Home Novel Fantasi HARIS SI KUCING JADIAN
BAB 22

 

TAMAN TASIK UNIVERSITI, UNIVERSITI MALAYSIA

 

            Taman Tasik Universiti merupakan satu kawasan riadah yang disediakan oleh pihak universiti khas untuk aktiviti sukan air seperti berkayak, lumba perahu, polo air dan sebagainya. Pelbagai pertandingan di peringkat universiti sering diadakan di sini seperti pertandingan menyelam paling lama, pertandingan menyembur air paling jauh menggunakan mulut dan juga pertandingan berjalan di atas air.

Kawasan di sekeliling tasik ditanam dengan pelbagai jenis tumbuhan berbunga sekaligus menambahkan lagi keindahan tasik itu. Bangku-bangku panjang berwarna coklat yang diperbuat daripada simen disusun cantik berselang-seli dengan rimbunan pohon-pohon bunga yang beranika warna.  

            Haris berdiri tercangak-cangak di tepi salah satu bangku panjang yang berwarna coklat itu. Sudah hampir lapan belas minit dia menunggu di situ namun kelibat Amelia masih belum kelihatan. Haris semakin diburu resah.

            “Ishhh…what is the happening dengan Amelia ni. Tadi cakap nak datang, tapi sekarang nit ak nampak-nampak pun batang hidung dia yang comel tu. Nak call, nanti kang dia jadi cuak pulak dengan aku. Tapi takpe, benda-benda macam ni aku kena relaks. Macam yang Razif pesan, be cool. Dah tadi dia cakap nak datang, kejap lagi sampailah dia tu, apalah aku ni. Ini mungkin salah satu ujian yang perlu dihadapi oleh pasangan yang sedang bercinta. Ewah, jeng cekejeng jeng, jeng jeng.”

            Haris kembali duduk di bangku panjang itu. Dia membuka beg plastik yang mengandungi pelbagai jenis makanan dan minuman ringan serta sekotak kecil tisu itu lalu mencapai sebungkus kacang goreng Cap Topi.

            “Ummphh…apa ke jadahnya Razif suruh aku bawak benda ni semua aku pun tak faham. Takde rasa saspens pun. Rasa boring tu ada ler. Ah, bukaklah satu. Sambil-sambil tunggu Amelia ni, best jugak makan kacang goreng.”

            Haris membuka bungkusan kacang goreng dan mula mengupas kulit kacang. Sambil mengupas sambil melontarkannya ke dalam mulut. Kulit-kulit kacang dikumpulkan di satu tempat supaya mudah untuk dibuang ke dalam tong sampah. 

            Setelah agak lama mengupas dan mengunyah kacang goreng sambil menonton gelagat sekumpulan ahli-ahli baru Kelab Kayak UM mengendalikan kayak, Haris menyedari seseorang sedang berjalan menuju ke arahnya.

            “Haa…dah sampai dah budak Amelia ni. Dah habis satu bungkus kacang goreng ni aku makan, baru hang sampai ya.”    

            “Hai, assalamualaikum,” sapa Amelia.

            “Waalaikum salam,” balas Haris.

            “Dah lama sampai?” Amelia melabuhkan punggungnya di sebelah hujung bangku panjang itu.

            “Eh, baru je. Ada ler dalam setengah jam.”

            “Alah, sorrylah ya. Si Wawa tu nak ikut sama. Puas saya kelentong tapi dia nak ikut jugak.”

            “Hah? Eh, habis tu mana dia?”

            “Ada kat bilik. Entah, dah merajuk kot. Tapi tak apa, saya dah janji dengan dia lain kali bila kita keluar lepak-lepak kat sini, saya akan bawak dia sekali.”

            “What?Awat hang janji dengan dia lagu tu Liya oiii! Aduss… this is so wrong. Patutnya aku, Liya, lepas tu setan. Tapi sekarang ni dah jadi aku, Liya, Wawa, lepas tu baru setan. Aarghh... this is really-really wrong!”

            “Awak tak kisah kan Wawa join kita sekali?”

            “Eh, saya takde hal punya. Lagi ramai lagi seronok. Err… Wawa tu takde kawan lain ke?”

            “Entahlah. Ada kot. Cuma, dengan saya yang dia paling rapat sekali.”

            “Ooo....”

 

Keadaan sepi seketika. Haris merenung jari-jemari Amelia yang halus runcing.

“Sekarang ni baru first level. Dah boleh pegang tangan ke belum hah? Lupalah nak tanya Razif.” 

            “Err...Liya nak kacang? Twisties pun ada ni kalau Liya tak suka kacang.”

Haris menghulurkan beg plastik yang mengandungi segala makanan dan minuman ringan itu kepada Amelia. Amelia menyambut beg plastik yang dihulurkan Haris lalu memeriksa kandungannya.

“Wah, ini dah jadi macam sesi berpiknik pulak ya. Saya nak Twistieslah.” Amelia mengeluarkan sebungkus Twisties dari dalam beg plastik itu lalu dengan pantas membuka bungkusan Twisties itu.

“Mmm...sedap ya perisa barbeque ni. Eh, tadi masa awak call awak cakap nak pergi beli goreng pisang, mana dia?” tanya Amelia yang memandang muka Haris sambil mengunyah Twisties.

“Alah, makcik goreng pisang tu cakap, pisang yang dia nak goreng tu belum masak lagilah Liya. Ada sebiji je yang masak atas peti sejuk.”

“Takpelah tak ada goreng pisang pun. Twisties pun okey.”

“Tapi katak pisang saya ada bawak. Liya nak ke?”

“Hah, katak pisang? Eh, mana dia?”

“Tu, selamba je tengah duk lepak atas tudung Liya.”

“Hah? Tipulah. Kalau ada atas tudung mesti dapat rasa.”

“Hehe...eh, tapi cantiklah tudung Liya. Liya beli kat mana?”

“Dekat pekan Rabu, Alor Setar.”

“Ooo…jadi kampung Liya memang dekat Alor Setarlah?”

“Taklah,kampung saya dekat Kuala Ketil.”

“Apa Liya, Kepala Katil? Haha... kelakarnya nama kampung Liya.”

“Eh, awak tak korek telinga ke hari ni? Bila masa saya cakap Kepala Katil? Saya cakap Kuala Ketil kan? KUUWAALEERR KETIILLL!”

“Ooo...Kuala Ketil. Dengar tadi bunyi macam Kepala Katil. Sorrylah ye Liya. Liya marah ke saya salah sebut kampung Liya?”

“Eh, takdelah. Pasal apa saya nak marah. Bukan salah awak pun. Nak buat macam mana dah telinga awak  yang tersumbat.”

“Sorrylah Liya. Tadi nak cepat sangat takut Liya tertunggu-tunggu, sampai lupa nak korek telinga.”

“Ooo...jadi salah sayalah awak lupa nak korek telinga?”

“Err...tak, maksud saya... eh Liya, Kuala Ketil tu dekat dengan Sungai Petani kan?”

“Ah-ah, dah tak jauh dah. Awak pernah pergi ke?”

“Err…pergi mana?”

“Mana-manalah. Kuala Ketil ke, Sungai Petani ke.”

“Err...hehe... dua-dua tak pernah pergi.”

“Huh, cakap macam tahu je. Ingatkan dah pernah pergi.”

“Err...hehe….” 

Keadaan sepi seketika. Haris merenung lengan Amelia yang sedikit terdedah. Bulu roma halus di lengan Amelia kelihatan seperti bergerak-gerak ditiup bayu petang.

“Isshhh... kalau ler sekarang ni aku dapat usap-usap lengan dia tu. Rasa macam nak tarik-tarik je bulu roma dekat lengan dia tu. Eh, aku cakap apa ni? Haak tuiihh... berambus kau dari sini, setan!” 

“Eh,awak ni ada berapa orang adik-beradik?” tanya Amelia.

“Saya anak tunggal. Liya?”

“Lima. Saya anak nombor tiga.” 

“Ooo....”

Keadaan sepi seketika. Haris merenung muka Amelia yang sedang memandang ke tengah tasik.

“Oh Liya ku sayang! Liya tahu tak, muka Liya ni makin lama dipandang makin nampak cantik, makin nampak manis. Beruntung sangat ler mana-mana jantan yang dapat kahwin dengan Liya. Harap-harap ler jantan tu nama dia Haris bin Hamdan. Kan Liya kan? Oh Liya, Liya pernah dengar tak lagu ni, lagu dari kumpulan MAY. Liya dengar ya saya nyanyi. 

Wajah seri yang memukau pesona kau dipandang,

Terpegun dan terkhayal sejenak,

Matamu gemilang bagaikan,

Ada syurga di dalammya.” 

“Awak ambil course apa ya? Lupalah nak tanya,” Amelia berhenti mengunyah Twisties. Dia memandang muka Haris.

“Komunikasi.”

“Ooo....”Amelia kembali mengunyah Twisties.  

Keadaan sepi seketika. Haris kembali merenung muka Amelia.

“Isshhh... seksi sungguh bibir Liya ni. Kalau ler sekarang ni aku dapat kecup-kecup bibir dia yang merah basah tu. Macam mana agaknya rasa bibir dia ya. Mesti rasa manis. Tak pun masin-masin manis sebab dah bercampur dengan rasa Twisties. Ishhh... tak boleh jadi macam ni. Ni mesti setan tadi dah datang balik.”       

“Eh,awak memang asal orang Selangor ke?” Tanya Amelia.

“Ah-ah.”

“Selangor tu kat mana?”

“ShahAlam.”

“Ooo….”Amelia kembali mengunyah Twisties.

 

Keadaan sepi seketika. Haris memandang ke tengah tasik. Ahli-ahli baru Kelab Kayak UM kedengaran riuh rendah seperti dilanda kecemasan.

“Kahkahkah!” Haris ketawa berdekah-dekah.

“Eh, ada apa tu? Pasal apa dia orang kecoh tu?” Amelia sedikit cemas.

“Kayak terbalik! Kahkahkah!”

“Ooo…kayak terbalik. Eh, awak ni jahatlah, ada ke patut ketawakan orang yang ditimpa kesusahan.”

“Alah Liya, diorang kan pakai life jacket. Nak risau apa. Lagipun life guard kan ada tu.”

“Yalah,tapi tak baik kan ketawakan orang macam tu. Kalau diorang yang ketawakan awak macam tu, mesti awak marah, kan?”

“Ishhh... kenapalah semua orang suka sangat nak bagi tazkirah dekat aku ni. Hah Liya, kenapa ya?”

“Err...sorrylah ya Liya, saya terlepas ketawa tadi.”

“Tak apa, saya cuma nak ingatkan awak aja. Tapi, macam mana ya kayak boleh terbalik? Nampak macam stabil je kan.”

“Entahlah, diorang berlanggar sama sendiri kot. Tak perasan pulak tadi. Eh, Liya suka tak main kayak?”

“Tak tahulah suka ke tak. Tak pernah main pun. Entah, tak ada perasaanlah nak main kayak, perahu semua ni.”

“Eh,Liya cuba try testlah dulu. Mana tahu rupa-rupanya Liya ada bakat dalam sukan berkayak. Kan kata orang, belum cuba belum tahu, dah cuba baru tahu, haa....”

“Emm...ya tak ya, kan? Tapi saya tak ada kawanlah nak temankan saya main kayak. Boringlah kayuh sorang-sorang.”

“Eh Liya ni, Wawa kan ada.”

“Wawa?”

“Hah,Liya ajak ajelah dia main sama. Sambil main kayak sambil gossip-gossip. Mesti seronok, kan?”

“Wawa ya? Hmm... bolehlah kot.”

“Haa...macam itulah semangat yang kita nak, semangat ingin mencuba. Tapi saya rasalah kan, kalau Liya yang terbalik kayak macam diorang tu, bukan takat life guard je, saya rasa habis semua jantan-jantan yang ada kat sini semua pakat terjun dalam tasik, semua berebut-rebut nak selamatkan Liya.”

“Hehe...ya ke? Awak pun terjun samalah ya?”

“Taklah. Saya lepak kat sini je. Saya mana pandai berenang.”

“Ooo...awak tak pandai berenang rupanya. Huh, nasib baik saya pandai berenang.”

“Liya pandai berenang? Hebatnya Liya. Kat mana Liya belajar berenang?”

“Alah, kat sekolah saya dulu ada kelab renang. Macam-macam teknik berenang diorang ajar.”

“Ganasnya sekolah Liya, ada kelab renang.”

“Eh,kat kampus kita ni pun kan ada kelab renang. Awak pergi jelah daftar jadi ahli.Bolehlah awak belajar berenang.”

“Malulah, dah jadi senior baru nak belajar berenang. Nanti kan kena gelak dengan freshie.”

“Apa yang nak dimalukan. Awak kan nak belajar. Toksah duk ambil peduli cakap orang.” 

“Betul jugak cakap Liya tu. Eh Liya, tengok rama-rama tu, cantik kan?” Haris menudingkan jari telunjuknya ke arah seekor rama-rama kuning bertompok merah yang sedang menghinggapi kuntuman bunga Ixora. 

“Mana?”

“Tuuhhh...”Jari telunjuk Haris masih ditudingkan ke arah rama-rama itu.

“Eh, cantiknya dia. Kejap, awak jangan kacau dia. Saya nak selfie dengan dia.” Amelia mengeluarkan telefon pintar dari poket seluarnya lalu mengswafotokan dirinya bersama rama-rama itu.

“Liya ,itu ada sekor lagi. Yang ni lagi besar.”

“Mana?”

“Tuuhhh...”Amelia mendekati rama-rama yang dimaksudkan Haris itu lalu mengswafotokan dirinya bersama rama-rama itu. Rama-rama besar itu kemudian beredar terbang menghampiri rama-rama satu lagi yang sedang menghisap madu bunga Ixora.

“Liya,saya rasa diorang ni couplelah. Tengok tu diorang terbang sama-sama. Tapi pasal apa diorang nampak macam bercantum di udara. Eh Liya, tengok! Diorang buat apa tu Liya?” Haris menuding ke arah rama-rama sambil tersengih memandang Amelia.

Amelia menjeling ke muka Haris sambil mengetap bibir menahan ketawa.

“Liya,tengok tu. Diorang pergi sembunyi dekat pokok bunga yang warna merah tu. Jom Liya kita pergi tengok diorang buat apa.” Haris masih mengharapkan reaksi positif daripada Amelia. 

Amelia masih lagi menjeling ke muka Haris sambil mengetap bibir menahan ketawa.

“Alah Liya, jomlah kita pergi tengok. Liya tak nak selfie ke diorang tengah buat apa?”

“Tak naklah, diorang tengah buat maksiat tu awak tahu tak.”

“Eh,tak baik tau tuduh diorang tanpa usul periksa. Liya lepak sini dulu ya, saya nak pergi check." Haris menghilang di balik rimbunan pokok bunga Ixora. Beberapa saat kemudian, dia kembali duduk di sebelah Amelia.

“Diorang bukan buat maksiat Liya, diorang tengah main badminton. Rugi tau Liya tak tengok.”

“Awak ni kan, saya rasa otak awak tu kena pergi hantar dobi lah. Cuci semua benda-benda kotor yang melekat dekat otak awak tu.”

“Alah, malas ler nak hantar otak saya pergi dobi. Liya tolong cuci otak saya boleh tak?”

“Eh, otak awak, awak sendirilah yang cuci. Malas ler saya.”

“OK. Kalau macam tu, Liya ajarkanlah saya macam mana nak cuci otak saya ni.”

 “Alah, senang jelah nak cuci otak awak tu. Awak tuangkan Klorox campur air dalam telinga awak, lepas tu awak goncang-goncangkanlah kepala awak tu. Kemudian awak telengkanlah kepala awak supaya segala kotoran yang melekat dekat otak awak tu mengalir keluar. Senang je kan.” 

“Liya ni, itu bukannya nak cuci otak, itu nak cuci taik telinga.”

“Haha...”Amelia tergelak kecil diiringi senyuman yang meleret di bibirnya.

“Liya kalau senyum memang nampak sangat cutelah. Kalaulah saya ni pandai cipta lagu macam Datuk M.Nasir, saya akan abadikan senyuman Liya dalam setiap lagu yang saya cipta. Haaa...”

“Iya? Awak nak abadikan macam mana tu? Kalau dalam lukisan bolehlah kot. Tapi kalau dalam lagu, awak nak buat macam mana? Cuba awak explain sikit dengan saya.”

“Ishhh...senang je. Nanti kejap, saya nak cari idea dulu.” Haris menyentuh pelipis di sebelah kanan dan kiri kepalanya dengan kedua-dua jari telunjuk sambil tunduk memejamkan mata. Amelia tersengih memerhatikan gelagat Haris. Seketika kemudian dia mengangkat kepala sambil membuka mata.

“Haa...dapat dah idea. Liya dengar ni saya nak bagi contoh. Tapi saya kena nyanyilah sikit.”

“Ha,nyanyilah.”

“Okey, Liya dengar ya. Tapi ini contoh je tau, bukan betul-betul ni.”

“Alah, nyanyi jelah.”

“Liya ready dah nak dengar saya nyanyi?”

“Eee...awak nak nyanyi ke tak nak?”

“Nak nyanyi ler ni.”

“Hah, nyanyilah.”

“Okey, Liya dengar ya, satu... dua... tiga...

Oh Amelia,

Senyumanmu di petang ini,

Sungguh bererti,

Kernaa...huh, lupalah pulak lirik dia. Tapi lebih kurang macam tulah caranya nak abadikan senyuman seseorang dalam lagu.”

“Ooo...eh, sedaplah lirik lagu yang awak nyanyi tu. Cuma vokal awak tu je macam tak stabil. Picing banyak yang lari. Kena banyakkan lagi praktis depan cermin.”

“Liya ni, macam juri Akademi Fantasia pulak.”

“Hehe...tapi eh, macam pernah dengar je. Lagu ni lagu lama kan?”

“Ah-ah. Lagu Alleycats. Tajuk dia Senyumlah Kuala Lumpur.”

“Patutlah macam pernah dengar. Lagu dulu-dulu ni lagi sedap kan banding dengan lagu sekarang.”

“Betul tu Liya. Lagu dulu-dulu melodi dia memang sedap didengar, tak menyiksa telinga walaupun lagu tu lagu rock. Lirik lagu pun sedap, ada kesan yang mendalam. Evergreen kata orang Melayu. Lagu sekarang pulak macam dicipta atas mangkuk jamban. Sambil-sambil berak, sambil cipta lagu.”

“Haha….tapi lagu sekarang pun ada juga yang sedap, contohnya macam lagu-lagu Yuna.”

“Yuna tu lain, Liya. Dia dah pergi international, mana boleh banding dengan artis lain kat Malaysia ni. Memang lagu Yuna sedap-sedap. Saya pun suka lagu-lagu Yuna walaupun saya ni metal head.”

“Iya, awak pun suka lagu Yuna? Dalam banyak-banyak lagu dia, lagu mana yang paling awak suka?”

“Alah, lagu yang dia kutuk pompuan yang suka buli dia tu. Apa tu yang ada sebut pasal flower something tu.”

“Fading flower?”

“Haa,Fading Flower. Lagu tu ler.”

“Ooo…lagu tu pasal buli ya? Bukan pasal kecantikan yang tak kekal lama?”

“Alah, lebih kurang ler tu. Yang penting, lagu tu sedap. Kan?”

“Ha’ah, lagu tu memang sedap, my favourite song tu.”

“Iya? Samalah kita.”

Keadaan sepi seketika. Amelia kembali mengunyah saki baki Twisties yang masihbtertinggal dalam bungkusannya. Haris mendongak ke langit. Beberapa gerombolan awan hitam yang berarak laju mula bergabung membentuk satu gumpalan awan hitam yang besar.

“Alah mak, dah nak hujan pulak ke? Tadi cuaca elok je. Wahai cik-cik awan semua, boleh tak korang semua pergi main jauh-jauh? Pergi ler main kat Tibet ke, Thailand ke, Tasik Kenyir ke. Korang janganlah datang kacau sini. Aku tak puas lagilah borak-borak dengan Liya.”

Amelia berhenti mengunyah Twisties terakhirnya. Dia meramas bungkusan Twisties dan kemudian bangun menuju ke arah tong sampah yang berdekatan. Sejurus dia membuang bungkusan Twisties itu ke dalam tong sampah, Amelia menghampiri pinggiran tasik yang ditambak dengan batuan granit. Dia duduk bertinggung di atas batuan granit itu lalu membongkokkan badannya cuba menyentuh permukaan air.

“Eh, Liya! Buat apa tu?” Haris melontar suara dengan nada yang sedikit gusar.

“Nak cuci tangan!” Balas Amelia dengan suara yang agak kuat.

“Eh, jangan! Sini ada air mineral, boleh buat cuci tangan!”

Amelia bangun berdiri dan melangkah kaki menuju ke arah Haris yang sedang terpacak menunggu dengan muka berkerut.

“Nah, ambik air mineral ni buat cuci tangan.” Haris menghulurkan botol air mineral kepada Amelia.

“Ada ke nak cuci tangan dengan air tasik tu. Kotor tu, macam-macam bakteria ada kat dalam tu. Ikan piranha pun ada tu. Kang kena gigit baru tahu.” Bebel Haris.

“Awak ni macam mak sayalah. Itu tak boleh, ini tak boleh,” Balas Amelia sambil mencurah air mineral ke tangannya. 

“Haa...itu tandanya mak Liya tu sayangkan Liya. Dia tak nak benda-benda yang tak elok berlaku dekat Liya.” Amelia hanya tersenyum mendengar kata-kata Haris itu.

“Eh, awak ada tisu tak? Lupalah nak bawak tadi.” Pinta Amelia sambil menghulurkan kembali botol air mineral kepada Haris. Haris mengambil kotak tisu dari dalam beg plastik lalu menghulurkannya kepada Amelia.

“Nah,tisu.”

Amelia mencapai kotak tisu yang dihulurkan Haris, menarik keluar satu dua helai tisu,dan kemudian menyerahkan kembali kotak tisu itu kepada Haris. Amelia lalu mengelap-ngelap tangannya dengan helaian tisu itu.

Seketika kemudian mereka berdua kembali duduk di bangku panjang berwarna coklat. Haris membelek-belek kembali kandungan beg plastik yang berada di sisi.  

“Liya nak air kotak? Ada air soya dengan teh chrysanthemum. Liya nak yang mana satu?”

“Emm...saya nak… teh chrysantimun.”

            Haris menghulurkan air kotak berperisa teh chrysanthemum itu kepada Amelia.

            “Thank you.” Ucap Amelia.

Amelia menusuk straw menembusi lubang yang tersedia di permukaan atas air kotak itu.Dia kemudian memasukkan straw ke dalam mulut lalu menyedut straw itu perlahan-lahan. Perbuatan Amelia itu kemudiannya turut sama diikuti oleh Haris.

Keadaan sepi seketika. Haris dan Amelia masing-masing tidak berkata apa-apa. Mereka berdua cuma memandang ke tengah tasik sambil menikmati rasa enak air kotak.

 Amelia mendongak ke langit. Gumpalan awan hitam yang semakin membesar mulai menutup matahari. Titis-titis hujan yang sedikit renyai mulai jatuh menimpa bumi.

“Eh, Haris, hujan dah turunlah. Jom balik.”

“Alah Liya, kalau hujan turun, kita basah bersama. Jomlah kita main hujan sama-sama.”

“Eeee...tak naklah. Nanti kena tangkap basah macam dalam drama Melayu, baru padan muka saya.”

“Alah Liya ni. Kalau kita kena tangkap basah, apa susah? Kita kahwin je, habis cerita.”

“Hah, apa dia? Kahwin? Ooo... senangnya awak buat keputusan. Kena tangkap basah, kahwin. Lepas tu?”

“Lepas tu kita dapat anaklah. Hehe....”

“Dahlah. Makin lama dah makin mengarut awak ni. Awak nak main hujan awak mainlah sorang-sorang. Saya nak balik.”

Amelia menghabiskan air kotaknya lalu kemudian mencampakkan kotak yang sudah kosong itu ke dalam tong sampah. Dia kemudian berjalan dengan laju menuju ke arah motosikalnya diparkir.

Haris turut menghabiskan air kotaknya lalu kemudian mencampakkan kotak yang sudah kosong itu berserta kulit-kulit kacang goreng serta bungkusannya ke dalam tong sampah. Dia kemudian mencapai beg plastik yang masih berisi botol air mineral, bungkusan kacang goreng dan kotak tisu itu lalu berlari-lari anak mengekori Amelia.

Previous: BAB 21
Next: BAB 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh JACK EL JAMILY