Home Novel Fantasi HARIS SI KUCING JADIAN
BAB 36

KOLEJ DELTA

 

Haris menggosok-gosok kasut Nike Air itu dengan berus sabut. Kasut yang dibeli setahun lalu dengan niat untuk dibuat berjoging itu sudah penuh diselaputi habuk dan dijadikan sarang cinta oleh sepasang labah-labah kaki panjang.

            “Ishh…. dah berhabuk sakan kasut ni. Seingat aku baru sekali je aku pakai kasut ni buat joging. Tapi kalau tengok pada rupa macam dah season gila.”

Haris kini berada di gelanggang bola jaring yang kelihatan agak terbiar kerana jarang digunakan. Dia menyedut nafas dalam-dalam. Udara pagi yang bersih dan nyaman membuatkan dia rasa segar dan bertenaga. Haris melompat-lompat setempat untuk menguji keselesaan ikatan tali kasut. Setelah berpuas hati dengan kekemasan dan keselesaan ikatan tali kasut itu, Haris berlari-lari keliling gelanggang bola jaring untuk memanaskan badan sebelum memulakan larian. Haris merancang untuk melakukan larian merentasi kampus bermula di Kolej Delta dan melalui Kolej Beta, Kolej Theta, Kolej Gamma dan berakhir di Tasik Universiti.

Ketika Haris melepasi laluan berdekatan dengan Taman  Botani yang berpagar, Haris terpandang seekor haiwan mirip harimau kumbang dengan bulu yang hitam berkilat sedang merebahkan badan di atas dahan pohon beringin.

“Sejak bila pulak dekat Taman Botani ni ada bela binatang? Harimau kumbang pulak tu. Berapa la belanja makan dia hari-hari. Patut la yuran semester ni tetiba je naik lima puluh ringgit.”

Setibanya di kawasan laluan yang dipenuhi rumpunan pohon buluh kuning, Haris mempercepatkan lariannya. Jantungnya berdegup kencang. Gerak hatinya berat mengatakan ada satu makhluk yang besar dan tangkas sedang mengejarnya dari belakang. Setelah beberapa meter berlari laju dengan tanpa henti, Haris memperlahankan lariannya. Dia tercungap-cungap kepenatan. Tenyata tubuh manusianya tidak setangkas tubuh kucingnya. Dan ketika Haris sedang leka mengubahsuai gaya pernafasannya, satu lembaga hitam berbadan sasa melompat dari belakang Haris, melepasi kepalanya lalu mendarat betul-betul dihadapannya. Akibat tindakbalas refleksi, Haris terloncat ke belakang. Dia mati kutu.Tubuhnya terasa sejuk dan kaku seperti dibelenggu dalam peti ais.

Lembaga hitam yang berbadan sasa itu tidak lain dan tidak bukan ialah harimau kumbang yang dilihat oleh Haris sedang tidur di atas dahan pohon beringin sebentar tadi. Ia merenung ke dalam mata Haris, mengangkat kepalanya sambil menyeringaikan giginya yang besar dan runcing kepada Haris. Hari smemejamkan mata. Dia tak pasti apakah niat sebenar harimau kumbang itu. Adakah ia ingin menyerangnya atau sekadar ingin berkenalan. Haris akhirnya mengambil keputusan untuk mengubah rupa menjadi kucing dan segera melarikan diri dari situ. Namun begitu, usahanya untuk mengubah rupa menjadi kucing tidak berjaya. Mungkin kerana dia lupa menanggalkan pakaiannya. Haris kemudian membuka mata untuk melihat reaksi terkini harimau kumbang itu. Dia menghembus nafas lega, harimau kumbang itu sudah ghaib dari situ.

 

KOLEJ DELTA

 

Sebuah tasik yang kehijau-hijauan airnya berlatar belakangkan banjaran gunung diseliputi salji terbentang indah di hadapan Haris. Seluruh kawasan tasik tiba-tiba diselubungi kabus putih yang tebal. Air tasik yang tenang tiba-tiba berkocak hebat. Dari dalam tasik muncul seorang perempuan muda memakai pakaian seperti seorang puteri dar ikeraton empayar Majapahit. Dia melangkah di atas permukaan air menghampiri Haris.

“Apa khabar abang Haris. Cuba abang tengok pakaian Tini, macam dalam cerita Puteri Gunung Ledang, kan? Kalau abang Haris nak tahu, Puteri Gunung Ledang itu juga sebenarnya adalah keturunan bunian, tapi dia tidaklah secantik Tini. Apa pendapat abang? Cantik tak Tini pakai macam ni?

            “Iya, Tini memang cantik pakai macam tu. Puteri Gunung Ledang pun kalah.”

            “Hehe…memang pun. Tengok, sekarang abang dah boleh bercakap. Tini sudah buat keputusan tidak akan memutekan suara abang lagi kerana hari ini Tini akan meluahkan segala-galanya kepada abang Haris. Dan yang paling penting, Tini akan menceritakan masalahTini kepada abang. Abang dah bersedia ke nak dengar masalah Tini?’

            “Okey, apa dia masalah Tini tu?”

“Abang Haris, masalah Tini ialah….Tini sudah jatuh cinta dengan abang. Tini sangat mencintai abang. Sejak pertama kali kita bertemu di warung ayam penyet Tini pada malam itu, tidak lena tidur Tini dibuatnya. Gambaran abang yang tidak berpakaian sering saja menganggu tidur Tini. Tini sendiri tak tahu mengapa Tini sangat tertarik dengan keterampilan abang. Mungkin sebab abang mempunyai aura yang sangat gelap ibarat besi berani yang membangkitkan keinginan Tini untuk memiliki abang. Berbeza sekali dengan kawan abang yang bernama Razif itu yang mempunyai aura yang sangat berwarna-warni, sekejap merah, sekejap kuning, sekejap hijau, macam lampu isyarat. Sakit mata Tini dibuatnya.

Tini tahu kita berlainan bangsa dan agama. Abang bangsa manusia dan beragama Islam, Tini pula bangsa bunian dan tidak beragama. Tapi abang Haris, cinta yang suci tidak mengenal erti bangsa dan agama. Percayalah abang, Tini cintakan abang dengan sepenuh- penuh hati.”

Tini tunduk melutut di hadapan Haris.

“Abang Haris, sudikah abang menjadi suami Tini yang sah mengikut adat resam masyarakat bunian? Tini berjanji akan menyerahkan sekujur tubuh Tini untuk abang nikmati semahu hati abang, dan Tini juga berjanji akan setia mencintai abang selama matahari menyinar siang. Sudikah abang Haris berjanji akan sentiasa memuja dan mencintai Tini selama hayat dikandung badan?”

“Tini, saya sebenarnya-”

“Auumm!” Bunyi ngauman yang kuat mengejutkan Haris dan membuatnya lupa ayat yang hendak diucapkan kepada Tini. Haris dan Tini berpaling ke arah bunyi ngauman tadi. Seekor harimau kumbang bertubuh besar dan sasa menghampiri mereka berdua. Haris dengan segera mengenali harimau kumbang itu.

“Apa khabar sahabatku? Bertemu lagi kita. Aku ada satu tawaran menarik untuk kau pertimbangkan.” Harimau kumbang itu bersuara tanpa menggerakkan mulutnya.

“Hoi, beruang bodoh! Kau siapa? Berani kau ganggu perbualan indah aku dengan bakal suami aku! Kau tak nampak ke kami sedang merancang masa depan kami. Berambus kau dari sini!” Ujar Tini dengan nyaring.

“Dah ler tu, nenek kebayan! Kau tu yang patut berambus! Ada hati nak kahwin dengan sahabat baik aku. Kau tak setaraf dengan dia. Dia tu manusia, kau tu bunian. Dia takkan bahagia hidup dengan kau. Dah, pergi balik sebelum aku cakar muka kau yang penuh jeragat tu.

“Grrr….beruang bangang! Balik rumah nanti aku beritahu bapak aku! Biar dia sumpah kau jadi babi hutan!” Bentak Tini lalu terbang menghala ke arah tasik dan menghilang di sebalik kabus.

“Emm….dah berambus dah si nenek kebayan tu. Baiklah, biar aku berterus terang saja dengan kau. Nama aku Kuganah. Aku nak berkawan dengan kau, boleh?”

Previous: BAB 35
Next: BAB 37

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh JACK EL JAMILY