KOLEJ DELTA
Tiba di biliknya, Haris mendapati Razif sedang duduk berlunjur di atas katil. Dia kelihatan begitu asyik berbual dengan seseorang. Telefon pintarnya dipegang rapat di telinga. Melalui gaya dialek yang kini tidak lagi menjadi asing baginya, Haris dapat mengagak siapakah teman berbual Razif. Seketika kemudian Razif berhenti bercakap. Mulutnya mula bernyanyi-nyanyi.
“Dhoom, dhoom, jange nok kecek aku,
Dhoom, dhoom, aku toksey ikut mu,
Dhoom, dhoom, aku sudoh milik oghe.
Tok guno mu taye kereto,
Aku tahu mu oghe kayo,
Toksoh dok kace dey aku toksey.
Dhoom, ku toksey dhoom, ku toksey dhoom,”
“Waa..happy nampak. Nyanyi-nyanyi, sengih sampai telinga, Balqis ek?” Haris yang memerhati gelagat Razif sejak dari tadi bersuara.
“Ah-ah. Ada la bagi nasihat sikit. SPM kan dah dekat.”
“Iya? Beruntungnya si Balqis tu, ada penasihat peribadi. Eh, kau lawan boling dengan dia malam tu siapa menang?”
“Patutnya aku yang menang tapi bola boling tu asyik bergolek masuk longkang. Si Balqis pulak,tiap kali bola tu masuk longkang, dia bantai gelak sampai keluar air mata. Yalah, sayang memang sayang, tapi sakit hati pun ada jugak.”
“Alaa kau ni, tu maknanya dia happylah keluar dengan kau. Patutnya kau lagi tahu psikologi pompuan.”
“Entahlah. Dia happy keluar dengan aku ke ataupun dia happy dapat keluar dengan kawan-kawan dia ke, aku pun tak sure. Tapi yang pasti dia memang nampak happy malam tu. Eh, kau nak tengok gambar dia? Bukan main susah nak ambik. Dia cakap dia malu sebab muka dia tak fotogenik.”
“Hah, mana dia?”
Ibu jari Razif laju menari-nari di skrin telefon mencari fail yang menyimpan gambar-gambar Balqis.
“Haa ,ni gambar dia tengah pegang bola boling. Full body shot.” Razif menghulurkan telefon kepada Haris.
“Hey, cantik betullah Zip. Memang nampak macam ada iras-iras Natalie Portman dalam cerita Star Wars yang The Phantom Manace tu. Memang berbeza cantiknya kalau nak dibandingkan dengan awek-awek Kelantan lain yang ada dekat kampus kita ni.”
“Alah biasalah tu, orang Pasir Mas. Mengikut kata Kak Melah, emak dia iaitu nenek si Balqis ni masa zaman dia anak dara dulu orang gelar dia ‘Emas Sepuluh’, iaitu gelaran untuk pompuan yang paling cantik dalam seluruh daerah Pasir Mas.”
“Emas sepuluh? Pasal apa sampai sepuluh je? Pasal tak emas sebelas ke, emas dua belas ke?”
“Manalah aku tahu! Kau ingat aku ni tauke kedai emas ke?”
“Yang kau boleh keluar dengan Balqis malam tu, camne pulak? Siap bawak geng lagi.”
“Kak Melah yang call aku. Dia cakap Balqis nak keluar pergi KB Mall dengan kawan-kawan dia. Semua pompuan. Nak release tension katanya. SPM pun tension, ntah apa-apa diorang ni. Kak Melah pulak memang tak suka Balqis keluar malam-malam. So dia pun mintaklah aku temankan Balqis dengan kawan-kawan dia tu.”
“Waah…nampak gayanya bakal mak mentua dah bagi restu. Nanti kau bolehlah bagi rumah kedai tu buat hantaran, kan? Eh, macam mana? Dah jadi hak kau ke?”
“Semua dah beres. Nasib baik abang aku ramai member orang politik. Urusan tukar nama semua satu hari je settle. So, sekarang ni rumah kedai tu dah confirm jadi hak aku. Kalau Balqis tu confirm nak kahwin dengan aku, memang aku plan nak jadikan rumah kedai tu sebagai hantaran. Cumanya sekarang ni aku tak sure lagi perasaan Balqis dekat aku ni macam mana. Maksud aku, dia anggap aku ni apa? Boyfriend ke, abang ke, ataupun bodyguard?”
“Alah, umur dia kan baru 17, bagilah dia masa. Kalau kau betul-betul ikhlas dan komited, aku rasa takde sebab dia nak kahwin dengan orang lain.” Haris menyerahkan kembali telefon kepada Razif.
“Harap-harap macam tu lah.”
“Eh Zip, Balqis ni anak nombor berapa?”
“Dia macam kaulah, anak tunggal. Masa Kak Melah tengah mengandungkan Balqis, laki dia kahwin dengan pompuan Siam dekat Hatyai. Bila Kak Melah dapat tahu, dia mengamuk, dia mintak cerai. Lepas Balqis lahir, diorang bercerai. Bekas laki dia terus tinggal kat Thailand, tak tahu khabar berita.”
“So,Balqis tak pernah kenallah siapa bapak dia?”
“Ah-ah.Kak Melah cakap, dia marah sangat dia bakar semua gambar bekas laki dia ,termasuklah gambar kahwin diorang. Lepas tu dia haramkan bekas laki dia tu jumpa Balqis. Mungkin sebab tu bekas laki dia tak pernah tanya khabar pasal Balqis.”
“Balqis tak pernah tanya ke Kak Melah pasal bapak dia?”
“Kak Melah cakap, sejak dari kecil lagi dia dah beritahu Balqis bapak dia tu jantan tak guna, tak bertanggungjawab. Lama-lama Balqis sendiri pun malas nak tanya.”
“Tapi tak sudah jugak kan? Balqis nak kahwin kena ada wali. Kau tahu ke kat mana nak cari bapak dia?”
“Alah, sedara mara aku ramai kat Thailand, dari Sungai Golok sampailah ke Bangkok. Diorang boleh tolong cari. Kalau tak jumpa jugak, boleh pakai wali hakim kan?”
“Yalah kot. Tapi tak silap aku, kalau bapak Balqis tu ada adik-beradik lelaki, diorang pun boleh jadi wali. Tak pun datuk Balqis sebelah bapak dia.”
“Yang tu aku tak pasti. Kak Melah tak pernah cerita pasal adik beradik bekas laki dia. Aku pun tak pernah tanya. Selalunya bila Kak Melah bukak cerita, aku dengar je. Tak baik menyampuk cakap orang yang lebih tua, tambah pulak bakal jadi mak mentua kita.”
“Eh, Kak Melah lepas cerai tu terus tak kahwin-kahwin?”
“Ah-ah. Aku rasa mungkin dia dah serik. Kak Melah cakap, lepas cerai dia dengan Balqis tinggal dengan mak dia di Pasir Mas. Lepas tu dia dapat kerja dekat gedung kain di Kota Bharu. Kat situlah dia belajar selok belok berniaga kain.”
“Dah berapa lama diorang menyewa kedai yang dah jadi hak kau tu?”
“Lebih kurang dekat 6 bulan dah Kak Melah dengan Balqis duduk kedai tu. Eh, kau nak tuala? Aku beli dua. Kak Melah bagi diskaun dapat lapan ringgit sehelai.” Razif membuka beg sandangnya lalu mengeluarkan dua helai tuala mandi. Satu biru dan satu hijau. Razif mencampakkan tuala yang berwarna biru kepada Haris. Haris mencium-cium tuala itu.
“Aku dah basuhlah. Lepas beli terus masuk mesin. Kau ambik jelah, aku sedekah.”
“Iya ke ni? Kenapa murah hati sangat ni? Mesti ada something ni.”
“Kau ni, sampai bila nak hidup dengan syak wasangka macam tu? Cemburu, hasad dengki, iri hati, bangga diri, kan semua tu merugikan bangsa sendiri?”
“Yalah, yalah,” Haris melilit tuala biru itu di pinggangnya dan kemudian menanggalkan baju dan seluarnya. Sementara itu Razif mengeluarkan dua biji botol dari dalam beg sandangnya dan diletakkan di atas meja tulis. Haris memandang botol-botol itu dengan perasaan curiga.
“Eh, botol apa tu? Kau bawak balik beer ke, hah?”
“Beer korok mu! Budulah!”
“Budu?Aiikk..sejak bila pulak pandai makan budu ni? Kata alergik?”
“Alaa, Kak Melah yang bagi. Tak ambik kang nanti dia ingat aku dah murtad. Yalah, mentang-mentang duk KL sampai dah lupa asal usul.”
“Pasal apa kau tak cakap je kau alergik, tak boleh makan budu?”
“Aku tak sampai hati ler. Lagipun yang ni bukan budu sembarangan. Collector’s item ni. Nama dia budu air pasang. This is a very special budu you know.”
“Entah, nampak biasa je. Label pun takde. Apa beza dengan budu yang jual kat KL ni?”
“Haa…kalau kau nak tahu, budu yang ada kat KL ni budu yang dah dicampur dengan macam-macam perisa. Contohnya perisa oren, vanilla, coklat, strawberi, kopi dangdut. Budu air pasang ni pulak budu yang masih mengekalkan rasa asli budu sejak dari zaman Tok Janggut lagi. Sebab tu ler budu ni special.”
“Ooo...budu resepi zaman Tok Janggut ya? Tapi kau tahu tak, masalahnya sekarang ni, tak kiralah budu strawberi ke, budu zaman Tok Janggut ke, budu yang ada ni siapa nak makan? Aku tak nak.”
“Aku kalau bukan sebab alergik, memang aku nak makan budu ni. Aku pun hairan. Belacan, cencalok, semua aku boleh makan. Tapi bila makan budu, habis gatal satu badan. Hmmm...eh, apa kata kalau kau cuba jual budu ni kat dewan makan? Kolej kita kan ramai budak Kelantan, mesti laku punya.”
“Eh,kau ni gila terencat ke apa? Kau ingat muka aku ni muka jual budu? Kau jual sendirilah, pasal apa suruh aku pulak?”
“Alaa….aku malulah.”
“Ooo….jadi muka aku ni muka tak tahu malulah ya? Dah, kau punya hal, kau sendiri settle. Aku tak nak campur.”
“Takpelah kalau kau tak nak tolong. Malu pun malulah, nak buat camne orang tak sudi. Dewan makan malam ni lauk apa hah?”
“Ayam masak cendawan. Aku rasa baik kau pergi sekarang. Kalau tak, makan ikan kembunglah kau.” Haris melangkah keluar dari bilik menuju ke bilik mandi. Razif merenung botol budu sambil menggaru kepala.
KAFETARIA MENARA SISWA
Tengahari itu Haris berhajat untuk makan di kafetaria Menara Siswa. Dia malas hendak balik ke kolej kerana dia ada kelas pukul dua.
Ketika Haris tiba di kawasan parkir Menara Siswa, dia melihat motosikal Amelia diparkir di situ. Hatinya berbelah bagi. Dia masih lagi keliru dengan sikap Amelia. Patutkah dia memarkir motosikalnya di sebelah motosikal Amelia? Patutkah dia masuk ke dalam kafetaria dan menyapa Amelia? Dan yang paling penting, patutkah dia makan di situ sedangkan dia boleh makan di tempat lain?
Setelah memarkirkan motosikalnya agak jauh daripada motosikal Amelia, Haris melangkah masuk ke dalam kafetaria. Hatinya bagai digaru-garu ingin melihat reaksi Amelia apabila memandang mukanya. Matanya liar mencari wajah Amelia. Haris tersenyum bila pandangannya menangkap kelibat Amelia yang sedang makan dengan dua orang kawannya di sebuah meja panjang di sudut kanan kafetaria. Amelia kelihatan tidak menyedari kewujudannya. Dia sedang rancak berbual sambil menyuap nasi ke dalam mulut.
Setelah mengambil pinggan dan mengisinya dengan nasi, ayam masak merah dan sayur campur, Haris mengisi gelasnya dengan sirap limau. Selepas membayar harga makanan dan minuman di kaunter bayaran, dia menuju ke meja yang bertentangan dengan meja Amelia.
Haris mengemaskan duduknya dan mula menyuap nasi ke mulut. Sesekali dia menjeling ke arah Amelia. Reaksi Amelia yang kini menyedari kewujudan Haris sudah dijangka. Dia mengelak memandang muka Haris dan cuba menyembunyikan resahnya dengan pura-pura memberi perhatian kepada kawannya yang sedang rancak bercerita.
Haris berhenti mengunyah. Dia memasukkan straw ke dalam mulut dan menyedut sirap limaunya perlahan-lahan. Matanya merenung tepat ke muka Amelia.
“Assalamualaikum awak! Ya, awaklah. Nak tanya sikit boleh? Pasal apa awak buat macam tak kenal saya, hah? Oh, awak datang bulan, patutlah. Hah, bukan datang bulan? Habis tu datang apa? Datang planet Marikh? Saya tahulah saya ni tak cute, muka tak licin macam penyanyi K-pop, tapi saya pun ada perasaan. Saya tahu awak tak minat berkawan dengan saya, apatah lagi nak jadi girlfriend saya, tapi takkanlah nak tengok awak senyum pun saya tak layak? Apa salah saya?” Haris meluahkan perasaannya kepada Amelia secara telepati.
Haris masih lagi merenung muka Amelia. Amelia yang resah semakin gelisah menahan renungan Haris. Akhirnya Amelia hilang sabar. Dia membalas renungan Haris. Bukan renungan manja tapi renungan sengketa. Mata bertentang mata, rasa panas sampai ke telinga. Renungan Amelia renungan singa betina, renungan Haris renungan ayam terluka. Masing-masing tidak mahu mengalah.
Namun kesudahannya, pertandingan merenung itu terencat apabila kawan-kawan Amelia bangun dan mengajak Amelia beredar dari situ. Haris tersenyum sambil mengangkat keningnya kepada Amelia sebagai tanda kemenangan. Amelia memandang Haris dengan muka yang masam mencuka.
“Ah, lantak dialah kalau dia nak marah. Aku pun dah tawar hati. Pompuan jual mahal macam tu mana layak jadi girlfriend aku. Ramai lagi pompuan bergetah kat UM ni.” Haris mengambil keputusan untuk melupakan Amelia.
Sesudah menghabiskan makan tengaharinya, Haris melangkah keluar dari kafetaria. Setibanya Haris di tempat parkir, dia dihidangkan dengan pemandangan yang agak luar biasa. Amelia dengan muka merah menyala, sedang berdiri menunggu kedatangannya.
“Hah, sudah! Ni mesti kes tak puas hati kalah lawan mata. Dia nak lawan wrestling pulak agaknya. Ah, buat tak tahu dah ler.”
Haris berjalan melepasi Amelia tanpa mengangkat muka.
“Hey awak! Ya, awaklah! Nanti dulu, saya nak cakap sikit!” Amelia menyekat Haris. Haris berdiri menghadap Amelia.
“Awak nak apa sebenarnya hah? Kenapa awak ganggu saya?”
“Hah?”
“Awak jangan buat muka bodoh. Kenapa awak kunci brake disc motor saya, hah?”
“Hah?”
“Kawan saya cakap hari tu dia nampak mamat pakai baju hitam gambar hantu pegang kapak usik-usik motor saya. Siapa lagi kalau bukan awak?”
“Tapi saya...”
“Tu, awak tengok motor saya. Sampai dua sekali mangga awak letak? Awak dah gila ke? Kenapa awak buat semua ni, hah? Kenapa awak nak susahkan hidup saya? Kenapa awak nak sakitkan hati saya?” Amelia seperti hendak menangis.
“Saya...”Haris hilang kata-kata. Otaknya jadi beku. Seumur hidupnya, itulah pertama kali dia dimarahi perempuan cantik selain daripada mamanya.
“Awak dengar sini, saya bagi last warning. Kalau awak ganggu saya lagi, saya report polis. Sekarang, awak pergi buka kunci.” Amelia menudingkan jari ke motosikalnya. Haris menggaru kepala sendiri.
“Tapi saya takde kunci, bukan saya yang-”
“Memanglah awak akan kata begitu. Dah berak tengah jalan takkan nak mengaku. Dahlah, awak boleh berambus!” Amelia melangkah menuju ke motosikalnya meninggalkan Haris termangu-mangu.
“Celaka! Setan barua mana yang punya kerja. Tak pasal-pasal aku yang kena murka. Amelia ingat aku yang punya angkara. Nak cakap bukan aku yang aniaya, dia sudah tak nak percaya. Entahlah, aku pun tak tahu nak buat apa.”Haris memutuskan untuk melupakan dahulu semua sengketa. Dia menghidupkan motosikal dan terus memecut menuju ke dewan kuliahnya.