4
7
BULAN KEMUDIAN.
"AKU rasa budak ni memang
ada yang tak kena, Suri.” Mak Bidan Sauyah bersuara sambil membedung bayi itu,
usai saja dimandikan. Tubuh kecil itu tidak berhenti menangis. Selesai saja
dibedung, tubuh bayi itu bertukar tangan.
“Apa maksud mak bidan?”
Suriyana bertanya dengan dahi berkerut. Dia yang berhajat mahu menyusukan bayi
yang kurang sejam dilahirkan itu terbantut.
“Kau susukan budak tu
dulu. Naik pening kepala aku ni, dengar dia berteriak. Entah lapar ke, takut
ke, tak tahulah...” komen Mak Bidan Sauyah.
Suriyana akur. Bayi dalam
dakapan itu akhirnya tertidur kekenyangan.
“Aku rasa budak ni ada
yang tak kena. Saat dia dilahirkan, anak kau ni terkena kayap ular. Laki kau
pulak terbabas dalam gaung. Hujan lebat tak berhenti-henti, kilat
sambar-menyambar, guruh berdentum-dentam macam gempa bumi. Amat menakutkan!”
Mak Bidan Sauyah menyambung cerita mereka yang tertangguh tadi.
“Maksud mak bidan macam
mana? Saya tak faham.” Tersentap Suriyana mendengar pendapat bidan itu.
“Kau tengok leher anak
kau tu. Pelik, kan? Macam mana baru lahir, tapi leher dah macam kena sembelih
macam tu. Badan dia masa aku sambut tadi pun, menggeliat-geliat, macam
tenggiling. Mata dia pulak, pandang atas aje,” jelas Mak Bidan Sauyah.
“Dah tu, kenapa?” tanya
Suriyana lagi, masih tak faham dengan cerita itu. Wajahnya macam orang nak
menangis.
“Senang cerita, anak kau
ni ada benda yang tak kena. Dia bawak mudarat kepada kau sekeluarga. Itulah,
beranak di bulan Safar ni memang tak bagus.” Mak Bidan Sauyah berterus terang.
“Apa kaitan pulak beranak
di bulan Safar ke, bulan Ramadhan ke? Apa maksud mak bidan yang anak ni bawa
mudarat?” marah Suriyana dengan kata-kata Bidan Sauyah. Menggigil-gigil tubuh
Suriyana menahan emosi.
“Hmm... tapi kau tak usah
fikirkan sangat hal ini. Kesihatan kau kena jaga. Jangan sampai angin meroyan
masuk dalam tubuh kau pulak. Ingat, lepas tujuh hari umur budak ni, bawa dia ke
rumah aku. Tahulah aku, nak ubatkan dia macam mana.” Mak Bidan Sauyah berpesan
panjang lebar. Nada suaranya kedengaran memujuk menyedari wajah Suriyana
tegang. Bidan Sauyah tahu yang Suriyana marah dan terkejut dengan kata-katanya.
“Mak bidan jangan cakap
benda yang mengarut! Jangan sesekali cakap anak Suri macam ni, tau!” bentak
Suriyana. Suaranya meninggi.
“Terpulanglah kau nak
percaya ke tak, Suri!” Mak Bidan Sauyah bertegas.
“Sabar Suri, sabar!”
Suara Kasnah kedengaran memujuk Suriyana yang tiba-tiba mengongoi panjang
sebaik saja Mak Bidan Sauyah keluar dari bilik itu. Wanita itu sudah mahu
pulang ke rumahnya kerana hujan sudah reda. Cuaca kembali tenang pada petang
itu.
“Betul ke apa yang mak
bidan tu cakap, Kak Nah?” tanya Suriyana dengan wajah keliru. Esak tangisnya
masih kedengaran. Terhinggut-hinggut bahunya menahan sedu-sedan di jiwa.
Kasnah membungkam. Tiada
jawapan untuk pertanyaan itu. Dia setia di sisi birasnya, menggosok belakang
tubuh Suriyana yang nampak keliru dan kesedihan.
“Jangan percaya sangat,
Suri. Segala apa yang berlaku tu hanya kebetulan.” Juriah yang tercegat di muka
pintu bilik itu menyampuk perbualan menantu-menantunya. Geram juga Juriah
dengan kata-kata Mak Bidan Sauyah tadi.
‘Ada ke patut, dalam
keadaan macam ni, Sauyah tu boleh bagi pendapat yang karut-marut macam tu!’
marah Juriah akan sikap Mak Bidan Sauyah.
“Tapi, kalau kau nak tahu
Juriah, anak Mansor yang baru lahir tu pun, jadi macam ni. Bini Mansor
meninggal selepas bersalinkan budak tu. Selang beberapa minit kemudian, abang
budak tu jatuh dari tangga rumah, patah leher. Adakalanya kena percaya, ada
anak yang bawa mudarat. Segala kejadian buruk tu petandanya. Kena berubat
Juriah sebelum banyak perkara buruk berlaku.” Satu suara menyampuk dari ruang
tamu. Azizah, seorang wanita di kejiranan Juriah memberi buah fikirannya.
“Astaghfirullahalazim.
Zaman dah moden, Cik Zizah oiii. Mana ada lagi kepercayaan yang macam tu. Dasar
Ekonomi baru dah dilancarkan. Orang dah pun pandang ke depan, bukan taksub
dengan zaman jahiliah lagi. Dulu-dulu memanglah, sampai anak yang baru lahir
kena tanam hidup-hidup,” bidas Juriah akan kata-kata wanita seusianya tadi.
“Aku cakap benda betul,
Yah! Terpulang kaulah nak percaya ke tak. Tapi, ada baiknya budak tu diubatkan.
Karang tak pasal emak dan neneknya pula terkena. Ayah, abang dan adiknya dah
terkena. Aku cuma ingatkan kau aje, Juriah. Perempuan baru lepas bersalin, tubuhnya
lemah.” Wanita yang bernama Azizah tadi bersuara tegas.
Azizah sudah berdiri di
sebelah Juriah, di muka pintu bilik Suriyana. Sesekali matanya menyinggah ke
wajah Suriyana dan Kasnah yang terlopong memandangnya. Masing-masing terdiam.
Juriah pun tak tahu
hendak kata apa. Cuma benaknya berpendapat, semua itu kolot semata-mata. Semua
itu hanyalah kepercayaan karut dan tahyul. Khurafat! Segala apa yang berlaku
adalah qadak dan qadarnya. Setiap musibah yang berlaku punya cerita yang
tersendiri. DIA Maha Mengetahui akan setiap hikmah kejadian-Nya.
“Nah, Nah!” Suara cemas,
jeritan seorang lelaki dari tangga rumah mengejutkan seisi penghuni rumah itu.
Kasnah berlari keluar
menyedari suara Mahmud seperti dalam keadaan panik. Juriah turut meluru,
menyertai Kasnah.
“Kenapa bang?” tanya
Kasnah kalut melihat keadaan Mahmud bersimbah peluh.
“Anak kita, anak kita!”
Jeritan cemas Mahmud membuatkan Kasnah meluru turun mendapatkan suaminya yang
sedang mencempung tubuh kecil bayi mereka.
“Kenapa, bang? Kenapa
dengan Fiz?” Kasnah panik melihat wajah bayi mereka, Hafiz yang sudah pucat
lesi. Matanya kuyu. Ada buih-buih putih keluar daripada mulutnya.
“Mud, kenapa Mud? Kenapa
dengan cucu mak ni?” Giliran Juriah pula bertanya. Dia terkejut melihat keadaan
Hafiz begitu.
“Anak kau tu sawan
gamaknya, Mud.” Wanita yang bernama Azizah tadi, turut menyertai mereka. Dia
mengamati wajah bayi yang kian terkulai itu.
“Hah, sawan?! Cepat Mud,
bawak Fiz pergi hospital.” Juriah mengarah separuh menjerit.
“Memanglah nak bawak
pergi hospital, mak. Tapi, kereta Mud tak boleh start. Telefon rumah
mak, berkali-kali tapi tak dapat. Mungkin gangguan line, masa hujan
tadi. Kebetulan pulak, tak ada langsung jiran tetangga nak mintak tolong.
Tunggu teksi punyalah lama tadi. Tu yang Mud berlari ke mari,” jelas Mahmud
yang masih lagi dalam kemengahan.
“Astaghfirullahalazim. Ya
ALLAH, kenapa begitu banyak dugaan berlaku hari ni? Bertimpa-timpa, kenapa ya
ALLAH? Tidaklah ENGKAUuji kami
sebagai hamba-Mu melainkan dengan
kemampuan kami, Ya ALLAH.” Juriah sudah menangis. Tangannya diangkat tinggi ke
langit, memohon kekuatan daripada-Nya.
Tubuhnya menggigil-gigil.
“Eh, cepatlah Mud! Budak
sawan ni, bahaya kalau lengah-lengah ke hospital. Takut ada serangan kat otak
pulak. Bila besar nanti, Mak Jah takut jadi tak betul aje anak kamu ni Mahmud,
Kasnah.” Suara wanita bernama Azizah itu kian keras dan menekan bunyinya.
Mendesak tindakan mereka agar pantas ke hospital.
“Ha’ahlah,
bang...cepatlah! Ya ALLAH, tunggu apa lagi?!” Kasnah menjerit, panik dengan
kata-kata Azizah tadi.
“Yalah! Yalah! Mak, Mud
nak pinjam kereta. Mud nak bawak Hafiz ke hospital ni,” pinta Mahmud mendesak.
Badannya menahan gigil mendengar kata-kata Azizah tadi. Dia tidak mahu sebarang
perkara buruk berlaku ke atas satu-satunya zuriat yang mereka ada. Sudahlah
hendak dapat zuriat itu, bertahun-tahun mereka menunggu dengan bermacam-macam
ikhtiar.
Juriah berlari memanjat
anak tangga rumah, mendapatkan kunci keretanya di dalam bilik tidur. Tidak lama
kemudian, kunci kereta bertukar tangan. Mahmud buru-buru menghidupkan enjin
kereta dan membawa Kasnah bersama bayi mereka Hafiz ke hospital.
“Kan betul kata Mak Bidan
Sauyah, kau tak percaya Yah.” Azizah mencucuh semula perasaan Juriah tentang
isu yang dibincang mereka tadi.
“Zizah... semua ni tak ada
kena-mengena dengan cucu aku yang baru lahir tu!” marah Juriah, masih mahu
mempertahankan pendapatnya.
“Aku bunuh kau! Aku bunuh
kau!” Dari atas rumah, Suriyana bertempik kuat.
Juriah dan Azizah yang
masih di tangga rumah terperanjat besar. Mereka saling berpandangan sebelum
berlari mendapatkan Suriyana.
“Mengucap, Suri!
Mengucap. Sabar,” pujuk Juriah melihat keadaan Suriyana yang meracau-racau,
macam orang hilang akal. Di tangannya sebatang cucuk sanggul, bersedia mahu
merodok benda itu ke perut anak yang baru dilahirkannya tadi.
“Anak ni memang tak guna.
Menyusahkan!” tempik Suriyana. Dia mengacah-acah mahu membenamkan cucuk sanggul
tadi ke perutnya juga ke perut bayi yang nampak lena di dalam bedungan, di atas
katil itu.
“Bagi mak benda tu, Suri.
Bagi mak!” pujuk Juriah lagi sambil merapati tubuh menantunya.
“Mak tak usah nak pujuk
Suri. Mak jangan nak halang Suri lakukan semua ni. Suri tak mahu lebih banyak
masalah berlaku lepas ni. Budak ni memang bawa sial. Betul kata Mak Bidan
Sauyah tadi. Baru sehari dia kat dunia ni, dah macam-macam hal berlaku. Sebab
tu dari dulu lagi Suri dah tak mahu mengandungkan anak ni!” Suriyana menjawab
dengan nada geram. Suaranya tersekat-sekat menahan tangis. Namun ada ketikanya
dia nampak menyinga, ekspresi terlalu marahkan bayinya itu.
“Ya ALLAH, Tuhansedang menguji kita sekeluarga,
Suri. Tak ada kena-mengena dengan hal sial tu. Jangan fikir macam-macam, Suri.
Mengucap. Beristighfar. Suri masih letih tu. Jangan fikir yang bukan-bukan ya,
nak?” Juriah masih berusaha menenangkan Suriyana. Emosi menantunya nampak
berkecamuk.
Suriyana berusaha juga
mahu menikam zuriatnya itu meskipun Juriah sudah memeluk kejap tubuhnya.
“Mak, anak mak accident
kat Taiping tu. Tak tau kisahnya macam mana. Diah dan Zul pun tengah sakit tu. Kena
kayap ular lagi. Sekarang tengok, anak
Abang Mahmud pun kena sawan. Mak nak cakap apa lagi?!” Suriyana berteriak,
sambil mahu meloloskan tubuhnya daripada pelukan mentuanya.
Usaha Suriyana bukan
calang-calang. Hampir saja Juriah jatuh lantaran ditolaknya. Juriah nekad
melawan dengan segala kudratnya. Dia menentang habis-habisan tindakan gila
menantunya itu. Dalam keadaan separuh waras itu, segala kemungkinan boleh
berlaku.
“Sudah! Mak cakap, sudah!
Mengucap! Ingat ALLAH.” Juriah pantas menampar pipi Suriyana beberapa kali.
Sanggul rambut di tangan
menantunya itu dirampas lantas dibaling keluar tingkap yang sedia terbuka.
Juriah terus-menerus memeluk tubuh Suriyana yang meronta-ronta marahkan
tindakannya tadi.
“Maafkan mak sebab tampar
kau, Suri! Maafkan mak!” Juriah menangis dalam menenangkan Suriyana itu.
“Arghhh!” Suriyana
nampaknya makin marah. Tindakan Juriah itu makin mencabar amarahnya. Dia masih
berusaha meloloskan badannya dan terus-terusan melawan tindakan Juriah. Dia
bertempik-tempik mahu menerkam tubuh kecil yang sudah pun menangis nyaring,
terjaga daripada lenanya.
“Ya ALLAH, Zizah. Ambik
budak tu. Cepat! Selamatkan dia!” teriak Juriah menyedari Azizah tercegat di
muka pintu.
Suriyana hampir berjaya
melepaskan dirinya. Azizah yang sejak tadi terkaku, panik melihat keadaan
mereka. Dia akur dengan arahan Juriah. Dia segera mengambil bayi kecil itu.
Didakapnya erat dan membawa keluar dari bilik itu. Azizah berlari dan membawa
pulang bayi itu ke rumahnya yang tidak berapa jauh dari rumah Juriah.
Suriyana keluar dari
biliknya cuba mengejar Azizah apabila kekuatan Juriah tidak mampu menangkis
amukannya lagi. Di tangga rumah, Suriyana jatuh tersungkur. Kepalanya terhantuk
di tiang batu. Berdarah.
“Ya ALLAH, Suri!” Juriah
terkejut bukan kepalang. Dia yang masih kecungapan, menerkam menantunya itu.
“Kenapa mak, kenapa?
Kenapa semua ni berlaku?!” Suriyana menangis teresak-esak. Dia meratap hiba di
pangkuan Juriah.
Juriah tidak berkata
apa-apa. Cuma hatinya sayu memandang wajah Suriyana begitu. Tanpa rela, air
mata hangat laju bertitisan di pipi. Dia pun tidak berdaya lagi memikirkan
sebab-musibab musibah yang menimpa mereka sekeluarga. Semuanya datang serentak,
bertimpa-timpa.
SURIYANA menangis dan
menangis lagi. Makanan yang disediakan untuknya dibaling keluar tingkap.
Sesekali dia mengilai panjang. Sesekali dia berteriak kuat. Sesekali dia
memanggil anak-anaknya, Faizul Ikhwan dan Mardiah Amna. Namun, anak-anaknya itu
langsung tak mengendahkan emak
mereka. Bukan mereka tak mahu mendekati Suriyana, tetapi mereka dalam keadaan
cuak. Mereka nampak takut melihat perubahan mendadak emak mereka.
Keadaan Suriyana semakin
menjadi teruk sebaik saja mereka tiba di rumah Mak Bidan Sauyah. Dia yang
beria-ria mahu berubatkan bayi mereka, mendapat berita yang wanita itu
meninggal dunia kerana dipatuk ular. Suriyana yang ketika itu ditemani Juriah
dan Osman, terkejut bukan kepalang. Tempikannya makin menjadi-jadi. Langsung
tidak terkawal lagi sehingga adakalanya dia seperti orang tidak siuman.
Andai kata dia nak
melalak, dia akan melalak. Andai kata dia nak menjerit, dia akan menjerit
sesuka hati. Kalau dia nak menangis, dia akan menangis semahunya. Rambutnya
yang mengerbang tak dipedulikan. Pakaiannya yang tak bertukar berhari-hari
lamanya seperti tak menjadi masalah buatnya.
Sesekali Suriyana akan
melayan Osman bercakap dengan baik, bertanya khabar akan keadaan tangannya yang
masih bersimen. Tetapi, sesekali juga Suriyana akan mengejek sikap Osman yang
sering meninggalkan dia dan anak-anak kerana urusan luar. Adakalanya
percakapannya dengan suaminya itu penuh dengan fitnah dan pertuduhan.
Suriyana menyangka Osman
telah menduakannya. Fikiran Suriyana nampak berserabut. Jiwanya nampak kacau-
bilau. Demi melampiaskan tekanan dalam
jiwanya, Suriyana akhirnya mengamuk dengan membaling semua barangan sesuka
hati.
Bayi kecil yang dinamakan
Wardina Amni itu tak pernah disusunya lagi. Dia sudah tak mempedulikan
kewujudan bayi itu. Atau mungkin dia menganggap zuriatnya itu sudah mati. Kalau
dia terpandangkan bayi itu dalam dukungan Juriah mahupun Osman, dia akan
menengking-nengking kuat. Mulutnya menghamburkan kata-kata kesat seorang ibu
terhadap anak kecil itu. Suriyana jelas menyimpan dendam terhadap bayi itu.
“Kau memang anak tak
guna! Tak guna! Kau rasalah apa yang aku rasa bila kau dah besar nanti.
Menyusahkan aku. Kau memang menyusahkan aku!” jerit Suriyana setiap kali terpandang wajah
bayi kecil itu.
Wardina Amni menangis
nyaring seperti faham yang dia sedang dimarahi.
“Jangan macam ni, Suri.
Sabar! Ingat ALLAH! Bawa mengucap. Anak tu tak pernah bersalah pun. Suri jangan
cakap macam tu. Dia anak kita. Kata-kata seorang ibu terhadap anaknya berbisa.
Kasihan dia esok-esok, Suri. Suri kena
ikhlas, ikhlas dengan takdir-Nya!”
“Abang cakap memanglah
senang. Suri yang tanggung semua ni.”
“Suri, sejak awal
mengandung lagi mak ajak tinggal dengan mak. Suri yang tak mahu. Mak tahu susah
payah mengandung tu bila tiada yang temankan. Mak pun risau kenangkan Suri
dengan anak-anak kat rumah tu. Tapi, kedai mak tak ada orang nak tengokkan
kalau mak pergi rumah Suri lama-lama,” pujuk Juriah, menenangkan perasaan
menantunya.
Dia tak seronok melihat
perkelahian antara Osman dan Suriyana itu. Dalam keadaan tertekan begitu,
Suriyana memang akan mengungkit setiap pengorbanannya. Dalam keadaan itu juga,
Juriah mahu membela Osman yang selalu
berulang-alik ke Utara Sememanjung untuk mendapatkan stok barangan bisnes
mereka.
‘Arghhh, sudahlah mak!
Kalau tak sebab mak yang arahkan abang ke situ sini, abang takkan abaikan Suri
dan anak-anak. Kalau tak sebab mak yang suruh abang ke Taiping, abang takkan
pergi ke sana. Abang takkan kemalangan sampai begini jadinya. Dan kalau mak tak
terlalu mementingkan bisnes mak, Suri takkan terberanak di rumah mak!’ bentak
hati Suriyana geram.
“Sabar ya, sayang.” Osman
lembut memujuk apabila Suriyana terdiam dengan kata-kata Juriah itu.
“Suri memang boleh sabar.
Tapi, tengoklah tangan abang tu. Sebab siapa? Sebab anak tak guna nilah!” marah
Suriyana dengan pujukan suaminya itu.
“Suri, tangan abang ni
sikit aje. Kata doktor, kurang sebulan nanti, okeylah. Kemalangan tu tak ada
kena-mengena dengan anak ni. Dah nasib
abang...”
“Arghhh... budak tu
memang sial!” Suriyana berlari masuk ke bilik dan menghempas daun pintu sekuat
hati.
Osman terdiam. Ikutkan
rasa, mahu juga tangannya melayang ke pipi isterinya itu. Perkataan anak sial
dan anak tak guna yang disebut Suriyana berulang-ulang membuatkan dia panas
hati. Dia muak dengan kata-kata Suriyana itu. Isterinya seperti sengaja
mencurah petrol di atas unggun api. Jiwanya tiba-tiba terbakar dengan api
kemarahan, marak menyala.
“Man, Suri tu sakit. Kau
kena sabar layan kerenah dia,” bisik Juriah ke telinga Osman.
Osman meraup wajahnya
mendengar bait kata Juriah. Syukurlah ibunya ada di situ. Perasaannya kian reda
meskipun dia masih buntu memikirkan segala apa yang berlaku. Dalam keadaan
tangan kanannya masih bersimen, tindakannya agak terbatas untuk memantau
Suriyana dengan lebih baik. Syukurlah, mereka sekeluarga tinggal bersama Juriah
dan wanita itulah yang menguruskan segala keperluan mereka sekeluarga.