11
"PERGILAH,
sayang... main puas-puas. Jangan main dekat air sangat ya. Kalau basah, susah.
Kita tak bawak pakaian salin.” Suriyana lembut mengizinkan Mardiah Amna dan
Faizul Ikhwan yang meminta kebenarannya mahu bermain bola di tepi pantai.
Mersik
suara Suriyana menjadi sajian halwa telinga Osman, begitu menyejukkan kalbu.
Merenung seraut wajah Suriyana, Osman tertawan. Kala melayan kerenah Mardiah
Amna dan Faizul Ikhwan, isterinya itu tak pernah lekang dengan senyuman. Hati
Osman turut senang melihat semua itu. Osman terpandangkan seraut wajah polos
Wardina Amni yang begitu khusyuk membaca komik Bahasa Inggeris di kerusi batu,
bersebelahan dengan tikar mereka.
Sejak
dari dulu lagi, Osman tahu yang anak bongsunya ini minat membaca. Maka dengan
itu, setiap kali dia ke luar daerah atas urusan bisnes, pasti dia tak lupa
mencari bahan bacaan yang sesuai untuk Wardina Amni. Banyak buku cerita
kanak-kanak dan novel remaja dihadiahkan buat anak bongsunya itu.
Sama
ada buku bahasa Inggeris mahupun bahasa Melayu, Wardina Amni pasti teruja
menerimanya. Buku kisah penyiasatan James and friends yang dibelinya semasa berada di Ipoh,
sememangnya dicari khas untuk anaknya itu. Osman tersenyum meleret melihat
wajah Wardina Amni yang sesekali nampak berkerut-kerut dan sesekali tersenyum
sendiri.
Menatap
wajah anaknya itu, dia disapa bahagia.
Sebagai seorang ayah, dia sering memikirkan masa depan anak-anak.
Potensi pelajaran Wardina Amni sangat menyerlah kalau dibandingkan pencapaian
akademik Mardiah Amna dan Faizul Ikhwan.
Sejak
mula bersekolah sehingga anaknya kini berada di tahun 6, Wardina Amni selalu mendapat keputusan
cemerlang. Dia tidak pernah gagal untuk mendapat tempat pertama di dalam kelas.
Jauh di sudut hati, Osman yakin suatu hari nanti Wardina Amni pasti menjadi
seorang yang berjaya. Andai dijaga dan digilap permata ini sebaiknya, pasti dia
menjadi sesuatu yang bernilai.
Osman
tahu, Wardina Amni pernah memberitahunya yang dia bercita-cita mahu menjadi
seorang pembaca berita. Kata Wardina Amni lagi, dia mahu jadi terkenal seperti
pengacara Majalah 3, Wan Zaleha Radzi. Osman mendengar baik tentang cita-cita
anak-anaknya. Dia menyokong penuh minat dan impian mereka. Begitu juga Faizul
Ikhwan yang berimpian mahu menjadi ketua polis negara dan Mardiah Amna yang
mahu menjadi seorang pereka fesyen bertaraf antarabangsa.
“Kau
biar betul Zul nak jadi polis. Ketua polis negara pulak tu. Beranganlah kau,
penakut!”
“Apa
pulak berangannya, kak?”
“Kau
tu, asal gelap aje, menjerit. Asal tak ada karan aje, dah gelabah cicak. Nak
jadi ketua polis konon. Ceh, pirahhh!” sindir Mardiah Amna.
“Diah,
tak baik cakap Zul macam tu. Biarlah, itu cita-cita dia. Mungkin sekarang ni
dia penakut, esok-esok dia berani. Mana tahu?” Osman menegur kata-kata Mardiah
Amna yang memperlekehkan cita-cita Faizul Ikhwan.
“Padan
muka kena marah. Sekurang-kurangnya Zul ada cita-cita. Kakak tu langsung tak
ada matlamat. Siang malam menghadap tv
aje.” Giliran Faizul Ikhwan pula mengenakan kakaknya.
“Ek
eleh... tolonglah, Zul! Akak nak jadi pereka fesyen antarabangsa. Terkenal
seluruh dunia. Akak nak bawak nama Malaysia ke negara-negara hebat dengan dunia
fesyen.”
“Mimpilah
kakak tu!”
“Eh,
apa pulak mimpi?! Dah cita-cita aku. Kau kenapa nak sibuk?”
“Boleh
akak bagitahu Zul negara yang terkenal dengan fesyen tu? Zul tak tahulah.”
Suara Faizul Ikhwan kedengaran mengejek. Dia sengaja mengajukan soalan itu
untuk menguji kakaknya.
“Kau
carilah sendiri. Kenapa tanya akak pulak?”
“Eh,
kata tadi tahu!” perli Faizul Ikhwan.
“Tahulah.
Milan, Itali, Paris, Perancis,” jawab Mardiah Amna yakin.
“Betul
ke jawapan kakak tu, ayah?” tanya Faizul Ikhwan mencebik.
“Entahlah,
Zul. Betul kut,” jawab Osman apabila tiba-tiba namanya disebut dalam perbualan
mereka.
“Hah,
kan dah betul! Kau apa tahu? Ketua polis negara konon.” Mardiah Amna
mentertawakan adiknya apabila Osman seakan menyebelahi jawapannya.
“Sudahlah,
kak. Excited sangat! Yang penting, kakak tu tak payahlah berfesyen sakan
macam orang putih tu. Seksi situ sini, macam tak cukup kain kat dunia ni.” Faizul Ikhwan mengingatkan kakaknya
membuatkan Mardiah Amna mencemik.
“Kau
Dina, takkan diam aje?” tanya Faizul Ikhwan seraya mencuit lengan Wardina Amni.
Wardina
Amni yang ralit menyiapkan kerja sekolahnya sejak tadi, memaling wajah apabila
namanya disebut.
“Kenapa
bang?” tanyanya terpinga-pinga seakan tak sedar akan topik perbualan abang dan
kakaknya.
“La,
semua orang bercakap pasal cita-citalah!” Mardiah Amna memberitahu.
“Oh,
ya ke? Kenapa tiba-tiba pulak bercakap pasal cita-cita?” soal Wardina Amni.
“Alah,
cikgu suruh siapkan karangan. Pasal cita-cita. Sajalah abang tanya cita-cita
kakak dan Dina,” jelas Faizul Ikhwan.
“Hmm…
cita-cita Dina sebenarnya, nak jadi pengacara Majalah 3.” Wardina Amni
bercerita jujur.
“Hah!
Pengacara Majalah 3?” Serentak dengan itu kedengaran tawa mengejek Faizul
Ikhwan dan Mardiah Amna. Pecah perut
mereka gelakkan Wardina Amni.
“Abang
dengan kakak tak baik tau gelakkan Dina. Lepas ni, tak nak cakap dah!” Suara
Wardina Amni kedengaran merajuk.
“Tak
apa. Biarkan saja dia orang gelakkan Dina. Ayah kan ada, ayah akan sokong
cita-cita Dina. Tapi, Dina kena belajar bersungguh-sungguh. Buktikan kepada
mereka yang Dina akan berjaya. Biar dia orang gelak sepuas-puasnya. Esok-esok,
dia orang akan terdiam bangga melihat Dina berada di puncak kejayaan.” Osman
memujuk, meredakan perasaan Wardina Amni yang nampak terasa hati dengan ejekan
abang dan kakaknya.
“Ayah,
sebenarnya Dina ada satu lagi impian. Ayah tahu tak Dina nak sangat jadi
seorang…” cerita Wardina Amni bersungguh-sungguh.
“Sudahlah,
dik. Tak sangka ya, kau ni berangan nak masuk tv.
Nak cari glamorlah tu,” komen Faizul Ikhwan memotong cakap Wardina Amni.
“Nasib
baik tak cakap nak jadi penyanyi ke, pelakon ke. Hahaha...” tokok Mardiah Amna
pula membuatkan tawa mereka makin terburai.
“Zul,
Diah!” Suara Osman kedengaran beramaran. Dia tidak mahu kedua-dua anaknya
berterusan mentertawakan Wardina Amni.
“Ada
lagi ke impian Dina?” tanya Osman begitu cakna akan kata-kata Wardina Amni
tadi.
“Hmm…
tak ada apa-apalah, ayah.” Wardina Amni menjawab. Dia tidak ingin lagi
berkongsi cerita, khuatir menjadi bahan tawa abang dan kakaknya.
Osman
tak memaksa Wardina Amni untuk memberitahu. Namun jauh di sudut hati, dia
tertanya-tanya juga apa impian anak bongsunya itu. Sehinggalah beberapa malam
lepas, dia terbaca akan luahan hati anaknya untuk menjadi seorang penulis buku
kanak-kanak dan novel remaja.
Mengingatkan
diari milik Wardina Amni itu, tiba-tiba dia teringatakan coretan luahan
perasaan anaknya. Lantas akalnya terus dirayapi rasa curiga. Dia mula berprasangka
jahat sehingga perasaan itu melarat ke ruang hati. Nalurinya tercemar dengan
pelbagai persoalan. Tiada lagi cerita tentang anak-anak yang melayari mindanya.
Yang bertebaran kini adalah persoalan tentang Suriyana.
Benarkah
Suriyana mencintaiku? Apakah dia masih ikhlas menerima kekurangan diriku?
Apakah dia masih berpegang pada janjinya untuk sama-sama saling melengkapi?
Ya
ALLAH , kenapa sejak malam tadi lagi naluriku berbisik yang bukan-bukan? Kenapa
hati ini meronta-ronta mahukan kepastian? Mungkinkah ada kebenaran di setiap
cerita yang dibawa angin yang menderu-deru selama ini? Apakah tepat tindakanku
selama ini yang bersikap memekakkan telinga? Bodohkah diriku yang buat-buat tak
endah akan sinisnya pandangan orang terhadapku? Ya Rabbi, dayuskah aku?
“Hah,
tangkap bola tu Zul! Cepat!” arah Mardiah Amna menjerit-jerit. Suara lantang
anak sulungnya menerobos ke telinga Osman. Teriakan itu bagai tidak mengizinkan
dia larut dalam perasaan. Dia menghela nafas sebelum menebar pandangan ke arah
mereka.
Faizul
Ikhwan akur dengan arahan kakaknya. Dia berlari sepantas mungkin, cuba
menangkap bola yang mula bergolek laju menuruni beting pasir, menuju ke gigi
pantai. Sepakan luar biasa Mardiah Amna membuatkan bola itu bolos dari jagaan
Faizul Ikhwan yang berlagak sebagai penjaga gol.
“Woi,
Zul... cepatlah! Terkedek-kedek, macam ibu itik pulang petang,” usik Mardiah
Amna lagi.
Suaranya
dilaung kuat melawan suara ombak yang menderu-deru. Sesekali dia nampak marah
melihat Faizul Ikhwan yang kemengahan mengejar bola. Sesekali juga, dia ketawa
terbahak-bahak mengenangkan kemenangannya.
Osman
sekadar tersenyum melihat kerenah anak-anak. Dia kemudian meneruskan bacaan di
dada akhbar.
“Itulah,
berlagak sangat. Jangan fikir perempuan lemah. Tengok, hari ni kakak dah
buktikan yang Zul tu sebenarnya tak sehebat mana.” Mardiah Amna menyambung
ayatnya apabila tubuh Faizul Ikhwan mula dekat dengannya.
Faizul
Ikhwan buat-buat tak dengar. Bola tersebut dikepit di bawah ketiak sementara
dia menceracak semula dua batang kayu dari ranting pokok untuk dijadikan tiang
gol yang sudah senget.
“Eleh,
kakak ni! Zul saja nak bagi akak peluang. Kalau tak, akak tension
pulak!”
“Yalah
tu, Zul. Banyaklah kakak tension, muka kau tu yang nampak tensionsemacam!”
“Okey,
kita tengok siapa yang lebih hebat. Kalau akak boleh kalahkan Zul kali ni,
kakak memang hebat. Zul akan tabik akak,” balas Faizul Ikhwan
bersungguh-sungguh akan kata-kata Mardiah Amna lagi. Dia sudah pun melempar
bola ke arah Mardiah Amna. Bola bertukar tangan.
“Hahaha…
kalau tak hebat jangan berlagak lebih, sudah!” Mardiah Amna ketawa mengejek.
Sengaja dia memulakan serangan psikologi terhadap adiknya sebelum dia membuat
serangan sebenar.
“Sudahlah,
kak!” marah Faizul Ikhwan.
“Fokus
betul-betul. Lepas ni kau jangan salahkan bola ni bulat pulak.” Mardiah Amna
masih tidak berpuas hati mahu menyakat adiknya.
“Arghhh,
cepat-cepatlah akak!” bentak Faizul Ikhwan.
“Nah!”
Mardiah Amna menyepak sekuat hati.
“Nah,
ambik kau!” balas Faizul Ikhwan pula. Tendangan bola Mardiah Amna tidak
ditepisnya, malah dibalas dengan tendangan sekuat hati. Bola itu
melambung-lambung sebelum terkena tepat ke muka kakaknya.
“Aduh,
mak! Kau memang jahatlah, Zul!” tempik Mardiah Amna.
“Mak,
ayah! Tengoklah Zul tu. Dia jahat. Sengaja tendang bola kat muka kakak.” Mardiah
Amna mengadu. Dia lantas meninggalkan Faizul Ikhwan dan belari ke arah
Suriyana, Osman dan Wardina Amni.
“La,
kenapa?” tanya Osman menyedari wajah Mardiah Amna yang mula mendung mahu
menangis. Dia yang ralit menatap surat khabar terkejut.
“Zul
tu, ayah. Dia sengaja tendang bola kat muka Diah,” jelas Mardiah Amna sambil
menggenyeh matanya yang pedih lantaran dimasuki habuk pasir. Dia melabuhkan
punggung di tepi Osman di tikar itu.
“Dah
seronok-seronok main, gaduh pulak? Huhh!” tegur Suriyana separuh merengus. Dia
yang ralit membaca majalah memanggung wajah, memandang Mardiah Amna.
“Meh,
sini... ayah tengokkan,” pujuk Osman seraya meniup mata Mardiah Amna yang
nampak berair.
“Emak
tak gemar tengok anak-anak mak bergaduh. Datang sini nak suka-suka, kan?” keras
suara Suriyana menegur anak-anaknya. Dia meletakkan majalah atas tikar.
“Sini
kau, Zul!” laung Suriyana bercekak pinggang.
Faizul
Ikhwan akur mendekati tubuh Suriyana.
“Boleh
tak kalau main tu baik-baik. Jangan gaduh-gaduh. Pening kepala mak tau, eeii!”
Mahu saja dipiat telinga Faizul Ikhwan mahupun Mardiah Amna. Namun, kornea mata
Osman yang menujah pandang ke arahnya membuatkan hasratnya terbatal. Akhirnya,
dia merengus panjang. Perasaan geram terbuku di dada.
“Itulah
kau!” Mardiah Amna bersuara, masih menyalahkan Faizul Ikhwan yang tercegat
macam patung cendana.
Faizul
Ikhwan tak berkata apa. Mujurlah Suriyana tidak jadi menarik telinganya
meskipun dia cukup bersedia menerima sebarang hukuman tadi.
“Sudahlah,
Diah. Tak ada apalah. Sikit aje ni. Adatlah kalau kena sikit-sikit masa bermain
tu,” pujuk Osman menenangkan situasi tegang anak-anaknya.
“Kalau
dah tak nak main, jomlah kita balik!” ajak Suriyana dengan wajah bosan.
“Dah
puas bermain? Nak main lagi ke nak balik rumah dah?” tanya Osman meminta pandangan
anak-anak.
“Diah,
Zul... kenapa diam aje? Ayah tanya ni. Bukannya ayah marah.” Osman cuba
meredakan ketegangan, memahami konflik dalaman anak-anak.
“Ayah,
dah lama kita tak makan ayam goreng KFC? Ayah belanja boleh?” Wardina Amni yang
sejak tadi terdiam melihat keadaan tegang abang dan kakaknya, menyampaikan buah
fikiran apabila masing-masing tak bersuara.
“Alah,
baru hari tu makan ayam KFC. Boring betullah adik ni!” Mardiah Amna tidak
bersetuju dengan cadangan Wardina Amni.
“Eh,
hari tu kakak makan ayam kat KFC ke? Sedapnya. Dina mana ikut,” luah Wardina
Amni. Nada suaranya kedengaran kecewa.
“Itulah
kau, siapa suruh sakitkan hati mak. Padan muka tak dapat ikut jalan-jalan. Tak
dapat makan ayam KFC.” Giliran Faizul Ikhwan pula menokok kata-kata Mardiah
Amna.
Wardina
Amni memandang wajah Suriyana sebelum beralih ke wajah Osman. Sungguh,
kata-kata itu begitu menusuk kalbu. Tanpa sedar, dia telah menyakiti hati
emaknya? Tapi atas alasan apa dan kenapa? Benak Wardina Amni laju berfikir.
Sungguh, dia langsung tak perasan akan hal itu.
“Tak
apalah, kalau Dina nak makan ayam goreng nanti ayah beli bungkus. Kita makan
kat rumah,” pujuk Osman lembut menyedari air muka anak bongsunya.
“Alah,
Diah nak makan sate ayah!” tegas Mardiah Amna.
“Zul
pun.” Faizul Ikhwan menyokong kakaknya.
“Emak
pun terasa nak makan sate. Kita makan ajelah kat kedai. Tak payah
bungkus-bungkus balik rumah.” Suriyana membuat keputusan.
“Tiga
orang dah setuju. Dua orang lagi belum buat keputusan. Sama ada setuju atau
tidak, yang tiga dah menang. Macam mana, ayah?” Mardiah Amna mahukan kepastian
dan jawapan yang tepat daripada Osman.
Osman
menarik nafas. Dia mengangguk tenang. Nak tak nak, dia terpaksa berlaku adil.
“Baiklah.
Ayah terpaksa ikut keputusan majoriti.” Osman mengumumkan keputusannya
membuatkan mereka bertiga menjerit riang.
Faizul
Ikhwan dan Mardiah Amna sudah pun berlari ke kereta. Masing-masing nampak tak
sabar mahu makan sate.
“Suri
tunggu dalam kereta ya, bang.” Suriyana mencapai majalah di atas tikar. Dia
kemudiannya berlalu, masuk ke dalam kereta menyertai Mardiah Amna dan Faizul
Ikhwan yang makin girang bercerita.
“Lain
kali ayah belanja Dina makan KFC, ya?” pujuk Osman menyedari riak wajah anak
bongsunya yang nampak kecewa.
Wardina
Amni tersenyum mengangguk menyembunyikan perasaan terkilannya. Entah kenapa,
hati Osman tersentuh. Dia perasan, ada cecair jernih bergenangan di kelopak
mata anak bongsunya itu.
“Cepatlah
ayah! Lapar ni!” teriak Faizul Ikhwan. Kepalanya sudah pun terjojol keluar dari
cermin tingkap.
“Yalah,
yalah!” balas Osman seraya mengibas tikar. Dia kemudian melipat tikar itu
dengan dibantu Wardina Amni.
“Jom,
Dina,” ajak Osman lembut. Dia mengerti perasaan anaknya yang sedang berduka.
Entah
kesalahan apa yang dilakukan Wardina Amni sehingga dia dihukum Suriyana, Osman
pun tak tahu. Tetapi terang nyata anak bongsunya itu kian tersisih daripada
kasih sayang seorang emak. Malah, selama lebih dua jam mereka berada di pantai
itu, Osman perasan yang Suriyana langsung tidak mempedulikan Wardina Amni.
‘Apa
dah jadi sebenarnya, Suri? Apakah selama ni sememangnya begini layanan Suri
terhadap Dina? Apakah Suri hanya melayan baik anak ini di depan abang? Seperti
mana yang tertulis di buku diari Dina? Mungkinkah juga Suri melayan abang
dengan baik bila kita bertemu mata, tetapi Suri berlaku sebaliknya di belakang
abang?’
“Cepatlah,
ayah! Buat apa lagi tu?” laung Faizul Ikhwan.
Osman
tersentak. Dia lantas berpaling. Fikiran buruknya tentang Suriyana sudah
lenyap. Kusut di kepalanya juga hilang serta-merta menyedari dia dalam
perhatian anak-anak dari dalam kereta.
“Orait,
ayah datang!”