22
SEPERTI semalam dan hari ini, Juriah masih menunggu Wardina
Amni di tempat yang sama. Meskipun sekejap benar mereka bertemu saban hari,
namun semua itu cukup untuk menghilangkan rasa rindu Juriah terhadap cucunya.
Sebaik saja pulang dari sekolah, Wardina Amni terus mengikut Juriah ke sebuah
restoran yang terletak berhampiran dengan sekolah.
Sejak setahun yang lalu, mereka
bertemu secara sembunyi-sembunyi, khuatir Suriyana akan melenting tak tentu
pasal lagi. Kalau hari minggu dan cuti sekolah, sekiranya Suriyana, Mardiah
Amna dan Faizul Ikhwan keluar, Wardina Amni juga akan keluar senyap-senyap
dengan neneknya. Wardina Amni pulang sebelum mereka anak-beranak pulang ke
rumah.
Kini segala kasih sayang hanya
diraih Wardina Amni daripada Juriah. Segala makan minum, stok makanan di bilik
stornya, belanja sekolah, pakaian, ditanggung Juriah secara senyap-senyap.
Segalanya berjalan lancar tanpa pengetahuan mereka anak-beranak. Dan betapa
pantas detik masa berlalu, Wardina Amni kini menginjak ke tingkatan dua.
“Dina nak makan apa hari ni?”
tanya Juriah dengan penuh cakna sebaik saja seorang budak pelayan menghampiri
meja makan mereka yang agak tersorok, di restoran itu.
“Nasi ayam dengan Milo suam,”
jawab Wardina Amni ringkas.
“Nasi ayam dua, Milo suam satu dan
kopi tarik satu.” Juriah membuat pesanan untuk menu makan tengah hari mereka.
Budak pelayan itu berlalu.
“Macam mana belajar hari ni,
okey?” tanya Juriah.
“Okey, nek. Alhamdulillah.”
“Kalau Dina ada apa-apa masalah,
beritahu nenek. Kalau nak beli apa-apa barang keperluan, cakaplah,” pesan
Juriah.
“Baik, nek. Terima kasih.”
“Kat rumah macam mana? Mak, kakak
dan abang masih sama melayan Dina?”
“Macam tulah, nek. Lagipun balik
sekolah, Dina terus masuk bilik. Dina tak berani nak makan, bersembang atau nak
tengok tv dengan mak, kakak dan
abang.”
“Stok makan malam Dina cukup?”
“Cukup. Biskut dan roti yang nenek
bagi semalam masih ada.”
“Ni nenek belikan roti dan biskut.
Makan malam pun kena cukup kenyang, baru boleh fokus belajar.”
“Yang semalam masih adalah nek.”
“Tak apa, jangan sampai terputus
makanan kat bilik Dina tu. Tapi ingat pesan nenek. Hati-hati. Jangan sampai mak
perasan, barang makanan yang Dina bawak balik hari-hari tu nenek kasi. Risau
juga nenek, takut mak Dina melenting.” Juriah berpesan, risau juga mengenangkan hubungan mereka
secara bersembunyi akan disedari Suriyana. Silap hari bulan, tubuh badan
Wardina Amni juga menjadi mangsanya.
“Insya-Allah, semoga mak tak perasan. Dina masukkan dalam beg
sekolah ni. Rasanya mak tak perasan. Tak tahulah,” jawab Wardina Amni sedikit
bimbang apabila perkara itu ditanya Juriah kepadanya. Di rumah itu, meskipun
Suriyana jarang-jarang menegurnya, namun apabila Suriyana membuka mulut,
bererti ada sesuatu yang tak kena di mata emaknya.
“Dina, makan cu. Kita tak boleh
jumpa lama-lama ni,” kata Juriah sebaik saja pesanan tiba.
Wardina Amni mengangguk. Melihat
nasi ayam terhidang di depan mata,
seleranya terbuka. Bayang wajah
Suriyana hilang serta-merta. Sebaik saja lafaz bismillah dan doa makan dibaca,
dia memulakan suapan.
“Ehem... ehem... sedap makan?”
tegur satu suara.
Wardina Amni dan Juriah serentak
memanggung kepala. Faizul Ikhwan memandang kedua mereka dengan wajah tegang.
Wardina Amni tersentak. Kunyahannya terhenti.
“Eh, Zul?!” Suara Juriah bernada
terkejut. Namun, dia teruja menerima kehadiran Faizul Ikhwan di situ. Sudah
lama Juriah tidak bersembang dengan Faizul Ikhwan. Kalau bertembung di
mana-mana, baik Faizul Ikhwan mahupun Mardiah Amna, sengaja melarikan diri daripadanya.
“Meh, makan dengan nenek,” ajak
Juriah lembut sambil bangun mendapatkan tubuh Juriah.
“Arghhh, tak naklah! Buat apa
makan dengan nenek?” jawab Faizul
Ikhwan, menolak pelawaan Juriah kasar.
“Saja nenek nak belanja Zul. Zul
kan suka nasi ayam,” pujuk Juriah lagi meskipun dia berkecil hati dengan
kata-kata Faizul Ikhwan tadi.
“Kalau nasi ayam ni sedap pun,
tengok muka nenek, Zul jadi mati selera.” Faizul Ikhwan masih berusaha membidas
kata-kata Juriah.
“Abang, tak baik cakap nenek macam
tu. Kecil hati nenek,” tegur Wardina Amni
akan sikap abangnya. Dia yang sejak
tadi hanya memandang, mula bersuara.
“Kau apa tahu, Dina? Kau tak tahu
masalah mak dengan nenek. Kau tak pernah tahu kan, apa yang nenek dah buat kat
keluarga kita?” marah Faizul Ikhwan sambil menjarakkan tubuhnya dengan tubuh
Juriah.
“Zul, duduk sini. Cerita dengan
nenek, apa yang mak beritahu Zul sampai macam ni sekali Zul marahkan nenek?
Cuba terus terang dengan nenek.” Juriah masih berusaha menawan hati Faizul
Ikhwan yang keras. Dia cuba mendekatkan tubuhnya dengan Faizul Ikhwan.
Namun Faizul Ikhwan berkeras hati,
menepis pegangan tangan Juriah di lengannya. “Nak terus terang apanya, nek? Zul
tak sangka, nenek yang Zul sayang selama ini, sanggup buat kami macam ni.
Sanggup ambil harta benda ayah, walhal nenek tahu yang mak tak bekerja. Mak tak
ada duit lagi selepas kematian ayah. Ada duit sikit-sikitpun, nenek dan ayah long nak kebas. Sampai hati kan,
nenek buat semua ni kepada kami,” sambung Faizul Ikhwan lagi dengan nada suara
yang keras menekan sambil menyapu air mata.
“Lailahailallah, Zul. Kenapa macam
tu sekali Zul boleh fikir buruk-buruk pasal nenek? Semua tu tak benar Zul, sama
sekali tak benar.” Juriah cuba mengubah tanggapan Faizul Ikhwan terhadapnya.
“Arghhh, sudahlah nek! Dan kau pun
Dina, berani-berani jumpa nenek senyap-senyap ya? Tak faham-faham yang mak
bengang dengan nenek. Pulak tu makan nasi ayam sedap-sedap. Patutlah selama ini
balik sekolah, tak pernah makan dengan kita orang. Kau dah kenyang-kenyang
makan dengan nenek, kan?” tempelak Faizul Ikhwan membuatkan Wardina Amni
terdiam.
“Zul, semua ini salah faham. Nenek
tak pernah pun buat seperti mana yang Zul cakap tu. Itu semua tak benar.”
Juriah masih berusaha menjelaskan kedudukan yang sebenar.
“Hoi, Zul! Apa hal lagi tu?!” Satu
suara kedengaran melaung.
Juriah, Wardina Amni dan Faizul
Ikhwan serentak berpaling.
Mardiah Amna dengan wajah mencuka
memandang ke arah mereka. Perasaannya sebal. Kelihatan dia sedang menjinjing
sebuah beg plastik berisi tiga bungkus polesterina makanan. Mardiah Amna
menggamit Faizul Ikhwan dengan muka geram, berisyarat, mengajak pergi dari
situ.
Faizul Ikhwan pantas melangkah
meninggalkan Juriah dan Wardina Amni. Juriah tercengang-cengang dengan perangai
cucu-cucunya. Dulu mereka sangat peramah, mesra dan begitu menyayanginya. Tapi
kini, apa dah jadi?
“Diah, Zul…” Juriah cuba mengejar
demi mendapatkan cucu-cucunya. Namun, kedua-dua mereka sudah keluar dari
restoran itu dan pantas mendapatkan basikal masing-masing.
Faizul Ikhwan dan Mardiah Amna
mengayuh basikal laju-laju. Mereka sudah pergi, langsung tak menoleh lagi.
“PATUTLAH balik dari sekolah
tak pernah makan kat rumah pun. Rupa-rupanya dah kenyang makan kat luar. Makan
sedap-sedap pulak tu, nenek belanja,” perli Faizul Ikwan sebaik saja Wardina
Amni tiba di kaki tangga rumah.
Wardina Amni segera menanggalkan kasut dan
meletakkannya di rak.
“Makan apa, Zul?” tanya Mardiah
Amna, buat-buat tak tahu.
“Nasi ayam,” jawab Faizul Ikhwan
dengan nada perli.
“Wah, nasi ayam!” sambung Mardiah
Amna pula sebaik saja Wardina Amni melintasi kedua mereka.
“Hei, Dina! Hari-hari ke nenek
belanja kau makan? Kalau kami tak terserempak tadi sampai bila-bila pun kami
tak tahu kan?” tanya Faizul Ikhwan.
“Hari-hari nenek belanja, mewahlah
kau makan,” tokok Mardiah Amna pula.
Wardina Amni hanya terdiam dalam
gugupnya mahu membalas kata-kata abang dan kakaknya. Dalam keadaan sekarang,
dia takut mahu menjawab. Bukan takutkan abang dan kakaknya, tetapi khuatirkan
Suriyana yang selalu menyinga tiba-tiba. Kalaulah Suriyana tahu yang dia
bertemua Juriah secara sembunyi-sembunyi, apalah untung nasib dirinya.
“Esok pun nenek belanja makan ke?
Aku rasa, mesti nenek bagi kau duit belanja banyak-banyak, kan?” tebak Faizul
Ikhwan seraya merenggut kuat beg sandang Wardina Amni di bahunya.
Terkejut Wardina Amni bukan
kepalang. Dia cuba merampas semula beg sandang itu, namun tindakannya dihalang
Mardiah Amna.
“Kenapa main kasar dengan Dina
ni?” tanya Wardina Amni tidak faham apabila Mardiah Amna dan Faizul Ikhwan
melayaninya sedemikian. Antara rasa kecewa dan terkilan, dia menahan tangis.
“Wah, ada roti, biskut!” komen
Faizul Ikhwan sebaik saja mengeluarkan beberapa bungkus roti jagung bersaiz
kecil dan biskut Marrie. Faizul Ikhwan mengoyak plastik pembungkus roti lantas
melahapnya. Beg Wardina Amni dicampaknya ke lantai.
“Hoi, mana aci makan sorang-sorang
macam ni!” marah Mardiah Amna sambil mencapai sebungkus roti di riba Faizul
Ikhwan. Seperti mana Faizul Ikwan, Mardiah Amna melahapnya.
“Abang, kakak, pulangkan roti
Dina,” pinta Wardina Amni, mohon dikasihi.
“Hei, Dina! Hari-hari kau makan
senyap-senyap aje kat dalam bilik tu, macam aku tak tahu! Aku ambil sikit pun
nak berkira. Arghhh!” omel Faizul Ikhwan sambil mencapai alat kawalan tv tanpa mempedulikan Wardina Amni
lagi.
“Memanglah kau ni, kan. Kedekut
tahi hidung masin. Dengan adik-beradik pun nak berkira,” kata Mardiah Amna
pula, menyokong kata-kata Faizul Ikhwan.
“Kalau nak pun, mintaklah. Mana
boleh main rampas-rampas macam tu. Roti tu untuk makan malam Dina. Malam-malam,
Dina tak makan nasi pun macam abang dan kakak.” Akhirnya, Wardina Amni
bersuara. Serak suaranya menahan sebak.
“Siapa suruh kau tak makan? Kau tu
yang duduk berkurung dalam bilik, kenapa? Dah tahu masa makan, keluarlah!”
balas Mardiah Amna, menyalahkan sikap Wardina Amni.
Wardina Amni mencapai beg sekolah
dan berlari masuk ke bilik. Daun pintu dikunci kemas dan dia menyandar lesu di
situ. Malas dia hendak melayan cakap-cakap abang dan kakaknya lagi. Lagi
dilayan, hatinya kian terusik.
‘Kakak macam tak pernah tahu yang
mak memang tak sukakan Dina. Semua orang dalam rumah ni memang tak sayangkan
Dina. Tak pernah pun ajak Dina makan. Mak tak pernah pun bagi Dina duit
belanja, tak pernah tanya pun perihal makan minum Dina seperti mana kakak dan
abang. Dina duduk rumah ni macam orang mendatang.
Dina hanya tengok dari jauh,
mengintai dari celah pintu saja setiap kali kalian makan. Dina rasa cukup
terpinggir dengan kasih sayang kalian. Dina rasa terpulau di rumah besar ni.
Kalau nenek tak ajak Dina makan hari-hari dan bagi Dina duit belanja, Dina pun
tak tahu apa dah jadi dengan Dina. Mungkin Dina akan mati kebuluran.
Hujung minggu, abang dan kakak
selalu diajak keluar, tapi Dina? Mak tak pernah mempelawa Dina, jauh sekali nak
membeli itu ini buat Dina. Mak tak pernah pun tanya pasal sakit demam Dina
biarpun berminggu-minggu Dina terbaring kat dalam bilik tu. Abang dan kakak pun
sama. Tak pernah pun kisahkan Dina.
Kring! Kring! Bunyi jam loceng di
hujung tilam, membuatkan Wardina Amni tersentak. Begitu jauh dia mengelamun
sehingga jarum jam sudah berdetik ke angka tiga. Dia bingkas bangun dan segera
keluar dari bilik itu menuju ke bilik air. Wardina Amni mahu mengambil air
sembahyang dan mengerjakan solat. Ketika berjalan masuk ke bilik, dia perasan
rumah itu sunyi sepi. Suara dari peti tv
juga sudah senyap.
Di atas meja makan, di ruang dapur
kelihatan sebungkus polisterina makanan. Wardina Amni yakin, pasti itu nasi
ayam yang dibeli Mardiah Amna untuk Suriyana. Di restoran tadi, Wardina Amni
jelas yang Mardiah Amna menjinjing tiga
bungkus polisterina makanan.
‘Kenapa tiga, bukan empat walhal
penghuni di dalam rumah ini ada empat? Sebab yang seorang itu adalah aku.
Mereka tak pernah pedulikan aku dan seperti tak mengakui kewujudan aku. Emak,
Dina dapat merasakan betapa begitu banyak hak Dina dalam rumah ini dinafikan.
Ya Allah... Ampuni hamba, Ya Allah.
Andai masih panjang umurku di bumi-Mu
ini, Ya Allah... ENGKAU berilah
hamba peluang untuk mengecap bahagia. Untuk aku mengecapi indahnya tawa ria.
Untuk aku diterima mereka. Ya Allah,
andai kata emak, kakak dan abangku sudah tidak menerimaku di rumah ini, ENGKAU
bukakanlah pintu hati mereka agar menerima baik hasrat nenek untuk membawa aku
tinggal dengannya.
Ya Allah... ENGKAU lembutkanlah hati emak, Ya Allah. Aku tidak mahu terus-menerus
menanggung seksa diperlakukan macam-macam oleh emak sendiri. Aku tidak mahu
rasa kasihku kepada mereka akan bertukar rasa benci dan dendam. Aku tidak mahu
menjadi anak yang derhaka, Ya Allah.
Dengarkanlah doa hamba Ya Rahman,
Ya Rahim, Ya Sama’, Ya Basar, ’ doa Wardina Amni bersungguh-sungguh sambil berlalu
ke biliknya.
Sejadah di ampaian dibentangnya.
Telekung sembahyang dikenakan ke tubuhnya. Dia cuba mencari khusyuk di alam
solatnya. Dia mahu berbicara dengan DIA, Tuhan Yang Maha Pencipta.
USAI saja mengerjakan solat zohor dan berdoa, Wardina Amni
merebahkan badan di tilam usang itu. Hari ini, badannya berasa sangat letih dan
fikirannya kian celaru bersama rasa debar yang semakin beritma kuat. Perutnya
berasa lain macam. Tekaknya berasa mual. Tubuhnya berasa sedikit hangat dan
kepalanya dirasakan berdenyut-denyut.
Bermacam-macam persoalan ada di
fikirannya, membuatkan dia gelisah tidak menentu. Ingin sekali dia melayan
lelap untuk seminit dua, tapi kelopak matanya berdegil untuk terkatup. Dia cuba
sedaya upaya membuang segala rasa yang memenatkan jiwa dan mindanya, namun
seperti terlalu payah untuk dibuang.
Tiba-tiba, seraut wajah Juriah
menerjah di benak fikirannya. Wardina Amni terbayangkan wajah neneknya yang
nampak sangat tertekan dan beremosi tadi. Juriah menangis sebaik saja Faizul
Ikhwan dan Mardiah Amna tidak mengendahkan panggilannya. Kata-kata Faizul
Ikhwan jelas menuduh Juriah. Wardina Amni yakin benar yang neneknya itu
berkecil hati dengan kata-kata abangnya, juga sikap tak endah Mardiah Amna.
“Nek, sabar ya. Bertenang, malu
orang tengok.” Wardina Amni bersuara separuh berbisik, cuba mententeramkan
perasaan Juriah apabila keadaan neneknya mula menarik perhatian pengunjung di
meja bersebelahan mereka, di restoran itu.
“Ya, Dina. Nenek okey aje,” kata
Juriah melindungi segala perasaan yang mula mendera jiwanya. Betul kata Wardina
Amni, malu kalau orang tengok. Lagi malu, kalau orang luar tahu mereka
anak-beranak bertelagah.
Juriah cuba menyambung makan
tengah harinya dengan tidak berselera. Wardina Amni nampak jelas tentang itu.
Kasihan Juriah, hajat neneknya tidak kesampaian untuk memujuk hati Mardiah Amna
dan Faizul Ikhwan. Kemesraan mereka lewat musim lalu, kini pudar dimamah waktu.
Wardina Amni faham akan sekeping hati Juriah yang merindui kerenah manja
cucu-cucunya. Seperti mana Wardina Amni juga, begitu merindui sikap penyayang
abang dan kakaknya.
Wardina Amni pun tidak tahu,
kenapa begitu cepat abang dan kakaknya berubah persepsi terhadap dirinya. Dia
pun tidak faham, kenapa sikap mesra dan penyayang mereka, tiba-tiba menjadi
kasar dan keterlaluan? Segalanya berubah selepas kematian Osman. Wardina Amni
yakin, semua ini dipengaruhi Suriyana. Tentu sekali, Suriyana telah meracuni
fikiran abang dan kakaknya.
“Dina! Dina!” Suriyana melaung
kuat.
Wardina Amni tersentak bukan
kepalang. Baru sekejap cuma fikiran buruknya terhadap emak sendiri melekat di
minda, tiba-tiba pula dia dipanggil Suriyana.
“Hei, Dina! Meh sini! Suara
Suriayana kedengaran makin dekat, menerjah ke corong telinganya. Tubuh Wardina
Amni tiba-tiba menggeletar hebat. Bayang-bayang tubuh Suriyana terpamer di
bawah pintu biliknya bersama tumbukan di daun pintu. Bertubi-tubi. Semakin kuat
dan kuat.
Buk! Buk! Buk!
“Dina, buka pintu ni! Buka!”
teriak Suriyana.
Tubuh Wardina Amni semakin
menggeletar. Kecut perutnya. Tangkai jantungnya bagaikan mahu tercabut,
mengenangkan Suriyana akan mengamuk bila-bila masa.
“Dasar anak tak sedar diuntung.
Aku beri madu, tuba yang kau balas!” Suara Suriyana kedengaran menjerit-jerit
dari luar pintu biliknya.
Buk! Buk! Buk! Kaki Suriyana
menendang daun pintu kuat.
“Aku kata buka pintu ni! Bukalah!”
jerit Suriyana, menghamburkan segala rasa marah yang beraja di jiwa.
Wardina Amni teragak-agak mahu
bangun. Antara ketakutan, dia turut memikirkan risiko yang mengundang bala
sebaik saja daun pintu dibuka. Kalau dia tidak membuka pintu dan melayan marah
emaknya, dia yakin kemarahan Suriyana semakin berapi-api.
“Dina!” Suara Suriyana bertambah
lantang bak guruh.
Wardina Amni cuba melawan ketakutan
dalam dirinya. Dia nekad memegang tombol pintu dan membukanya. Kalau dia terus
membisu, tidak mengendahkan arahannya, bermakna dia tega mencabar kemarahan
Suriyana. Suriyana boleh membuka daun pintu bilik itu kerana kunci untuk setiap
bilik di rumah itu ada di simpan di dalam sorok almari, di ruang tamu.
Pang! Pang! Pang!
Tubuh Wardina Amni tiba-tiba
terhenyak ke lantai. Bersama tamparan bertalu-talu di pipinya, tubuhnya ditolak
kasar. Antara sakit, pening dan terpinga-pinga dengan tindakan Suriyana, pandangan
mata Wardina Amni menjadi gelap dan kabur. Dia cuba melawan segala kesakitan,
apabila telinganya berdengung kuat.
“Mak,” panggil Wardina Amni lemah
seraya memegang kepalanya.
Dia cuba mohon dikasihi. Namun
bertubi-tubi Suriyana memukul tubuhnya dengan batang penyapu lidi. Kata-kata
kesat dan caci maki Suriyana tidak jelas di telinganya, namun Wardina Amni
faham di sebalik raut wajah emaknya yang menyinga.
“Ampunkan Dina, mak! Ampunkan
Dina.” Hanya itu yang mampu diucapkan sebelum dadanya dirasakan sangat perit.
Nafasnya sukar dihela.
Seketika, fikirannya dirasakan
melayang-layang bersama tubuhnya yang terawang-awang. Pandangan matanya terus
gelap. Dia terkulai lesu di lantai itu.