Home Novel Fantasi HARIS SI KUCING JADIAN
BAB 28

KOLEJ DELTA

 

Haris berbaring santai di atas katil sambil pandangan matanya mengekori pergerakan bilah-bilah kipas siling yang berputar laju. Kipas siling yang kelihatan berusia hampir separuh abad itu  mengeluarkan kesan bunyi bergeser yang mengingatkan Haris kepada bunyi kipas helikopter dalam babak akhir cerita Ombak Berbulu yang ditonton bersama Amelia beberapa jam yang lalu. Dalam babak akhir itu watak Aaron Aziz sedang berlari mengheret kaki sambil mendukung watak Maya Karin yang sedang pengsan menuju ke arah sebuah helikopter berwarna biru putih yang sedang cuba mendarat di tempat parkir helikopter. Kelihatan di belakang mereka sekumpulan lelaki yang tidak berbaju dan berbulu hitam sedang mengejar mereka dengan laju.

            “Tak sangka betul, macam mana cerita drama masyarakat last-last boleh bertukar jadi cerita action horror? Siapalah yang tulis skrip cerita tu, ntah apa-apa ntah. Tapi apa pun, impian aku nak tengok wayang dengan Amelia dah pun tercapai. Amelia pun dah nampak makin serasi dengan aku. Now aku kena rancang untuk tindakan yang seterusnya. Eh, tetiba rasa rindu pulak nak tengok muka dia. Nasib baik otak aku boleh terfikir nak ambik gambar dia. Boleh buat ubat pelepas rindu, hehe….”

Haris mencapai telefonnya lalu membuka fail yang mengandungi gambar Amelia. Paparan wajah Amelia ditatapnya dengan penuh kusyuk. Dia merapatkan jari telunjuknya ke skrin telefon. Bibir Amelia diusap-usapnya dengan penuh mesra.

Kedengaran pintu bilik diketuk dari luar dan beberapa saat kemudian kelihatan Razif melangkah masuk dengan menjinjing sebuah beg plastik yang agak besar.

“Ya, itu dia! Dinner sudah sampai!” jerit Haris gembira.

“Nah, macam-macam aku isi dalam ni. Nasi bukhari, gulai kuzi ayam, murtabak, bubur pulut hitam, pulut kuning, telur pindang, puding karamel pun ada ni,” Razif menayangkan beg plastik itu kepada Haris.

“Terima kasih banyaklah Zip kau tolong tapau semua ni untuk aku. Eh, ramai ke orang yang datang rumah makcik kau tu?

“Ramailah jugak, dia punya meriah dah macam kenduri kahwin. Nasib baik aku siap tapau awal-awal lagi. Kalau tak,makan tisu je lah kau.”

“Iya? Sampai licin kena serbu?”

“Ah-ah. Kau nak tahu apa yang paling cepat habis dulu?”

“Hah, apa dia?”

“Asam pedas ikan sembilang. Sedap woo! Makan dengan pulut kuning.” 

“Asam pedas makan dengan pulut kuning? Wei, mana datang ajaran sesat makan asam pedas dengan pulut kuning ni?”

“Apa pulak ajaran sesat, sedap wei aku cakap kau!”

“Makcik kau tu, dia pun orang Kelantan macam kau jugak, kan? Setahu aku asam pedas tak popular sangat dekat Kelantan. Mana dia belajar masak asam pedas tu?”

“Alah, laki dia tu kan orang Melaka. Mak mentua dia pulak pakar masak asam pedas, ada restoran sendiri. Dah kira macam living legend. Orang Johor yang fanatik dengan asam pedas versi Muar pun tanpa segan silu sanggup datang bandar Melaka semata-mata kemaruk dengan asam pedas ikan sembilang resepi mak mentua makcik aku tu.”

“Wah, kalau macam tu aku pun nak trylah makan asam pedas ikan sembilang tu dengan pulut kuning,”

“Wei, yang tu aku mintak sorry. Sedap sangat makan sampai aku lupa nak tapau asam pedas tu untuk kau. Sebaik saja aku teringat balik nak tapau asam pedas tu, semuanya dah terlambat. Asam pedas dah finish already. Tinggal kuah je. Takkan aku nak tapau kuah je, nanti kau kempunan pulak. So, aku pun ambik keputusan tapau je cerita kesedapan asam pedas tu untuk kau. Alah, kau imagine je lah macam mana rasa asam pedas ikan sembilang tu.”

“Bengong! Tapau cerita nak buat apa, buat sakit hati je. Baik tak payah cerita terus.”

“Kau ni, gulai kuzi kan ke ada tu! Siap dengan nasi bukhari lagi. Dah, jangan nak merajuk. Aku tak reti ler nak pujuk anak dara merajuk ni.” Razif melonggokkan semua bekas-bekas tupperware yang mengandungi segala juadah itu di satu sudut kosong di atas meja tulis Haris.

“Eh, lagu mana dating dengan Amelia, bereh ke rebeh?”

“Huihh, bereh boh. Aku dengan dia dah janji nak kahwin tahun depan.”

“Iya? Wei, aku malam ni nak kena tidur rumah Rizal. Ada hal sikit.”

“Sejak dua menjak ni aku tengok kau makin rajin tidur rumah Rizal. Kau dah bincang ke dengan dia pasal nak join sewa rumah flat dia tu?

 “Belum lagi. Dengar cerita dah makin ramai budak-budak baru yang nak masuk join sekali. Tapi kau jangan risaulah, aku dah reserve tempat kita dua dengan Rizal. Apa-apa hal pun nama kita dah ada dalam kepala dia. Wei, aku chow dululah!” Razif mencapai beg sandangnya dari atas meja tulis lalu bergegas keluar.

“Apahal si Razif ni nampak kalut semacam. Mmm…dia takde malam ni bolehlah aku pergi merayap ke Aspuri kejap. Macam mana pun malam ni aku nak jumpa jugak dengan Amelia. Mintak-mintak malam ni dia pakai baju tidur seksi. Sekarang ni tak risau dah sebab aku ada special contact dekat Aspuri. Harap-harap dia dapat tolong.”

Haris memejamkan mata dan menumpukan fikirannya pada satu nama.

“Kak Ayu! Hello Kak Ayu! Kak Ayu tengah buat apa tu? Kak Ayu boleh datang bilik saya tak? Ada hal sikit nak bincang dengan Kak Ayu.”

Seketika kemudian satu lembaga berbungkus kain putih lusuh menjelma di hadapan Haris. Haris sedikit terkejut. Dia masih lagi belum dapat menyesuaikan diri dengan penampilan rupa Raihayu.

“Awak ni Haris ke? Heeeeeee…”

“Sayalah ni kak. Jangan ler buat suara macam tu Kak Ayu, seramlah.”

“Sorry, akak tengah belajar bercakap cara biasa. Kadang-kadang suara seram tu keluar sendiri, susah nak kontrol.”

“Takpe, lama-lama nanti Kak Ayu pandai ler kontrol suara tu.”

“Akak pun harap macam tu lah. Wah, ini ke rupa sebenar Haris? Hensem jugak orangnya.”

“Alah, biasa je Kak Ayu.” Haris dapat rasa hidungnya menjadi sedikit kembang.

“Eh, Kak Ayu dah makan? Pulut kuning ada ni, siap dengan telur pindang lagi.”

“Isshh….pulut kuning apa pulak. Itu nak bagi makan setan. Kak Ayu bukannya setan!”

“Hehe…sorry, lupa pulak Kak Ayu dah jadi hantu, tak payah nak jalan-jalan cari makan dah.”

“Apa ni Haris, cukuplah sebut akak ni hantu. Sedihnya rasa di hati ini.”

“Opss! Sorry Kak Ayu, tak sengaja. Saya makan dululah Kak Ayu ya.”

“Ah-ah, Haris makanlah.”

Haris mengeluarkan sebiji pinggan melamine buatan China dan sebatang senduk plastik dari dalam kabinet kecil di sebelah meja tulis lalu mengisi pinggan melamine itu dengan nasi bukhari dan gulai kuzi ayam. Dia mengupas dua biji telur pindang lalu mengaturnya secara bertentangan di atas timbunan nasi bukhari yang dibanjiri kuah gulai kuzi itu.

“Banyaknya! Habis ke tu?”

“Perut tengah lapar Kak Ayu, sumbat je lah apa yang ada.”

“Heeeee! Ops sorry. Haris seru akak ni ada apa?”

“Mmm…saya nak mintak tolong sikit boleh tak?”

“Ishh, boleh aje. Nak mintak tolong apanya?”

“Saya nak mintak tolong Kak Ayu carikan bilik Amelia, boleh tak?”

“Bilik Amelia? Eh, boleh sangatlah. Haris ada gambar dia?”

“Ada Kak Ayu.” Haris mengambi ltelefon pintarnya dan menayangkan skrin telefon itu kepada Raihayu.

Previous: BAB 27
Next: BAB 29

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh JACK EL JAMILY