Home Novel Keluarga Dia Yang Mengerti
Bab 16

16


"SEBAB kaulah, rantai berlian tu hilang tahu tak? Sebab kaulah… laki aku ditikam perompak dan mati. Eeii...” marah Suriyana makin menjadi-jadi.

“Kalau dah anak tak guna, tak guna juga!” bentak Suriyana sambil mencekak rambut Wardina Amni. Hampir terpusing ke belakang tubuh anak gadis itu diperlakukan Suriyana sebegitu.

Dalam keadaan tangisannya yang belum surut meratapi pemergian Osman kembali ke pangkuan Ilahi, Wardina Amni seperti rela diperlakukan semahunya oleh Suriyana. Meskipun dalam keadaan terpinga-pinga mendengar kata-kata emaknya, namun sebagai seorang anak yang cepat faham, dia mengerti maksud Suriyana.

Wardina Amni akur akan musibah yang menimpa Osman adalah kerana dia yang beria benar mahu makan ayam goreng KFC. Dia yang beria menuntut ayahnya ke bandar tanpa sempat ayahnya naik ke atas rumah dan memberikan rantai berlian itu kepada Suriyana.

Wardina Amni juga faham akan tekanan yang dihadapi Suriyana kini. Dia tahu Suriyana tidak dapat menerima hakikat kematian Osman, begitu juga rantai berlian yang diimpikan emaknya itu. Maka, dia rela batang tubuhnya menjadi tempah pelepas kemarahan Suriyana.

Wardina Amni langsung tidak melawan untuk membela dirinya. Biarlah! Biarlah Suriyana memukul tubuhnya sepuas hati. Dia tidak menangis kerana kesakitan yang dilakukan Suriyana, tetapi dia menangis kerana Suriyana tidak pernah mengerti akan kesedihan dalam dirinya. Dia masih berhiba menerima perkhabaran Osman yang berangkat pulang ke perkampungan abadi bertemu Tuhan yang menciptanya. Ayahnya itu sudah pergi dan tidak akan kembali lagi.

“Ayah, ayah…” Hanya itu yang terbit daripada bibir Wardina Amni. Dia terketar-ketar mengenangkan seraut wajah Osman juga menahan kesakitan, tubuhnya menerima tamparan yang bertubi-tubi daripada Suriyana.

“Apa, kau ingat dengan tangisan kau ni, ayah kau boleh bangun? Eeii, anak tak guna! Menangis air mata darah sekalipun orang mati takkan bangkit lagi, tahu tak?! Kaulah puncanya. Kaulah yang menyebabkan aku hilang segalanya, bodoh!” bentak Suriyana bertalu-talu. Makin geram nampaknya dia melihat ngongoian panjang anak bongsunya itu.

“Sakit, mak! Sakit! Ayah…” jerit Wardina Amni sekuat hati.

Buk!Buk! Buk!

Bunyi ketukan di daun pintu yang bertalu-talu itu membuatkan Suriyana tersentak. Dia menolak tubuh Wardina Amni kasar ke lantai. Terhenyak tubuh Wardina Amni. Hampir saja mukanya tersembam, mencium simen yang kesat dan keras itu.

“Suri! Kenapa ni?!” jerit Juriah yang masih berwajah sembab. Dia seperti dihadang Suriyana daripada menapak masuk ke bilik yang paling hujung dari ruang tamu itu. Bilik itu adalah sebuah bilik stor.

“Apa yang kenapa, mak?” tanya Suriyana semula berpura-pura tenang. Hatinya sebal dengan kedatangan Juriah.

“Kau tanya aku kenapa? Kau ingat aku pekak? Yang kau terjerit-jerit marahkan budak Dina tu, kenapa? Kau dah hilang akal ke pukul dia sampai jadi macam ni? Kat luar tu bukan main ramai tetamu, kau tak malu ke?” bidas Juriah sebaik saja menerpa masuk dan meluru pantas mendakap tubuh lesu Wardina Amni.

Suriyana merengus geram. Hatinya yang sakit dengan Wardina Amni belum dilepaskan sepenuhnya, tetapi dengan tiba-tiba pula Juriah hadir dan membantutkan kemarahannya.

“Suri, jenazah laki kau tu kat tengah rumah masih belum diuruskan lagi. Apa kau nak, anak kau ni pun terima nasib yang sama?” soal Juriah dengan suara menengking.

Wardina Amni di ribanya sudah tercungap. Lelahnya datang lagi.

“Huh!” Suriyana merengus mendengar kata-kata mertuanya. Dia menutup daun pintu kasar dan berlalu pergi dari situ.

‘Suri, Suri… kau tu memang sakit. Sakit jiwa!’ omel Juriah geram sambil memangku tubuh Wardina Amni kejap-kejap.

“Nek…” panggil Wardina Amni dengan suara lesu.

“Sakit ke, sayang?” soal Juriah bersama air mata yang melimpah dari empangannya.

“Tak, nek. Dina nak tengok ayah. Dina nak baca surah Yassin untuk ayah,” ujarnya dengan suara teresak-esak.

Juriah mengangguk dan membantu Wardina Amni bangun, keluar dari bilik itu.

“MAK, Dina kenapa?” soal Mahmud terkejut melihat Juriah memimpin tubuh Wardina Amni yang terhenjut-henjut melangkah ke tengah rumah. Dia yang usai saja mengaji, menerkam mendapatkan Juriah dan Wardina Amni.

Mardiah Amna dan Faizul Ikhwan di tepinya juga turut bangun mendapatkan Juriah dan Wardina Amni.

“Adik ipar kau tu, dah tak betul gamaknya. Ada ke patut dibalunnya tubuh budak Dina ni sampai lebam macam ni? Si Suri tu memang makin teruk sakitnya, Mud.” Juriah berbisik ke telinga Mahmud.

“Astaghfirullahalazim... apa halnya?” balas Mahmud separuh berbisik tidak mahu perbualan mereka didengari anak-anak Osman mahupun tetamu yang datang.

“Mak dengar tadi dia bertempik pasal rantai berlian dan anak tak guna. Hal sebenar mak tak pasti,” jawab Juriah seraya memegang bahu Wardina Amni yang dikelilingi Mardiah Amna serta Faizul Ikhwan.

Mahmud menggeleng kesal. “Orang lain kalau mati laki, duduk mengaji. Ni duk fikir pasal rantai berlian yang dah hilang tu,” balas Mahmud.

Mendengar kata-kata Mahmud, Juriah hanya mampu menggeleng kepala.

Mengenangkan Suriyana, perasaan marah dan geram Mahmud terhadap Suriyana makin meluap-luap. Segala apa yang dilakukan Suriyana selama adiknya terlantar di hospital membuatkan dia berasa ingin membunuh perempuan itu.

‘Dasar betina tak sedar diri!’ bentak Mahmud dalam hati.

“Adik kenapa ni?” tanya Mardiah Amna.

Pertanyaan Mardiah Amna membuatkan Mahmud merapati tubuh kecil anak-anak saudaranya.

“Mak pukul, eh?” duga Faizul Ikhwan.

Wardina Amni tidak menjawab, namun dia yang tadinya sudah berhenti menangis, kini menangis semula.

“Kesian kau, dik. Asyik kena marah aje. Sabar ya, dik.” Mardiah Amna cuba memujuk sambil memegang tangan Wardina Amni.

“Aduh!” Wardina Amni mengaduh sebaik saja Mardiah Amna terpegang tangannya yang sakit. Kulitnya yang mulus, kini merah dan hampir melecet.

“Maaf, dik. Kakak tak sengaja. Mungkin mak tertekan sebab ayah kita dah meninggal,” balas Mardiah Amna bersama teriakan panjang. Dia lantas menerpa ke tubuh Osman yang terbaring kaku di tengah rumah. Jasad Osman diselimuti kain batik jawa.

“Ayah!” jerit Mardiah Amna hiba.

“Ayah!” Faizul Ikhwan pula menerkam. Dipeluknya tubuh Osman kejap-kejap menyertai kakaknya. Wardina Amni menjadi tidak tertahan. Sayu pilu melanda hatinya.

“Ayah… kalau tak kerana Dina, ayah mungkin tak mati. Ayah mungkin tak ditikam perompak. Maafkan Dina, ayah! Maafkan Dina!” tempik Wardina Amni sekuat hati bersama tangisan panjang.

Juriah menerkam ketiga-tiga orang cucunya, cuba menenangkan mereka. Namun mendengar teriakan yang bertalu-talu, dia sendiri tewas dengan perasaan hiba yang melilit diri. Di situ, dia menangis dan menangis lagi meratapi kehilangan anak yang amat dikasihi.

Mahmud melangkah longlai mendapatkan anak-anak saudaranya dan emak yang meratap tangis, mengiringi pemergian Osman mengadap Al-Khalid.



“ARGHHH, semua ni takadil! Memang tak adil. Abang Mahmud dengan mak sengaja berkomplot dengan peguam ni. Mana mungkin jadi macam ni?!” Suriyana berang. Merah padam mukanya melihat wajah peguam sebelum beralih ke wajah Mahmud dan Juriah.

“Saya hanya menjalankan amanah peninggalan arwah, puan. Demi Allah, sepatah perkataan pun dalam surat wasiat tu saya tak ubah. Untuk makluman puan, arwah Osman telah mengubah isi kandungan surat itu sebulan sebelum beliau koma.”

“Apa yang Suri tak puas hati? Tiga buah lot kedai, rumah, tanah, intan berlian… apa, semua tu tak cukup?” bidas Mahmud berkerut dahi tidak faham dengan sikap tamak Suriyana.

“Alah, Suri tahu Abang Mahmud dengan mak yang ubah kandungan surat perjanjian ini, kan?” tuduh Suriyana tidak berpuas hati.

“Kau jangan tuduh sebarang tuduh, Suri! Harta aku cukup untuk makan pakai aku anak-beranak. Tak ada maknanya aku nak ambik harta anak yatim. Aku pun tahu dosa pahala. Ingat mana halal haram. Hidup mati. Kau ingat aku ni teruk macam kau ke sampai kau tergamak tuduh kami yang bukan-bukan?” marah Mahmud dengan suara lantang. Dia sudah pun berdiri mahu membalas kata fitnah yang dilemparkan Suriyana tadi.

“Mud...” kata Juriah sepatah sambil memegang lengan anaknya. Matanya menyorot ke wajah Mahmud.

Mahmud faham. Dia tidak jadi meneruskan kata-kata.

‘Nasiblah mak ada kat sini, Suri! Ikutkan hati aku, eeii..tak kuasa aku nak layan kerenah kau. Kalau ikutkan jahat perangai kau, aku pun boleh jadi jahat. Aku pun boleh malukan kau, bongkarkan semua kegiatan maksiat kau biar mahkamah membuktikan yang kau tak layak dapat satu sen pun harta Osman. Kau seorang perempuan yang curang pada suami. Kau memang betina sundal. Padan muka kau. Aku setuju sangat dengan keputusan Osman.’ Mahmud bersuara sinis dalam hati sambil menghenyakkan punggungnya di sofa.

“Huh!” Suriyana medengus kasar. Matanya tajam menujah wajah Mahmud. Hilang sudah rasa hormatnya terhadap abang ipar sendiri lantaran berprasangka buruk terhadap surat wasiat itu. Dia benar-benar marah.

‘Baguslah, Man. Biar padan muka Suri. Kalau akulah, sebuah kedai pun takkan aku bagi.’ Mahmud bercakap dalam dirinya.

“Suri, jangan cakap macam tu. Mak dan Abang Mahmud kau tak ada kena-mengena dengan semua ini. Mak tak perlukan harta Osman. Biarlah segala apa yang pernah menjadi milik Osman akan berpindah buat Suri dan anak-anak. Mak tak mahu semua tu,” balas Juriah tenang. Nada suaranya lembut meskipun dia dituduh bukan-bukan oleh menantu sendiri.

“Saham Man dalam syarikat mak macam mana? Kenapa tak ada disebut dalam surat wasiat tu?”

Pertanyaan Suriyana yang keras dan menekan itu cukup membuatkan Juriah dan Mahmud saling berpandangan.

Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.