Home Novel Cinta Harapan Kasih @ Aku Tunggu Dia
Bab 7
Mac 2005

          “ Hai senyum je.” Amierah menegurnya apabila dilihatnya dari tadi sahabatnya tersenyum. Senyum gadis itu semakin melebar.

          “ Entah apalah yang buat kau senyum memanjang. Aku ajak pergi perkhemahan agung tak nak. Entah apalah yang buat kau gembira daripada berseronok kat sana.” Nadia Asyila semakin melebarkan senyumnya di depan gadis itu. Amierah merengus geram. Rajuknya masih belum habis kerana kawannya itu tidak mahu menjadi peserta untuk aktiviti hujung minggu nanti. Namun bila difikirkan, untuk apa dia merajuk? Dia tidak berhak untuk memaksa. Rajuknya Cuma akan memberikan impak yang negatif pada persahabatan mereka.

           “Siapa cakap aku tak pergi?” Nadia Asyila menduga gadis di hadapannya.

           “ Alah kau cakap macamlah kau pergi. Pendaftaran dah ditutup.” Amierah menjuihkan bibirnya. Kata-katanya kedengaran agak sinis.

           “ Memang aku pergi. Aku baru je lepas daftar. Maklumlah, kau pun tahu kan yang aku rapat dengan cikgu Rosnani tu. Ye la kan, sentiasa dapat A katakan.” Nadia Asyila menjawab sedikit meninggi diri. Sebenarnya dia sengaja ingin menyakiti hati gadis itu kerana rajuk yang entah apa-apa. Amierah memandangnya dengan wajah yang gembira.

          “ Ni yang buatkan aku sayang kat kau.” Pantas dipeluk dan dicium pipi sahabatnya. Nadia Asyila cuba mengelak bila sedikit lemas. Serentak itu masing-masing menjuihkan bibir dan ketawa. Untuk seketika, Amierah membayangkan tapak perkhemahan yang akan dituju pada hujung minggu nanti. Danau Toban. Itulah nama tempat perkhemahan yang akan mereka jejaki.

         ***************************************************************************************

             Nadia Asyila langsung tidak dapat melelapkan mata kerana dari awal lagi matanya terpaku pada wajah Fazar Azameer yang duduk di kerusi hadapan sebelah kanannya. Lena yang mengulit Amierah di sebelahnya membuatkan dia tidak melepaskan peluang itu untuk berlalu dengan begitu sahaja. Dia sendiri bingung sebenarnya dengan apa yang berlaku kepada dirinya.

Walau untuk sesaat dia rasa tidak mahu melepaskan pandangannya untuk memandang ke arah lain. Seakan mahu terus dipakukan pandangannya terus ke wajah Fazar Azameer. Apakah itu yang dikatakan cinta? Dia sendiri tidak tahu. Tidak pernah dia merasakan perasaan yang sebegitu sebelum ini dengan mana-mana lelaki.

Sejak dia terpandang wajah Fazar Azameer 2 tahun yang lalu, lelaki itu sentiasa menjamah pandangan matanya. Walau dalam diam, Nadia Asyila tidak pernah jemu. Walau tiada balasan, Nadia Asyila tidak pernah kisah. Mungkin benar kata Amierah yang dirinya sudah angau.

Jadi, betullah yang hatinya telah dicuri oleh lelaki itu. Hatinya sudah jatuh saying dan cinta kepada lelaki itu. Lelaki yang dikenali sebagai buaya dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah. Tapi dia tidak pernah kisah.

Harapannya tidak pernah padam yang suatu hari nanti Fazar Azameer akan memandang dirinya. Menerima rasa cinta yang sedang membuak di dalam dirinya kini. Bukan sebagai cinta monyet. Itulah harapan yang sentiasa bercambah dalam dirinya walau tempiasnya tidak pernah menyebelahi dirinya. Harapannya tidak pernah pudar dan dia akan sentiasa terus berharap.

Nadia Asyila dan kadet polis wanita yang lain mengalami sedikit masalah kerana tapak perkhemahan kadetnya merupakan kawasan tanah yang sedikit keras. Tidak terdaya dengan tenaga mereka. Walaupun tindakan Puan Rosnani untuk meminta tapak perkhemahan lain menemui kegagalan apabila tidak dibenarkan.

“ Nadia, awak pergi kat khemah kadet polis lelaki dan panggil beberapa orang untuk buat khemah kita.” Nadia Asyila tidak membantah bila kata-kata itu sedikit tegas. Ditariknya tangan Amierah namun gadis itu membantah kerana banyak kerja pembersihan tapak perkhemahan yang perlu dilakukan. Akhirnya gadis itu berlalu ke tapak perkhemahan kadet polis lelaki seorang diri.

“ Adik boleh tak beritahu dua tiga orang abang-abang yang cikgu Rosnani nak jumpa dekat tapak khemah kadet polis perempuan.” Nadia Asyila meminta jasa baik seorang pelajar tingkatan satu yang sedang giat melakukan kerja-kerja pembersihan. “ Akak cakap sendirilah dengan ketua kami. Abang Fazar. Dia ada kat sana.” Nadia Asyila telan liur bila nama lelaki itu disebut oleh pelajar itu.

‘ Kurang asam betul. Minta tolong sikit pun payah.’ Dibebelnya di dalam hati. Namun, gadis itu melangkah juga ke arah sekumpulan lelaki yang sedang berehat. Mungkin penat selepas mendirikan khemah yang terpaksa dicangkul untuk dimasukkan buluh sebagai kaki khemah. Itulah yang merumitkan pelajar perempuan.

‘Macam mana aku nak cakap? Selama ni tak pernah cakap dengan dia. Kenapa hati ni pulak berdebar semacam? Ya Allah, apa kena ni? Apakah ini permulaan untuk aku bercakap dengan dia? Tapi kenapa dalam keadaan yang macam ni? Keadaan yang aku langsung tidak bersedia. Apa yang aku nak panggil dia?’ Gadis itu bermonolog. Fazar Azameer merenung wajah yang berdiri di hadapannya. Sedikit mengangkat kening bila bibir gadis itu seakan ingin mengatakan sesuatu. Nadia Asyila merasakan lututnya menggeletar.

“ Err… a..abang ketua kadet ni ke?” Tergagap-gagap Nadia Asyila mengeluarkan suara. Mukanya terasa panas kerana dia tahu yang wajahnya sudah bertukar warna bila ada yang tersenyum-senyum memandangnya. Fazar Azameer tersenyum dalam hati. Dia tahu yang gadis itu segan. Mungkin.

“ Ya. Kenapa? Ada yang tak kena ke?” Nadia Asyila menarik nafasnya sedalam mungkin dan melepaskannya perlahan-lahan.

“ Sebenarnya, cikgu Rosnani panggil dua tiga orang sebab nak minta tolong sikit.” Nadia Asyila lega kerana dapat menuturkannya.

“ Terima kasih. Okey, Syam, Shahrul, jom ikut aku.” Fazar Azameer memberi arahan. Mereka bertiga segera berlalu. Nadia Asyila mengikut dari belakang. Iqmal Hisyam memperlahankan langkah. Menunggu Nadia Asyila. Gadis itu tersenyum memandangnya. Lelaki itu juga begitu.

‘ Kalau tak silap aku, lelaki ni lah yang pandang aku hari tu. Senyum pada aku. Manis juga senyumannya.’

“ Kenapa gagap cakap tadi? Dah jatuh cinta?” Nadia Asyila tersentak. Pertanyaan lelaki itu begitu bersahaja.

“ Apa yang awak cakap ni? Merepek je.” Iqmal Hisyam ketawa kuat.

“ Awak? Kenapa dengan Fazar tadi panggil dia abang? Umur kami tak de beza pun. Cuma kalau ikut bulan tu lainlah.” Nadia Asyila hilang punca. Terpinga-pinga seketika. Iqmal Hisyam mematikan tawanya bila menyedari yang gadis itu sedikit kalut.

“ Maaf! Saya tak kenal awak. Pergi dulu.” Nadia Asyila mempercepatkan langkah namun lengannya dipegang. Nadia Asyila langsung tidak menyangka akan tindakan lelaki itu. Segera ditarik tangannya.

“ Maaf! Tak sengaja. Selamat berkenalan. Saya Syam. Hisyam.” Lelaki itu memperkenalkan dirinya. Nadia Asyila ragu-ragu.

“ Untuk apa?”

“ Supaya lepas ni kita mengenali antara satu sama lain. Mungkin lebih rapat lagi.” Nadia Asyila mengerutkan keningnya.

‘ Ikhlaskah lelaki ini?” Namun disambut juga tangan itu sebagai salam perkenalan.

“ Nadia.”

“ Saya tahu.”

Gadis itu hanya menyambut kata-kata itu sebagai angin lalu dan terus berlalu. Dia tidak hairan jika Iqmal Hisyam mengetahui namanya. Mereka satu sekolah. Dia juga mengetahui nama lelaki itu. Iqmal Hisyam tersenyum puas. Namun senyumannya kembali pudar apabila terbayang kegugupan wajah itu sebentar tadi apabila menuturkan kata dengan Fazar Azameer. Dengan dirinya pula macam nak bergaduh. Tiada sikit pun rasa gentar. Seakan memberikan kata yang tepat kepada firasatnya selama ini yang mungkin Nadia Asyila ada hati dengan Fazar Azameer. Namun dia tidak mahu membuat kesimpulan secara awal.

Tentang rasa hatinya pula, akan diberitakan kepada gadis itu suatu hari nanti. Pasti! Bila? Dia sendiri tidak tahu. Untuk masa sekarang, masih terlalu awal. Nadia Asyila masih tidak mengenali dirinya. Hanya sekadar nama. Itupun beberapa detik yang lepas.

******************************************************************************************

            “ Tolong! Tolong!” Nadia Asyila tersentak. Lautan ketenangan hilang mendadak. Ditoleh pandangannya ke kiri dan kanan. Namun, dia tidak menjumpai sesuatu yang mencurigakan seperti apa yang didengarinya. Nadia Asyila yakin yang dia tidak berkhayal sewaktu suara meminta bantuan itu singgah di telinganya. Matanya masih galak memerhati.

“ Tolong!” Nadia Asyila pantas berlari ke arah yang dirasakan tepat untuk mencari sasaran yang mungkin memerlukan bantuannya. Setelah menghampiri tasik berdekatan, jelas di pandangan gadis itu seorang budak perempuan menggapai-gapaikan tangannya di dalam tasik.

Tanpa membuang masa, Nadai Asyila terus terjun ke dalam tasik yang dia sendiri tidak tahu kedalamannya. Tangannya cuba dikayuh sepantas mungkin supaya segera sampai ke tengah tasik itu. Nadia Asyila cuba sedaya upaya untuk menarik budak perempuan itu yang semakin tenggelam. Malangnya, badan budak perempuan itu sedikit gempal. Memberikan satu kerumitan kepada Nadia Asyila. Nadia Asyila mengucapkan syukur tinggi melangit apabila didapati ada seorang insan yang turut sama cuba untuk membantu budak perempuan yang semakin tenggelam dari pandangannya.

“ Nadia. Pegang tangan saya dan kita sama-sama keluarkan dia dari tasik ni.” Tanpa menunggu sesaat pun, Nadia Asyila pantas memegang lengan lelaki yang bersuara. Dia malas membuang masa dengan memikirkan dari mana lelaki itu mengetahui namanya. Bukan masa yang sesuai. Nadia Asyila dapat merasakan yang lelaki itu juga turut sama memegang lengannya. Kejap! Mereka meletakkan tangan yang telah disilangkan tadi di bawah ketiak budak perempuan itu.

Dengan pantas mereka berkayuh ke tebing dengan menggunakan tangan yang satu lagi. Sebaik sahaja sampai di tebing, ramai yang memberi bantuan kecemasan. Nadia Asyila terbatuk-batuk dan memuntahkan kembali air tasik yang tidak sengaja terminum olehnya.

“ Awak tak apa-apa?”

Dalam keadaan yang masih menunduk, gadis itu menggeleng. Cuma tekaknya yang terasa perit. Nadia Asyila mendongak. Dia masih belum mengetahui siapa yang bersamanya di dalam tasik tadi. Dengan keadaan air yang memercik di sana sini akibat gapaian budak perempuan tadi suakr untuknya mengesan wajah itu. Kini jelas di pandangannya. Fazar Azameer yang menegurnya.

‘ Mungkinkah dia yang berada dalam tasik tadi?’ Nadia Asyila melontarkan pertanyaan itu ke lubuk hatinya. Dia merasakan bahawa sangkaannya tidak meleset apabila dilihat pakaian lelaki itu yang basah kuyup. Sama sepertinya.

“ Terima kasih.” Fazar Azameer bersuara. Nadia Asyila mengerutkan keningnya tanda tidak mengerti.

“ Dalam tasik tadi.” Gadis itu mula mengerti. Sah! Memang Fazar Azameer yang membantunya tadi. Dan… tangan lelaki itu juga yang dipegangnya tadi. Nadia Asyila tersenyum. Gila! Fikirnya dalam senyuman. Peluang yang tidak diduga untuk mendekati cinta hatinya.

“ Saya pun nak ucapkan terima kasih sebab bantu saya. Kalau awak tak ada tadi saya memang tak boleh nak bawa dia keluar dari tasik ni.” Fazar Azameer dan Nadia Asyila memandang budak perempuan yang hampir lemas tadi. Sudah bertambah pulih dari keadaan tadi. Fazar Azameer seakan mengerti apa yang dimaksudkan oleh Nadia Asyila bila terpandangkan badan budak perempuan itu yang sedikit gempal. Mereka saling berbalas senyum.

Saat mata Nadia Asyila menentang mata milik Fazar Azameer, dirasakan perasaan yang beraja di hatinya selama ini semakin membara. Cepat-cepat ditundukkan kembali wajahnya. Dia malu sendiri. Apa yang penting, dia tidak mahu Fazar Azameer tahu tentang apa yang dirasakannya saat itu.

Iqmal Hisyam yang sedari tadi memerhati, benci dengan situasi itu. Dia benci bila ada senyuman yang terukir di bibir keduanya. Seperti menandakan satu hubungan akan tercipta. Dia benci saat mereka kejap berpegangan lengan sesama sendiri sewaktu membawa insan yang hampir kelemasan naik ke tebing. Walaupun untuk menyelamatkan satu nyawa, akalnya sukar untuk menerima. Dia benci dengan dirinya kerana tidak tahu berenang. Kalau tidak, pasti dia yang akan memegang badan milik gadis itu. Matanya berbulu melihat Fazar Azameer dan Nadia Asyila bercakap dan bergelak ketawa. Iqmal Hisyam memalingkan tubuhnya dan terus mengatur langkah untuk beredar dari situ. Dia kini benci dengan segalanya.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurul jannah