Home Novel Keluarga Dia Yang Mengerti
Bab 27

27


"WAH, sedapnya bau! Mak masak apa ni?” Suara Faizul Ikhwan kedengaran dari muka pintu. Dia meluru mendapatkan Suriyana di tengah ruang tamu.

“Tak sabar sangat dah nak makan sampai salam pun tak beri?” tanya Suriyana mengangkat punggung mendapatkan Faizul Ikhwan. Hajat hatinya mahu menonton tv terbatal.

“Mak, laparlah...” adu Faizul Ikhwan. Mereka berjalan beriringan ke dapur.



“AIR,” pinta Faizul Ikhwan kepada Wardina Amni yang sibuk mengatur pinggan di atas meja.

Wardina Amni menuang segelas air sirap lalu dihulur kepada abangnya.

“Lagi,” pinta Faizul Ikhwan.

Wardina Amni yang tercegat di tepi meja makan itu, setia melayan abangnya tanpa sebarang rungutan. Namun, hatinya sangat tersentuh melihat Faizul Ikhwan dalam pakaian seragam sekolah.

Tergamak Suriyana melarangnya ke sekolah. Sampai hati emaknya membiarkan remaja seusianya tidak mendapat pendidikan semata-mata mahu dia menjadi bambu di rumah itu. ‘Aduhai, sedihnya hati! Emak, tak adakah secebis kasihmu buat diriku? Kenapa begitu banyak hak aku sebagai seorang anak dinafikan di rumah ini? Ayah, sampai bila Dina harus begini? Dina nak ke sekolah. Dina nak jadi orang bijak pandai. Dina nak jadi pengacara tv, tapi kenapa mak tak pernah mengizinkan impian Dina ini menjadi kenyataan? Kenapa mak terlalu bencikan Dina?’

“Wow, dah lama mak tak masak ikan talapia goreng sesedap ni!” puji Faizul Ikhwan girang membuatkan lamunan perasaan Wardina Amni terbang entah ke mana.

“Kau ni, Zul... tak menyempat-nyempat nak makan. Kalau ya pun, makanlah sama-sama. Basuh tangan, baca doa dulu,” tegur Mardiah Amna kepada Faizul Ikhwan.

Entah bila Mardiah Amna berada di situ, langsung tak disedari Wardina Amni.

“Dah basuh tanganlah,” jawab Faizul Ikhwan sambil terus menggagau lauk dari bawah tudung saji. Isi ikan talapia merah disumbat lahap ke mulutnya.

“Kalau semua dah ada, jomlah makan,” ajak Suriyana.

“Hoi, nasinya mana?!” tanya Mardiah Amna kepada Wardina Amni.

Menyedari mangkuk nasi tambah tiada di situ, Wardina Amni pantas ke dapur. Nasi dari dalam periuk pantas disenduknya ke dalam nasi tambah. Dia kemudian segera ke meja makan dan membubuh nasi ketiga mereka.

“Hoi, takkan kau sorang aje makan ikan tu?! Aku pun nak jugak,” marah Mardiah Amna apabila dilihatnya Faizul Ikhwan meratah lahap ikan talapia goreng itu.

“Alah, kalau ya pun lapar, janganlah berebut-rebut makannya. Mak beli banyak ikan ni tadi.” Suriyana lembut mententeramkan pertelingkahan anak-anak.

“Ikan gorengnya mana?” tanya Suriyana dengan suara meninggi apabila disedari Wardina Amni hanya memandang Faizul Ikhwan makan dengan mata tak berkelip.

“Ikan goreng? Tu aje ada,” jawab Wardina Amni perlahan.

Wajah Suriyana berubah sama sekali.

“Takkan banyak ni aje ada? Kau melantak sorang-sorang kat dapur sampai tinggal tiga ekor aje?” marah Suriyana. Kalau tadi dia duduk di sebelah Faizul Ikhwan, kini dia mengangkat punggung dan menunjal kepala Wardina Amni bertalu-talu.

“Dina goreng empat ekor aje. Yang lebihnya simpan untuk esok,” jawab Wardina Amni takut-takut.

“Empat ekor, habis ni kenapa tiga aje tinggal?”

“Untuk Dina seekor kat dapur,” jawab Wardina Amni.

“Oh, pandai kau ya! Sorok makanan sendiri kat dapur? Siapa ajar, hah?! Dah, bak sini ikan tu!” arah Suriyana setelah memulas cuping telinga Wardina Amni sekuat hati.

Terkocoh-kocoh Wardina Amni ke dapur mendapatkan ikan talapia goreng yang disimpan untuknya.

“Zul... Diah... makan ikan ni kenyang-kenyang,” suruh Suriyana sambil meletakkan ikan goreng itu di depan kedua anaknya.

“Hisy, bodoh betullah kau ni! Dah tahu masa ni semua orang tengah lapar, gorenglah semua,” bebel Suriyana sambil duduk kembali ke kerusinya tadi.

“Ingatkan tadi cukup seekor untuk seorang dengan saiz ikan tu,” jawab Wardina Amni sambil menunduk memandang lantai.

“Menjawab, menjawab! Aku lempang karang, bisu mulut tu baru tau. Dah, masuk bilik kau! Aku nak makan. Terbantut selera tengok muka kau!” herdik Suriyana kasar.

Wardina Amni akur. Dia berlari masuk ke dalam biliknya. Menggigil-gigil tubuhnya menahan segala rasa yang dilontar Suriyana ke jiwanya. Saat ini, Wardina Amni ingatkan dia kuat, rupa-rupanya tidak. Tanpa dipinta, air mata bercucuran lagi.



AZAN maghrib yang tadinya berkumandang kini sudah tamat. Hujan lebat, ribut taufan dan guruh berdentum-dentam petang tadi juga sudah tak bertempik lagi. Sore itu, alam menjadi sunyi tiba-tiba. Wardina Amni bangkit dari duduknya. Sejak petang tadi lagi, usai saja bersolat asar, dia begitu ralit mengarang cerpen.

Cerpen itu ditulisnya di dalam sebuah buku bersaiz A4. Sudah berkajang-kajang ditulisnya. Syukurlah, melimpah ruah ilhamnya bak hujan lebat yang jatuh dari bumbung langit. Sedar tak sedar, azan sudah berkumandang kuat, memberitahunya yang senja kian melabuhkan tirai.

Wardina Amni melangkah keluar dari biliknya. Hasrat hatinya ingin ke bilik air, mengambil wuduk dan mengerjakan solat maghrib. Melintasi ruang dapur rumah itu, barulah dia sedar yang rumah itu gelap dan sunyi tanpa penghuni lainnya. Hanya sebuah lampu dipasang, di ruang tamu, di rumah besar itu.

Lantaran terlalu ralit berkurung dan melayan khusyuk mengarang, dia leka sendiri. Sementelaah pula lampu biliknya dipasang sejak jam enam lagi kerana hujan lebat dan suasana dalam bilik stor itu menjadi gelap.

“Ke mana semua orang dalam rumah ni? Keluar makan ke?” soal Wardina Amni sambil menapak kaki ke ruang dapur, menuju ke bilik air. Matanya melilau ke kiri dan ke kanan. Tanpa mahu memikirkan perihal mereka lagi, dia segera ke bilik air dan mengambil wuduk.

USAIbersolat dan berdoa maghrib itu, Wardina Amni segera ke ruang tamu. Dia mengintai dari celahan tingkap nako, memerhatikan suasana di halaman rumahnya. Pintu pagar rumah mereka kelihatan kemas bermangga. Wardina Amni cuba membuka pintu depan, berkunci dari luar.

Wardina Amni kemudian berlari ke dapur. Dia berharap benar moga-moga pintu dan gerigi dapur tidak berkunci dari luar. Malam ini, dia bernekad mahu melarikan diri dari rumah itu. Dia ingin ke rumah Ainon meminta pertolongan. Kalau boleh, dia mahu Ainon membawanya bertemu Juriah dan Mahmud.

‘Lepaskan Dina, mak. Dina rela pergi dari rumah ni. Dina tak mahu tinggal kat rumah ni lagi. Biarkan saja Dina tinggal kat rumah anak yatim mana pun. Biar saja Dina menumpang kasih daripada orang lain. Dina serik mengharap dan terus mengharap diri ini disayangi keluarga ini walhal apa yang dia dapat melainkan sengsara semuanya.’

“Aduh, pintunya berkunci!” jerit Wardina Amni geram. Niatnya terhalang. Suriyana seperti dapat membaca tindakannya. Suriyana seperti tahu yang dia ingin pergi dari rumah itu senyap-senyap.

“Kalau mak, kakak dan abang dah tak suka Dina, biarkan saja Dina tinggal dengan nenek.” Wardina bercakap seorang diri dengan suara lemah. Bagaikan berputus asa mengenangkan nasib tidak pernah menyebelahinya.

“Mak Cik Ainon! Mak Cik Ainon! Kak Alin, tolong Dina!” teriak Wardina Amni berulang-ulang setelah menguak sedikit daun tingkap nako. Dia meneriak sekuat hati dengan harapan jirannya itu mendengar suaranya.

Tetapi nampaknya rumah itu juga sunyi sepi. Kereta Ainon yang biasa terpakir di garaj tidak kelihatan. Mungkinkah Ainon ke rumah anaknya di bandar? Kebiasaan juga, Ainon bermalam di sana.

“Ya Allah, kenapa sesulit ini kehidupan yang tertulis buatku? Kenapa Ya Allah, sedangkan aku cuma mohon sedikit kebebasan ini. Izinkan aku, Ya Allah.” Wardina Amni berdoa, mengubat rasa kecewa yang benar-benar mencengkam jiwa. Saat ini, harapannya untuk keluar dari situ seperti punah begitu saja.

Dia kembali ke tengah rumah. Memerhati segenap ruang. Akalnya laju berfikir, apakah usaha yang mampu dilakukan untuk membolehkan dia keluar dari situ?

“Nak keluar dari pintu tingkap nako, mustahil! Sebab tingkap itu bergerigi besi. Kalau kata nak patahkan tombol pintu, geriji besi di luar juga perlu melakukan hal yang sama. Pasti gerigi besi itu bermangga.” Wardina Amni bercakap seorang diri.

“Hah!” Matanya terbeliak memandang telefon rumah.

Ditenyeh matanya beberapa kali untuk memastikan hal itu. Bermimpikah dia? Benarkah ini atau matanya tersilap pandang? Tak pernah Suriyana lupa mencabut badan telefon meskipun ke pasar sekejap cuma. Malah pada waktu malam pun, badan telefon itu dicabutnya.

‘Apakah hari ni emak lupa nak mencabut badan telefon dan menyoroknya? Mungkinkah ini akan membantuku keluar dari rumah ini?’ bisik hatinya dengan nada gembira.

Wardina Amni lantas mencapai gagang telefon. Jari-jemarinya laju menekan nombor-nombor di punat telefon. Dia mahu bercakap dengan neneknya, Juriah. Namun aneh, tiada sebarang nada kedengaran di corong telinganya. Telefon itu bisu dan kaku.

“Arghhhh!” Wardina Amni meletak gagang telefon itu kembali di tempatnya. Usahanya sia-sia belaka. Patutlah Suriyana tak hairan meninggalkan badan telefon itu, rupa-rupanya peranti itu tak berfungsi. Mungkin sebab petang tadi hujan lebat dan ribut taufan, maka ada pokok tumbang dan menimpa kabel telefon. Talian komunikasi itu terputus sama sekali.

“Huh!” Hanya itu yang mampu dilepaskan. Satu perasaan yang maha berat, menghimpit dadanya yang kian perit.

Previous: Bab 26
Next: Bab 28

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.