Home Novel Keluarga Dia Yang Mengerti
Bab 1

1

TAHUN 1988

“ABANG... Suri rasa abang terlalu sibuk sejak kebelakangan ni.” Di hujung katil, Suriyana meluahkan perasaan tidak puas hatinya kepada Osman. Tangannya ligat menanggalkan pakaian daripada penyangkut baju lantas ditimbunkan di atas katil. Penyangkut baju diletak kembali ke tempat asalnya. Pakaian yang menimbun itu segera dilipat dan dimasukkan ke dalam perut beg milik Osman.

Osman yang sedang asyik meneliti beberapa kertas putih dari fail yang terkuak di ribanya, berpaling mencari wajah Suriyana.

“Suri... maafkan abang ya, sayang. Abang memang sibuk sikit sekarang ni. Abang kena kerja keras demi mengukuhkan lagi ekonomi keluarga kita. Insya-Allah abang akan segera balik, selesai aje kerja abang.” Osman memujuk lembut.

Suriyana langsung tidak mengendahkan pujukan suaminya itu. Kerja-kerja melipat dan menyusun pakaian diteruskan sehingga perut beg itu membuncit jadinya.

Osman meletakkan segala apa yang dibacanya ke atas meja. Dia merangkak ke atas katil, mendekati tubuh Suriyana dan memeluk isterinya dari belakang. Osman cuba memesrai Suriyana yang berwajah hambar. Reaksi Suriyana kaku dan dingin. Isterinya itu tunduk memandang mulut beg yang ternganga luas, belum berzip.

“Kenapa dengan zip beg abang? Rosak ke?” tanya Osman, buat-buat hairan apabila menyedari Suriyana tidak lepas memandang beg pakaian itu.

Suriyana masih membisu. Persoalan Osman sengaja dibiarkan tergantung.

“Jangan macam ni, sayang. Abang pergi tak lama. Dua minggu lagi abang akan balik dan bawa hadiah paling istimewa untuk Suri. Suka tak?” pujuk Osman dengan nada ceria. Dalam benak fikiran Osman, dia sudah terfikir-fikir mahu membelikan Suriyana sepasang kain sutera Terengganu pulang saja dari negeri itu.

Suriyana masih tidak berkutik. Dia berlagak seperti patung cendana. Kaku dan bisu. Hati Osman menjadi tak keruan. Jarang sekali Suriyana melayaninya sebegini. Biasanya Suriyana tenang saja kalau dia terpaksa keluar daerah atas urusan kerja.

“Janganlah macam ni, sayang. Abang terpaksa tinggalkan Suri sebab abang orang bisnes. Abang sayangkan Suri dan anak-anak kita. Kata orang, sayang isteri tinggal-tinggalkan...”

“Tapi, abang terlalu kerap tinggalkan Suri,” pintas Suriyana bernada lirih.

“Alahai, sayang... janganlah bersedih hati. Maafkan abang ya? Abang janji, lepas-lepas ni abang kurangkan outstation. Nanti abang minta mak hantar Abang Mahmud aje outstation. Biar abang pula instation. Abang pun bukan boleh berjauhan dengan Suri. Merana jiwa raga abang tinggalkan isteri abang yang cantik jelita ni,” pujuk Osman seraya mengelus lembut rambut Suriyana yang panjang mengurai. Osman mencium pipi Suriyana bertalu sambil memeluk tubuh isterinya itu kejap-kejap.

Suriyana terpujuk dengan kata-kata dan perlakuan mesra suaminya. “Abang... Kak Nah tengah sarat tu. Takkan Abang Mahmud nak kena pergi outstation pulak. Kak Nah kan tunggu hari aje nak bersalin,” komen Suriyana akan kata-kata suaminya tadi.

“Ha’ah kan... tengoklah nanti. Insya-Allah... abang akan kurangkan outstation. Tapi untuk hari esok, abang tak ada pilihan. Nak tak nak, abang terpaksa pergi. Projek usahasama ni penting demi mengembangkan lagi bisnes. Lepas tu, abang janji cuba untuk kurangkan aktiviti di luar. Abang pun bukannya suka nak tinggalkan Suri dan anak-anak.”

“Janji?” kata Suriyana mahukan kepastian.

“Janji, sayang. Abang janji akan sentiasa berada di sisi Suri. Lepas ni, abang takkan tinggalkan Suri lagi!”

“Hmm… yalah tu!”

“Sayang, abang rasa sejuklah.” Osman cuba meraih perhatian isterinya dengan kata-kata itu. Dia malas mahu berbincang tentang kerja lagi. Osman meramas lembut tangan Suriyana. Pipinya sengaja dilagakan dengan pipi Suriyana.

“I really miss you, darling...” bisik Suriyana ke telinga suaminya.

Osman tersengih dengan kata-kata isterinya itu. Dia mengerti perasaan Suriyana yang mula membalas perlakuan mesranya.

“Arghhh... mata abang tiba-tiba rasa mengantuklah pulak,” kata Osman manja seraya berbaring di riba isterinya. Dagu dan leher Suriyana yang jinjang, dikuis-kuisnya dengan hujung jari. Suriyana kegelian melayan perlakuan suaminya.

“Jomlah, kita tidur...” ajak Osman.

Suriyana mengerling ke katil kelamin bersaiz queen bersebelahan dengan katil mereka, yang bersaiz king. Anak kecil mereka, Faizul Ikhwan dan kakaknya, Mardiah Amna sudah lama lena, berselimutkan comforter yang tebal.

“Anak-anak dah tidur tu,” kata Osman nakal. Dia segera bangun menuju ke bilik air menyedari mata Suriyana terarah ke situ sejak tadi.

Suriyana tersenyum memandang anak-anaknya. Seharian melayan kerenah anak-anak yang masih kecil, memang memenatkan. Tetapi bagi Suriyana, ianya satu pengalaman yang cukup indah dan menghiburkan. Segala kasih sayang tertumpah sepenuhnya ke atas mereka.

Bagi Suriyana, cukuplah mereka dianugerahkan dua orang anak setakat ini apatah lagi Faizul Ikhwan dan Mardiah Amna masih kecil. Kesibukan Osman yang selalu ke luar daerah membuatkan segala bebanan menguruskan anak-anak tergalas di bahunya seorang. Ada waktu-waktunya dialah ibu, dialah ayah.

“Hai, sayang... kenapa termenung lagi? Abang dah gosok gigi. Dah wangi. Hahhh…” Osman bereaksi kebudak-budakan. Mukanya sengaja didekatkan ke wajah Suriyana, menayangkan barisan giginya yang putih bersih.

“Abang!” Suriyana hampir terjerit dengan perlakuan suaminya. Dia bangun mahu beredar ke bilik air. Namun, dengan pantas Osman memaut mesra lengannya.

“Nak ke mana, sayang?”

“Ke bilik air bang, gosok gigi.”

“Aduh, kenapa abang rasa tak sanggup nak berpisah dengan Suri walaupun Suri nak ke bilik air? Walaupun Suri cuma nak menggosok gigi?”

“Eleh, abang ni! Macam jauh benar bilik air ni. Lainlah abang yang nak tinggalkan Suri. Jauh tu, Terengganu.”

Kata-kata Suriyana membuatkan Osman ketawa terbahak-bahak.

“Syhhh...” Suriyana mengetap gigi geram melihat perangai suaminya. “Apa yang lucunya? Kalau anak-anak terbangun, macam mana?” tanya Suriyana mengawal suara geram sambil telunjuknya ditunding ke katil anak-anak.

“Opsss!” Osman cepat-cepat menutup mulut menyedari kebenaran kata-kata isterinya.

Dia menapak dan mendekati tubuh Suriyana.

“Kenapa?” tanya Suriyana tak faham.

“Apa yang kenapa?”

“Kenapa abang tenung Suri macam tu?”

“Esok, abang nak berjalan jauh. Abang nak tenung muka Suri puas-puaslah! Abang nak simpan wajah Suri dan cinta kita kemas-kemas dalam hati abang.”

Suriyana hanya tersenyum manis mendengar kata-kata suaminya itu. Osman tercegat di muka pintu bilik air memerhatikan isterinya mencuci muka.

“Simpan baik-baik cinta Suri tu ya, bang. Jangan kena curi pulak. Cinta itu tak ternilai sekalipun dibandingkan dengan intan berlian.” Suriyana menutur lembut sebelum mengelap wajahnya dengan tuala bersih. Dia kemudiannya menggosok gigi dan berkumur.

“Pasti, sayang... abang akan simpan cinta kita dalam peti besi, di sudut yang paling selamat di hati abang. Sesiapa pun tak akan mampu merampas cinta kita itu.”

“Senangnya hati Suri mendengar kata-kata abang,” balas Suriyana sebaik saja keluar dari pintu bilik air. Dia membalas renungan Osman. Kala mata mereka bertaut lama, tiba-tiba Osman mengangkat tubuh Suriyana.

“Eh, abang... kenapa ni?!” Spontan Suriyana bertanya. Meronta-ronta dia minta diturunkan.

“Syhhh... anak- anak tengah tidur! Jangan bising,” kata Osman seraya menutup daun pintu perlahan.

“Yalah… tapi abang nak bawa Suri ke mana?” tanya Suriyana lagi.

“Ke mana saja, asalkan Suri rela…”

Mendengar kata-kata Osman yang mersik di telinganya, Suriyana tidak meronta lagi. Dibiarkan saja tubuhnya dicempung Osman. Memang dia rela ke mana saja bersama lelaki yang dicintai itu. Malam ini, memang indah untuk mereka meluangkan masa bersama. Hari esok, kala perpisahan menjelma, pasti kesedihan bertamu di hati.

‘Arghhh, usah dilayan perasaan sedih mengenangkan hari esok! Yang pasti, malam yang indah ini kan menjadi milik kami berdua,’ bisik hati Suriyana senang.

“ABANG pergi dulu ya, Suri. I love you...”

I love you too...” Suriyana melambaikan tangan kala kereta milik Osman menderam pergi. Suriyana mengheret nafas berat cuba melawan perasaan sayunya. Pemergian Osman membuatkan jiwanya tiba-tiba dilanda sunyi.

‘Abang, cepatlah pulang. Suri rindukan abang…’ bisik hati Suriyana seraya mengunci daun pintu pagar yang cantik berkerawang.

Suriyana memerhatikan sekeliling rumahnya yang bersih. Pepohon mempisang, palma, pokok pinang kuning, rafis dan cycas mula meninggi, menaungi laman rumah itu. Lantaran hari masih pagi, embun basah masih bersawang di segenap celahan pepohon dan rerumput mutiara yang menghijau. Pokok-pokok bunga di dalam pasu nampak berkembang mekar dan subur-subur belaka. Ada bunga mawar, orkid, kekwa, dahlia, lily, daisy dan beberapa jenis tumbuhan tidak berbunga seperti keladi gajah, keladi changjur, keladi minyak dan beberapa jenis keladi lagi yang tak diketahui namanya. Tanaman dan bunga-bungaan yang indah itu cukup menyegarkan mata yang memandang.

Suriyana berjalan perlahan menuju ke gazebo yang terletak dekat dengan hujung dapur rumah mereka. Gazebo yang dibina dari jenis kayu jati itu nampak kukuh dan unik dengan ukiran. Di sekeliling gazebo itu dihiasi dengan pelbagai jenis tanaman hiasan yang ditanam di dalam pasu besar. Kebanyakan pokok yang ditanam di dalam pasu itu spesies keladi minyak dan keladi putih, berlatarbelakangkan pokok palma.

Suriyana terfikir-fikir, sebahagian besar laman rumahnya masih luas. Keluasan itu sangat sesuai sekiranya dibina sebuah kolam ikan dan air terjun buatan. Melihat ikan japanase cap yang berenang-berenang di dalam kolam, pasti mengasyikkan. Begitu juga, air terjun buatan yang bisa menenangkan fikiran.

‘Kalaulah abang ada bersama Suri waktu ini dan kita saling bercerita tentang keindahan landskap rumah kita ni,’ bisik Suriyana sambil menyandar tubuh ke badan gazebo.

Suriyana menebarkan pandangan ke hujung laman dapur rumahnya. Matanya tertancap pada pohon betik tropika yang sedang lebat berbuah. Namun, buahnya masih muda dan putik, cuma beberapa biji saja yang kelihatan mula menguning. Sepohon pokok cermai yang rendang turut berdiri di sisi pepohon betik itu. Pokok cermai itu sedang lebat berbuah. Sesekali, apabila cahaya pagi menyinar di sebalik celahan pokok cermai itu, Suriyana nampak embun yang tadinya bersawang di situ, kini tiada lagi. Mungkin titisan embun itu sudah lenyap, dihisap dek cahaya mentari.

Sesekali Suriyana memerhatikan pepohon betik. Sesekali Suriyana melihat buah cermai yang lebat bergayutan. Tiba-tiba, dia berasa terliur melihat buah-buahan itu. Alangkah sedapnya kalau buah betik yang mula menguning itu dipotong nipis-nipis dan dicicah dengan kicap yang dicampur dengan sedikit cuka, belacan bakar, cili padi, garam dan gula. Buah cermai yang masam itu, kalau dijeruk beberapa hari, pasti kesedapannya meresap ke jiwa. Kecur liur Suriyana membayangkan rasa buah-buahan itu apabila masuk ke mulutnya nanti.

Suriyana tidak berlengah. Dia masuk ke dalam rumah mengambil sebuah baldi di dapur. Sekembalinya dia di situ, dia mendekati pohon betik dan cermai tadi. Sebatang galah yang sedia bersandar di situ digunakannya untuk menjolok buah betik. Dengan sekali jolokan, buah betik yang baru nak menguning itu jatuh menyembah bumi.

“Oh, buah betik... bersedialah kau untuk menjadi santapanku nanti.”’ Suriyana bercakap seorang diri. Dia tersenyum puas sambil membelek-belek buah betik di tangannya. Buah betik itu kemudiannya diletak di dalam baldi. Kini, dia mahu mengambil buah cermai pula. Buah cermai yang kecil itu dikuis-kuis dengan hujung galah dan dengan mudah saja ia terlerai dari tangkainya. Cukup segenggam buah cermai itu, dia menyandarkan kembali galah tadi ke tempat asalnya.

“Beruntung juga beli rumah yang ada pokok betik dan cermai ni.” Suriyana bercakap seorang diri.

Suriyana teringat lagi betapa dia berasa teruja semasa Osman membawanya ke rumah itu. Menurut Osman, pemilik asal rumah itu menjual rumah mereka kerana dia sudah punya rumah lain yang lebih besar dan selesa di Rawang.

“Lagi beruntung Suri berkahwin dengan abang. Dapat tinggal di rumah besar dan secantik ini,” kata Suriyana lagi. Menyebut perkataan abang, dia teringatkan Osman.

“Oh, dah sampai mana agaknya abang? Rindu pula Suri kat abang. Hisy… takkan baru sekejap kau dah rasa rindu semacam, Suri!” Suriyana terus bermonolog.

“Hai, Suri! Pagi-pagi lagi dah ke laman?” Satu suara melaung. Ainon, jiran sebelah rumah mereka menegur dari celah pagar rumah Suriyana. Ainon sepertinya sedang bersiap mahu keluar bersama suaminya.

“Ya, kak. Sajalah tengok-tengok kawasan rumah. Akak nak ke mana tu?”

“Ke pasar. Nak beli barang basah sikit. Jomlah... kalau nak ikut.”

“Tak apalah, kak. Barang basah masih banyak. Lagipun anak-anak tidur lagi.”

“Eh, Osman tak ada kat rumah ke Suri?!” tanya Mat, suami Ainon.

“Tak ada, Abang Mat. Dia ke Terengganu. Baru sekejap tadi perginya,” jawab Suriyana.

“Oh, macam tu ke? Okeylah, Suri... kami pergi dulu ya? Kalau ada apa-apa hal beritahulah.” Ainon menamatkan perbualan mereka dan masuk ke dalam perut kereta.

Kala kenderaan itu menderam pergi, Suriyana terdengar teriakan kuat suara anaknya, Faizul Ikhwan.

“Mak! Mak!” Suara Mardiah Amna memanggil-manggil namanya.

“Mak! Mak! Mak!” panggil Mardiah Amna lagi dengan suara yang lebih lantang.

“Ya, ya, sayang… mak kat bawah ni,” kata Suriyana.Dia lekas-lekas membasuh kaki di pili, di laman rumah itu. Teriakan Faizul Ikhwan yang semakin kuat menerobos cuping telinganya membuatkan dia gesa-gesa memanjat anak tangga rumah.

“YA ke? Alhamdulillah... Suri dan anak-anak okey aje. Si Zul dengan Diah baru lepas makan nasi goreng.”

“Suri masak ke?”

“Ha’ah... Suri masak nasi goreng kicap aje. Bukan main selera lagi Si Zul dan Diah makan.”

“Baguslah kalau dia orang berselera makan. Suri tu, jangan tak makan pulak. Jangan asyik nak jaga badan sampai abaikan kesihatan. Abang tak kisahlah Suri gemuk sikit pun, jangan gemuk tahap obesiti sudah. Seram abang!”

“Yalah. abang... Bila pulak Suri jaga badan sampai tak makan. Suri makanlah. Hari-hari Suri makan epal hijau dan susu. Cukup untuk maintain kesihatan Suri.”

“Kan abang dah cakap! Tak makan nasilah ni?”

“Makan juga, sikit aje.”

“Suri... Suri...” komen Osman mengenangkan sikap Suriyana.

“Abang jangan risaulah. Tahulah Suri jaga diri. Abang tu jangan lupa belikan Suri keropok ya? Tetiba pula terasa nak makan keropok.”

“Suri nak makan keropok? Keropok keping ke keropok lekor?”

“Dua-dua abang beli. Suri terasa nak makan.”

“Baiklah tuan permaisuri, intan payungku…”

“Jangan lupa pulak abang. Nanti abang tahulah kalau tak beli.”

“Ya, ya... insya-Allah abang tak lupa. Nanti abang belikan.”

“Senyap aje budak dua beradik tu, buat apa?”

“Ada tu. Duduk menyandar sambil minum susu botol pulak. Abang dah makan ke?” tanya Suriyana.

“Abang... abang dah makan ke?” Suriyana mengulangi pertanyaan. Namun, Osman seperti tidak mendengar pertanyaannya itu. Osman seperti sedang bercakap dengan seseorang.

“Sekejap lagi I turun. You tunggu kat bawah ya?” Suara Osman bercakap dengan seseorang terdengar di corong telefon Suriyana. Butir perbualan Osman dengan seorang wanita.

‘Aduhai, betapa lembutnya Osman berbicara dengan wanita itu. Dan suara wanita itu kedengaran manja di telinga Suriyana. Siapakah wanita itu? Kenapa Osman menyuruh wanita itu menunggunya di bawah? Bukankah tadi Osman memberitahu yang dia kini di dalam bilik hotel? Adakah wanita itu juga bersama suaminya di dalam bilik hotel itu?’ Hati Suriyana dikocak rasa curiga.

“Abang…” panggil Suriyana perlahan.

“Oh, maaf Suri. Nanti abang call lagi. Abang ada hal ni. Okey, sayang... I miss you. Assalamualaikum!” Osman gesa-gesa meletakkan telefon sebelum Suriyana sempat menjawab salam suaminya.

Terpinga-pinga Suriyana dengan sikap Osman. “Kenapa abang terburu-buru? Sudah tak sabar-sabar sangat ke nak bertemu dengan perempuan tu?” Kata-kata itu meluncur laju di bibir Suriyana. Sedikit sebanyak layanan Osman membuatkan dia berkecil hati. Rasa cemburu tiba-tiba bertamu di jiwa mengenangkan betapa lembutnya lidah Osman berbual dengan wanita itu. Siapakah wanita itu? Sejauh manakah istimewanya sampai Osman boleh membenarkan wanita itu masuk ke bilik hotel?

“Astaghfirullahalazim…” Namun cepat-cepat Suriyana beristighfar. Dia cuba menolak prasangka buruk yang membuatkan dadanya tiba-tiba berdegup dengan lebih pantas.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.