29
"MAK tak payah susah-susah nak
ambil berat pasal Dina. Saya masih boleh bela dia. Masih boleh bagi makan minum
dia, sekolahkan dia. Saya tak kerja pun tak risau pasal duit. Anak mak yang dah
meninggal tu banyak tinggalkan harta benda. Satu stadium bola sepak tak muat
letak, punyalah banyak. Intan berlian berlori-lori. Kebun getah berpuluh ekar.
Buat apa mak nak risau? Tak kebulurnya cucu-cucu mak ni kalau saya bela,” jawab
Suriyana panjang lebar seraya mencemik mendengar penjelasan ibu mertuanya itu.
“Eh, mak pun ada hak Suri! Dina
tu, cucu mak. Dah lama pun mak nak ambil dan jaga dia. Sejak kematian arwah
Osman lagi.” Juriah meluahkan isi hatinya.
“Tapi, dia tu anak Suri!”
“Kalau Dina anak Suri, kenapa
begitu banyak hak yang perlu dia dapat, tapi dia tak dapat? Kenapa Suri nafikan
hak dia sebagai seorang anak?” Giliran Mahmud pula bersuara, lantang bunyinya.
“Hak apa benda haknya? Suri tak
faham!”
“Kau tak bodoh Suri. Jangan
buat-buat tak faham!” Mahmud kian berang.
Suriyana berpura-pura tak mengerti
maksud yang ingin disampaikan Mahmud.
“Eh, abang Mahmud ni kenapa? Asyik
nak marah Suri aje kalau bercakap?”
“Habis tu, kalau Suri fikir Dina
tu anak Suri, kenapa Suri biarkan Dina tak bersekolah?”
“Biarkan Dina tak bersekolah? Eh,
dari mana abang Mahmud tahu semua ni?!” tanya Suriyana terkejut. Wajahnya
berkerut-kerut bersama rasa debar yang bukan sedikit. Adakah Wardina Amni sudah
mengadu macam-macam kepada abang iparnya itu? Tapi sejak bila? Bagaimana?
Seingatnya, Wardina Amni tak pernah lepas bebas dari rumahnya. Dia mengawasi
anak itu sebaiknya. Telefon di rumahnya juga diawasi baik agar segala apa yang
berlaku kepada Wardina Amni tak dihebahkan kepada sesiapa.
‘Bodoh! Macam mana aku boleh cuai
hari ni sampai betul-betul lupa nak mangga pintu pagar sebaik saja Diah dengan
Zul keluar ke sekolah tadi? Tak pasal-pasal, orang tua dua ekor ni terjah rumah
aku senang-senang. Tak pasal-pasal juga aku kena layan soal siasat dia orang.
Aduh, matilah aku, kalau semuanya terbongkar! Kalau Dina bangun dan nampak
nenek dan ayah longnya di sini, mengadu macam-macam, aku juga terpaksa tanggung
balanya. Arghhh!’ Suriyana mengutuk kecuaian dirinya.
“Kau terkejut macam mana aku boleh
tahu? Hei, aku tak bodohlah, Suri! Dina, mana Dina?!” tanya Mahmud dengan suara
meninggi.
“Hmm… hmm!” Suriyana panik ingin
berkata sesuatu. Dia tercari-cari idea mahu menyelamatkan dirinya.
“Aisyyy, sudahlah Suri! Cukuplah-
cukuplah. Kau jangan nak berlakon lagi. Tak usah pura-pura gagap macam ni.
Kalau esok-esok kau betul-betul gagap dan tak boleh bercakap, barulah tahu,”
tempelak Mahmud, masih dengan nada meninggi, menzahirkan rasa marah yang cuba
ditahannya.
“Eh, Abang Mahmud ni, kenapa?!
Bila masa pulak Suri berlakon? Mak, abang... kalau datang rumah Suri setakat
nak sakitkan hati Suri, baik tak usah datang. Mak ingat Suri kemaruk sangat ke
nak tengok mak datang sini? Tolonglah. Alah, mak tu, konon ajelah ambil berat
pasal kami, kan?” dalih Suriyana cuba melarikan topik perbualan mereka tadi.
Mendengar kata-kata Suriyana,
Mahmud bertambah bengang. Ikutkan rasa marah yang berapi-api di jiwa, mahu
dilempangnya muka Suriyana. Dia mengangkat punggung dan melilau mencari Wardina
Amni di setiap bilik di rumah itu. Nama Wardina Amni dilaungnya beberapa kali.
Tapi kenapa gadis itu tidak menyahut? Di mana sebenarnya Wardina Amni?
“Bagilah mak peluang, Suri. Mak
pun duduk sorang-sorang kat rumah tu. Mak ni dah tua. Paling kurang, berteman
juga mak malam-malam kalau Dina duduk dengan mak. Lagipun masa kecik-kecik dulu
pun mak yang jaga Dina,” pujuk Juriah cuba berlembut meskipun hatinya terobek
dengan ayat-ayat Suriyana tadi. Menantunya itu selamba memerlinya dan langsung
tak meraikan kehadiran mereka di rumah itu.
“Oh, kiranya mak nak mengungkitlah
ni. Saya tak mintak pun mak jaga budak tu dulu.”
‘Tapi masa tu kau sakit meroyan
,Suri. Kalau aku tak jaga, entah macam manalah untung nasib Dina. Kalau Osman
tak beria nak ambil Dina semula masa umurnya empat tahun, mesti Dina selamat
dengan aku hingga ke hari ini,’ bisik Juriah, meladeni kisah musim lalu.
“Alah, mak... anak Abang Mahmud
kan ada. Takkanlah tak boleh diharap nak tengokkan mak. Rumah abang pun dekat
juga dengan rumah mak, kan? Kenapa nak harapkan Dina juga?” Suriyana berkeras
tak mahu melepaskan Wardina Amni tinggal dengan neneknya.
“Apa salahnya Suri, mak bela Dina
tu? Mak cuma nak laksanakan amanah arwah Osman. Bagilah emak peluang ni. Mana
tahu esok lusa emak dah meninggal, mesti mak rasa bersalah sebab tak sempat nak
lakukan semua ni.” Juriah terus memujuk dengan suara yang sengaja dilirihkan.
Dia sanggup berlakon begitu untuk meraih simpati menantunya demi menyelamatkan
masa depan Wardina Amni.
“Mak ni sengaja nak peningkan
kepala saya. Kalau Dina tu duduk dengan emak, siapa lagi nak tolong saya buat
semua kerja rumah? Cuci kain baju, basuh pinggan mangkuk, masak,” omel
Suriyana.
“Lah… kenapa Suri tak buat semua
tu? Kenapa harapkan budak Dina yang kurus kering tu?” tempelak Juriah.
“Alah, mak... saya ajar dia
tolong-tolong saya. Takkan anak tak boleh tolong maknya pulak? Lagipun mesin
basuh dah lama rosak. Saya pun penat juga, mak. Semua kerja rumah nak kena
buat,” jawab Suriyana apabila Juriah mempersoalkannya hal itu. Butirnya
kedengaran keras dan menekan.
‘Kau nak mengajar anak tolong kau,
sampai sanggup tak sekolahkan budak tu? Dah memang dasar betina pemalas,’ kutuk
Juriah dalam hati bersama emosi sedih dan kecewa.
“Hmm… pasal mesin basuh tu, jangan
risau. Nanti mak belikan Suri mesin basuh baru. Tak perlu cuci guna tangan
lagi. Lagipun, kain baju Suri kan selalu hantar dobi?” pujuk Juriah lembut. Dia
terpaksa mengikut rentak menantunya.
‘Alah, setakat mesin basuh tu...
takkanlah tak mampu nak beli. Duit hasil sewa lot kedai, kebun getah, beribu
sebulan. Macamlah aku tak tahu banyak mana harta peninggalan arwah anak aku
untuk kau. Bulan-bulan, duit daripada syer milik arwah Osman juga diterima
Suriyana. Saja nak dera anak sendiri. Saja nak layan Dina macam orang gaji.
Emak macam mana ni?!’ kutuk Juriah lagi bersama perasaan marah yang mendongkol
tebal.
“Makan minum kami siapa nak
uruskan?” Suriyana mencari alasan lagi. Wajahnya masih tidak senang dengan
permintaan Juriah.
Terbakar hati Juriah mengenangkan
sikap menantunya yang berperangai hantu itu. Terang lagi nyata Wardina Amni
dijadikan amah. Cara dan gaya bercakap, cucunya itu sememangnya menguruskan
segala kerja di rumah itu.
“Alah, Suri carilah orang gaji
yang boleh tolong masakkan untuk Suri sekeluarga kalau dah malas sangat nak
masak. Kalau setakat Dina yang masak, apalah sedap sangat Suri oii! Mak pun
tahu air tangan budak tu bukan kena pun dengan selera Suri. Lagipun, kedai
makan berlambak-lambak sekarang ni, Suri beli ajelah.” Juriah cuba
berprovokasi, menahan amarah yang berasap berapi dalam jiwa. Ikutkan hati mahu
saja dia mengherdik, menengking, menghamburkan kata-kata kesat kepada Suriyana.
“Banyak duit, Suri nak cari orang
gaji?” jawab Suriyana menyindir saranan ibu mertuanya. Wajahnya mencemik.
“Suri, kau jangan cakap tak ada
duit. Takkan kau tak mampu nak ambik orang gaji. Duit saham Man, bulan-bulan
siapa yang sign? Duit dari sewa lot kedai beribu sebulan, kau kata tak
ada duit?” perli Juriah sambil menggeleng kepala.
“Mak, Suri simpan duit tu untuk
masa depan anak-anak. Takkan sewenang-wenangnya Suri nak habiskan duit tu?”
Suriyana beralasan.
“Baiklah, Suri. Nanti bulan-bulan
mak akan bagi Suri duit seribu ringgit untuk khidmat orang gaji. Tapi janji,
Suri kena bagi Dina kepada emak,” janji Juriah dengan nada tegas.
“Yang mak beria sangat nakkan
Dina, apahal? Yang mak sanggup nak taja itu ini kat Suri semata-mata kerana
budak tu apasal pulak? Tak faham Suri.” Suriyana bernada keras dan menekan. Tak
berpuas hati nampaknya dia dengan kesungguhan Juriah.
“Mak tak ada niat lain Suri selain
mak nak rasa kasih sayang seorang cucu. Cucu perempuan. Hafiz, anak Abang
Mahmud Suri tu kan lelaki. Cucu perempuan mak hanya Wardina dan Mardiah. Kalau
Suri tak nak bagi Dina, Suri bagilah Mardiah kepada emak.” Juriah membuat ayat
cuba memancing perhatian Suriyana.
“Diah? Eh, mana boleh! Mak jangan
nak mengada-ngada. Kalau nak ambil Dina, ambiklah... tapi syaratnya mak bagi
Suri seratus ribu ringgit. Bulan-bulan mak bagi seribu ringgit. Diah, jangan
sesekali mak cuba nak pisahkan kami. Tapi, mak kena tunaikan janji mak seperti
mana yang mak cakap tadi. Kalau tak, saya ambil balik Dina daripada jagaan
mak,” setuju Suriyana bersyarat.
“Kau jangan risau, Suri. Mak
bukanlah jenis orang tak pegang janji. Mak bukan pengkhianat.” Suara Juriah
kedengaran tegas. Betapa dalam maksud tersirat di sebalik kata-kata Juriah itu
membuatkan Suriyana menjeling tajam ke wajah mertuanya.
“Macam mana saya nak percayakan
kata-kata mak ni?” Suriyana meninggikan suara, mahukan kepastian.
“Mak ada buat surat perjanjian
peguam. Kau jangan risau. Kalau esok-esok mak mungkir janji, kau gunakan saja
surat ini untuk tuntut Dina di mahkamah. Kalau kau setuju, turunkan tandatangan
kat kertas ni.” Tiba-tiba Mahmud bersuara. Dia kembali ke situ dengan membawa
sebuah fail.
Fail berisi dokumen dan sebuah
buku cek dihulurnya kepada Juriah. Juriah mengeluarkan buku cek dan beberapa
keping dokumen. Dia menulis sesuatu di atas kedua-dua dokumen tersebut sebelum
menyerahkannya kepada Suriyana. Suriyana menyambut baik pemberian Juriah.
Dokumen pemberian Juriah dibacanya
dengan teliti. Suriyana membulatkan bebola mata. Kornea matanya terhenti di
satu ayat itu. Irisnya tertacap ke angka RM100 ribu yang baru saja ditulis
mertuanya itu. Dalam senyum sengih, hatinya membungkal.
‘Menyesal aku mintak seratus ribu.
Kalau aku mintak dua tiga ratus ribu pun, orang tua ni mesti bagi punya.’
Hatinya berbisik kesal.
“Nah!” Juriah menghulurkan
sekeping cek yang baru saja ditandatanganinya kepada Suriyana.
Menantunya itu tersenyum lebar
mahu menerima pemberian itu.
“Opsss! Tapi sebelum tu, kau bawa
Dina ke mari dulu.” Juriah bertegas. Cek yang dihulur kepada Suriyana ditarik
semula dan diberikannya kepada Mahmud. Dia mahu Suriyana juga berpegang pada
janjinya.
“Yalah! Tunggu sini kejap,” jawab
Suriyana geram. Dia bengang dengan sikap Juriah itu. Dia bangun dan melangkah
pantas ke bilik stor meninggalkan Juriah dan Mahmud di ruang tamu.