Home Novel Keluarga Dia Yang Mengerti
Bab 25



25


PANG! Pipi kiri Wardina ditampar kuat.

“Hei! Kau mengadu kat siapa, hah?! Kau bagi tahu kat siapa suruh nenek kau ke sini? Cakap dengan aku, cakap!” tengking Suriyana sambil membuka ikatan tangan Wardina Amni. Kepala Wardina Amni ditunjalnya beberapa kali, sekuat hati. Salotep di mulutnya juga ditanggal Suriyana.

Wardina Amni hanya mampu menangis. “Mak, kasihanilah Dina. Dina tak ada bagitahu kat sesiapa pun. Dina nak mengadu macam mana mak?”

“Kalau tak, kenapa nenek kau asyik bersungut nak ajak kau tinggal dengan dia?” Suriyana tak berpuas hati dengan jawapan Wardina Amni.

“Dina tak tahu, mak. Tapi kalau mak dah benci sangat kat Dina, biarlah Dina keluar saja dari rumah ni. Jangan seksa Dina macam ni, mak. Kasihanilah, Dina.”

“Eh, kau ni kalau bercakap, pandai kan nak memujuk rayu aku?! Kau ingat senang-senang aje aku nak keluarkan kau dari rumah ni? Bermacam-macam dah aku rasa, susah payah sebab kau. Aku kehilangan rantai berlian pun sebab kau!” herdik Suriyana dengan suara lantang bak halilintar. Tubuh Wardina Amni dipukulnya.

“Hari tu mak halau Dina keluar, kan?” Wardina Amni memberanikan diri bersuara meskipun badannya terketar-ketar menahan segala rasa takut dan sakit yang menyelubunginya.

“Hari tu, hari tu punya cerita. Hari ni, hari ni punya cerita. Jangan memandai-mandai nak ajar aku. Aku kata bangun, bangun! Jangan menangis-nangis kat sini pulak!”

“Mak, sakitlah!” Wardina Amni cuba menepis, melawan tindakan Suriyana.

Terkejut Suriyana bukan kepalang. Tak pernah Wardina Amni melawannya, hari ini berani-berani pula Wardina Amni menepisnya.

“Oh, kau dah reti melawan aku ya? Kau nak jadi anak derhaka? Nak?” Kemarahan Suriyana nampaknya memuncak. Ditamparnya pipi Wardina Amni bertalu.

“Aduh, sakit mak! Sakit!” Wardina Amni menjerit dan menangis kesakitan.

“Oh, dah sihat sikit... berani melawan aku ya! Berani kau, kecil-kecil tak nak mampus. Dah besar, memang menyusahkan aku!” Suara Suriyana menengking kuat bersama tubuhnya yang dihenyak kembali ke lantai.

“Mak, kenapa mak benci sangat dengan Dina? Kenapa mak? Dina bukan anak mak ke?” Lirih suara Wardina Amni bertanya sambil meraba pipinya yang masih sakit. Sedu-sedan semakin menyesak jiwa.

“Sudah! Jangan banyak tanya. Lagi-lagi soalan itu yang kau tanya. Sebelum aku betul-betul marahkan kau, baik kau bangun dan pergi basuh kain baju dalam bilik air tu. Berlonggok-longgok, sakit mata aku. Pergi!”

“Basuh kain baju?” soal Wardina Amni tak faham dengan kata-kata emaknya.

“Ya, sekarang! Mesin basuh rosak,” arah Suriyana.

“Mak, Mak Cik Kiah kenapa dah lama tak datang rumah kita? Mak dah berhentikan dia kerja ke? Lagipun... mak kan biasa hantar pakaian mak ke dobi. Tapi kenapa hari ni Dina pulak yang kena basuh semua kain baju ni?” tanya Wardina Amni mempersoalkan suruhan Suriyana.

“Wah! Wah! Wah! Bukan main banyak soal kau sesekali aku mintak kau buat semua ni?”

“Dina rasa tak sihat, mak. Dina lapar!”

“Buat sekarang! Aku kata sekarang!” marah Suriyana dengan wajah mencerlung membuatkan Wardina Amni tidak betah berada lebih lama di dalam bilik itu. Dia akur ke dapur, dekat dengan mesin basuh. Lagi banyak dia bersoal jawab, lagi sakit tubuhnya dicubit dan dipukul oleh ibu sendiri.

Wardina Amni hanya memerhati kain baju yang berlonggok, menyerah diri untuk dibasuh.

“Malam ni, kau masak apa saja kau nak makan. Janji kau basuh dan sidai dulu kain baju tu. Faham?”

Wardina Amni mengangguk faham sambil mengelap air mata yang tak henti berderai. Biarpun dia terpaksa membasuh kain baju berlonggok, tapi dia senang apabila Suriyana mengizinkan dia makan apa saja. Ini bermakna dia boleh memasak nasi dan mengambil apa saja bahan-bahan di dalam peti ais.

Pulangnya Suriyana berserta abang dan kakaknya dari bercuti, Wardina Amni perasan, begitu banyak bahan makanan dibeli mereka. Beraneka jenis biskut dilihatnya di dalam almari. Dia terliur, tetapi hanya mampu memandang, tidak berani menyentuh dan meminta daripada mereka. Hari ini, dapur mereka nampak berbeza jika nak dibandingkan saat dia ditinggalkan keseorangan di rumah itu dengan rasa sakit dan lapar. Langsung tiada bahan makanan.

‘Tapi ke mana kakak dan abang? Ni dah pukul berapa? Takkan tak pulang-pulang lagi dari sekolah? Aduhai, banyaknya kain baju nak basuh ni. Seronok-seronok mereka pulang dari bercuti, tak pasal-pasal aku pulak yang kena basuh kain baju dia orang,’ rungut Wardina Amni dalam hati.



“MUD...” Juriah membuka kelopak matanya yang masih berat. Dipandang ke kiri dan kanan bilik itu. Mahmud setia di tepinya. Tangan mereka saling bertaut.

“Mak kenapa Mud?” tanya Juriah dengan suara lemah.

“Mak pengsan siang tadi. Doktor kata, tekanan darah mak rendah.” Mahmud memberitahu Juriah.

“Ya ke?” tanya Juriah mahukan kepastian.

Mahmud hanya mengangguk.

“Mud... mak rindukan cucu-cucu mak. Mak rindukan Dina,” luah Juriah tiba-tiba.

Mahmud terpempan. Bangun dari tidur, emaknya terus bertanyakan cucu-cucunya. Nampak sangat Juriah terlalu rindukan anak-anak arwah adiknya.

“Menyesalnya mak hari tu tak terus bawak Dina balik ke rumah mak. Hari ni, entah macam mana nasib Dina tu. Mungkin dia sudah teruk didera Suri. Entah sakit, entah deman Dina tu sekarang. Kat mana agaknya Suri sorokkan Dina daripada kita, Mud?” Juriah bersuara lemah. Wajahnya runsing.

“Nek…” Suara Hafiz mengejutkan Juriah. Hafiz berlari mendapatkan tubuh Juriah yang terkedang di katil.

“Hafiz, cucu nenek.” Juriah tenang menerima dakapan Hafiz di tubuh tuanya.

“Nenek ni buat Hafiz risau aje tau. Badan nenek masih lemah. Mungkin perubahan cuaca selepas balik dari Mekah. Nenek perlu tidur dan rehat yang secukupnya,” bebel Hafiz.

Juriah tersenyum. Sikap cakna Hafiz sedikit sebanyak mengubat perasaan rindu Juriah terhadap Wardina Amni, Mardiah Amna dan Faizul Ikhwan.

“Itulah mak. Yang duk serabut kepala fikirkan anak-anak Osman tu, kenapa? Sampai pengsan-pengsan, sampai dapat penyakit darah rendah. Kan mak budak tu ada?” Satu suara menyampuk perbualan Hafiz dan Juriah.

Juriah tersenyum tawar menerima kehadiran Kasnah, isterinya Mahmud di wad itu.

“Macam ni kalau dah tua, Nah... banyak penyakit. Lagipun mak tak sihat semasa di Mekah lagi bukan sebab anak-anak Osman.” Juriah membalas akan kata-kata Kasnah.

“Kalau dia orang tak nak jumpa mak, Hafiz kan ada?” sambung Kasnah lagi selamba seraya melabuhkan punggung di kerusi, di sebelah suaminya.

“Ha’ah, kan nek. Hafiz kan ada. Hafiz boleh jaga nenek. Nenek jangan risau walaupun semua orang dalam dunia dah tak sayang nenek, Hafiz akan sayangkan nenek sampai bila-bila. Percayalah, nek. Nek jangan sedih ya?” pujuk Hafiz membuatkan rasa sebak di dada Juriah makin menjadi-jadi. Merenungi seraut wajah Hafiz, wajah Wardina Amni terbayang-bayang di ruang mata.

‘Fiz, kau tak mengerti penderitaan Dina. Dina perlukan nenek. Dina perlukan sokongan kita semua.’

“Mak kena banyak berehat ya. Jangan kusutkan kepala tu. Insya-Allah... Mud tengah fikir macam mana nak keluarkan Dina dari rumah Suri,” beritahu Mahmud.

Juriah hanya mengangguk.

“Nak keluarkan Dina dari rumah Suri?” sampuk Kasnah dengan berkerut dahi.

“Ya, Nah. Kasihan budak Dina tu. Apalah nasibnya duduk rumah tu.” Mahmud bersuara hiba mengenangkan Wardina Amni.

“Eh, biarlah dia tinggal dengan mak dia! Apa hal pulak abang susah hati kalau Suri macam-macam kat Dina? Dina tu kan anak dia?” jawab Kasnah dengan nada keras.

“Kau pun tahu Suri macam mana, kan?”

“Alah, bang... Suri tu takkan jadi macam-macam kalau tak kerana budak Dina tu tak menyusahkan dia!”

“Abang tak rasa Dina tu menyusahkan dia, Nah.”

“Tengok, tak pasal-pasal mak jatuh sakit sebab Dina. Sebab beria sangat nak bela budak tu. Mesti badan mak dah kena badi sial dia.” Kasnah berhujah selamba.

“Astaghfirullahalazim, Kasnah…” Juriah hampir terjerit, terkejut dengan kata-kata Kasnah itu. Berubah sama sekali air wajahnya.

“Eh, awak jangan nak merepek kat sini, Nah! Mak tengah sakit tu. Jangan ditambah lagi sakit mak,” marah Mahmud.

Kasnah mencemik muka.

“Kalau benda dah betul, buat apa nak tolak-tolak lagi? Kalau abang pulak sakit lepas ni, hah terbukti tulah budak tu berjangkit kat abang pulak! Jangan menyusahkan saya, dah!” jawab Kasnah sambil mencapai beg tangan di atas meja dan berlagak mahu pergi dari situ.

Mahmud tidak terkata apa-apa. Hendak dibalas kata-kata isterinya, boleh jadi bergaduh pula. Lebih baik dia berdiam diri. Cuma bebola matanya dibesarkan, memandang Kasnah dengan wajah marah dan geram.

“Saya tunggu kat luar. Asal cakap aje, salah. Tak cakap pun salah. Serba salah jadinya.” Kasnah berlalu membuka daun pintu wad setelah menyedari raut wajah Mahmud tegang sekali. Dia faham, Mahmud marahkannya.

MAHMUD hairan. Benaknya laju berfikir mengenangkan kata-kata guru hal ehwal murid, Cikgu Jamal bahawa sudah lama Wardina Amni tidak datang ke sekolah. Alasan yang diberi ibu kepada Wardina Amni, Puan Suriyana Abdullah melalui telefon, anaknya diserang demam panas, campak dan penyakit sawan.

“Demam panas? Campak? Sawan?” sebut Mahmud beberapa kali dengan dahi berkerut-kerut.

“Ya, dah dekat sebulan. Kehadiran Wardina Amni amat mengecewakan. Walau bagaimanapun, pihak kami berasa simpati ke atas pelajar ni. Ramai guru bertanyakan Wardina Amni. Pernah guru kelas Wardina Amni bersama seorang guru lain pergi menziarahi pelajar ini. Tetapi pintu pagar bermangga, daun pintu rumah mereka tertutup rapat.

Puas sudah mereka memberi salam, tetapi tiada yang menyahut. Beberapa hari kemudian, saya ada bertanya abang dan kakak Wardina Amni dan mereka mengesahkan yang adik mereka sedang sakit. Mungkin semasa guru ke rumah mereka, mereka anak-beranak keluar membawa Wardina Amni ke hospital,” ulas Cikgu Jamal panjang lebar.

Mahmud terdiam. Benarkah Wardina Amni sedang sakit? Betulkah sudah sebulan Wardina Amni tak bersekolah? Padahal baru minggu lepas dia dan Juriah ke rumah Suriyana. Kalau kata Wardina Amni demam, kena campak dan sawan, pasti anak itu terbaring lesu di tilam.

Tapi, kenapa hari itu puas sudah dia melaung, memanggil nama Wardina Amni tetapi anak itu tidak menyahut? Puas sudah dia dan Juriah menggeledah rumah itu, tetapi mereka sama sekali tidak menemui Wardina Amni. Hairan! Kenapa Suriyana memberitahu yang Wardina Amni menyertai lawatan sekolah, makan angin bersama kakak dan abangnya? Kenapa ada kecelaruan di sini? Pasti aku dah kena kelentong dengan Suri!

“Maaf... Cikgu Jamal, ni Majalah Siswa yang cikgu mintak tadi.” Seorang guru wanita datang mendekati meja Cikgu Jamal dan menghulurkan tiga buah majalah.

Mahmud tersentak dengan kehadiran guru berkaca mata itu. Seketika, mereka berbalas senyuman.

“Terima kasih, Cikgu Suraya.” Cikgu Jamal mengucapkan terima kasih kala Cikgu Suraya mahu berlalu pergi dari situ.

“Encik Mahmud, pihak sekolah sebenarnya sangat berbangga dengan Wardina Amni. Pelajar ini telah mengharumkan nama sekolah. Sebab itulah ramai guru mengambil berat dan ingin tahu perkembangan kesihatan pelajar ini,” ulas Cikgu Jamal.

“Maksud cikgu?”

“Ini, tiga buah Majalah Siswa. Setiap satu daripada majalah ini telah menyiarkan cerpen tulisan Wardina Amni. Setiap karya penulisan yang dihantar, beralamatkan sekolah ini. Lebih membanggakan kami para guru, salah satu karyanya telah diangkat sebagai juara dalam pertandingan menulis cerpen tarbiah untuk awal remaja. Wardina Amni telah menggondol hadiah bernilai lima ratus ringgit dan sijil penyertaan. Encik Mahmud, bukan calang-calang pelajar dapat menjuarai pertandingan yang terbuka untuk semua pelajar di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.”

“Oh, ya ke?” tanya Mahmud tak percaya. Majalah yang diberi Cikgu Jamal dibelek-beleknya dengan rasa tak percaya. Wajah Wardina Amni dengan gambar berukuran pasport terpampang di majalah itu. Malah ada biodata penulis turut dimuatkan di kolum majalah itu. Cerita Cikgu Jamal tentang kehebatan Wardina Amni adalah benar belaka.

‘Oh, Dina. Ayah long tak sangka sebegini hebat rupanya dirimu. Kalaulah ayah Dina masih hidup, tentu dia bangga dengan Dina,’ bisik Mahmud bangga berbaur sebak. Mengenangkan untung nasib Wardina Amni, hatinya resah kembali.

“Cikgu, berbalik dengan perbincangan kita tadi. Kalau tak menyusahkan, saya nak semak sekali lagi sama ada anak saudara saya ni, Wardina Amni ada menyertai lawatan tak beberapa minggu lepas. Kata emaknya, dia turut serta bersama abang dan kakaknya,” pinta Mahmud mohon perhatian.

“Kalau dah sebulan tak datang ke sekolah, mana mungkin dia boleh menyertai program ni. Penyakit campak paling sekejap pun, sepuluh hari juga ambik masa nak sembuh. Lagipun, tak mungkin kami membenarkan pelajar ini datang ke sekolah. Bimbang pelajar lain akan berjangkit,” tegas Cikgu Jamal.

“Itu yang saya keliru, cikgu. Saya pergi ke rumahnya tempoh hari, Wardina Amni tak ada. Menurut emaknya, Wardina Amni menyertai lawatan ke sekolah bersama kakak dan abangnya,” jelas Mahmud jujur.

“La, ya ke? Mana satu yang betul ni?” Nada suara Cikgu Jamal kedengaran keliru.


Previous: Bab 24
Next: Bab 26

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.