Fazar Azameer yang terlena di samping Nadia Asyila
terjaga. Terasa seperti ada sesuatu yang bergerak di tangannya. Pantas diangkat
kepalanya yang sedang terlentok di atas katil.
Segera pandangannya diarahkan kepada wajah Nadia Asyila.
Namun mata itu tetap seperti hari-hari sebelum. Terpejam rapat. Fazar Azameer
mengeluh. Dia tersilap. Hampa menguasai diri.
Tangan Nadia Asyila yang berada di dalam genggamannya
dipandang. Seakan ada jari yang bergerak. Diamati satu persatu. Memang betul
jari itu bergerak. Segera dipanggil nama wanita itu berulang kali. Disentuh
pipi wanita itu lembut. Perlahan-lahan mata itu terbuka.
“ Nadia…”
Begitu sayu suara yang keluar dari bibir Fazar Azameer.
Sekian lama menunggu akhirnya mata itu terbuka jua. Memberinya satu tangisan
yang rela diundang.
“ Nadia kenal saya?”
Nadia Asyila mengangguk sebagai jawapan. Matanya dipejam
seketika. Ada rasa terharu dan sayu singgah di hatinya.
“ Sudah terlalu lama saya menantikan saat ni. Saya
rindukan Nadia.”
Nadia asyila melebarkan senyumannya. Seakan sukar untuk
percaya bahawa lelaki di hadapannya itu Fazar Azameer. Lelaki yang pernah
menghinanya dengan teruk mengungkapkan kata rindu. Sesuatu yang di luar dugaan
dan kepercayaannya.
“ Kenapa lama sangat awak tidur?”
“ Berapa lama saya tak sedar”
“ Dah sebulan lebih sayang. Empat puluh empat hari. ”
Nadia asyila meluaskan matanya. Berat dirasakan kelopak
mata yang telah lama terpejam. Disentuh kepalanya yang terasa pening. Memang
langsung tidak percaya yang dia koma selama itu. Dan bibir lelaki itu tadi
mengungkapkan kata sayang.
“ Sebulan lebih?”
“ Ramai yang rindukan Nadia. Kawan-kawan yang lain tak
pernah jemu menunggu awak sedar. Kami terlalu merindui awak. Saya terlalu.”
“ Kenapa?”
“ Kerana saya mula sedar yang saya cintakan awak. Saya
dah tahu dan pasti awak cinta sejati saya. Saya akan bahagiakan awak seperti
yang awak idamkan selama ni. Saya takkan buat awak seperti masa yang lalu. Saya
menunggu untuk membahagiakan awak. Saya cintakan awak.”
Tangan Nadia Asyila diambil dan diramas lembut. Satu
ciuman terlekat di situ. Penuh perasaan. Namun Fazar Azameer kaget seketika.
Tangan lembut yang sekian lama dipegangnya itu dileraikan Nadia Asyila
perlahan-lahan.
“ Syam mana?”
Fazar Azameer mengerutkan keningnya. Hairan kerana nama
lelaki itu yang dicari sedangkan cinta yang dilafazkannya langsung tiada
jawapan.
“ Kenapa?”
“ Di mana Syam?”
Fazar Azameer memandang wajah itu dengan pandangan yang
inginkan pengertian. Nadia Asyila seakan tidak begitu mempedulikan
kehadirannya. Seakan tidak menghargai kepenatan dan pengorbanannya menemani
wanita itu di hospital.
Dia sanggup turun daripada Kuala Lumpur setiap hujung
minggu untuk melawat Nadia Asyila di hospital di Kelantan.
Telah terlalu lama dia menunggu wanita itu sedar dari
koma. Kenapa setelah dia membuka mata Iqmal Hisyam yang dicari? Apakah ada lagi
cubaan untuk dirinya. Apakah wanita itu menemui sesuatu di dalam komanya yang
membuatkan dia kembali untuk meneruskan kehidupan ini?
Apakah dia mendapat petunjuk bahawa Iqmal Hisyam adalah
cinta sejatinya? Fazar Azameer kacau. Dia menelan liurnya. Terasa pahit. Dia
cuba bertenang.
“ Syam di KL. Kita di Kelantan sekarang.”
Nadia Asyila memandang wajah di hadapannya yang
kelihatan sayu.
“ Maafkan saya. Saya tak berniat nak kecewakan awak.
Sebenarnya tadi, saya langsung tak menyangka yang awak akan mengungkapkan kata
cinta. Sedangkan selama ini…”
Nadia Asyila tidak jadi meneruskan ayatnya. Dia yakin
lelaki itu memahami. Tidak perlu untuk dia terus melukai lagi hati lelaki yang
kini merasa cinta seperti yang pernah dirasakannya.
“ Apakah saya telah kecundang sebelum sempat saya
berjuang?”
Fazar Azameer tunduk memandang tilam. Tidak sanggup
untuk dia menentang wajah insan yang telah lama dinantikan kehadirannya sebagai
seorang yang bebas dari alam koma.
“ Maafkan saya. Saya kembali untuk menyambut cintanya.
Saya mula sedar siapa yang paling layak untuk memiliki cinta saya. Kenangan
hidup saya dengan dirinya banyak yang terimbau semasa saya berada di tempat
yang asing itu.”
“ Saya kembali kerana merinduinya. Merindui saat kami
bersama walaupun saya telah banyak menyakitinya. Saya rindukan kelembutan yang
telah dia beri. Di mana dia sekarang?”
Nadia Asyila meluahkan rasa yang tidak diduga itu.
Sumbang di telingan Fazar Azameer. Kecewa dengan pengakuan yang sayu itu. Namun
apalah dayanya untuk menghalang jika wanita itu hanya kembali ke dunia realiti
untuk mencari cintanya yang sejati.
Daripada insan yang betul-betul tulus menyayanginya. Itu
adalah hak dirinya yang abadi. Terasa kecewa memuncak di dadanya. Apa yang dia
tahu, rasa itu sakit. Itukah balasan dirinya kerana sentiasa menyakiti wanita
itu? Persoalan itu terlalu berbisa di hatinya.
“ Maafkan saya. Memang dulu rasa cinta itu tak pernah
padam untuk awak. Dan saya tak pernah jemu menyintai awak. Saya juga takkan
pernah menyesal. Tapi sekarang hati saya mengatakan yang saya terlalu rindukan
Syam. Awak langsung tiada. Maafkan saya.”
Fazar Azameer menggagahkan dirinya untuk menentang wajah
yang sedang berbicara di hadapannya. Dia sedar kini yang dia memang tewas. Baru
sahaja dia belajar untuk mencintai pencinta setia seperti Nadia Asyila, tetapi
takdir sekali lagi kejam dengan dirinya.
Terlalu berat dirasakan dugaan ini. Dia sedar yang
sekali lagi dia perlu melakukan pengorbanan. Pengorbanan yang akan menjerat
dirinya sendiri. Tetapi, dia perlu menerima kenyataan itu untuk tidak lagi
menghancurkan hati milik wanita itu. Selama ini telah banyak salah yang
diperlakukannya.
Mungkin inilah masanya untuk dia menebus salah. Walaupun
bukan dengan cara seperti apa yang Nadia Asyila mahukan dulu. Tetapi, dengan
cara seperti apa yang Nadia Asyila mahukan sekarang.
Dia perlu melakukan pengorbanan itu. Andai itu memang
kehendak takdir, dia akan redha. Dia pasrah dalam keredhaan yang akan
memberikan kebahagiaan kepada semua orang. Dia berharap pilihannya kali ini
akan tepat.
Ditelan liurnya sekali lagi. Diambil nafasnya perlahan
dan dihembuskan perlahan-lahan. Dia perlu menuturkan ayat untuk diperdengarkan
kepada wanita itu. Dia perlu memberikan kekuatannya kepada Nadia Asyila.
Wanita itu pastinya akan menerima kejutan dengan apa
yang bakal dia perkatakan. Itu sememangnya pasti. Di yakin.
“ Apalah salah awak untuk saya maafkan. Memang saya
layak untuk terima semua ni. Saya memang berhak. Saya sepatutnya dari dulu lagi
faham yang awak hanya milik Syam. Walau apa pun yang terjadi, dia memang tetap
milik awak yang abadi.”
“ Maafkan saya.”
“ Saya akan bantu awak untuk mendapat kebahagiaan awak.
Saya janji.”
“ Di mana Syam sekarang?”
‘ Mungkin inilah masanya’
Detik hati lelaki itu.
“ Awak masih ingat segala yang berlaku sebelum awak
terlantar kat sini?”
Nadia Asyila memejamkan matanya dan mengangguk
perlahan-lahan. Segalanya tergambar jelas di ruang fikirannya.
“ Awak perlu bertenang. Ada berita buruk tentang Syam.”
Nadia Asyila sudah mengagak. Berkemungkinan besar Iqmal
Hisyam sekarang berada di dalam penjara kerana jenayah yang dia lakukan.
“ Syam di penjara kan?”
Nadia Asyila kaget seketika apabila lelaki itu
menggelengkan kepalanya. Kalau bukan berita itu apakah berita buruk yang ingin
disampaikan? Apakah yang telah menimpa lelaki itu? Apakah dia telah terlewat?
“ Apa yang berlaku pada Syam? Di mana dia sekarang?”
“ Dia terlampau kecewa dengan dirinya. Terlampau sedih
kerana hampir mengorbankan nyawa awak. Orang yang paling dia sayang.”
“ Apa yang berlaku pada dia?”
Nadia Asyila bangun dari pembaringan. Tidak selesa
berada dalam keadaan itu. Fikirannya pada Iqmal Hisyam.
“ Takdir telah tentukan segalanya….”
“ Apa yang dah berlaku pada dia?”
Untuk kali ini suara yang kedengaran agak kuat. Tidak
sabar untuk mengetahui khabar yang telah menimpa lelaki itu. Fazar Azameer
mengeluh seketika. Berat untuk dia melafazkannya.
“ Dia tak normal sekarang.”
“ Apa? Tak normal? Apa maksudnya?”
Kali ini juga Nadia Asyila seakan menengking. Tidak
hiraukan lagi apa yang dirasakan oleh lelaki di hadapannya.
“ Dia mengalami tekanan jiwa yang teruk. Langsung tak
dapat mengenali sesiapa.”
“ Maksudnya?”
Debaran yang kuat menerjah dadanya.
“ Sekarang dia di hospital sakit jiwa.”
“ Ya Allah.”
Deraian air mata datang tanpa diundang. Lagsung tidak
menjangka yang takdir sebegitu akan terselit dalam lipatan hidup Iqmal Hisyam.
“ Seriuskah keadaannya?”
Satu pertanyaan dengan suara yang sebak.
“ Dia tak dapat mengenali sesiapa. Cuma…”
“ Apa?”
“ Bibirnya sentiasa memanggil nama awak. Tak pernah
terhenti sejak keadaannya jadi macam tu.”
“ Sejak bila Fazar?”
“ Seminggu selepas awak tak sedar.”
Nadia Asyila menangis semahunya. Dia langsung tidak cuba
untuk melindunginya. Biarlah lelaki di hadapannya itu mahu memberikan pandangan
yang bagaimana. Biarlah. Dia tidak kisah!
“ Saya yang kejam dengan dirinya. Sampai sebegitu dia
terseksa. Saya tak pernah cuba untuk membahagiakannya. Saya memang kejam. Kejam!”