Home Novel Fantasi HARIS SI KUCING JADIAN
BAB 4

TERMINAL BERSEPADU SELATAN (TBS)

BANDAR TASIKSELATAN

 

Suasana di TBS Bandar Tasik Selatan kelihatan agak meriah. Para penumpang yang sedang menunggu untuk menaiki bas kelihatan memenuhi kawasan tempat duduk di dalam terminal. Beberapa orang kanak-kanak kelihatan bermain kejar-kejar sambil ketawa riuh rendah.

Haris dan Razif memenuhi tempat duduk di belakang sekumpulan pelancong yang mengikut agakan mereka berasal dari Jepun. Ataupun mungkin Korea. Ataupun mungkin jugaTaiwan. Entahlah, mereka berdua bukannya pegawai imigresen untuk ambil peduli itu semua.

“Sheikh,kalau kau nak balik dulu pun, baliklah.” Razif memberi keizinan kepada Haris mengundurkan diri.

“Takpe ah, balik kolej pun bukan ada apa.”

“Lambat lagi ni bas nak jalan. Tapi kalau kau nak lepak sini pun aku tak paksa.”

“Alah, aku bukannya ada nak pergi mana. Cuma balik nanti nak singgah library kejap,baca paper. Eh, kau naik bas jenama apa?”

“Ekspress Cepat Selalu.”

“Turun kat mana?”

“Mana lagi, Kota Bharulah.”

“Kau tahu, mama aku cakap masa dia ikut satu rombongan melawat Kelantan dulu, ada satu warung dekat Pasar Besar Siti Khadijah. Dia punya ayam percik punyalah sedap, sampai sekarang pun mama aku masih tercari-cari ayam percik yang sedap macam tu. Kau agak warung tu ada lagi tak sekarang ni?”

“Abad ke berapa mama kau ikut rombongan tu?”

“Ntahlah, awal 90’an kot.”

“Aku rasa dah takde. Kota Bharu sekarang ni dah lain. Kereta banyak gila, nak masuk pusat bandar pun rimas. Eh, kebetulan aku balik ni kau tak nak kirim apa-apa ke?”

            “Takde kot. Nak kirim apa benda?”

            “Apa-apa pun boleh, tapi yang senang bawaklah. Eh, mama kau kan pakai tudung, aku boleh tolong beli kain tudung tu kalau kau nak.”

            “Takpelah, mama aku dah banyak tudung.”

            “Kau ni, sekali-sekala bagi hadiah kat dia apa salahnya. Orang pompuan ni kalau dapat hadiah kain, tak kisahlah kain tudung ke, kain sepasang ke, seronok bukan main, sampai guling-guling atas katil. Macam aku ni lain Ris. Abang-abang, kakak-kakak aku semua income puluh-puluh ribu sebulan. Diorang selalu belikan mak aku macam-macam. Time cuti sekolah diorang bawak mak aku pergi holiday. Tengok Taj Mahal, tengok Piramid, panjat gunung Everest, dinner dengan Hillary Clinton-”

            “Kau, kalau cerita tak melalut tak boleh ke? Aku nak sedih pun tak jadi sedih.”

            “Yalah, the point is kalau setakat bagi hadiah tudung, dia tak pandang pun. Takde nilai.”

            “Okeylah, tapi kalau kain tudung tu, berapa harga dia?”

            “Ada macam-macam harga, tengok jenis dia. Mama kau suka kaler apa?

            “Ntah, tapi aku tengok dia selalu pakai tudung kaler purple.”

            “Takpe nanti aku tanya pendapat Kak Melah. Aku memang cadang nak pergi lepak kedai dia pun, boleh borak-borak dengan anak dara dia tu.”

            “Apalah kau, kacau budak nak ambik SPM.”

            “Kacau apa pulak, aku nak bagi tips-tips istimewa camne nak skor 9A1.”

            “Yalah tu. Dia kelas apa?”

            “Sains Tulen.”

“Ooo…eh,siapa nama dia?”

            “Balqis.”

            “Balqis? Ooo… Ratu Balqis rupanya. Patutlah kau tengok dia sampai cair ais krim.”         

“Hehe, tapi aku cakap betul Ris, aku memang berkenan habis dengan si Balqis tu. Kalau kena tunggu 108 tahun pun aku sanggup tunggu.”

“Selalunya bila kau jumpa dia, sambutannya macam mana?”

            “Amat menggalakkan. Dia selalu nampak happy bila jumpa aku.”

            “Tahniahlah. Eh, bila dia dah jadi bini kau nanti, apa kau nak panggil dia?”

            “Alah, macam aku panggil dia sekaranglah, Qis. Kau nak tahu dialog popular aku dengan dia nanti?”

            “Hah, apa dia?”

            “Qis, Qis, give me a kiss. Haaa..”Razif tersengih bahagia. Haris turut sama tumpang sengih.

 

 

PERPUSTAKAAN UTAMA, UNIVERSITI MALAYSIA

 

Haris tiba di kawasan parkir Perpustakaan Utama lebih kurang pukul 11.08 pagi. Kawasan parkir kelihatan agak lengang mungkin kerana hari itu hari Sabtu dan kebanyakan pelajar masih lagi memerap di bilik kolej masing-masing. Haris mencari kawasan yang agak teduh di bawah pokok bunga tanjung dan memarkirkan motosikalnya di situ. Setelah mengunci motosikalnya dengan rapi, Haris terus melangkahkan kaki menuju ke pintu masuk perpustakaan.

Tiba di dalam perpustakaan, Haris menuju ke rak suratkhabar. Dia mencapai akhbar The Setar dan memilih satu sudut yang agak tersorok supaya konsentrasinya tidak terganggu. Ketika membelek-belek akhbar tersebut, Haris tertarik kepada satu artikel tentang usaha sekumpulan saintis Jerman mencipta enjin kereta yang boleh berfungsi dengan hanya menggunakan oksigen.

Haris membaca artikel itu dengan penuh minat, perenggan demi perenggan. Tiba di perenggan kelima, kelopak matanya terasa berat. Dia terasa seolah-olah ada sesuatu duduk bertenggek di atas kelopak matanya. Haris cuba melawan namun semakin kuat dia mencuba semakin rapat kelopak matanya bercantum. Akhirnya dia pasrah. Dua minit kemudian, dia berdengkur dengan aman.

Haris tersedar dari dengkurannya apabila perutnya terasa memulas-mulas. Dia mengeluarkan telefon pintarnya dari poket seluar untuk melihat waktu yang terpapar pada skrin telefon pintar itu.

Eh, dah pukul 12 lebih. Lama jugak aku terlelap. Apa kena pulak dengan perut aku ni? Pagi tadi dekat dewan makan, aku makan nasi lemak dengan sambal sotong. Minum pulak Milo. Nasi lemak dengan sambal sotong tu rasa okey je.

Tiba-tiba Haris teringat warung Kartini Ayam Penyet. Fikirannya menyusun kembali adegan-adegan yang berlaku di warung itu.

“Jangan-jangan malam tadi aku dengan Razif memang betul-betul berada dalam kampung bunian. Tini pulak dah tentu puteri bunian. Kata orang apa yang dimakan di kampung bunian sebenarnya ialah ulat dan cacing. Tapi ayam penyet yang aku dengan Razif makan semalam memang real rasa ayam. Takkan kot. Ahh.. apapun balik kolej dululah. Kang terberak kat sini pulak.”

Haris meletakkan kembali akhbar The Setar di rak suratkhabar dan merancang untuk menyambung pembacaan artikel itu di lain kali. Dia bergegas keluar dar iperpustakaan lalu berjalan dengan pantas ke tempat motosikalnya di parkir.

 

KOLEJ DELTA

 

Jam loceng di atas meja tulis menunjukkan pukul 9.18 malam. Haris menghidupkan komputer ribanya. Malam ini dia bercadang untuk menyudahkan tugasan yang diberikan oleh Miss Kavita. Itupun kerana Miss Kavita sudah beberapa kali meminta Haris menghantarkan tugasan itu kepadanya. Berumur awal 30’an, Miss Kavita sebenarnya ialah seorang pensyarah yang memiliki Phd dalam bidang komunikasi namun tidak suka pelajarnya memanggilnya Doktor Kavita. Dia lebih selesa dipanggil Miss Kavita atau Cik Kavita.

 Berdarah campuran Punjabi dan Portugis, Miss Kavita ternyata mempunyai rupa paras yang bukan sahaja boleh mencairkan aiskrim malah turut sama mencairkan pembeli dan penjualnya. Tahap keseksian tubuh badannya pula rasanya tak payahlah nak diceritakan dengan penuh terperinci. Malaslah nak beritahu satu persatu. Bayangkanlah sendiri.

Haris mengklik ikon fail yang bertajuk “Miss Kavita: Oh, kuatkanlah imanku” dan mula meneliti kembali hasil kerjanya yang separuh siap. Ketika Haris mencari-cari fail yang mengandungi nota-nota kuliah Miss Kavita, tiba-tiba telefon pintarnya berbunyi mendendangkan lagu Am I Evil oleh Diamond Head. Haris mencapai telefon, sedikit tersengih melihat nama pemanggil yang terpamer di skrin.

“Hello Zip! Woi, kau kat mana tu?”

“Dekat KB Mall. Tengah dating.”

“Dating? Ooo... dengan Balqis ke?”

“Hola, dengan siapa lagi. Takkan dengan adik Neelofa pulak.”

“Hehe... eh, kau balik sini bila?”

“Aaa...malam esok, tiket pukul sembilan setengah.”

“Kau sampai TBS pukul berapa?”

“Ntah, dekat nak Subuh barangkali.”

“Kau nak aku jemput ke?”

“Takpe ah, aku balik naik Grab je.”

“Lepas tu, kau call aku ni apa hal?”

“Takde, aku dah beli kain tudung tu. Dia punya kaler manyak cantik lor.”

“Ya ke? Tak sabar aku nak tengok.”

“Okey. Eh Ris, aku off dulu, Balqis and the geng ajak aku lawan boling.”

“Okey, bye. See you tomorrow-morrow.”

Haris meletak kembali telefon di atas meja tulis. Tiba-tiba kedengaran pintu bilik diketuk-ketuk, seperti ada suara memberi salam. Haris membuka pintu bilik.Tercegat di muka pintu seorang budak lelaki dalam lingkungan umur 12 atau 13 tahun.

“Bang, sorry bang ganggu. Nasi lemak bang, panas-panas lagi. Singgit je satu bang.” Budak lelaki itu menunjukkan dua buah bakul rotan yang dipenuhi bungkusan nasi lemak kepada Haris.

“Murah ek kau jual. Lauk apa dalam tu?”

“Sambal bilis je bang. Abang nak yang ada lauk ke?”

“Sambal sotong ada?” 

“Ada bang, tapi singgit setengah bang.”

“Pulak. Hah, bagi yang sambal sotong satu, nak try dulu. Beli banyak-banyak kang tak sedap buang duit je.”

“Insya Allah sedap bang, mak saya yang buat.” Budak lelaki itu menghulurkan bungkusan nasi lemak kepada Haris. Haris mengambil dompetnya lalu mengeluarkan dua keping not seringgit. 

“Nah, baki tu kau simpanlah. Jangan buat beli rokok pulak.”

“Terima kasih bang. Takpe, saya tak hisap rokok bang.” 

“Baguslah kalau macam tu. Tapi kalau kau nak hisap rokok pun boleh, bukan tak boleh. Tapi tunggu kau jadi jutawan dulu. Dah jadi jutawan besok, kau nak hisap apa pun lantak kaulah.”

“Ok bang, saya akan selalu ingat pesanan abang yang bijak tu.”

“Kau ni bodek ke perli?”

“Dua-dua bang. Hehe, pergi dulu bang.”

“Hah,niaga elok-elok.”

Haris meletakkan bungkusan nasi lemak itu di atas meja tulis. Dia bercadang untuk menyiapkan tugasan Miss Kavita malam itu juga walaupun terpaksa berjaga hingga ke pagi.

“Kalau lapar, nasi lemak sambal sotong kan ada.” Haris tersengih sendiri.

Previous: BAB 3
Next: BAB 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh JACK EL JAMILY