Home Novel Keluarga Dia Yang Mengerti
Bab 24

24


"WOI, apa hal sampai tertidur kat tepi pintu tu?!”

Suara lantang Suriyana membuatkan Wardina Amni tersentak. Kelu lidahnya mahu menjawab kata-kata Suriyana.

“Eeii, orang tanya tak reti nak menjawab! Tak habis-habis lagi ke berangannya?” tempelak Suriyana geram sambil berlalu pergi dari situ. Gayung di tangan, dibaling kuat ke atas singki membuatkan perasaan Wardina Amni tersentap.

Wardina Amni hanya memandang lenggang-lenggok Suriyana yang menapak ke biliknya, bersebelahan dengan ruang tamu. Tidak lama kemudian, Suriyana muncul lagi. Di tangannya, kelihatan sepapan paracetamol.

Wardina Amni hanya memandang wajah emaknya tidak berkelip sebelum meraup wajah lama-lama. Basah lencun rambut dan bajunya membuatkan badannya sedikit segar. Suriyana telah menyedarkannya dengan menjirus air ke muka dan tubuhnya.

Dia pun tidak tahu, sudah berapa lama dia ketiduran di lantai itu hanya kerana tubuhnya langsung tidak bermaya. Hanya kerana sudah berhari-hari dia demam. Kalau dicongak dengan suasana dalam rumah itu, nampaknya hari sudah malam. Apakah seharian ini, dia terbaring di lantai dapur itu? Wardina Amni menyoal jawab dalam tubuhnya sambil menatap angka jam di dinding.

‘Hah! Sembilan malam?! Rasanya dia terbangun tidur pagi tadi pun sekitar jam 9.00 pagi. Masa itu, dia ke dapur mahu meneguk air masak. Waktu itu jugalah, dia terdengar-dengar suara orang bercakap. Suara Ainon dan Juriah. Harapannya, mereka berdua boleh menolongnya keluar dari rumah itu, tapi apa yang berlaku? Jeritannya langsung tak didengari mereka. Akhirnya, dia yang pengsan.

‘Ya Allah... hampir 12 jam juga aku terlantar hari ni,’ bisik hati kecilnya.

“Diah! Diah!” panggil Suriyana beberapa kali.

“Kenapa mak?” soal Mardiah Amna sebaik saja muncul di dapur itu.

“Nah, ambik ubat ini! Bagi adik kau makan. Mak tengok dia tu macam orang bingung aje. Teruk benar kut demamnya. Jangan-jangan, adik kau ni nak jadi sawan tak?” Suriyana berlalu meninggalkan Mardiah Amna dan Wardina Amni yang terkulat-kulat memandangnya.

“Dina, makan ubat ni. Dua biji sekali makan,” suruh Mardiah Amna tegas, sambil meletakkan sepapan paracetamol dan segelas air masak di tepi Wardina Amni dan gesa-gesa mahu berlalu pergi dari situ.

“Kak, mintak roti sikit. Dina lapar sangat.” Wardina Amni mengadu takut-takut.

Mardiah Amna tidak mengeluh akan permintaan adiknya. Dia mencapai sebungkus roti potong dari atas meja dan meletakkannya sopan di depan Wardina Amni.

“Terima kasih, kak...” kata Wardina Amni sebak, dilayani baik kakaknya.

Biarpun Mardiah Amna tidak berkata apa-apa, namun sekurang-kurangnya kakaknya itu tidak menarik muka masam mahupun menghambur caci cerca dengan permintaannya. Kala tubuh Mardiah Amna hilang ke dalam rumah, Wardina Amni cepat-cepat membaca doa dan memakan roti untuk menelan paracetamol. Semoga badannya yang masih demam dan lemah akan segera pulih.

“Kau demam ke, dik?” soal Faizul Ikhwan usai saja Wardina Amni menelan pil.

“Ha’ah, bang. Dah banyak hari Dina demam, sakit kepala.”

“Kesian kau. Kami seronok-seronok kat Genting, kau sorang-sorang pulak kat rumah. Tak kena kacau dengan hantu ke? Hihihihi…”

“Abang pergi Genting? Wah, bestnya!” komen Wardina Amni dengan suara lemah.

“Memanglah best. Kami main macam-macam. Naik roller coaster, kereta kabel dan banyak lagilah. Rugi kau tak ikut.”

Wardina Amni hanya mampu menadah telinga bersama perasaan yang berbaur. Dia hanya menumpang rasa bahagia dan seronok Faizul Ikhwan meskipun di daerah hatinya yang lain rasa sayu mula menyelubungi diri. Sayang sekali, dia tidak berpeluang mengecapi keseronokan itu.

“Eh, yang kau duk termenung jauh tu kenapa?! Aku nampak kau macam orang bingung aje. Apa demam kau tu menyebabkan kau sawan ke? Sampai tertidur kat lantai dapur ni, hah!” komen Faizul Ikhwan.

Wardina Amni terkesima. Apa benarkah aku ni sawan? Tadi Suriyana ada menyebut perkataan sawan ni. Apakah bentuk perubahan yang aku alami, sehingga seisi rumah ini seperti perasan yang aku ni diserang penyakit sawan? Hairan!

“Eeii, orang cakap dia boleh buat tak tahu je! Kau teruskanlah berkhayal, dik... tak kuasa aku nak layan.” Faizul Ikhwan bersuara geram seraya melangkah ke dalam rumah.



“MAK! Mak ni, kenapa? Suri pun tak faham dengan mak. Anak-anak Suri tu dah tak nak jumpa mak, Suri nak buat apa? Bukannya Suri yang tak benarkan, tapi mereka yang tak nak. Mereka tu dah besar, bijak pandai, tahu menilai buruk baik perangai orang di sekelilingnya.” Suriyana membidas emak mertuanya.

“Kalau ya pun, Suri... takkan kau sampai tak benarkan mak ni masuk. Apa baik sangat ke kau tu, sampai fikir kami ni jahat?” sindir Mahmud.

Suriyana terpempan seketika mendengar kata-kata Mahmud.

“Kalau kau tu benar-benar perempuan baik, isteri yang baik kepada Osman, aku akan hormat kau. Tapi kau pun bukan sebaik mana pun. Kau ingat…”

“Ingat apa, Abang Mahmud? Ingat apa? Apa yang abang nak ungkit tentang Suri? Tentang masa lalu Suri? Ya, memang Suri bekas perempuan kelab malam. Suri memang perempuan kotor. Suri mengaku pasal itu. Apa lagi Abang Mahmud nak kata tentang Suri?”

“Hei, Suri! Kau ingat aku tak tahu yang…”

“Sudah! Sudah! Jangan bertekak lagi, pening kepala mak ni. Kalau terus-terusan bertekak macam ni, semua perkara tak boleh diselesaikan.” Juriah mententeramkan perbalahan yang berlaku di antara menantu dan anaknya itu.

“Esok-esok, kau terimalah balasannya sebab layan mak mentua macam ni. Macamlah kau tu tak tua, tak sakit, nak berlagak sombong,” sindir Mahmud masih tak berpuas hati.

“Hah, kalau nak masuk, masuklah! Boleh mak dengan abang tengok susah senang kami ni. Orang cakap Dina tak ada kat rumah ni, tak adalah! Dia pergi makan angin, ada lawatan sekolah. Kalau mak tak percaya, telefonlah pihak sekolah, tanya betul ke tak apa yang Suri cakap ni,” balas Suriyana dengan wajah mencuka. Mangga pintu pagar sudah pun dibukanya.

Juriah dan Mahmud segera memanjat tangga rumah. Seisi rumah digeledah mereka.

“Dina! Dina!” laung Juriah memanggil Wardina Amni.

“Dina! Dina!” Giliran Mahmud pula melaung. Namun tiada suara Wardina Amni menyahut. Nampaknya kali ini, Suriyana bercakap benar. Wardina Amni tidak kelihatan. Rumah itu sunyi sepi.

“Tak apalah, Suri. Mak cuma datang nak tanya khabar Suri dan anak-anak. Kami tak ada niat nak ganggu Suri, apatah lagi nak cari gaduh.” Juriah merendah diri, berlagak tenang dengan mengawal nada suaranya.

“Itulah, cakap orang tak percaya.” Suriyana meninggikan suaranya, konon menggambarkan perasaan marah dan berkecil hati kerana mentua dan abang iparnya tidak mempercayai kata-katanya.

Sesekali Juriah perasan yang Suriyana mencemik wajah memandang Mahmud. Mahmud juga tidak mahu kalah, melakukan hal yang sama kepada Suriyana pula. Juriah menggelengkan kepala mengenangkan anak dan menantunya.

Meskipun Juriah berasa hati dengan Suriyana, namun dia terpaksa mengikut rentak tarian menantunya. Kalau dia terlalu berkeras, hubungan itu semakin lama akan menjadi semakin tegang. Silap hari bulan, akan putus begitu saja. Daripada pemerhatian Juriah, Suriyana memang ketara membencinya dan Mahmud.

Salah faham yang berlaku antara mereka menjadi punca segala sengketa ini. Tetapi harus bagaimana untuk Juriah menjernihkan keadaan ini sedangkan terang lagi nyata dia tidak pernah mengambil walau satu sen pun duit peninggalan Osman untuk Suriyana dan cucu-cucunya.

“Kalau dah tak ada hal, Suri nak sambung buat kerja rumah pulak. Mak pun fahamkan, Suri sibuk. Macam-macam benda Suri nak buat. Rumah kami dah tak ada pembantu lagi. Mak kan tahu, Rokiah dah meninggal. Mak tak ke kedai hari ni, kira duit? Kut-kutlah bisnes mak dah untung berlipat kali ganda. Rumah kami ni bukan ada apa pun,” sindir Suriyana.

Juriah terkedu dengan kata-kata Suriyana.

“Hei, Suri! Kau ni tak reti beradab ke dengan emak mentua sendiri?!” tegur Mahmud dengan nada keras. Geram sungguh nampaknya dia dengan Suriyana.

“Kenapa? Abang Mahmud tengok Suri ni biadap sangat ke dengan mak? Alah, bini abang tu pun sama, sibuk nak nilaikan orang pulak! Kalau abang nak tahu, Kak Kasnah tu lagilah tak reti jaga hati mak. Lagi biadap kalau nak dibandingkan dengan Suri. Betul tak mak?”

“Suri, Mahmud, sudahlah! Tolong, jangan panjang-panjangkan lagi perkara ini. Kalau Suri tak suka mak datang, tak apalah. Kami balik dulu. Tapi percayalah, mak pun nak Suri dan cucu-cucu mak bahagia. Kalau Suri ada masalah, ceritalah kepada mak. Insya-Allah selagi boleh tolong, mak akan tolong.”

“Kalau mak dan abang tak tolong pun, Suri dan anak-anak takkan mati kebulur. Makan pakai kami cukup semuanya,” jawab Suriyana selamba.

Juriah menelan liur pahit.

“Mak cuma nak minta izin Suri. Mak nak ajak Dina tinggal dengan mak.” Juriah masih sabar berlembut dengan sikap biadap Suriyana.

“Nak ajak Dina tinggal dengan mak? Kenapa pulak?”

“Mak nak berteman tinggal kat rumah mak. Mak pun dah tua, Suri tahu kan?!” Juriah mencipta alasan.

“Arghhh, alasan mak aje tu! Mana boleh, Suri tak izinkan.”

“Tapi kenapa, Suri? Apakah Suri ada letak syarat untuk mak berkongsi kasih sayang daripada seorang cucu?” tanya Juriah dengan perasaan sedih.

“Dah memang Suri terkilan dengan sikap mak dan Abang Mahmud. Sekarang nak ambil anak Suri pulak? Sudahlah, mak. Mak batalkan saja niat mak yang entah apa maknanya. Suri tahu, mak dan Abang Mahmud ada pasang agenda, kan? Konon nak jaga anak Suri, padahal mak dan abang sanggup makan harta anak-anak yatim ni?”

“Hei, Suri! Boleh tak kalau bercakap tu, jangan tuduh sembarangan! Aku dah beritahu dulu, aku tak pernah sentuh pun segala harta Osman. Harta yang mana ni? Tak fahamlah aku dengan kau ni. Cakap biarlah berdasarkan bukti. Biar semua jelas,” marah Mahmud.

“Mak kata tadi nak balik, baliklah. Tak payah bincang pasal tu lagi,” tukas Suriyana kasar membuatkan wajah Juriah merah padam.

‘Sampai hati kau Suri, tergamak kau halau mak pergi? Kalaulah Osman masih hidup…’ rintih Juriah dalam hati seraya melangkah keluar dari rumah itu.

Ikutkan segala rasa sedih dan kecewa yang meraja di jiwa, pasti dia tidak kuat untuk menahan tangis. Tapi kehadiran Mahmud di situ menjadikan dia kuat. Kuat untuk tidak menumpahkan air mata di depan menantunya itu. Mana mungkin dia boleh kalah dengan Suriyana. Juriah tidak ingin Suriyana nampak dia menangis. Apa pun rintangan yang mendatang, Juriah kena lakukan sesuatu demi melindungi Wardina Amni.



MAHMUD bengang. Dia betul-betul berang dengan sikap kurang ajar Suriyana. Perempuan itu semakin lama semakin nampak buruk di matanya. Rasa marah dan benci Mahmud terhadap Suriyana makin menjadi-jadi. Wanita itu perlu diajar tentang hidup. Wanita itu perlu dihukum atas segala apa yang telah dilakukannya. Suriyana bukan jenis manusia yang boleh ditegur dan diajak berbincang. Sikap keras hati Suriyana terlindung di sebalik wajahnya yang cantik mempesona.

“Apa yang Mud fikirkan? Mak tengok, bukan main jauh fikiran tu melayang,” tegur Juriah seraya memegang lengan Mahmud.

Mahmud tersentak. Seketika, dia tersedar yang jasadnya masih dalam kereta itu bersama ibunya.

“Eh, mana ada fikir apa mak!” dalih Mahmud. Sesekali dia menujah pandang ke seraut wajah Juriah yang nampak tak berseri.

“Mak pun tak sangka, sebegini layanan Suri terhadap kita. Apa gamaknya yang merasuk menantu mak tu kan, Mud?” tanya Juriah seraya melepaskan nafas berat.

Mahmud hanya mendiamkan diri, tidak mahu membuat sebarang komen akan kata-kata Juriah. Khuatir perasaan marah membuatkan dia terlepas cakap yang bukan-bukan pasal Suriyana. Tapi ikutkan hati, mahu saja dia menjawab kasar yang Suriyana sedang diserang gila meroyan. Suriyana memang tak waras.

“Harta mana yang dimaksudkan Suri tu, mak tak tahulah. Atau kau memang tahu yang Osman ada beli aset kat mana-mana Mud, yang mak tak tahu?” tebak Juriah.

Mahmud hanya menggeleng.

“Betullah kata orang, kerana harta, suami isteri boleh bercerai-berai. Hubungan darah, adik-beradik, anak-beranak, pun boleh putus. Man, mak tak mahu Suri bencikan mak. Mak tak sanggup kenangkan sikap Suri yang melayan buruk Dina. Sejak Dina kecil lagi, Suri tu bencikan dia, mana mungkin secepat itu perasaannya boleh berubah sayang. Dina sendiri cakap yang dia dipulaukan di rumah tu. Makan minumnya langsung tak diendahkan mereka. Mak cuma khuatir kalau-kalau Dina tu sakit aje, kasihan dia!”

“Man pun dah tak tahu nak kata apa. Kalau nak kata Dina ada kat rumah tadi, puas kita panggil, tak menyahut pulak. Agaknya betullah dia pergi lawatan sekolah dengan abang dan kakaknya.” Osman memberi buah fikirannya.

“Macam mana kita nak pastikan yang Suri ni bercakap benar, Man?”

“Man rasa, kita cari maklumat pasal lawatan tu di sekolah. Baru kita boleh pastikan kesahihan kata-kata Suri.”

“Bagus juga cadangan Man tu.”

“Jadi, kita jangan balik ke kedai dulu, kita terus ke sekolah budak-budak ni ya, mak?”

Juriah mengangguk bersetuju akan buah fikiran anak sulungnya itu.

“Diah dan Zul pun tak endahkan mak. Mak pun tak tahu, apa yang Suri cakap sehingga dah racun fikiran mereka supaya bencikan mak,” luah Juriah. Suaranya serak penuh emosi. Dadanya sesak menahan sebak yang menggunung.

“Sudahlah, mak. Jangan turutkan sangat rasa sedih tu. Insya-Allah semua ini tak berpanjangan. Sekarang ni, kita ikhtiarkan saja supaya Dina menjadi hak jagaan mak. Kalau perlu kita bawa hal ini pada pihak berkuasa, biarlah naik mahkamah,” usul Mahmud dengan nada tegas.

“Takkan nak libatkan pihak polis dan mahkamah, Mud? Kesian arwah adik kau. Jangan kita panjangkan hal ni, sampai tarik perhatian ramai. Mak rasa, Suri tu masih boleh dipujuk. Perkara ini masih boleh dibawa berbincang,” balas Juriah dengan nada terkejut akan saranan Mahmud.

“Suri masih boleh dipujuk? Mak yakin ke?” tanya Mahmud serius dengan dahi berkerut. Terkejut dia mendengar kata-kata emaknya.

Hati Mahmud sebal mengenangkan sikap lembut Juriah. Mengenangkan Wardina Amni, hati Mahmud tersentuh. Sejak kecil lagi, Mahmud tahu, anak itu tidak pernah mendapat kasih sayang seorang ibu. Anak itu sentiasa dinafikan haknya oleh Suriyana. Mustahil setelah ketiadaan Osman, Suriyana akan melayan Wardina Amni dengan baik.

Mahmud benar-benar yakin, Wardina Amni pasti terseksa berada di rumah itu. Dia yakin jiwa gadis yang baru menginjak remaja itu tertekan dengan layanan dan sikap Suriyana terhadapnya. Bukan hari ini saja Mahmud faham dengan fiil Suriyana, malah berbelas tahun lamanya.

‘Alahai, kesiannya Wardina Amni!’ bisik hati Mahmud.

Sebenarnya, dia juga pernah terfikir untuk mengajak Wardina Amni tinggal bersamanya, tetapi sikapKasnah yang anti akan anak bongsu adiknya itu membuatkan dia berfikir dua kali untuk berbuat demikian. Mahmud tidak mahu melihat Suriyana terus-menerus menyeksa Wardina Amni. Cuma satu usaha untuk menyelamatkan Wardina Amni ialah mengajak Wardina Amni tinggal dengan Juriah.

Semasa Wardina Amni dimasukkan ke dalam wad akibat lelah, bukan Mahmud tidak tahu yang Wardina Amni menjadi mangsa perbuatan ibunya sendiri. Mahmud bukan bodoh tidak dapat menilai itu semua. Mahmud tahu secara terperinci hal ini dan pernah berbincang dengan doktor. Malah, doktor telah mengesahkan yang Wardina Amni pernah menjadi mangsa penderaan. Pasti orang itu tidak lain dan tidak bukan, Suriyana.

Mahmud mengeluh berat. Hatinya sayu mengenangkan nasib Wardina Amni. Anak saudaranya itu, tidak mendapat pembelaan lantaran sikap dungu Osman sendiri. Osman nampak tegas dan bijak setiap kali menguruskan hal bisnes. Tetapi Osman ternyata dungu dan marah setiap kali berbincang perihal Suriyana. Kalau kata Mahmud memandai-mandai membawa kes Wardina Amni yang didera Suriyana ke pengetahuan polis, mahu bertumbuk mereka adik-beradik.

‘Arghhh, memang sakit hati kalau dikenang! Abang pun tak tahu, kenapa Man sanggup jadikan Dina taruhan akan sikap kejam Suri? Man tak mahu kes ini dibawa ke balai polis, meskipun puas abang mendesak Man. Emak pun sama. Tidak mahu bertegas terhadap Suriyana meskipun Man nampak mak terlalu sayangkan Wardina Amni. Alasan mak, kononnya mahu menjaga nama baik Man sekeluarga. Kononnya mahu menjaga reputasi bisnes kita sekeluarga. Bahananya, Wardina Amni juga!’ bentak Mahmud dalam hati. Perasaannya mendongkol mengenangkan kisah lalu.

Mahmud melepas pandang ke seraut wajah Juriah. Dari tadi lagi, maknya tidak bersuara. Dan dari tadi juga, dia begitu ralit mengenangkan betapa banyak kisah sedih Wardina Amni.

“Mak, mak…” panggil Mahmud menyedari wajah Juriah pucat lesi. Kelopak matanya terpejam rapat. Emaknya itu terkulai lemah di sofa kereta. Digoncang-goncangnya beberapa kali, namun Juriah tak bereaksi apa-apa.

“Mak, mak... kenapa ni?” tanya Mahmud bertalu-talu. Cemas nampaknya dia apabila kelopak mata Juriah masih terkatup rapat.

Previous: Bab 23
Next: Bab 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.