Home Novel Fantasi HARIS SI KUCING JADIAN
BAB 37

ASPURI KOLEJ DELTA

 

Keadaan di Aspuri begitu sunyi sewaktu Haris melakukan rondaan pada malam itu. Mungkin kerana sebahagian besar penghuninya sudah pulang ke kampung. Hanya ada beberapa orang saja yang masih tinggal terutama mereka yang ingin menyudahkan tugasan yang masih tertunggak. Agak lama meronda tanpa ada sesuatu yang mencurigakan membuatkan Haris berasa bosan. Dia mula rindukan Amelia.

Sebaik tiba di hadapan bilik Amelia, Haris mengiau manja memanggil Amelia.

            “Ngiauu…” Pintu bilik masih tertutup rapat.

            “Ngiauuuu…” Haris mengeraskan sedikit ngiauannya sambil menggaru-garu pintu bilik. Beberapa saat kemudian, pintu bilik dibuka.

            “Oh, Leon rupanya. Ingatkan bunyi apa tadi. Ada apa sampai cakar-cakar pintu ni? Leon lapar ya?”

            “Taklah, saja je rindu nak jumpa Liya.”

            “Hah, masuklah.” Ajak Amelia sambil menguak daun pintu rapat ke dinding. Haris buat-buat tak dengar ajakan Amelia.

“Nak Liya dukung ke?”

“Boleh jugak.”

Amelia merangkul Haris dengan kedua-dua lengannya lalu membawanya masuk ke dalam bilik dan menempatkan Haris di atas katilnya.

“Hah Leon, nasib baik Liya terpikir nak beli Friskies masa dekat kedai koperasi tadi. Tak sangka pulak Leon nak datang sini malam ni. Bolehlah Liya bagi Leon try Friskies Seafood Sensations tu. Leon makan ya? Nanti Liya ambikkan.”

Amelia membuka kabinet kecil di sebelah meja tulis lalu mengeluarkan satu bungkusan plastik yang tertulis ‘Friskies’.

“Alah mak. Nak kena makan Friskies pulak ke? Aah, Liya punya pasal, telan aje lah.”

Sambil menunggu Amelia membuka bungkusan Friskies, Haris mula menyedari sesuatu.

“Eh, mana pergi si Wawa? Kan Liya cakap dia sama-sama balik hari Khamis.” Haris pandang muka Amelia, pandang katil Wawa, kembali pandang muka Amelia.

“Ooo….Leon rindukan Wawa ya. Malam ni Wawa takde. Petang tadi dia terpaksa cepat-cepat balik kampung, sepupu dia ugut nak makan racun tikus sebab kena suruh kahwin dengan kawan baik ayah dia.”

“Iya? kahwin paksa ke? Kesiannya sepupu Wawa tu. Zaman sekarang pun masih ada lagi kahwin paksa, ya Liya?”

“Kawan baik pakcik Wawa tu duda, sebaya dengan pakcik Wawa. Dah tu pulak, ada penyakit gout, kencing manis, darah tinggi, dah tualah katakan. Isteri dia baru meninggal, anak ada enam orang, semua jantan. Cuba Leon bayangkan tekanan yang akan ditanggung oleh sepupu Wawa tu, no wonderlah dia nak makan racun tikus. So, sebab Wawa sepupu dia yang paling rapat, pakcik Wawa pun mintak tolong Wawa balik pujuk dia takut dia betul-betul pergi telan racun tikus." 

"Ooo..."

"Tapi kalau Liya jadi macam dia, Liya takkan makan racun tikus. Liya terjun je dalam sungai, biar mati lemas, takdelah lama terseksa menunggu mati macam makan racun tikus.”

“Betul tu Liya. Makan racun memang seksa nak mati. Kalau terjun sungai, mati lemas, why not. Mmm…tapi Liya kan pandai berenang, how come boleh mati lemas?”

“Liya cakap ni bukan bermaksud Liya sokong perbuatan bunuh diri. Liya cuma nak bagi contoh je. Haram tau bunuh diri! Kalau mati nanti masuk neraka! Leon kena ingat tu, kalau ada kucing betina tak nak jadi girlfriend Leon, jangan sekali-kali cuba bunuh diri. Cari je kucing lain. Leon cari yang lagi comel lepas tu tayang depan dia. Biar dia rasa menyesal tolak cinta Leon. Haa…baru padan dengan muka dia.”

“Pandainya Liya bagi nasihat. Kalau si Leon ni tak nak kucing lain, dia nak kucing yang nama Amelia tu jugak, macam mana?”

“Malam ni tinggal kita berdua je lah nampaknya Leon. So, selain daripada makan Friskies, Leon nak buat apa malam ni?”

“Mmm… kalau diikutkan hati, ada banyak aktiviti berfaedah  yang boleh kita berdua lakukan di malam yang sunyi dan indah ini Liya. Contohnya kita boleh main kahwin-kahwin. Tapi masalahnya saya kena bertukar jadi Haris dulu. Liya dah ready ke nak tengok Haris bogel depan Liya?” Amelia mengangkat bungkusan Friskies lalu mencurahkan kepingan Friskies ke dalam sebuah mangkuk plastik.

“Nah, Leon. Emm…mesti sedap ni.” Amelia meletakkan mangkuk beris  Friskies itu di hadapan Haris. Haris cepat-cepat menggigit kepingan Friskies lalu menelan semua sekali dengan sekaligus.

“Ishh…laparnya dia, kesian. Nah, tambah lagi Leon. Siapa la tuan si Leon ni. Dia tak bagi makan ke? Hah, Leon?”

“Liyaku sayang, saya makan semua ni bukan sebab lapar tau, tapi saya nak buktikan pada Liya bahawa saya sanggup makan makanan kucing semata-mata nak jaga perasaan Liya. Kalau saya tak makan, mesti Liya rasa kecik hati, kan?”

“Leon makanlah ya, Liya nak buat assignment. Ada sikit lagi yang belum siap.”

Haris berjaya menghabiskan Friskies tambahannya lalu memulakan rutin menjilat bulu sambil menghayati aksi Amelia menekan-nekan papan kekunci komputer ribanya.

Perut yang kenyang serta suhu bilik yang nyaman membuatkan Haris mula rasa mengantuk. Dia cuba melawan rasa kantuk namun akhirnya dia tewas juga.

 

Haris membuka mata. Jam digital di atas meja tulis Amelia menunjukkan pukul 2.38 pagi. Pandangan Haris beralih ke arah Amelia  yang sedang duduk bertelungkup badannya diatas meja tulis dengan mata yang tertutup rapat.

“Budak Liya ni, tidur pulak dia. Tadi cakap nak siapkan assignment. Duduk membuta macam tu sampai tengahari pun takkan siap assignment tu Liya oii! Nak kena kejut si Liya ni. Lagipun perut aku ni macam nak melepas pulak rasanya. Ishh… kacau betul!”

Haris melompat turun dari katil menuju ke pintu bilik. Dia mencakar-cakar pintu dengan agak kuat namun Amelia masih nyenyak di meja tulisnya.

Ishh…aku berak kat sini kang baru mengamuk Liya ni.”

“Ngiauu! Ngiauu!” Haris mengiau dengan agak kuat sambil mencakar pintu bilik dengan lebih laju. Bunyi bising yang terhasil daripada perlakuan Haris itu ternyata berhasil membuatkan Amelia terjaga dari tidur.

“Ada apa Leon bising-bising ni?” tanya Amelia sambil menguap melepaskan perasaan mengantuknya. “Ooo….Leon nak balik ya? Dah pukul dua pagi ni, nak balik jugak ke? Tak nak tidur dengan Liya ke malam ni?”

“Eh, bila pulak saya cakap nak balik? Takdelah, saya cuma nak keluar berak kejap. Nanti saya datang balik, kita tidur sama-sama. Liya peluk saya rapat-rapat okey?”

Amelia membuka pintu bilik membiarkan Haris melangkah keluar dari situ.
            “Kalau Leon nak masuk balik sini,Leon ngiau je kuat-kuat, okey? Liya nak sambung buat assignment.”

“Okey. Tapi Liya jangan lupa kunci pintu bilik tu. Malam ni sejuknya lain macam. Liya kena jaga-jaga tau. Ingat tu Liya, kunci pintu bilik tu betul-betul.” Haris mendongak bertelepati memberi pesan kepada Amelia.

“Bye Leon, see you!” Ujar Amelia sambil menutup pintu bilik.

Previous: BAB 36
Next: BAB 38

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh JACK EL JAMILY