10
OSMAN
hanya merenung kosong seraut wajah Suriyana. Sejalur cahaya yang terbias masuk
dari bawah pintu bagai memberi sedikit kecerahan di dalam bilik itu. Sudah
sejam dia terbaring di sebelah Suriyana yang kembali lena.
Rasa
mengantuknya sudah hilang. Meskipun puas memaksa mata untuk pejam, namun
kelopak matanya berdegil untuk berbuat demikian. Puas sudah dia mengiring ke
kiri ke kanan, namun sebuku rasa resah ternyata menyesak dadanya. Ada satu
perasaan kecewa menyelinap ke kamar hati membuatkan rasa curiga bersatu emosi
marah, resah, bimbang dan takut. Segalanya ada.
Osman
berzikir panjang, cuba membuang segala rasa yang membuatkan jiwanya
terus-terusan dihambat gelisah.
Puas
sudah cuba disingkir perasaan yang tak enak itu. Namun, selagi itulah benaknya
terus berputar ligat. Otaknya benar-benar tepu. Ternyata dia tidak berdaya menipu
diri sendiri untuk melupakan apa yang ditulis Wardina Amni dalam buku
catatannya tadi. Sedikit sebanyak akalnya mula terhasut untuk mencari kebenaran
akan setiap inci perkataan yang dicoret oleh anak bongsunya tadi.
“Man,
akak nak cakap sikit ni. Tapi, Man jangan marah ya?” Suatu hari, Ainon jiran di
sebelah rumahnya datang. Ketika itu, dia baru saja tiba di pekarangan rumah
setelah seminggu ke Kulim atas urusan perniagaan.
“Ya,
kak... kenapa?” soal Osman tak faham.
Perkataan
marah yang disebut Ainon membuatkan dia diterpa perasaan ingin tahu. Perlakuan
Ainon yang bercakap seperti berbisik-bisik membuatkan Osman faham seperti ada
rahsia yang ingin disampaikan. Osman yakin Ainon tidak mahu orang lain
mendengarnya sementelah mata jirannya itu tidak berhenti daripada terus melilau
ke kiri ke kanan. Ainon seperti khuatirkan seseorang.
“Apa
dia, kak? Cakaplah!” soal Osman separuh mendesak. Dia sudah tak sabar ingin
mendengar perkhabaran daripada wanita yang lebih 10 tahun berusia daripadanya.
“Akak
pun serba salah nak cakap ni, Man. Tapi kalau tak cakap, akak lagi rasa
bersalah,” luah Ainon dengan suara tersekat-sekat.
“Yalah,
kak! Apa dia?” Osman bersuara tegas, mahukan jawapan segera daripada wanita
itu.
“Maaf
ya Man, akak cakap. Akak tengok selama ketiadaan Man di rumah, Suri tu kerap
benar keluar lewat malam. Ada lelaki datang jemput dan hantar dia. Pulak tu
akak selalu nampak Suri pulang lewat pagi...”
“Akak
cakap apa ni?” pintas Osman akan kata-kata Ainon dengan wajah merah padam.
Matanya mencerun tajam ke mata Ainon. Nada suaranya keras dan menekan.
Terpempan Ainon dengan riak wajah Osman yang tiba-tiba nampak garang menyinga.
“Kak
Ainon tahu tak, yang fitnah itu lebih buruk daripada membunuh? Sebab lidah
orang-orang seperti Kak Ainonlah banyak rumah tangga porak-peranda. Banyak
masjid patah tiang, pecah dinding. Akhirnya runtuh, tak dapat diselamatkan
lagi.” Osman melempar kata-kata itu dengan perasaan marah yang meluap-luap.
Menggigil-gigil tubuhnya.
“Astaghfirullahalazim,
Man! Kau jangan anggap akak reka cerita semua ni. Sungguh, akak berniat baik
Man.” Ainon cuba menenangkan perasaan Osman.
“Niat
baik apanya? Akak, jangan sampai saya tak hormat akak sebab mulut jahat akak
tu!”
“Ya ALLAH… Man. Sungguh, mata akak ni jadi saksinya. Akak
tak menipu, sebesar zarah pun tidak. Niat akak supaya Man boleh bertindak
sebelum sesuatu yang tak diingini berlaku. Akak kasihankan Man dan anak-anak,”
kata Ainon bersungguh.
“Sudahlah,
kak... sudah! Suri seorang isteri yang baik dan sempurna untuk saya. Dia
seorang ibu yang penyayang terhadap anak-anak kami. Rasanya saya takkan termakan dengan kata-kata
akak yang penuh racun ni. Hah, ada apa-apa lagi ke akak nak cakap?!”
“Terpulanglah
pada kau, Man! Akak pun tak tahu dah cara nak buat Man percaya. Jangan suatu
hari, baru kau sedar yang cakap akak ni benar belaka. Tolonglah percaya,
Man...”
“Eh,
ayah! Ayah dah balik? Yeay, yeay... ayah dah balik!” Suara jeritan Wardina Amni
membuatkan kata-kata Ainon terbantut.
“Dina…”
Osman tersenyum manis melihat wajah ceria Wardina Amni yang berlari
mendapatkannya di halaman rumah. Hilang sudah kelat di wajahnya dengan cerita
Ainon tadi. Ternyata kehadiran anak itu bisa memadamkan api yang sedang panas
menyala di dadanya.
“Ayah!”
Wardina Amni lantas merangkul tubuh ayahnya. Mereka berpelukan mesra,
melepaskan rindu yang sarat di dada.
“Anak
ayah apa khabar?” tanya Osman sambil mencium pipi anak bongsunya bertalu-talu.
“Okey,
sihat. Dina rindukan ayah. Sangat, sangat!” balas Wardina Amni.
“Eh,
mana semua orang?” soal Osman kehairanan menyedari hanya Wardina Amni yang
menyambut kepulangannya.
“Keluar
pergi jalan-jalan,” jawab Wardina Amni.
“Ke
mana?” soal Mahmud lagi.
“Entah,
tak tahu!” balas Wardina Amni ringkas.
“Kenapa
tak ikut?”
“Mak
tak ajak,” adu Wardina Amni membuatkan Osman membuang pandang ke seraut wajah
Ainon yang masih tercegat di antara mereka. Sesaat dua mata mereka beradu.
“Sejak
bila keluarnya? Ni dah pukul lima.”
“Dalam
pukul 10.00 pagi tadi,” cerita Wardina Amni dengan jujur.
“Pagi
tadi Mak Cik Kiah datang ke tak?”
“Hari
ni, Mak Cik Kiah tak datang, ayah.”
“Habis,
dah makan ke belum ni?” tanya Osman lagi sambil menatap jam tangannya.
“Dah.
Mak Cik Ainon hantar nasi ayam dengan bubur kacang tengah hari tadi. Kenyang
perut Dina sampai sekarang ni,” jawab Wardina Amni akan pertanyaan ayahnya.
Sesekali matanya beralih ke seraut wajah Ainon.
“Terima
kasih ya, mak cik. Dari dulu lagi, mak cik baik hati sangat dengan Dina.” Wardina
Amni memuji sambil menarik hujung lengan baju Ainon.
Ainon
tersenyum, senang dengan kata Wardina Amni itu. Osman hanya melirik pandang
kedua mereka tanpa berkata apa-apa lagi.
“Jom,
ayah! Kita naik rumah. Jom, mak cik...” pelawa Wardina Amni.
“Hmm...
tak apalah, Dina. Mak cik balik dulu. Man, akak balik dulu.” Ainon meminta izin
dan terus berlalu dari situ. Nada suaranya sedikit pun tak menceritakan
perasaan yang tergores dengan kata-kata Osman tadi.
Tetapi
seharian itu, Osman langsung tidak memikirkan lagi akan kata-kata jirannya itu.
Kepulangan Suriyana dan anak-anaknya maghrib itu bagaikan mengubat rindu pada
mereka setelah berminggu-minggu tidak pulang ke rumah. Tambahan pula, Osman tidak
melihat sebarang perubahan negatif akan layanan Suriyana terhadap dirinya.
Disebabkan Osman sudah lali mendengar cakap-cakap orang akan buruk perangai
isterinya itu, maka segala cerita Ainon dianggap sebagai khabar angin
semata-mata. Penat orang bercakap, maka cerita itu akan berhenti dengan
sendiri.
Osman
mengheret nafas berat. Mengenangkan kata-kata Ainon beberapa tahun dulu, dia
teringat akan kata-kata abangnya, Mahmud. Cerita Mahmud yang cuba
memburuk-burukkan isterinya beberapa minggu lalu membuatkan dia berang. Malah,
hubungan akrab adik-beradik, tiba-tiba bertukar dingin. Osman percaya, Mahmud
telah termakan hasutan fitnah orang yang mencemburui isterinya.
Kejelitaan
Suriyana selalu dianggap mengganggu rumah angga orang. Baik teruna, suami
orang, duda mahupun yang tua kerepot pasti terpesona dengan isterinya itu.
Osman sedar, para isteri pasti berasa terancam apabila suami masing-masing
terpikat dengan Suriyana. Disebabkan itu, fitnah mula berleluasa.
Namun
bagi Osman, dia meletakkan kepercayaan yang tinggi terhadap Suriyana. Dia tidak
pernah mempertikaikan kesetiaan dan pengorbanan isterinya itu. Perasaannya
tiba-tiba merusuh hebat. Bukan dia sewenang-wenangnya mahu menyimpan prasangka
buruk terhadap isteri kesayangannya itu, tetapi menghayati luahan rasa seorang
anak membuatkan dia terfikir-fikir bahawa semua itu tidak mungkin reka cerita.
Apakah
Suriyana hanya melayan baik Wardina Amni di depannya saja? Apakah perubahan
sikap Suriyana terhadap Wardina Amni kerana perubahan mood isterinya
itu? Setiap baris perkataan yang tertulis di buku catatan anaknya itu perlahan-lahan
telah menyiat perasaannya. Hatinya hancur berkecai. Benarkah semua ini?
Benarkah, Ya ALLAH... Yang Maha Mengetahui? Siapakah yang perlu aku dahulukan
dalam senarai orang-orang kepercayaanku? Wardina Amni atau Suriyana? Adakah
Ainon dan Abang Mahmud berkata benar?
Apa
yang harus aku buat, Ya ALLAH? Aku tidak mahu Suriyana teraniaya andai kata dia
hanya menjadi mangsa fitnah. Pengorbanan dan kesetiaan Suriyana terhadapku dan
anak-anak terlalu besar untuk aku dustakan. Aku tahu, selama ini Suriyana terlalu
banyak memendam perasaan. Dia juga menderita kerana kelemahanku sebagai seorang
suami di bilik tidur kami.
Pun
begitu, Suriyana tidak pernah merungut jauh sekali merendah-rendahkan
kemampuanku. Aku sedar, Ya ALLAH... kekurangan diriku sebagai seorang suami
perkasa membuatkan aku gagal untuk melunaskan tanggungjawabku terhadapnya.
Namun, janganlah ENGKAU palingkan hatinya Ya ALLAH untuk menduakanku. Sungguh,
aku tak sanggup kehilangan cintanya!