Home Novel Fantasi HARIS SI KUCING JADIAN
BAB 7

KOLEJ DELTA

 

Jam loceng di atas meja tulis menunjukkan pukul 5.58 pagi. Haris terlentang di atas katil. Dengus nafasnya tenang dan perlahan. Dia sedang lena diulit mimpi.

Haris kini sedang berdiri di atas padang rumput yang menghijau. Di hadapannya terbentang pasir pantai yang memutih. Di hujung horizon, laut dan langit bertemu. Hamparan biru saujana mata menyatu. Suara ombak yang menderu menggamit rasa rindu. Rindu kepada siapa, Haris sendiri tidak tahu. Mungkin kepada kenangan lalu, kenangan zaman kanak-kanak ketika pertama kali dia ke Port Dickson bersama papa dan mamanya. Haris sudah lupa bilakah kali terakhir dia berkunjung ke pantai. Rasanya sudah begitu lama.

Haris melabuhkan punggungnya di atas hamparan rumput selembut baldu. Dia merapatkan kakinya sambil lututnya menongkat lengan. Haris memandang ke sekeliling pantai. Pandangannya terhenti. Dari kejauhan kelihatan seseorang sedang mengincah-ngincahkan kaki di gigi air. Haris bangun berdiri untuk melihat dengan lebih jelas.

“Nampak macam pompuan. Kesian, main air sorang-sorang. Takpe, kejap lagi kita main sama-sama.” Haris melangkah kaki ke arah perempuan itu.

Sebaik sahaja Haris menghampiri perempuan itu, perempuan itu mengalihkan mukanya memandang Haris. Kepada Haris, dia menghadiahkan senyuman yang paling manis.Haris terpaku memandang perempuan yang berwajah bidadari itu.

“Tini?”

“Apa khabar abang Haris. Akhirnya kita bertemu juga. Maafkan Tini kerana mengganggu tidur abang. Ini sajalah caranya kita dapat bertemu secara lebih intim. Sekali lagi Tini mohon maaf kerana Tini telah menekan butang mute kepada suara abang.Tini mahu abang menumpukan sepenuh perhatian kepada apa yang ingin Tini katakan. Tini tidak suka ada yang menyampuk ketika Tini sedang bercakap.

Baiklah abang Haris. Seperti yang abang sudah ketahui, nama sebenar Tini ialah Kartini. Walaupun bunyi Indon, tapi Tini rakyat Malaysia bang. Tini sebenarnya tidak pandai bercakap bahasa Indonesia. Tini pun macam abang juga, hentam sajalah.Oleh kerana hidangan ayam penyet sangat popular di Indonesia, maka Tini pun berlakonlah jadi perempuan Indonesia.

Tujuan sebenar Tini membuka warung ayam penyet ialah kerana sikap kedua ibu dan bapa Tini yang memandang rendah kebolehan Tini memasak. Mereka selalu perli masakan Tini. Kata mereka, manusia pun tak lalu nak makan masakan Tini. Tini rasa sangat sakit hati. Sejak itu Tini berazam untuk membuktikan kepada kedua ibu bapaTini yang Tini memang pandai memasak.

Kalau abang Haris ingin tahu, hidangan ayam penyet Tini sangat laris. Malah, selepas abang pulang malam itu, pelanggan datang berduyun-duyun. Tini dapat banyak duit. Oleh kerana di kampung Tini duit manusia tidak laku, Tini simpan semuanya di bawah katil. Bila ibu dan bapa Tini lihat duit yang banyak bertimbun, mereka diam. Hah, baru mereka tahu siapa Tini.

Haa, tadi baru mukaddimah, cerita yang sebenar baru nak bermula. Abang Haris, untuk pengetahuan abang, Tini sebenarnya bukan manusia biasa. Malah, Tini bukan manusia pun. Bangsa Melayu menggelarkan kami sebagai orang bunian. Dan Tini,adalah seorang puteri kepada seorang raja bunian yang penuh dengan ilmu kesaktian. Walaupun bapa Tini cuma seorang raja sebuah kerajaan kecil,pengaruhnya di alam bunian sangat besar hinggakan Raja Alam Gempita, iaitu raja segala makhluk di alam bunian melantiknya sebagai penasihat peribadi. Mungkin abang sudah dapat mengagak tentang asal-usul Tini sejak kali pertama pertemuan kita lagi kerana mana mungkin ada manusia perempuan yang secantik Tini di alam dunia. Namun bukan itu tujuan sebenar Tini ingin berjumpa abang. Tini sebenarnya sedang dilanda satu masalah besar dan masalah ini ada kaitan dengan abang Haris. 

Bukan niat Tini untuk menyalahkan abang, tapi jika abang tidak datang ke warung Tini pada malam itu, masalah ini tidak akan menimpa Tini. Abang ingin tahu apa masalah Tini? Tanyalah.”

“.....................”

 “Hah, apa dia? Oh, Tini lupa abang tidak dapat bersuara. Kalau abang ingin tahu, masalah Tini ialah-”

“Allahuakhbar, Allahu akhbar...”

Suara azan Subuh yang bergema dari pembesar suara di surau kolej mengejutkan Haris dari tidur. Masih orang yang sama melaungkan azan, orang yang bersuara anak dara tengah ujibakat rancangan Akademi Fantasia. 

 Haris bangun menggeliatkan badannya. Dia membuka suis lampu bilik. Tangannya menghala ke arah jam loceng di atas meja tulis. Fungsi penggera dimatikan. Kain pelikat yang dipakainya ditanggalkan dan digantikannya dengan tuala yang agak kusam. Haris duduk di birai katil. Dia cuba mengingat kembali mimpinya tadi.

“Rupanya betullah Tini tu puteri bunian. Dia sendiri pun dah mengaku. Tapi apa sebenarnya masalah si Tini? Apa pulak kaitannya masalah Tini dengan aku? Sanggup dia buat aku jadi bisu. Isshh...menurut apa yang pernah aku baca, orang bunian ni penuh dengan tipu helah. Aku kena hati-hati dengan Tini. Silap gaya disihirnya aku jadi hamba seks dia. Tak ke naya?” Haris bangun lalu melangkahkan kaki menuju ke bilik air.

Selesai sembahyang Subuh, Haris melayari internet sementara menunggu waktu sarapan tiba. Hari ini kelasnya iaitu Teori Komunikasi bermula pada pukul 8.00 pagi.Kelas yang diselenggarakan oleh Prof Chandran itu merupakan subjek teras bagi Kursus Sarjana Muda Komunikasi yang sedang diikuti Haris.

Sedang Haris leka membaca review game-game terbaru di Metacritic.com, tiba-tiba pintu bilik diketuk bertalu-talu.

“Ishh...Razif agaknya ni.”        

 “Masuklah woi! Pintu tak kunci.” Mata Haris masih terpaku di skrin komputer ribanya. 

Pintu bilik dibuka. Razif masuk ke dalam bilik sambil membimbit sebuah beg plastik.

“Haa! Buat apa tu? Tengok gambar bontot ek?” Sapa Razif.

“Cis! Mana ada. Tengah baca review game la wei.”

“Yalah tu, macamlah aku percaya sangat auta kau tu.”

“Suka hati kaulah. Hah! Mana  kain tudungnya nak tengok.”

“Sabar ler. Kan sabar tu separuh dari Sabariah.” 

Razif meletakkan beg sandangnya di penjuru katil. Dia membuka beg plastik dan mengeluarkan satu bungkusan plastik berwarna hijau. Sehelai kain tudung berwarna keunguan dikeluarkan dari bungkusan plastik itu.

“Hah, camne? Cantik, kan? Kan?” Razif menayangkan kain tudung itu di hadapan Haris.

“Ah-ah, cantiklah. Pandai kau pilih.” Haris mengambil kain tudung dari tangan Razif.

“Kalau kau nak tahu, ini kaler yang paling trending sekarang ni, kaler pastel Purple Rain. Kalau kau tengok betul-betul, kaler purple tu dia ada dua lapis. Deep purple dengan light purple.”

“Ah-ah, sekali tengok tak perasan. Lembut je kaler dia, nampak feminin.”

“Kale rpastel memang macam tu. Nampak lembut, tak garang macam yang mak-mak Datin pakai tu. Jenis kain dia pun nyaman, tak panas.”

“Yalah, rasa halus je tekstur dia. Kain jenis apa ni, sutera ke?”

“Gila kau sutera! Kau siapa nak pakai tudung sutera, anak sedara Sultan Brunei? Itu nama dia kain satinlah.”

“Apa? Satin? Manalah aku tahu pasal kain ni semua. Tapi halus, lembut betullah.

“Aku pun bukannya tahu sangat, Kak Melah yang beritahu aku. Dia cakap kain jenis ni boleh buat macam-macam stail tudung. Nak buat tudung bawal boleh, tudung shawl boleh, tudung-”

“Eh, kejap. Tudung apa tadi? Tudung bawal? Biar betul kau, ada nama tudung bawal? Kau buat lawak, ek?”

“Ya Allah, memang buta fesyenlah kau ni. Apa kejadah aku nak buat lawak pulak. Apa, kau tak pernah tengok ikan bawal pakai tudung? Kalau kau tak percaya, acu kau google tengok.”

“Ah,tak payah nak google, aku tahu kau saja reka nama tudung bawal tu.”

“Wei,bukan aku rekalah wei, Kak Melah yang cakap. Tujuannya ialah dia nak beritahu yang kain satin tu boleh buat macam-macam style tudung tapi cerewet sikit sebab dia agak licin berbanding kain cotton. Dan memang betul ada stail tudung yang dinamakan tudung bawal bersempena dengan bentuknya yang macam ikan bawal.Sebenarnya dah lama dah tudung bawal ni popular. Kau sorang je yang tak tahu. Sebab itu ler aku suruh kau google tengok. Mengerti?”

“Nanti lepas nilah aku google. Habis tu, berapa harga dia?”

“Lapan puluh. Kat KL dekat seratus lebih ooo...”

“Ya ke? Aku bayar malam karanglah. Duit aku la ni dah tinggal cukup-cukup untuk makan tengahari je. Ingat balik kelas petang ni nak singgah Menara Siswa kejap, cucuk duit.”

“Akubbila-bila pun tak kisah. Tapi aku ingat macam nilah, kita kongsi. Kau separuh, aku separuh. Aku pun tak pernah bagi hadiah kat mama kau.”

“Betul ni? Aku okey je. Nanti aku cakap kat mama aku kau yang pilih.”

“Cantiklah kalau macam tu. Eh, ni plastik dia.”

Razif menghulurkan plastik hijau kepada Haris. Haris memasukkan kain tudung ke dalam plastik hijau itu. Razif menukar pakaian. Dia mengilas tuala di pinggang sambil bernyanyi-nyanyi.

“Tokbeso lagi, tengok oghe comel setagho demo,

Haluh kulit pipi, air muko berseri sokmo,

Hajat di hati, masuk rapat nok tanyo namo,

Nok ghoyat sengoti kawe jatuh hati ke demo,”

“Eh,jomlah. Tak nak ikut ke?” Tanya Razif.

“Pergi mana?”

“Pergi jamban.”

“Setan!”

“Kihkihkih..”

 

KOLEJ DELTA  

           

Haris tiba di kawasan parkir kolej tepat pukul 6.38 petang. Motosikal Amelia tidak kelihatan. Setelah mengunci motosikalnya, Haris terus menuju ke dewan makan. Perutnya sedang meraung-raung kelaparan. Kelihatan Zamir, teman sekelas Haris sedang makan di meja panjang di hujung dewan. Dia melambaikan tangan kepada Haris. Setelah mengisi traynya dengan nasi, ayam goreng cendawan dan segelas sirap bandung, Haris menyertai Zamir.

“Awal makan Ris, selalu dekat nak Maghrib baru sampai. Lapar ke?” Tegur Zamir yang biliknya bersebelahan dengan bilik Haris.

“Ah-ah, tak sempat makanlah tengahari tadi.”

Sedang mereka berdua sibuk menjamu selera, dua lagi penghuni blok D menyertai mereka.

“Huihh, korang dapat ayam? Aku dapat ikan kembung ler. Nasib, nasib,” luah Pijol, teman sebilik Zamir.

“Itulah,aku sampai tadi pun dah nak habis. Lain kali kena datang awal lagi.” Zamir membalas. Tiba-tiba Pijol mencuit lengan Fakrul yang biliknya berhadapan dengan bilik Haris.

“Eh Rol, tu Amelia dah datang.” Pijol memuncungkan mulutnya.

Mendengar nama Amelia semua kepala penghuni blok D termasuk Haris serentak berpaling ke arah Amelia. Amelia yang sedang menuju ke kaunter makanan sempat juga memandang ke arah mereka dengan pandangan kosong.

“Kau kata kau nak jumpa dia.” Pijol menyambung.

Jumpa Amelia? Pasal apa mamat ni nak jumpa Amelia? Aku baru je nak susun ayat.” Haris mula dilanda bibit-bibit cemburu.

“Kalau kau segan biar aku yang pergi.” Pijol menawarkan diri.

“Tak pun aku pun boleh. Hehe..” Sampuk Zamir pula.

“Rileks ler, kata orang Melayu takkan lari gunung dikejar. Kata orang putih, if you chase the mountain, the mountain chase you back! Kahkahkah!” Fakrul berperibahasa. Semua yang ada di situ ketawa kecuali Haris.

“Amelia ni, kalau aku dapat, ssrruuppp! Tiga bulan tak keluar bilik. Kahkahkah!” Sambung Fakrul lagi. Semua yang ada di situ menyambung ketawa. Haris masih lagi tak mahu ketawa.

“Tiga bulan tak keluar bilik tu sebab kau lumpuh, kan? Kena gelek dengan motor aku!” Haris menyinga secara telepati.

“Tapi kan, aku dengar cerita dari sumber-sumber yang boleh dipercayai, si Amelia ni dah ada boyfriend. Anak orang kaya gitu.” Pijol pula mencelah.

“Aku pun kaya apa, kaya hutang PTPTN! Kahkahkah!” Fakrul berjenaka lagi. Semua yang ada di situ ketawa. Haris masih berdegil tak mahu ketawa.

“Eh,hang ni senyap je Ris, tengok Amelia yang bergetah macam chewing gum pun macam takde perasaan.” Zamir menunjukkan perihatinnya.

“Haris ni mana peduli pasal pompuan. Dia kan pencetus ummah! Kahkahkah!” Fakrul semakin rajin berjenaka. Semua yang ada di situ ketawa. Kali ini Haris turut ketawa sambil matanya memandang tepat ke muka Fakrul.

“Eh, kau suka makan kasut, kan? Kau nak rasa tak kasut Converse aku ni?”

Semua penghuni blok D yang makan malam bersama Haris akhirnya berlalu pergi. Haris masih lagi menumpukan perhatiannya ke arah Amelia yang sedang makan seorang diri. Dia tidak dapat melihat wajah Amelia kerana kedudukannya yang membelakangi Haris. Haris tahu inilah peluang terbaiknya untuk berbual-bual dengan Amelia namun dia berasa agak gugup dan kurang bersedia. Sedang otaknya sibuk merangka dialog-dialog popular yang sesuai untuk digunakan sebagai pembuka bicara, Amelia pula bangun dari kerusi dan berjalan membawa traynya ketempat pengumpulan.

Setelah meletakkan traynya ke dalam bekas yang disediakan, Amelia terus berjalan keluar dari dewan makan tanpa sedikit pun menoleh kepada Haris. Sikap Amelia itu membuatkan Haris berasa agak kecil hati walaupun dia tahu dia tidak sepatutnya rasa begitu. Haris tahu dia dan Amelia tidak ada ikatan apa-apa bahkan baru sekali bersua muka, namun Haris rasa sekurang-kurangnya dia layak menerima sedikit senyuman sebagai tanda persahabatan. Sumbangannya menolong Amelia pada hari itu mungkin amat kecil namun takkanlah tidak ada nilai langsung bagi Amelia.

Keluar dari dewan makan, Haris berjalan ke kawasan parkir kolej untuk memeriksa keadaan motosikalnya. Sampai di tempat parkir motosikal, Haris melihat pemandangan yang berbeza daripada semalam. Motosikal Amelia tidak lagi diparkir di sebelah motosikalnya tapi diparkir jauh berdekatan dengan gelanggang bola jaring.   

   “Eh apa cerita sebenarnya ni? Apa hal dengan Amelia ni? Macam benci habis dengan aku?” Haris semakin gelisah. Dia tidak faham dengan sikap Amelia yang semacam memusuhinya. 

Previous: BAB 6
Next: BAB 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh JACK EL JAMILY