tersilap menilai hati budi wanita
yang amat dicintainya. Hati kecilnya masih menolak perlakuan jahat Suriyana.
Namun,
akalnya membentak-bentak menyatakan yang Suriyana jelas-jelas berselingkuh di
belakanganya. Antara bisikan hati dan suara akal yang mencelarukan fikirannya,
dia mengintip kali kedua perangai Suriyana bersama lelaki muda itu. Dia mahu
melihat wajah pemuda itu dengan lebih jelas.
Malam
itu, Osman berpenampilan luar biasa. Dia mengenakan celak di keningnya
semata-mata mahu mencipta kelainan akan raut wajahnya. Misai palsu turut
ditepek ke muka. Osman berpakaian serba hitam dengan jaket kulit labuh separas
lutut, bertopi ala koboi, berbut tinggi dan mengenakan cermin mata gelap
meskipun pada waktu malam. Dia tahu, Suriyana tidak mungkin mengecamnya.
Pakaiannya sangat berbeza dan dia tak pernah
berpenampilan sedemikian sebelum ini.
Kerusi
dia dan Suriyana hanya dipisahkan dengan meja kopi. Mereka duduk bersebelahan.
Suriyana asyik membelek majalah yang bertimbun di depannya dan sesekali matanya
memandang Zack yang masih berurusan di kaunter pendaftaran. Suriyana langsung
tidak mempedulikan kehadirannya. Sesekali mata Zack membalas pandangannya seraya
mengenyit mata.
Suriyana
tersipu malu dan membalas kenyitan itu.
Osman
menelan liur pahit. Isterinya memang sudah keterlaluan. Ikutkan hatinya yang
marah, dilempang saja pipi Suriyana yang cantik itu. Ikutkan perasaan, pasti
malam ini dia bisa menjadi seorang pembunuh. Ingin dicincang-cincang tubuh
lelaki itu dan Suriyana, biar mati keras keduanya.
Tetapi
akalnya memujuk, tidak guna untuk dia bertindak sedemikian. Dunia tidak akan
berpihak kepadanya. Undang-undang tidak melihat kepada kesakitan yang
dirasainya meskipun Suriyana sudah mencincang lumat jiwa raganya.
Suriyana
mempermainkan cinta dan rasa kasihnya yang dianggap sejati selama ini. Suriyana
memperbodohkannya dengan mudah. Suriyana tega memperlakukan semua ini sehingga
Osman berasa dia lelaki yang sangat tidak berguna. Dia tewas dengan lelaki itu,
lelaki yang telah mengalih kasih dan perhatian Suriyana terhadapnya.
Dayus!
Kau lelaki dayus, Osman! Suara-suara yang mengejeknya membuatkan percikan api
di dadanya bertukar marak. Digenggam buku tangannya erat-erat. Khuatir dia
bertindak di luar kewarasan manusia normal. Sebenarnya, Osman mahu mengecam
dengan lebih dekat wajah lelaki yang berani menyentuh tubuh isterinya. Dia tahu
bagaimana mahu mengajar lelaki yang tidak kenal bini orang itu.
“Dah
settle, sayang.” Lelaki muda itu berkata kepada Suriyana sebaik saja
urusan pendaftaran selesai.
“Kalau
you lapar, I temankan you makan dulu,” kata Suriyana manja membalas kata-kata
Zack.
“Memanglah
I lapar. Tapi bukan lapar nak makan, tapi nak…” Zack mahu meneruskan kata-kata,
namun menyedari lelaki yang berpakaian serba hitam asyik memandangnya di
sebalik kaca mata gelap, dia tidak jadi meneruskan kata-kata.
Pantas
dipegangnya tangan Suriyana. Suriyana bangun dan merangkul bahu Zack
meninggalkan Osman yang terkulat-kulat memandangnya. Mereka berdakapan mesra,
membolos masuk ke dalam lif menuju ke bilik hotel.
“Suri,
sampai hati Suri lakukan semua ini pada abang. Apabila pintu hati Suri dah
tertutup buat abang, Suri gagal mengecam wajah suami sendiri, kan? Sanggup Suri
melangkah kaki ke lorong neraka hanya kerana menurut ajakan syaitan. Kalau ini
yang Suri mahukan, abang rela untuk melepaskan Suri. Abang tak mahu dosa-dosa
Suri terus terpikul di bahu abang,” bisik Osman sambil melangkah kaki longlai
keluar dari hotel itu.
OSMAN
memandu perlahan keretanya. Perasaannya berat mahu pulang ke rumah. Sesekali
dia menjeling beg pakaian di bahagian tempat penumpang di sisinya. Beg itu
sengaja diletak di situ, tidak disimpan di dalam but seperti mana biasa. Dia mahu
memastikan beg itu dekat dengannya. Dalam beg itu mengandungi kotak berisi
rantai berlian buat Suriyana.
Biarpun
hatinya sudah hancur, Osman masih mahu membeli perasaan cinta Suriyana.
Harapannya satu agar Suriyana kembali kepadanya. Dia rela untuk memaafkan
wanita itu biarpun hatinya pernah menangis mengenangi sikap Suriyana.
Osman
pun tidak tahu kenapa robek di hatinya ingin dirawat lagi. Biarpun bersungguh
dia cuba membenci dan membuang wanita itu jauh-jauh dalam hidupnya, tetapi
akhirnya dia tewas juga. Osman pun tidak tahu kenapa perasaannya terlalu mudah
mencair dengan wanita itu. Hatinya lembut untuk memaafkan Suriyana.
Dia
tidak peduli dengan ungkapan dayus. Baginya sesiapa pun tidak mungkin terlepas
daripada melakukan kesilapan. Seandainya Suriyana berdosa, dosa itu tercipta
mungkin kerana kelemahannya sebagai seorang suami untuk membimbing isterinya.
Segalanya belum terlewat untuk memperbetulkan keadaan. Suriyana berhak diberi
kemaaafan apatah lagi dia terlalu menyayangi wanita itu.
“Kau
memang dayus, Osman. Kau dayus!” Satu suara berbisik ke telinganya.
“Arghhh!
Aku peduli apa dengan semua itu. Yang penting, aku masih sayangkan dia!” Osman
cuba membalas kata-kata tadi. Hatinya bertempik melawan segala yang dirasa.
“Suri
tak pernah jujur kepada kau, Osman. Dia berselingkuh dengan lelaki lain, tetapi
kau masih tega maafkan dia?!”
“Ya,
aku masih boleh maafkan dia. Dia isteriku. Aku sayangkan dia!”
“Kau
lihatlah semua kejahatan Suri dengan mata hati, Osman. Kau lihatlah betapa
kejamnya dia mengkhianati kepercayaan kau. Dia bukan sekadar menipu kau, tapi
lebih daripada itu. Dia berulit mimpi dalam pelukan lelaki lain, Osman.
Sedarlah Osman, sedarlah!”
“Arghhh!”
Osman terjerit kuat cuba membuang segala kusut di kepalanya.
“YEAY,
yeay… ayah dah balik! Ayah dah balik!” Mardiah Amna, Wardina Amni dan Faizul
Ikhwan terlonjak-lonjak kegirangan menyambut kepulangan Osman dari beranda
rumah. Mereka bertepuk tangan kegembiraan.
“Mak,
ayah dah balik,” laung Mardiah Amna.
“Mak,
ayah dah balik.” Faizul Ikhwan pula melaung kuat memanggil Suriyana.
“Anak-anak
ayah apa khabar?” tanya Osman sebaik saja anak-anak merapatinya. Mereka teruja
dengan kepulangan Osman selepas lebih seminggu Osman ke luar daerah.
“Yeay,
dapat hadiah!” jerit Mardiah Amna sebaik saja menerima buah tangan daripada
Osman. Mardiah Amna mencium pipi Osman bertalu sebagai tanda terima kasih.
Osman
tersenyum meleret. Bahagia kepulangannya disambut anak-anak. Kerinduannya
terhadap mereka rasa terubat.
“Ni
untuk Zul,” kata Osman sambil mengunjukkan sebuah kotak kepada anak lelakinya.
“Horeyyy!
Terima kasih, ayah!” Faizul Ikhwan separuh berteriak seraya memeluk kotak besar
itu.
“Apa
benda tu, ayah? Besarnya!” tanya Mardiah Amna menyedari kotak Faizul Ikhwan
jauh lebih besar daripada kotaknya.
“Walaupun
yang Zul lagi besar saiznya, tapi harganya lebih kurang sama dengan Diah.”
Osman tersenyum memandang Mardiah Amna. Langkah anak sulung terbantut melihat
hadiah yang diterima Faizul Ikhwan.
“Kakak
ni tak habis-habis cemburu dengan Zul. Ni barangan budak lelaki memanglah
kerangkanya besar sikit berbanding dengan kakak,” kata Faizul Ikhwan
mengenangkan sikap kakaknya.
“Untuk
Dina, ayah?” soal Wardina Amni menyedari tiada hadiah untuknya yang diberi
Osman meskipun abang dan kakaknya sudah memeluk kotak hadiah masing-masing.
“Untuk
Dina, tak ada. Ayah lupa,” usik Osman membuatkan Wardina Amni menarik muka
masam.
“Tak
acilah, ayah. Ayah janji dengan Dina nak beli ayam KFC. Dah lama Dina nak makan
ayam KFC,” luah Wardina Amni dengan wajah mendung.
“Alahai,
kesiannya. Ayah betul-betul lupa pasal KFC tu,” kata Osman kesal. Dua minggu
berlalu, janjinya kepada Wardina Amni lebur begitu saja.
“Tak
apalah, ayah. Mungkin lain kali.” Wardina Amni bersuara separuh merajuk.
“Jeng!
Jeng! Jeng! Ni hadiah untuk Dina,” kata Osman sebaik saja mengeluarkan
bungkusan plastik yang sarat dengan buku cerita dan komik.
“Ayah!”
Wardina Amni teruja.
“Dina
ingat ayah tak sayang dialah tu,” komen Mardiah Amna mengejek rajuk Wardina
Amni.
“Terima
kasih banyak-banyak ayah untuk semua buku ni. Tapi Dina ingat ayah belikan Dina
ayam KFC.” Wardina Amni bersuara sambil membelek buku-buku di tangannya.
“Sorry,
sayang. Ayah betul-betul lupa.”
“Tak
apalah, ayah. Esok ya?” Wardina Amni mohon perhatian.
“Dah
makan tengah hari semua?” tanya Osman.
“Dah,”
jawab mereka bertiga serentak.
“Mak
yang masak ke, Mak Cik Kiah?”
“Mak
Cik Kiah tak datang hari ni. Mak yang masak,” jawab Mardiah Amna.
“Emak
masak lauk apa hari ni?”
“Nasi
goreng kicap,” jawab mereka serentak.
“Oh...
kalau macam tu, jom ikut ayah ke bandar! Sekarang juga kita beli ayam KFC,”
ajak Osman.
“Yeay,
nak! Nak!” Wardina Amni melonjak kegembiraan sebaik saja Osman masuk kembali ke
dalam kereta. Enjin kereta dihidupkan. Wardina Amni turut masuk ke dalam
kereta.
“Eh,
Zul dengan Diah tak nak ikut?” soal Osman.
“Tak
naklah, ayah.” Mardiah Amna dan Faizul Ikhwan menjawab serentak. Mereka lebih
teruja mahu membuka hadiah.
“Bagitahu
emak, ayah ke bandar kejap ya?” Osman meneruskan pemanduan sebaik meninggalkan
pesanan itu.
Mardiah
Amna dan Faizul Ikhwan mengangguk faham seraya melambaikan tangan mengiringi
perjalanan Osman dan Wardina Amni.
“MAK,
mak… tengok ni!” Suara Mardiah Amna yang menjerit membuatkan Suriyana tersentak.
“Kenapa
terjerit-jerit ni? Tak nampak mak tengah cakap kat telefon?” bentak Suriyana
menyedari teriakan Mardiah Amna dan Faizul Ikhwan.
Kedua
anaknya itu saling menunjuk-nunjuk hadiah di tangan masing-masing. Kereta
kawalan jauh di tangan Faizul Ikhwan manakala set video gamesdi tangan Mardiah Amna.
“Mak
tengok ni, ayah belikan kami hadiah.” Faizul Ikhwan memberitahu sambil
menunjukkan hadiah di tangannya.
Suriyana
terpempan seketika menyedari betapa ralitnya dia bersembang di telefon. Osman
yang sudah pulang ke rumah langsung tak disedarinya.
“Hisy,
dia dah balik. Lain kali call ya!” Suriyana segera menamatkan perbualan
dengan pemanggil tadi. Gesa-gesa dia meletak gagang telefon mahu menyambut
kepulangan Osman di muka pintu.
“Aik,
mana ayah? Kata tadi dah balik?” tanya Suriyana hairan apabila Osman tiada di
muka pintu. Keretanya juga tiada.
“Ayah
ke bandar kejap. Belikan ayam KFC untuk adik,” beritahu Mardiah Amna.
“Habis,
adik kau mana?” tanya Suriyana sambil merengus kasar.
“Adik
ikut sekali, mak.” Faizul Ikhwan menjawab.
“Esok-esok
kan boleh mintak? Ayah kan baru sampai. Tak tahu ayah penat? Mintak
macam-macam...” omel Suriyana geram mengenangkan Wardina Amni.
Mardiah
Amna dan Faizul Ikhwan tak berkata apa. Melihat wajah Suriyana yang tiba-tiba
berang, masing-masing berlalu ke dalam bilik.
DUA
jam berlalu, Suriyana menunggu dengan sabar kepulangan Osman. Sesekali dia
duduk di beranda pintu, sesekali dia masuk ke dalam rumah mengintai anak-anak
di muka pintu bilik mereka. Melihat keterujaan Faizul Ikhwan bermain kereta
kawalan jauh dan Mardiah Amna bermain video
games, Suriyana tersenyum puas. Dia pasti Osman juga ada membelikan sesuatu
yang istimewa buatnya. Rantai berlian yang pernah dijanjikan Osman
terbayang-bayang di ruang mata. Bagaimana bentuknya? Apakah sama seperti mana
yang diidamkan?
Sebelum ini, Osman tidak pernah menghampakan
permintaannya. Osman cukup pandai mengambil hatinya dan memenuhi setiap cita
rasanya. Sudah lama Suriyana kepingin rantai berlian dan tak disangka
permintaannya itu disambut baik. Ternyata, Osman masih memanjainya dengan
keperluan material.
Tiga
jam berlalu, bayang kereta suaminya masih tidak kelihatan. Suriyana dihambat
resah. Dadanya tiba-tiba berdegup kencang. Tiada lagi rantai berlian
terlayar-layar di depan mata, tetapi seraut wajah Osman yang mengganggu
benaknya. Hatinya berasa tidak sedap.
Puas
sudah duduk di hujung beranda, dia bangun sambil matanya melilau ke arah jalan
raya. Kenderaan setia bertali arus, namun kereta Osman masih tidak tidak
kunjung tiba.
Tiba-tiba
sebuah kereta polis peronda memarkir masuk di halaman rumah. Dahinya berkerut
seribu menerima kunjungan mereka lewat petang itu.
“Puan
Suriyana ke?” tanya seorang lelaki berpakaian seragam polis sesudah saja
memberi salam.
Suriyana
terangguk-angguk. Rasa cemas dan panik melekat kuat di dadanya.
SURIYANA
membulatkan mata melihat sekujur tubuh Osman yang terkedang lesu di atas katil
itu. Di tepi Osman, Juriah dan Mahmud yang nampak berhiba. Mahmud nampak
bersungguh mententeramkan Juriah yang masih teresak-esak di birai katil
anaknya.
“Suri...”
tegur Juriah menyedari Suriyana hadir di antara mereka.
Suriyana
menelan liur pahit. Antara terkejut dan tak percaya menerima khabar yang
suaminya dirompak ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari bandar.
Siang-siang
buta merompak? Walhal dari bandar ke kawasan rumah mereka sibuk dengan
kenderaan.
“Abang…”
Suriyana menerpa tubuh suaminya yang berselirat wayar.
Mulut
Osman dikenakan alat bantuan pernafasan. Osman nampak tenang dalam nafasnya
yang turun naik. Matanya terpejam rapat dan keadaan tanpa berbaju itu
menampakkan ada balutan yang menutup lukanya yang panjang.
“Kami
agak perompak berkenaan tahu yang suami puan ada membawa sejumlah wang ataupun
barang berharga. Jelas di sini, motifnya rompakan tapi pihak kami masih
meneruskan siasatan.” Pegawai yang datang mengambil maklumat tentang Osman
memberikan hujahnya membuatkan Suriyana terangguk-angguk. Berita itu cukup
mengganggu emosinya.
Suriyana
berteriak kuat. Air matanya tumpah tak mampu diseka lagi.
Barang
berharga? Tentu perompak itu tahu tentang rantai berlian tu, bisik Suriyana
kesal.
“Pihak
kami akan cuba mendapatkan maklumat daripada anak perempuan puan yang nampaknya
masih trauma dengan kejadian itu.” Ayat-ayat yang diatur polis itu membuatkan
rasa sedih Suriyana bertukar marah.
Kalau
abang tak beria nak layan sangat budak Dina tu, semua ini takkan berlaku. Tak
mungkin berlaku. Kau memang sial, Dina. Banyak musibah berlaku sebab kau!
tempik Suriyana dalam hati.
“Suri…”
Suara Juriah mengejutkan lamunan Suriyana yang panjang.
“Doktor
cakap apa, mak?” tanya Suriyana teresak-esak. Ada hiba singgah di hatinya
melihat keadaan Osman begitu.
Juriah
tak mampu berkata apa-apa. Dia hanya teresak-esak menurut rasa sedih yang tak
mampu dilenyapkan dari tubuh tuanya.
“Keadaan
Osman kritikal, Suri. Kata doktor, tusukan benda tajam di perut dan dada Osman
terlalu dalam. Harapan terlalu nipis.” Mahmud bersuara serak, tersekat-sekat
menjawab soalan Suriyana tadi.
“Abang…”
Hanya itu yang mampu diungkapkan Suriyana.