Home Novel Fantasi HARIS SI KUCING JADIAN
BAB 6

KONDOMINIUM SOSUMMER

BANGSAR

           

Ezrina bermalas-malasan di atas sofa di ruang tamu. Dia meneguk jus tembikai yang baru dibuatnya tadi. Membuat jus tembikai kerja paling senang dalam dunia. Cuma masukkan beberapa potong tembikai dan ketulan ais ke dalam blender, kemudian tekan butang on. Oh ya, jangan lupa masukkan kembali penutupnya. Brrrr...selang beberapa saat kemudian sila tekan butang off. Jus tembikai sedia untuk diminum.

Bagaimana jika tiada blender? Entah, Ezrina tak ada masa untuk fikirkan itu semua. Duit banyak bertimbun hendak buat apa? Belilah satu, blender. Mungkin itu jawapan Ezrina andainya dia punya lebih masa. 

            Ezrina meneguk lagi jus tembikai. Dia berpuas hati dengan rasa dan tekstur jus tembikai itu. Rasa bangga menyelinap ke dalam dirinya. Dia telah berjaya menghasilkan jus tembikai yang paling sedap dalam dunia.

Sudah lapan bulan Ezrina tidak menjamah nasi. Berat badannya sudah turun sebanyak lapan kilogram. Daripada 66 kilogram, kini berat badannya menjadi 58 kilogram.Tinggi tubuhnya 1.67 meter. BMInya menjadi 20.8. Dia berasa sangat gembira. Namun dia masih belum berpuas hati. Sasarannya yang sebenar ialah 50 kilogram. Dia perlu menurunkan lagi sebanyak lapan kilogram.

Ezrina percaya nasi menjadi punca utama berat tubuhnya mudah berganda. Dahulu sushi menjadi makanan kegemarannya. Kini tidak lagi kerana dalam sushi nasi merupakan bahan utama. Sekarang dia cuma makan sekeping roti, dan sekali sekala spagetti,ataupun raviolli dan paling kerap, Maggi.

Mikhael tidak suka Ezrina berbadan kurus. Juga tidak suka dia berbadan gedempol.Mikhael lebih suka jika dia berbadan sederhana kurus tapi pejal dan anjal. Lebih manis, lebih enak dipandang katanya. Tapi Ezrina tidak setuju. Dia lebih suka berbadan kurus. Lebih mudah bergerak ke sana ke mari. Lebih mudah mencuba fesyen-fesyen terkini. Lagipun, andainya Mikhael betul-betul mencintainya, dia tak akan ambil peduli. Biarpun sekurus jerangkung, atau seramping cicak kubin.

Hari Ahad hari cuti, hari yang amat dinanti-nanti. Ezrina tak ada apa-apa aktiviti,ataupun memenuhi temu janji. Bukan tidak suka menderat ke sana ke mari, tapi hari ini dia ingin menonton TV.

Ezrina menekan butang remote control Astroll dan TV. Stesyen HBO HD dicari-cari. Arnold Schwarzenegger sedang beraksi, dalam cerita yang bertajukTerminator Three. Robot perempuan sungguh seksi, tapi sayang tak sempat pakai bikini. Ada orang dengki dan iri hati, kasihan robot dibunuh mati.

Ezrina mengangkat punggung meninggalkan kerusi, ke bahagian dapur dia pergi. Perut lapar perlu diisi, dengan Maggi perisa kari. Maggi kari sudah terpuji, seantero dunia seluruh negeri. Tambah udang dan juga sawi, perut kenyang suka hati.

Sedang Ezrina menghirup kuah Maggi kari, iPhone di sisi pula berbunyi. Namun Ezrina keras hati, dibiarkan iPhone berbunyi tanpa henti. Setelah agak lama iPhonenya berbunyi, akhirnya Ezrina lembut hati. iPhonenya dijawab salam diberi, agar pemanggil tidak berkecil hati.

“Hello,assalamualaikum mama. Sorry, dalam tandas tadi.”

“Waalaikumsalam. Ya ke ni? Tiap kali mama call mesti dalam tandas.”

“Hehe, mana ada. Ada apa mama call ni ?”

“Eh,nak call anak gadis sendiri pun kena ada sebab ke?”

“Taklah, selalunya kalau mama call mesti ada perkara penting nak beritahu.”

“Mama rindulah, kan Rina sorang je anak mama. Risau pun ada, KL ni kan ramai orang jahat.”

“Mama, kan kita dah cakap pasal ni. Bukan Rina tak suka stay kat rumah, tapi Rina nak belajar berdikari.”

“Kat rumah kita pun Rina boleh belajar berdikari. Rina nak masak sendiri, basuh pakaian sendiri, nak repair kereta sendiri, semua boleh buat kat sini.”

“Mama please, boleh tak kita cakap pasal lain?”

“Hmm..okeylah. Ni mama nak tanya, birthday Rina Ahad nanti nak buat parti ke?”

“Takpelah mama, Rina nak celebrate kat sini je dengan kawan-kawan.”

“Itu dengan kawan-kawan. Dengan mama, abah? Dah, mama nak buat jugak makan-makan sikit. Mama nak masak mi kari.”

“Mmm…bestnya, mama ada jemput siapa-siapa ke?”

“Mama ingat nak jemput kawan lama mama, dah lama tak jumpa dia. Rina bolehlah tolong mama prepare apa yang patut.”

“Okey, Sabtu nanti jumpa kat rumah.”

“Okeylah kalau macam tu. Take care.”

“Okey bye, sayang mama.”

Ezrina meletakkan iPhone di atas meja dan kembali menonton Terminator Three.  

Previous: BAB 5
Next: BAB 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh JACK EL JAMILY