Home Novel Keluarga Dia Yang Mengerti
Bab 17

17


"YOU tahu tak, I tengah tension ni!” rungut Suriyana apabila Zack endah tak endah akan percakapannya.

Tension? Tension kenapa, sayang?” Zack cuba bertanya, mengambil tahu akan masalah Suriyana.

“Macam-macamlah... sampai serabut kepala I ni!” luah Suriyana dengan suara kasar.

“Relakslah you, dah lama kan suami you meninggal. Dah lebih 40 hari. Takkan sedih lagi kut!”

“I bukan sedihlah, Zack. I cakap I serabut, tension! Abang ipar dengan mentua I, bolot habis harta peninggalan suami I,” ujar Suriyana tidak berpuas hati.

“Oh, ya ke?! Tak sangka I, jahatnya mereka tu. Sanggup buat semua ni kat you.” Zack bereaksi.

“You temankan I malam ni, boleh? Kita pergi makan angin kat Genting ke?”

“Malam ni? Alahai… sorry, sayang. Malam ni sebenarnya I dah atur program lain dengan kawan-kawan I. I nak pergi piknik kat PD. Tak seronoklah kalau I mungkir janji.”

“You... malam ni aje. Takkan tak boleh luang masa dengan I? Dah lama kita tak jumpa, kan? Dah lebih 40 hari.” Suriyana bersuara penuh kecewa.

“I tahu, tapi I tak sangka pulak you ajak jumpa malam ni. I ingat kejap-kejap lagi dah nak bertolak ke PD. Atau you nak ikut sekali?” ajak Zack memujuk Suriyana.

“Hisy, malaslah I! Takkan I nak ke PD dengan kawan-kawan you. Tak privasi langsung.”

“Hmm… sorry ya, sayang. Lagi dua hari I balik, kita jumpa ya?” pujuk Zack menyedari nada suara Suriyana berbunyi rajuk.

“Suka hati youlah.”

“Jangan macam ni, sayang. You berehat aje kat rumah. Jangan pergi kelab atau keluar ke mana-mana lagi. Dah malam ni. Bahaya kalau you keluar sorang-sorang,” pesan Zack bersungguh-sungguh.

“Eh, kalau I nak keluar jugak?! You apa peduli!” Suriyana menghempas gagang telefon sekuat hati.

SURIYANA memakir kereta betul-betul di depan premis pusat hiburan itu. Biarpun tanpa Zack yang selalu menemaninya seperti hari-hari yang lalu, namun hatinya bergelojak mahu ke situ. Biarpun dia kurang berminat untuk ke tempat yang bising dan ramai orang, namun hati kecilnya berkata yang dia masih punya pilihan untuk mencari kenalan baru di situ.

Dia yakin, pasti ada yang berminat mahu berkenalan dengannya. Paling tidak, dia punya teman yang boleh diajak bersembang. Sebelum ini pun, bukan main ramai lelaki kacak yang ingin memikatnya meskipun dia dalam pelukan Zack. Cuma dia sengaja buat endah tak endah hanya kerana Zack ada di sisinya.

Tombol pintu kelab malam itu ditarik Suriyana. Dia melangkah masuk menyertai ke ruang yang agak malap, namun sesekali diterangi cahaya lampu disko yang berwarna-warni. Kelab malam itu seperti mana biasa amat membingitkan. Ramai penghuni di dalamnya yang terdiri daripada golongan remaja.

Alunan muzik berirama dangdut mula menerjah masuk ke corong telinga. Kebanyakan yang ada di dalam kelab itu mula menggoyangkan tubuh mengikut tarian penyanyi yang berdarah kacukan Melayu dan Arab Lubnan itu. Sudah biasa sangat Suriyana ke sana, maka dia kenal akan penyanyi cantik yang bertubuh montok itu.

“Hai, sayang! Mari menari?” sapa seorang lelaki muda apabila Suriyana seperti tercari-cari tempat duduk untuk dia melabuhkan punggung.

Malam itu, Suriyana berkebaya ketat ala nyonya berwarna jingga dipadankan dengan seluar daripada material bergetah yang menampakkan susuk tubuhnya yang langsing.

Suriyana tersenyum sambil menggelengkan kepala. Sememangnya dia bukan suka menari. Dia cuma mahu melepaskan tekanan dengan menyertai mereka di situ. Bersama dengan Zack sebelum ini pun, mereka tidak pernah menari bersama.

Mata Suriyana kemudian menujah ke segenap ruang kelab malam itu. Tempat biasa di mana dia dan Zack selalu melepak kini diduduki sepasang kekasih yang sedang berdakapan mesra. Buntang mata Suriyana seketika. Lelaki yang sedang memeluk gadis muda itu amat dikenalinya. Suriyana bingkas bangun lalu berjalan mendekati mereka.

“Kurang ajar kau, Zack!” sumpah Suriyana. Rasa marah meluap-luap.

‘Aku ingat kau betul-betul tak free malam ni sebab pergi PD, rupa-rupanya berkepit dengan betina lain. Beraninya kau, Zack! Dahlah tu, langsung tak rasa bersalah bercengkerama di tempat biasa kita.’

Suriyana berdiri di belakang tiang, bersebelahan cuma dengan kerusi panjang itu. Hasratnya mahu menyerang Zack terbantut. Tak guna kalau dia mengamuk di situ. Zack pasti mereka pelbagai alasan dan dia dengan begitu mudah akan cair dengan pujukan lelaki itu. Paling tidak, kontroversi pergaduhan di kelab itu hanya mendedahkan identiti dirinya.

Suriyana mahu terus menyaksikan dengan lebih lama akan perlakuan Zack. Zack yang sedang membelakanginya, langsung tidak menyedari kehadirannya. Kemesraan Zack bersama gadis itu cukup membakar perasaan Suriyana. Cemburu dan benci makin beraja di hati mewujudkan dendam yang bukan sedikit.

“You buat alasan apa?” tanya gadis itu kepada Zack.

“Apa? You tanya apa? I tak dengar!” Zack bertanya kepada gadis itu lantaran irama muzik terlalu kuat. Zack menarik tangan gadis itu dan keluar dari premis yang membingitkan itu. Mereka berjalan berdakapan mesra menuju ke tempat parkir kereta. Samada Zack mahupun gadis itu, kedua-duanya langsung tidak sedar yang Suriyana mengekori langkah mereka.

Suriyana bersembunyi di sebalik tiang semasa Zack dan gadis itu melabuhkan punggung di sebuah bangku, di kaki lima premis itu, berdekatan dengan kawasan parkir kereta.

“I cakap, I ke PD dengan kawan-kawan.”

Suriyana mendengar dengan jelas Zack bercerita dengan gadis itu.

“Perempuan tua tu, senangnya percayakan you, kan?” Gadis itu tergelak manja.

‘Perempuan tua? Adakah mereka sedang bercerita pasal aku?’ Suriyana bercakap dalam dirinya.

“Tengok oranglah, handsome ke tak?”

“Perasan!”

“Dia tu perempuan yang kesunyian. I temankan dia bukan setakat suka-suka, tapi I ada plan untuk masa depan kita juga,” cerita Zack lagi sambil menyalakan puntung rokok di bibirnya.

“Apa planyou dengan dia? Apa planyouuntuk kita?”

“I ada plan baik punya untuk kita. Selepas I dapat semua harta dia, I tinggalkan dia. Cuma I perlukan masa untuk dia serahkan segala kepercayaan dia terhadap I. Bila dia betul-betul percaya, semuanya akan menjadi milik kita. Masa tu you cakap saja apa you nak, I boleh bagi,” balas Zack dengan suara lantang. Terbahak-bahak tawanya.

“Kenapa lama sangat, Zack? Sampai bila kita nak jumpa sembunyi-sembunyi macam ni?”

“Alah, you... relaks, be sporting okay? Lagipun, I baru saja dapat sesuatu yang bernilai. Yang boleh bikin kita kaya.”

“Kaya? Apa dia, Zack?” tanya gadis itu dengan penuh teruja.

“Rahsia. Tapi I berterima kasih dengan perempuan tu sebab dia yang bagitahu tentang rantai berlian tu.”

“Hah, apa dia Zack?! Rantai berlian? Wow!” Suara gadis itu hampir menjerit.

“Syhhh!” Zack mengisyaratkan gadis itu diam. Sesekali Zack melilau ke kiri dan ke kanan khuatir perbualan mereka didengari sesiapa.

“Kenapa?” tanya gadis itu tidak faham.

“Syhhh!” Zack masih lagi mengisyaratkan agar gadis itu diam daripada berkata-kata.

“Oh, laki perempuan tu mati sebab ditikam perompak kan?! Jangan-jangan, you terlibat ya Zack?” tebak gadis tadi membuatkan wajah Zack merah padam.

“I cakap you diam, diamlah! Hisy, bahaya!” marah Zack sambil menarik tangan gadis itu menuju ke kereta.

Tidak lama kemudian, kereta Mitsubishi putih milik Zack menderam pergi.

Suriyana menelan liur pahit. Bahang di dadanya menjadi marak menyala. Kemarahannya kian menjulang. Tubuhnya menggigil-gigil menahan segala rasa yang berbaur di hati. Kalau ikutkan amarah di jiwa, masa tu juga dia ingin merodok perut Zack.

Sungguh tak disangka, lelaki belaannya itu telah pandai menikam di belakang tuannya. Sungguh tak disangka, Zack berpaling tadah dan punya pacar lain. Selama ini, fikir Suriyana, Zack setia kepadanya. Kata Zack, dia tak pernah punya mana-mana teman wanita. Zack pernah mengakuinya sebelum ini yang dia hanya menjalin kasih dengannya.

‘Cis, dasar jantan lidah bercabang! Jangan-jangan perompak yang dicari polis tu, Zack? Jangan-jangan Zack yang menikam Osman? Benarkah semua ini?’ marah Suriyana mengenangkan yang dia pernah bercerita dengan Zack tentang rantai berlian yang bakal dihadiahi Osman sempena ulang tahun perkahwinan mereka suatu ketika dulu.

‘Nanti kau, Zack. Kau yang rompak rantai berlian tu ya? Nanti kau. Sekali aku dikhianati, aku bersumpah akan buat orang tu sengsara. Kau dan perempuan itu akan dapat pembalasan daripada aku. Walau apa pun caranya!’ bentak Suriyana dalam hati seraya berlalu ke keretanya.



SURIYANA mengupah orang untuk mengintip pergerakan Zack. Dia mahukan kepastian samada Zack pernah berurusan dengan mana-mana pihak menjual rantai berlian. Suriyana tidak pernah melihat rantai berlian itu tetapi cakap-cakap Zack terhadap gadis itu memberi kelu yang rantai berlian itu kini dalam genggaman lelaki itu.

Marah di dada Suriyana tidak bisa dipadam lagi. Suriyana nekad, mahu menghapuskan Zack setelah terbukti lelaki itu memang terlibat dengan urusan jual beli berlian. Dari mana Zack dapat berlian itu kalau bukan dari hasil rompakan suaminya? Suriyana membuat rancangannya sendiri.

Zack tidak perlu dihukum mengikut undang-undang Negara Malaysia tetapi dia perlu dilupuskan di muka bumi ini dengan cara yang dikehendaki Suriyana. Begitu juga dengan perempuan jalang yang menemani Zack malam itu. Perempuan itu juga harus diajar. Biar dia tahu, dengan siapa dia bersaing.

Beberapa hari kemudian, berita di akhbar dan tv melaporkan pertemuan mayat seorang pemuda yang mati dibunuh. Pemuda yang dipercayai meninggal sejak 2 hari lepas dikenali sebagai Zakri bin Zakaria. Mayatnya yang mempunyai kesan tikaman di seluruh badan, di temui mati lemas di dalam sebatang kali, di tepi hutan dengan keadaan tangan dan anggota badan terikat.

Suara lancar pembaca berita itu membaca berita, membuatkan Suriyana jelas akan perkhabaran itu. Dia mendengar berita kematian Zack dengan senyum puas.

“You can go to the hell, Zack! Good bye to all our the sweet memories together.”Suriyana bercakap sendirian. Di hujung perkataannya, dia ketawa berdekah-dekah. “Puas hati aku. Dan kau, perempuan jalang, lepas ni, giliran kau pulak. Kau ingat, kau tu cantik sangat?” kata Suriyana lagi sambil mengilai panjang. Dia kegembiraan membayangkan wajah gadis gedik itu akan bertukar hodoh sebaik saja disimbah cuka getah.

Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.