Home Novel Fantasi HARIS SI KUCING JADIAN
BAB 2

MEDAN SELERA UPTOWN

KOTA DAMANSARA

 

Setelah hampir setengah jam menyelit-nyelit meredah kesesakan lalu lintas dan lima belas minit berpusing-pusing akibat tersalah lorong akhirnya Haris dan Razif sampai juga di Medan Selera Uptown. Mereka bernasib baik kerana masih banyak lagi meja yang kosong. Haris dan Razif memilih meja yang diletakkan agak jauh dari deretan warung-warung yang ada di situ.

“Hmphh…sesat jugak akhirnya. Kaulah, pandai-pandai sebut perkataan sesat.” Haris meluahkan perasaan tidak puas hatinya.

“Kihkihkih…yang aku hairan tu macam mana boleh dua-dua tak ingat jalan? Kalau kau sorang je yang tak ingat, logik ler. Tapi aku pun tak ingat sama. Misteri betul.”

“Misteri apa, kau yang berlagak macam sure je. Bomoh GPS konon. Nasib baik tak masukkampung bunian.”

‘Eh,tapi nanti kejap. Cuba kau tengok keliling, kau perasan tak diorang semua tak pandang kita? Seolah-olah kita ni tak wujud. Jangan-jangan kita sekarang ni memang berada dalam kampung bunian!” Razif membuat muka cemas.

“Ya ke? Kalau macam tu aku tak nak baliklah. Aku nak tinggal sini. Best, tak payah pergi kelas, tak payah buat assignment, tak payah masuk exam. Eh, dekat kampung bunian makan free kan?”

“Ah-ah.Tapi bukan makan je free. Pompuan, F1, konsert, semua free.” Razif menambah.

“Dan untuk membuktikan lagi bahawa kita sekarang ni sedang berada di kampung bunian,cuba kau panggil awek bunian tu. Cuba kau tanya dia makan kat sini free ke kena bayar.”

            “Ishh…menyesal aku layan si Razif ni. Aku jugak yang kena.” Rungut Haris dalam hati.

            “Panggil ler dia. Nuhh….” Razif memuncungkan mulutnya ke arah perempuan muda yang sedang mengemas meja di hadapan warungnya.

            “Isshh… gila kau tanya macam tu.Buat malu je.”

            “Alah kau ni, kau tanya ler dengan penuh sopan santun. Takkan dia nak marah.”

            Seolah-olah menyedari dirinya sedang menjadi mangsa perbualan Haris dan Razif, perempuan muda itu berhenti mengelap meja. Tangannya laju mencapai pen dan kertas serta senarai menu lalu bergegas menghampiri Haris dan Razif.         

“Iya mas, selamat datang. Nama saya Tini. Mahu makan apa mas?” Sapa Tini sambil menghulurkan senarai menu. Haris dan Razif tercengang seketika mendengar Tini bersuara sedikit garau.

Razif memandang muka Haris sambil menjegilkan biji matanya. Mulutnya dimuncungkan ke arah Tini. Mahu tak mahu Haris akhirnya membuka mulut.

            “Maaf ya, saya kepingin mahu tanya,”Haris cuba berbahasa Indonesia. Dia mengerling Razif. Muka Razif merah padam menahan ketawa.

“Iya,mahu tanya apa mas?” Tini mengukir senyum.

“Kok makan di sini perlu dibayarin?” Haris meneruskan bahasa Indonesianya. Tini kelihatan agak kebingungan.

“Saya nggak ngerti mas. Makan udah tentu perlu dibayar. Nggak boleh makan percuma.”

Razif tidak lagi dapat menahan tawanya. Dia ketawa berdekah-dekah sambil menekan perut. Tini memandang Razif dengan muka terpinga-pinga. Pandangannya kemudian beralih ke muka Haris seperti mengharapkan penjelasan.

“Sorry ya. Ini sahabat saya. Dia kesampukan setan goblok. Kepalanya jadi pusing.”Haris menjelaskan keadaan sebenar Razif kepada Tini.

“Yang benar mas, ya kasihan.” Tini memandang Razif dengan muka cemas. Ketawa Razif sudah di luar kawalan. Badannya menggigil sambil air matanya habis bercucuran.Namun apabila pandangan Tini beralih ke muka Haris yang tersengih-sengih, dia mula faham apa yang sebenar-benarnya sedang berlaku.

“Mas,udah dibawa ketemu dukun?” Tini turut melibatkan diri.

“Udah,tapi setannya nggak mahu keluar,” Haris semakin bersemangat.

“Mas,saya udah tahu apa obatnya. Ini mas,” Tini memegang senarai menu sambil jarit elunjuknya menyentuh gambar kecil yang kelihatan seperti ayam panggang.

“Ayam penyet?” Haris membulatkan biji matanya.

Mendengar perkataan penyet ketawa Razif yang mulai reda kembali rancak. Tini turut sama ketawa mengiringi Razif.

“Woi, kamu mahu nggak ayam penyet?” Tanya Haris kepada Razif yang tawanya kembali reda. Razif hanya mengangkat tangan tanda setuju.

“Err…siapa tadi nama awak? Eh, kamu ngerti nggak bahasa Malaysia?”

“Saya ngerti mas. Nama saya Tini.”

“Oh ya, Tini. Err, nama saya Haris, dia Razif. Err…kami mahu order nasi putih dua sama ayam penyet dua, minumnya fresh orange dua.” Haris memandang Razif meminta perkenan. Razif mengangkat tangan menunjukkan isyarat bagus.

“Itu aja mas?” Ujar Tini sambil matanya merenung tepat ke wajah Haris. Haris mengangguk sambil mengelak matanya daripada renungan Tini.

“Permisi dulu ya mas.” Tini berlalu tapi masih lagi sempat melemparkan senyuman manis kepada Haris.

“Apalah kau ni. Tadi kau cakap dekat kampung bunian semua free. Ni kena bayar apa.”Haris kembali membuka bicara.

“Entahlah, orang bunian pun nampaknya sekarang ni dah jadi materialistik. Eh, time last kita datang hari tu kita makan apa hah? Pasal tak jumpa warung ni?”

“Kalau tak silap aku, kita makan lamb chop. Aku dah lupa nama warung tu. Warung ni pulak baru bukak kot.”

“Tu,kau tengok. Besar bapak gaban dia punya signboard. Macam mana boleh tak perasan tadi?” Ujar Razif sambil menudingkan jari telunjuknya ke arah papan tanda warung.

“Ah-ah,Kartini Ayam Penyet. Kartini tu nama penuh Tini kot.”

“Kalau ikut tatabahasa, salah tu. Yang sebetulnya, Kartini Penyet Ayam.” hujah Razif.

“Bukanlah wei. Yang sebetulnya Ayam Penyet Kartini.”

“Takde-takde. Cerita dia yang sebenar macam ni, Kartini Penyet Ayam Lalu Ayam tu Mati Kena Penyet.”

“Ah, takde. Time tu kau takde kat situ. Ada bapak ayam yang turut terlibat sama.Jadi cerita dia yang sebenar-benarnya macam ni, Bapak Ayam Penyet Kartini Tapi Kartini Tak Mati Lalu Kartini Penyet Ayam Lalu Ayam tu Mati Kena Penyet.”

“Panjang gila tu, mana muat dia punya signboard.”

“Alah, tulis ler kecil-kecil. Lepas tu-”

 

Perbualan Haris dan Razif tiba-tiba terencat apabila tanpa mereka sedari hidangan ayam penyet sudah tersedia di hadapan mata. Aroma ayam penyet yang harum lazat serta merta menaikkan selera mereka. Haris dan Razif terus menerkam ayam penyet tanpa mempedulikan Tini yang sedang tercegat di sebelah mereka.

“Emm….sedap betullah, lembut gila ayam ni.” komen Razif tanpa mengangkat muka.

“Yalah, tak pernah aku makan ayam yang secukup rasa macam ni. Pandailah Tini masak. Boleh masuk rancangan memasak dekat TV9 ni.” puji Haris tanpa memandang wajah Tini.

 “Terima kasih mas. Udah menjadi tugas Tini memasak hidangan yang enak buat mas.”

Eh, kenapa suara Tini bunyinya lain macam? Macam suara juruhebah iklan.” Haris mengangkat muka memandang Tini.

Eh, ini bukan Tini!” Haris tergamam.Otaknya mula berputar-putar mencari jawapan.

“Kenapa mas, mas nampak bingung?”

“Err,kamu ni siapa? Ke mana Tini?”

“Biar papaya mas, inikan Tini. Saya tidak ke mana-mana. Apa mas tidak percaya saya ini Tini?” Perempuan yang mengaku dirinya Tini itu memandang tepat ke muka Haris. Senyuman yang manis tidak lekang dari bibirnya. Malah Haris merasakan tahap kemanisan senyumannya semakin lama semakin bertambah.

Wajahnya langsung tidak menyerupai wajah Tini. Hidungnya kelihatan lebih mancung dan menawan. Kulit pipinya pula kelihatan begitu licin dan gebu seperti telur rebus baru dikupas. Bentuk badannya juga lebih ramping dan seksi.

“Mustahil perempuan ini Tini.” Bisik Haris dalam hati. Haris memandang ke arah Razif yang masih tidak berganjak menikmati ayam penyetnya tanpa mempedulikan keadaan sekeliling.

“Mas?” Suara Tini mengejutkan Haris.

“Kalau nggak ada apa-apa, saya permisi dulu.”

Haris mengangguk. Tini berjalan seperti terapung-apung menuju ke warungnya meninggalkan Haris yang masih diselubungi misteri.

“Eh! Pasal kau tak makan?” suara Razif kedengaran agak marah. Matanya tajam memandang Haris yang  agak terkejut melihat muka Razif yang comot seolah-olah dia makan secara menyondol. Melihat reaksi Razif yang sedemikian, Haris melupakan hasratnya untuk memberitahu Razif tentang ‘the mystery of Tini’.

Haris berasa curiga untuk terus menikmati ayam penyet itu namun pandangan Razif yang tajam menyebabkan dia meneruskan suapannya. Sekali lagi kelazatan ayam penyet itu bagai memukau deria rasanya. Suapan demi suapan mengisi mulut Haris yang tidak berhenti-henti mengunyah. Akhirnya hidangan ayam penyet menemui kesudahannya apabila habis licin disantap Haris dan Razif.

“Fuhh…sedap gila ayam penyet ni. Rasa macam nak order lagi. Burrpp..” Razif sendawa puas hati.

“Kalau kau rasa nak makan lagi, order ler. Aku dah kenyang dah.” Haris menyedut straw menghabiskan sisa-sisa fresh orangenya.

“Huh,kalau ikutkan hati, memang aku nak order lagi. Tapi, dalam hidup kita ni, buat apa benda pun kena ada limit dia. Tak boleh ikut sesuka hati.” 

“Alah, kalau kau dah tak cukup duit tu cakap je lah. Tak payah nak berfalsampah dengan aku.”

“Eh, falsampah apa pulak? Itulah kau, suka hidup dalam bayangan gurauan. Ini kebenaran yang hakiki!”

“Dah la wei. Makan sudah, minum sudah, jom balik.”

“Potong stim lah kau ni. Aku baru nak start tazkirah.”

“Tazkirah? Heh, kau nak bagi tazkirah? Tazkirah pasal apa?” 

“Tazkirah yang paling best dalam dunia, dalam TV Hijrah pun takde tazkirah yang macam ni.Tajuknya ialah kesan-kesan positif membela hamster.”

“Wei, tajuk tazkirah apa pasal hamster?”

“Apa,kau ingat tazkirah ni pasal hal-hal agama saja ke? Pasal bela hamster pun boleh apa.”

“Iyalah,macam tak ada tajuk lain nak buat tazkirah. Lepas hamster apa pulak, tupai terbang?”

“Hehe…eh, sebut pasal hamster ni, mana dia si Tini?” Razif bangun menjenguk ke dalam warung.

“Kat dalam kot. Eh, kau lepak sini dulu. Aku nak pegi bayar kejap.” Razif menghilang ke dalam warung.

Haris tiba-tiba teringat kembali tentang ‘the mystery of Tini’. Dia tak pasti sama ada Razif sedar atau tidak tentang mukanya yang comot dan juga transformasi yang berlaku ke atas Tini. Yang dia pasti Tini yang datang membawa hidangan ayam penyet tadi tidak sama langsung dengan Tini yang datang mengambil pesanan.

Sedang Haris asyik memikirkan tentang teori konspirasi perihal Tini, kelihatan Razif dan Tini berjalan menuju ke meja Haris. Kedudukan Tini yang terlindung di belakang Razif menyukarkan Haris melihat dengan jelas rupa Tini yang terbaru.Namun sebaik sahaja mereka berdua tiba di meja Haris, mulut Haris ternganga memandang wajah Tini. Tini yang terbaru bukan sahaja kelihatan berbeza denganTini-Tini yang sebelumnya, malah tidak lagi kelihatan seperti manusia.

Tahap kecantikannya adalah di luar batas kemanusiaan. Seolah-olah Tini yang berdiri di hadapan Haris itu adalah bidadari yang baru sahaja turun dari kayangan. Haris mencubit lengannya. Dia tidak bermimpi, Tini masih lagi berada di situ.Pakaiannya yang seperti gaun tidur jarang kelihatan melekat di tubuhnya menampakkan segala bukit dan lurah dengan begitu jelas sekali.

Haris terus ternganga. Tanpa dipaksa, Tini menghadiahkan senyuman yang paling manis buat Haris. Senyuman yang terus menikam ke jantung Haris menjadikan Haris seperti lupa diri. Dia terpesona dengan mulut ternganga.

“Hoi! Pasal apa kau tengok Tini sampai nganga macam tu? Mabuk oren ke apa?” Suara Razif mengejutkan Haris. Haris memandang muka Razif yang tidak lagi comot dengan rasa hairan.

“Mustahil mamat otak blue macam si Razif nitak rasa apa-apa tengok Tini yang seperti bidadari baru keluar dari kolam mandi. Atau mungkin jugak pada pandangan mata Razif, Tini tak pernah berubah rupa. Mungkin aku sorang je yang nampak Tini macam tu.” Haris cuba membuat kesimpulan.

“Kau ni apahal? Cukup-cukuplah berlakon sesat kat kampung bunian. Nanti merajuk pulak Tini kau buat dia macam orang bunian. Kan Tini, kan?” Tini cuma tersenyum mendengar usikan Razif.

“Eh, pasal aku pulak. Bukan kau yang mula-mula bukak cerita pasal kampung bunian?”

“Ah, dah, jom balik.” Razif memuncungkan mulutnya ke tempat motosikalnya di parkir.Haris bangkit dari kerusi lalu mula beredar dari situ.

“Bye Tini, sampai jumpa lagi.” Ucap Razif sambil melambaikan tangannya kepada Tini.

“Terima kasih mas. Datang lagi ya.” Balas Tini lalu menguntum senyum kepada Razif. Pandangan Tini kemudian beralih ke muka Haris. Riak wajahnya yang secantik bidadari itu kelihatan agak sayu seolah-olah berkata :

“Mas Haris, jangan tinggalkan Tini. Tini mahu ikut pulang bersama mas.” Haris segera mengalihkan pandangannya dan berjalan dengan agak laju mengekori Razif.

“Meh sini kunci motor.” Ujar Razif setelah mereka tiba di tempat parkir. Haris menyeluk ke dalam saku seluarnya dan menyerahkan kunci motosikal itu kepada Razif.

“Biar aku bawak. Bagi kau bawak kang sesat masuk kampung Dracula pulak. Baru mati kering.”

“Ooo..jadi kita sesat tadi salah akulah? Aku suruh kau bawak tadi pasal kau tak nak? Hah?” Haris mula menyinga.

“Eh, kita singgah Seven-E dululah. Aku nak beli ais krim.” Razif buat tak kisah.

“Suka hati kaulah. Aku peduli apa.”

“Hok aloh, marah pulak dia. Cayang marah ke cayang? Alaa, cayang marah nampak cutelah.”

“Gila! Gelilah woi!”

Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh JACK EL JAMILY