KONDOMINIUM SOSUMMER
BANGSAR
Ezrina membelek-belek mukanya. Cermin muka di tangannya dipegang dengan kemas. Jerawat batu sebesar biji ketumbar kelihatan tertonjol di tengah-tengah batang hidungnya. Hatinya diserbu geram. Malam ini malam istimewa, Mikhael ingin membawanya makan malam di sebuah restoran terkenal di Kuala Lumpur, restoran D’Gondolah. Restoran yang bertemakan masakan Perancis itu dimiliki oleh chefselebriti terkenal tanahair, Chef Yang Lin Kop.
Ezrina membelek-belek lagi mukanya. Jari mulusnya menekan-nekan punat jerawat. Kalau diikutkan hati, ingin dikutis-kutisnya jerawat itu. Namun dia takut darah akan mengalir keluar dari luka jerawat yang dikutis itu. Boleh jadi luka itu akan dijangkiti kuman. Jangkitan kuman itu pula mungkin akan merebak ke seluruh muka. Bila sudah merebak ke seluruh muka, ia akan berjangkit pula ke bahagian otaknya. Ezrina menjerit dalam hati. Dia tak mahu menjadi zombi. Lebih baik jerawat itu tidak diusik, sampai masa ia akan surut sendiri.
Ezrina melihat jam di dinding bilik tidurnya. Sudah pukul 8.48 malam. Sebentar lagi Mikhael akan sampai dengan kereta sport Audi dua pintu. Dia masih lagi berkemban gantung. Mukanya yang halus licin belum lagi di tatahias. Rambutnya yang hitam perang belum lagi disimpul sanggul. Namun Ezrina sebenarnya tak perlu gaduh. Mikhael seorang yang budiman. Selalunya dia akan setia menunggu di dalam kereta. Tanpa keluh kesah, tanpa dengus dengkus.
Teman serumah Ezrina yang tiga orang semuanya sudah keluar. Semuanya sudah diangkut boyfriend masing-masing. Kondominium empat bilik di Jalan Medang itu cukup selesa bagi mereka. Satu orang satu bilik. Tapi Ezrina sebagai tuan rumah ada undang-undangnya sendiri. Lelaki tidak dibenarkan masuk. Walaupun untuk meneguk air, mahupun untuk membuang air. Ezrina tahu jika diberikan kelonggaran, ia akan menjadi kebiasaan. Lambat laun kondo hadiah abahnya itu akan menjadi kondo maksiat. Dia sama sekali tidak akan membenarkan perkara itu berlaku.
Ezrina kini sudah siap berdandan. Gaun hitam paras lutut menjadi pilihan. Bukan untuk menggoda si hidung belang. Tapi untuk menyerlahkan lagi kejelitaan. Dia kini mundar mandir ke depan ke belakang. Hatinya mula tidak keruan. Mikhael yang tampan belum lagi datang.
Tiba-tiba iPhonenya berbunyi. Lagu What We Live For dendangan American Authors memecah sunyi. Hatinya gembira tidak terperi, mendapat panggilan dari buah hati.
“Hello El, you kat mana ni? Dah lama I tunggu tau.”
“Hello baby sayang, I dah nak sampai ni. Kejap je lagi.”
“Okey,cepat tau. Tapi jangan bawak laju-laju, nanti accident.”
“Okey sayang, dua minit lagi I sampai.”
“Okey, love you.”
“.................”
“Hello? Isshhh...”
Sepuluh minit kemudian Mikhael tiba di luar kawasan kondominium. Dia terpaksa meletakkan keretanya di situ kerana pelawat tidak dibenarkan meletakkan kenderaan di dalam kawasan kondominium. Sebaik sahaja enjin kereta dimatikan, Mikhael segera mencapai telefon. Dia tercengang sebentar apabila mendapati telefon pintarnya kehabisan bateri. Dia membuka dashboard lalu mencari-cari pengecas telefon dan juga power bank namun tidak berjumpa.
Mikhael keluar dari kereta lalu meninjau sekitar kawasan kondo. Seorang pengawal keselamatan yang berkulit agak cerah kelihatan sedang berdiri menghisap rokok dalam pondok jaga. Kaki Mikhael laju melangkah ke arah pondok jaga itu. Dalam hati dia berdoa agar pengawal keselamatan yang kelihatan seperti berbangsa Nepal itu boleh berbahasa Melayu ataupun Inggeris.
Tiba di pondok jaga Mikhael terus menyapa pengawal keselamatan yang memakai tag nama bertulis Kochin itu.
“Hello brother, you ada handphone?” Mikhael mengenggam tangannya seperti memegang telefon bimbit dan merapatkannya ke telinga.
“Saya mau call girlfriend, emergency.” Mikhael membuat muka cemas. Pengawal keselamatan bernama Kochin itu kelihatan tercengang-cengang. Namun kemudian dia mengeluarkan telefon bimbit dari dalam poket seluarnya dan menghulurkannya kepada Mikhael dengan muka kelat.
Mikhael segera menyambar telefon bimbit itu lalu dengan pantas menekan-nekan butang kekunci memanggil nombor Ezrina.
“Haloo? Hum aapke hain koun?”
“Hah? Sorry, wrong number.”
“Kuch kuch hota hai!”
Mikhael mematikan panggilan. Dua saat kemudian dia kembali menekan nombor Ezrina. Kali ini dia yakin nombor itu milik Ezrina.
“Hello? Siapa ni?”
“Hello sayang, El cakap. I ada kat bawah ni.”
“El? Eh, you pakai phone siapa ni?”
“Pinjam hantu punya. Cepatlah turun sayang.”
“Hah, okey. You jangan pergi mana-mana tau.”
Mikhael mematikan panggilan dan menyerahkan kembali telefon bimbit itu kepada Kochin. Mikhael kemudian membuka wallet yang diambil dari poket seluarnya. Sekeping not berwarna merah dikeluarkan dari dalam wallet dan dihulurkan kepada Kochin. Muka Kochin yang kelat terus bertukar manis.
Mikhael kembali ke kereta sambil bersiul-siul kecil. Enjin kereta dihidupkan. Muzik sentimental dimainkan.
Beberapa minit kemudian kelihatan Ezrina berjalan membuai lenggang. Mikhael keluar dari dalam kereta. Di tangannya terselit sekuntum mawar jingga. Sesampainya Ezrina di kereta, mawar jingga dihulur segera. Ezrina menyambut tanpa kata, hanya senyum sampai ke telinga. Kuntum bunga dicium mesra.
“Thanks,”Ezrina memandang muka Mikhael.
“Kenapa you lambat? Traffic jam ke?”
“Ah-ah,sorrylah sayang. I janji, next time I takkan lewat lagi.”
“Haa..ingat, janji ditepati.”
“Okey baby sayang, jom.” Mikhael membuka pintu kereta. Tangan Ezrina dipegang. Dia memimpin Ezrina masuk ke dalam kereta.
RESTORAN D’GONDOLAH
JALAN CONLAY
Kereta Audi TT milik Mikhael memasuki pekarangan Restoran D’Gondolah. Dia memberhentikan keretanya di hadapan restoran. Seorang valet meluru menunggu pintu kereta dibuka. Setelah pintu kereta dibuka, Mikhael pula meluru membuka pintu di sebelah penumpang. Dia memimpin Ezrina keluar dari kereta. Kereta kemudian diserahkan kepada valet yang sedang menanti untuk dipandu ke tempat parkir.
Ezrina dan Mikhael bersama-sama melangkah masuk ke dalam restoran. Seorang penyambut tetamu yang memakai tag nama bertulis Nancy sedang berdiri di mejanya. Melihat Mikhael dan Ezrina menuju ke arahnya, dia mengukir senyuman mesra.
“Do you have a reservation sir?” Tanya Nancy kepada Mikhael.
“Yes.”
“You rname sir?”
“Mikhael.”
Jari jemari Nancy membelek-belek senarai nama di sisi. Matanya pantas mencari-cari nama yang diberi. Sebaik bertemu nama yang diingini, dia memanggil pelayan yang sedang berdiri menanti. Pelayan itu segera menghampiri. Nombor meja diberi.
“Sir,miss, please follow me.” Pelayan itu pinta diekori. Mikhael dan Ezrina dibawa ke sebuah meja bulat di sebelah kiri almari trofi. Lembaran menu segera dibahagi agar pelanggan senang membuat pilihan hati.
Ezrina meneliti senarai hidangan yang disediakan. Ia terdiri daripada tiga bahagian hidangan iaitu pembuka selera, hidangan utama dan pemanis mulut.
“El,makanan kat sini halal ke? Tak nampak pun orang Melayu makan kat sini.”
“Eh,apa pulak tak halalnya. Kalau sayang nak tahu, ramai artis dengan VIP makan kat sini.”
“Ooo...ya ke? El, foie gras ni apa?”
“Foie gras? Eh, sayang tak tahu ke? Foie gras tu sepupu Viagra sayang.”
“Alaa..cakap betullah. Ada pulak sepupu Viagra.”
“Hehe,sorry sayang. Foie gras tu hati angsa sayang.”
“Hati angsa? Sedap ke?”
“I tak suka sangat. You nak try?”
“Boleh jugak. Yang lain tu you orderlah. Tapi yang ada asparagus tak nak. Bila kencing bau dia semacam.”
“Sayang, kita kat restoran 5 star sayang. Apa pulak cakap pasal kencing.”
“Oopps..hehe,sorry.”
Mikhael memanggil pelayan menu dan menerangkan kepadanya hidangan yang ingin mereka pesan. Dia menyerahkan kembali lembaran menu kepada pelayan itu. Seketika kemudian, pelayan wain menghampiri mereka. Tangannya memegang sebotol champagneyang dilapik dengan kain putih. Dia menayangkan label dan tarikh champagne itu dibotolkan kepada mereka berdua. Mikhael memandang muka Ezrina meminta keputusan. Ezrina senyum kepada pelayan itu sambil menggeleng-gelengkan kepala. Mikhael turut sama menggelengkan kepala. Pelayan wain menganggukkan kepala lalu mengundur diri.
“So sayang, how’s your study?” Mikhael memegang tangan Ezrina. Jari jemari Ezrina dielus-elus lembut.
“Okey je. Baru bukak sem, kelas pun tak banyak lagi.”
“Criminal Law siapa lecturer? Prof Zamani lagi ke?”
“Prof Zabidah. Prof Zamani dah transfer UiTM.”
“Prof Zabidah? Habislah sayang. Prof Zabidah tu suka menjerit. Kalau tak kena angin dia, habis satu kelas kena pekik. But she’s the best. Kalau Criminal Law, Prof Zamani pun tak boleh lawan dia.”
“El sayang, boleh tak kita cakap pasal lain? Boringlah cakap pasal study.”
“Okey sayang, sorry. Hmm…you nak cakap pasal apa?”
“Apa-apa jelah. Cakap pasal hantu yang bagi pinjam phone kat you tadi pun okey jugak.”
“Haha, bukan hantulah sayang, itu nombor pak guard Nepal. Tadi phone I bateri habis. Nak cas, charger pulak lupa bawak. Nasib baik pak guard Nepal tu baik hati kasi pinjam handphone dia.”
“Pak guard Nepal? Kat kondo I ada ramai pak guard Nepal, pak guard Nepal yang mana satu ni, El?”
“Alah, pak guard Nepal yang pipi dia ada parut macam kena toreh tu. Tak silap I nama dia Kochin.”
“Pak guard Nepal ada parut kena toreh nama macam kucing? Tipulah, mana ada. Selama ni tak pernah nampak pun?”
“Ya ke sayang? You tak perasan je kot?”
“Jangan-jangan pak guard Nepal tu memang real punya hantu. Dia jadi hantu sebab mati kena bunuh.” Ezrina merenung muka Mikhael yang mulai berpeluh. Dahinya berkerut-kerut resah.
Tiba-tiba Ezrina ketawa terbahak-bahak. Semua pelanggan yang ada di situ pantas memandang ke arahnya. Dia menutup mulutnya namun tawanya masih kedengaran.
“Ooo…you kenakan I ya, sampai hati. Dah tahu I takut hantu, saja je.”
“Hehe, kelakarlah tengok muka gelabah you tu. Dah nak jadi bapak budak pun masih takut hantu.”
“Hmm,nak jadi bapak budak ya, yang nak jadi mak budak pulak siapa? Yang ada jerawat batu atas hidung tu ya?”
“Hah,nampak ke? Dah sapu foundation tebal-tebal pun nampak jugak?”
“Takpe sayang, biarlah kat situ. Lagi nampak cute hidung you.”
“Hey,perli ya?”
“Hahaha..”