Derapan langkah yang berderetan
memenuhi ruang lantai Hospital Besar Kuala Lumpur. Perasaan cemas tergambar di
wajah mereka yang membawa langkahan itu. Perkhabaran yang diterima adalah
sesuatu yang amat memeranjatkan.
Destinasi dicari dengan penuh teliti.
Walaupun bertindih dengan rasa cemas yang mendadak, namun dikuatkan semangat
untuk menemui orang yang dicari.
“ Di sana.”
Syazwan menunjuk ke arah Nadia Asyila
yang sedang melabuhkan duduknya di atas kerusi yang disediakan di luar bilik
kecemasan. Perasaan yang berombak di dadanya kini lebih hebat dari
segala-galanya.
Amierah berlari anak mendapatkan kawan
kesayangannya. Dipeluk badan itu seerat mungkin. Bersifat matang untuk
memberikan ketenangan. Dia tahu apa rasa yang menghuni hati kawannya itu kala
ini.
Sememangnya dugaan ilahi maha hebat.
Setengah jam tadi telefon bimbitnya menjerit minta diangkat. Dipandang skrin
handphone itu yang tertera nama kawan baiknya. Disambut dengan girang tetapi
kawannya membalas dengan tangisan. Sesuatu yang amat memeranjatkan.
Perkhabaran diterima bahawa kereta
yang dipandu oleh Doktor Syarif terlibat dalam kemalangan. Penumpangnya pula
adalah Nadia Asyila dan Iqmal Hisyam. Doa terus dipanjatkan ke hadrat ilahi
apabila mengetahui duduk perkara yang sebenar.
Kenderaan yang dipandu oleh doktor muda itu
gagal mengelak kenderaan yang datang di hadapannya. Akibatnya, bahagian hadapan
kereta milik Nadia Asyila remuk teruk.
Dan apa yang menyebabkan kemalangan
itu lebih tragis ialah doktor muda itu mengalami pendarahan yang parah di
bahagian kepala sehingga mencabut nyawanya. Nafas doktor muda itu ternoktah di
tempat kejadian.
Keadaan kakinya yang tersepit di
tempat pemandu amat menyedihkan dan mampu menerbitkan air mata sesiapa sahaja
yang melihat.
Iqmal Hisyam turut mengalami kecederaan yang
agak parah di bahagian kepala dan anggota badan. Sekarang lelaki itu sedang
bertarung nyawa di bilik kecemasan yang luarannya dipisahkan dengan dinding
yang membawa kepada air mata Nadia Asyila. Keadaan sebenar lelaki yang dicintai
oleh wanita itu masih dalam teka-teki.
Manakala Nadia Asyila pula hanya
mengalami lukan ringan dan hanya dirawat sebagai pesakit luar. Dia beruntung
kerana bahagian belakang kereta hanya mengalami keremukan yang sedikit. Pemandu lori yang merempuh kereta yang mereka
naiki hilang selepas kejadian. Pihak polis masih menyiasat punca kejadian.
Jam di pergelangan tangan Syazwan
dipandang. Jarum pendek jam tangan itu sudah membawa ke angka enam. Bermakna
sudah lebih empat jam mereka berada di luar bilik kecemasan itu.
Lampu merah yang menyala di bahagian
atas pintu di luar bilik itu masih tidak penat memainkan peranannya. Jenuh
sudah mereka yang berada di luar bilik itu menunggu supaya lampu itu memadamkan
cahayanya.
Lima belas minit berlalu, serentak
dengan itu lampu yang menyala itu terpadam. Pantas Nadia Asyila bangun.
Menunggu doktor yang merawat kekasih hatinya keluar dari bilik yang sejak tadi
mendera hatinya. Seketika kemudian, pintu itu dibuka dari dalam. Pantas Nadia
Asyila mendapatkan doktor yang masih tidak menanggalkan penutup mulut yang
dipakainya.
“ Macam mana dengan keadaan dia
doktor?”
“ Akibat hentakan yang kuat pada
kepalanya, ada darah beku yang terkumpul pada sebelah kiri kepalanya. Kami
telah berjaya keluarkan darah beku tersebut. Dan keadaannya sekarang tidak lagi
kritikal tetapi masih dalam keadaan yang bahaya.”
Nadia Asyila menggeleng kepalanya
berkali-kali mendengar kenyataan yang diluahkan oleh doktor yang umurnya sudah
mencecah separuh abad itu. Sukar untuk mempercayai dugaan yang menimpa dirinya.
Segalanya datang bertimpa-timpa tanpa diundang.
“ Sekarang pesakit masih lagi lemah
dan terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan sebagai sokongan. Melihat
daripada keadaannnya sekarang, saya sendiri tidak dapat mengagak bila pesakit
akan sedar.”
“ Jadi maksud doktor, Hisyam koma?”
“ Begitulah.”
Nadia Asyila masih setia dengan air
jernih yang mengalir dari kelopak matanya. Tidak kering sejak awal tadi. Sudah
jelas menampakkan bengkak yang mula menghiasi tubir matanya. Badannya lembik
kini. Terlalu lemah.
Pegangan tangan Amierah yang
melingkari lengannya dirasakan berat. Tanpa dapat Amierah menduga, terlebih
dahulu badan wanita itu jatuh menyembah lantai hospital. Keadaan menjadi kalut
tanpa Nadia Asyila sedari.
Amierah cuba
melakukan suapan untuk kali yang ketiga. Nasi cuba dirapatkan ke mulut
kawannya. Namun, saat nasi itu menghampiri bibirnya, Nadia Asyila memalingkan
wajah. Amierah mengeluh dengan keadaan temannya itu.
Sudah tiga hari
selera wanita itu mati. Tidak membenarkan walau sebutir nasi pun menyinggahi
perutnya. Keadaan ini amat memberi kesan kepada kawan-kawan yang menghuni
banglo dua tingkat itu.
Mereka sudah
mencuba untuk melakukan yang terbaik. Namun segalanya hanya sia-sia. Amierah
sedar yang mungkin temannya itu merajuk dengan dirinya kerana dia berkeras
untuk tidak membenarkan Nadia Asyila melawat Iqmal Hisyam di hospital.
Dia bukan bertindak
kejam. Hanya untuk melakukan yang terbaik. Nadia Asyila terlalu lemah. Iqmal
Hisyam pula masih tidak menunjukkan apa-apa perubahan yang positif. Masih
menggunakan alat bantuan pernafasan untuk membantunya terus mendapat oksigen.
Keadaan itu sungguh menyedihkan.
“ Kami mahukan yang terbaik untuk kau.
Kami tahu kau terlalu terbeban dengan semua ini. Kau takkan dapat tenaga kalau
keadaan berterusan macam ni. Kau takkan boleh jaga Syam pun kalau kau tak dapat
nak jaga diri kau sendiri.”
“Tolonglah. Aku merayu pada kau.
Makanlah sedikit. Ambik tenaga kau. Ambik kekuatan kau untuk menjadi bekalan
kalau betul kau nak jaga Syam. Aku takkan halang lagi asalkan kau ada tenaga
untuk buat semua tu. Aku janji.”
Amierah cuba memujuk kawnnya itu. Simpatinya
menggunung. Untuk memandang wajah yang lesu di hadapannya kini seakan satu
kesakitan. Menjalar perlahan-lahan menyinggahi hatinya dan teman-teman yang
lain.
“ Kau tak boleh berserah macam ni
Nadia. Kau kena lawan. Kami ada bersama kau. Kami takkan pernah biarkan kau
bersendirian.”
“ Dengan keadaan kau yang macam ni.
Kau bukan sahaja menyeksa diri kau. Tetapi juga menyeksa kami.”
Azrin menuturkan bicara itu. Mahu
turut sama menyedarkan kawannya yang semakin hanyut dengan dugaan yang diberi
ilahi.
“ Jangan kau hukum diri kau sebegini.
Tanpa kau sedar kami juga berasa terhukum. Kau tak boleh buat kami macam ni.”
Kata-kata Aini itu mendapat anggukan
dari semua.
“ Kamu tak sedar yang aku bukan sahaja
terbeban dengan keadaan Syam. Tetapi aku rasa bersalah dengan apa yang berlaku
kepada Doktor Syarif. Aku yang menyebabkan dia hilang nyawa.”
“ Kalau aku tak pandai-pandai untuk
mencadangkan supaya membawa Syam keluar, pasti semua ini takkan berlaku. Semua ni
salah aku. Salah aku. Aku yang bersalah. Kau orang tahu tak aku yang bersalah.”
Kata-kata itu dihamburkan dengan
tangisan yang semakin beraja.
“ Astagfirullahhalazim. Apa yang kau
cakap ni Nadia? Mengucap banyak-banyak. Ajal dan maut semuanya di tangan Tuhan.
Dia dah tentukan segalanya. Kita takkan dapat mengubahnya.”
Amierah cuba memujuk kawannya yang
semakin layu dan hampir tewas itu.
“ Memang. Memang segalanya telah
ditentukan olehNya. Selepas ini aku tahu yang Dia akan mengambil nyawa Hisyam.
Dia akan merampas segala-galanya milik aku. takdirnya selalu kejam dengan aku. Tak
pernah membuat aku rasa bahagia dalam hidup ni.”
“ Mengucap Nadia. Jangan salahkan
takdir. Kita tak layak untuk mempertikaikan apa yang telah disuratkan olehNya.
Allah takkan pernah memberi dugaan pada hambaNya kalau Dia tahu kita tak dapat
mengatasi dugaan itu.”
Nada yang dituturkan Amierah sedikit
keras.
“ Ya Nadia. Sepatutnya dalam keadaan
sekarang kau tak boleh menyerah macam ni. Kau tak boleh tewas. Kau perlu
bangkit. Buktikan pada kami semua yang kau boleh tempuhi ujian ni. Raih kembali
semangat kau. Lemparkan senyuman kau pada Syam bila dia bangun nanti. Biar kau
menjadi orang pertama yang dia lihat.”
Shahrina menyentuh pipi kawan yang
disayanginya itu.
“ Kau perlu bangkit Nadia. Kau
perlukan kekuatan. Syam perlukan kau.”
“ Kalaulah aku dapat lakukan apa yang
kamu semua cakap.”
“ Memang kau dapat lakukan kalau itu
kehendak kau. Dah lama kami kenal kau. Kau bukan seseorang yang cepat mengalah.
Kesabaran dan ketabahan kau jauh lebih tinggi daripada kami. Kau cuma perlu
bangkit. Cari kembali diri kau yang dulu. Kami semua rindukannya.”
Nadia Asyila menyapu air jernih yang
mengalir di pipinya dengan belakang tangan. Dia beristigfar perlahan-lahan.
Kembali melihat lurus ke jalan ilahi. Tidak sepatutnya dia bertindak
mengeluarkan ayat sebegitu seketika tadi.
“ Sebenarnya hidup aku tak pernah
sunyi dengan persahabatan kamu. Aku terlalu alpa dalam dugaan ini. Aku akan
bangun. Untuk kamu semua. Untuk semua orang yang menyayangi aku. Untuk diri aku
dan juga untuk Syam.”
Pelukan kemas diberikan oleh
teman-teman rapatnya. Dia sedar yang sebenarnya dia sentiasa beruntung walau
dalam kepayahan apa sekalipun yang dia alami. Itulah yang diperolehinya sejak
dulu. Dia baru menyedari hakikat itu kini.
Cuba meraih kembali akalnya untuk
berfikiran dengan waras. Sudah cukup apa yang menimpa Hisyam. Dia akan cuba
memperbetulkan segalanya. Dia akan lakukan yang terbaik untuk meneruskan
kehidupannya.
Akan dipanjatkan doa ke hadrat ilahi
untuk sesuatu sinar dalam hidupnya bersama Hisyam. Apabila sinar itu muncul,
dia takkan pernah melepaskannya pergi. Walaupun hanya untuk sedetik. Takkan
pernah.