Nadia Asyila membawa bungkusan makanan
yang dibelinya ke ruang dapur. Iqmal Hisyam membawa dirinya ke kawasan rehat di
luar rumah. Sengaja dia berbuat begitu.
Tidak manis seandainya ada jiran-jiran
yang ternampak dirinya berdua-duaan dengan Nadia Asyila. Mereka masih tidak
mempunyai ikatan suci untuk dibanggakan pada semua orang.
Mereka masih lagi mempunyai hubungan
yang asing untuk meletakkan pandangan halal pada mata semua. Ikatan perkahwinan
masih tidak menjadi milik mereka. Kebetulan pembantu rumahnya mengambil cuti
sejak 3 hari yang lepas kerana mempunyai masalah di kampung halaman. Segera
diluluskan cuti untuk pembantunya itu apabila ada garisan kesedihan yang
terpancar pada wajah yang sudah senja itu.
Sudah sebulan dirinya dibenarkan
keluar daripada hospital. Dia masih beruntung kerana masih dalam rawatan pihak
hospital. Ini memberi keuntungan kepadanya kerana seandainya dia sudah tidak
berada di bawah jagaan pihak hospital, dirinya tidak akan mempunyai alasan
untuk berada bebas di rumah yang didiaminya sekarang.
Jagaan yang diterimanya berganda apabila pihak
polis juga turut sama campur tangan untuk kesalahan jenayah yang pernah dia
lakukan. Hukuman kerajaan takkan pernah bertolak ansur dengan bekas penjenayah
sepertinya.
Tindakan ini diambil oleh pihak
kerajaan apabila pihak hospital mental mengesahkan bahawa ingatan Iqmal Hisyam
semakin baik dari masa ke semasa. Walaupun belum mencapai seratus peratus
tetapi peningkatannya mampu membuatkan ramai yang menyenangi akan perubahan
yang positif itu.
Cinta yang mendalam untuk Nadia Asyila
kini diingati setiap ruang. Diraih kembali setiap memori yang mempunyai insan
yang bernama Nadia Asyila.
Dia semakin sedar yang cintanya untuk
gadis itu semakin mendalam apabila ingtannya turut sama diraih semasa dia
berada dalam dunianya sendiri. Dikenali sebagai seseorang yang mempunyai
masalah mental.
Hatinya kini tidak meragui lagi
tentang kata cinta yang dituturkan oleh Nadia Asyila kepadanya. Dia yakin kini
setelah sebulan diselami hati gadis itu sedalamnya. Dia sedar yang rasa cinta
daripada gadis itu yang diidamkannya selama ini bukan kerana simpati.
Bukan kerana rasa hormat. Bukan kerana
untuk membalas budi. Tetapi kerana katulusan hati. Kerana rasa cinta yang penuh
keikhlasan. Sama seperti apa yang dirinya rasakan selama ini.
Dia sedar yang dia patut memanjatkan
kesyukuran yang tinggi melangit untuk rasa cinta yang diberikan itu. walaupun
mengetahui dengan jelas bahawa dirinya merupakan seorang penjenayah, namun
gadis itu mencintainya dengan jujur.
Malah, pengorbanan juga dilakukan
apabila dirinya diperkenalkan dengan kawan gadis itu yang bernama Radlina.
Seorang peguam terkemuka di ibu kota. Peguam muda yang berbakat besar itu
sanggup mengambil kesnya untuk dibicarakan.
Berjanji untuk cuba mencari jalan
supaya hukuman yang akan diterima dirinya lebih ringan daripada apa yang dia
akan dapat.
Tiada pandangan serong yang
diterimanya daripada teman-teman Nadia Asyila. Tidak pernah menghinanya
walaupun dia sedar yang dia memang layak mendapat penghinaan dengan kesalahan
yang telah dia lakukan.
Dia tidak pernah mendengar sebarang
cakap-cakap sumbang yang dihadiahkan untuknya daripada teman-teman gadis itu. Setiap
kali mereka datang melawatnya atau bertemu pandang di luar, mereka akan
menghadiahkan senyuman. Senyuman yang membuatkan dia senang dalam segan.
Sepanjang sebulan rehatnya di rumah,
Nadia Asyila tidak pernah jemu untuk bertandang. Sentiasa menjaga kebajikannya
walaupun di rumah itu telah disediakan orang gaji. Itupun atas jasa Nadia
Asyila.
Katanya lebih elok ada yang dapat
melihat dan menjaga kesihatannya sewaktu lelaki itu berada di rumah. Seandainya
berseorangan, tidak mahu kejadian yang tidak diingini berlaku. Malang tidak
berbau dan tidak mengenal masa dan mangsa. Kerana sejak keluar daripada
hospital, kepalanya sering mengalami kesakitan yang datang secara tiba-tiba.
Sejak tiga hari yang lepas, gadis itu
pasti akan datang apabila habis sahaja waktu kerja. Pasti di tangannya akan ada
bungkusan makanan yang di dalamnya terisi lauk gulai tempoyak. Makanan
kegemarannya.
Walaupun ditegah untuk tidak
melakukannya, Nadia Asyila masih dengan lagaknya. Tidak mengendahkan kata-kata
itu dan hanya melakukan apa sahaja kata hatinya. Apa yang pasti, hanya untuk
melakukan yang terbaik untuk dirinya.
“Hei kenapa termenung ni? Apa yang
Syam fikirkan?” Iqmal Hisyam tersentak dari menungannya yang panjang. Senyuman
dihulurkan pada Nadia Asyila yang entah bila melabuhkan duduk di atas kerusi si
hadapannya.
Dipandang makanan yang berada di atas
meja. Memang Nadia Asyila tidak akan pernah mengabaikan dirinya. Segalanya
dipersiapkan dengan penuh tertib. Menggunung rasanya budi gadis itu untuknya.
Dipandang wajah yang putih bersih di
hadapannya itu. Seakan mahu sahaja diucapkan kata lamaran untuk gadis itu. Cinta
yang menggunung untuk gadis di hadapannya itu semakin marak dari hari ke hari.
Tetapi dia sedar, jalan kehidupannya
penuh berliku. Masih banyak perkara yang perlu dihadapinya. Hukuman di atas
kesalahan jenayah yang akan diterimanya nanti entah bila akan berkesudahan.
Entah berapa lama masa yang akan diberikan hakim untuk dia meringkuk di dalam
tirai besi.
Dia takkan sesekali melakukan salah
lagi dalam perjalanan hidupnya. Dia takkan melukakan hati insan yang
menyayanginya itu. Tapi….. apakah nanti cinta Nadia Asyila akan kekal untuknya?
Sanggupkah gadis itu menunggu untuk dia menghabiskan hukumannya?
Dia takkan pernah melafazkan lamaran
untuk memiliki gadis itu secara mutlak pada masa sekarang. Kerana dia tahu
sekiranya itu yang berlaku, gadis itu akan lebih terluka apabila takdir ilahi
akan datang memisahkan mereka untuk waktu yang telah disuratkan.
“ Hei, dengar tak apa Nadia cakap ni?
Kenapa termenung je?”
Untuk kali ini dia tersentak lagi.
Diwaraskan fikirannya. Kembali ke alam nyata. Memandang wajah insan yang
dicintai itu dengan senyuman.
“ Syam cuba ramalkan apa yang akan
berlaku dalam perhubungan kita kelak. Dengan adanya selitan takdir yang kita
sendiri akan dapat mengagaknya.”
“ Untuk apa fikirkan semua tu. Nadia
akan tunggu Syam. Cinta dalam hati ni hanya untuk Syam je.”
“ Tapi Nadia sendiri tahu yang
kesalahan Syam bukannya kecil. Entah berapa lama Syam akan meringkuk dalam
penjara. Tak malu ke kalau orang sekeliling mengatakan yang seorang anggota
polis menyintai seorang banduan.”
“ Lama atau tidak itu bukan kita yang
akan tentukan. Biarlah yang berhak menentukan semua tu. Kita hanya mampu
berusaha untuk mendapatkan yang terbaik. Semoga hukuman Syam akan diringankan.
Kita tak boleh nak tutup mulut orang. Biarlah apa yang orang nak kata. Apa yang
penting, Nadia bahagia dengan pilihan Nadia.”
“ Kenapa setelah sekian lama baru
Nadia berikan cinta itu? kenapa setelah Nadia Nampak segala tentang keburukan
Syam?”
“ Menerima seseorang yang kita sayangi
dengan seadanya adalah satu kebahagiaan yang takkan pernah berpenghujung.
Itulah apa yang Nadia cuba lakukan. Dan insyaAllah, rasa cinta yang ada
sekarang ini takkan berkesudahan.”
“ Setiap orang tak pernah sempurna.
Pasti akan ada salah dan silap yang akan kita lakukan. Keikhlasan cinta Syam
yang mengajar hati Nadia bagaimana untuk Nadia membalas rasa suci itu.”
“ Tapi Syam sebenarnya kotor. Sampah
dalam masyarakat.”
“ Untuk masa lalu, memang itu diri
Syam. Tetapi untuk masa sekarang, keinsafan itu lebih bernilai dari segalanya.”
“ Syam memang takkan pernah menang
kalau berdebat dengan Nadia. Memang sejak dari dulu lagi.”
Akhirnya mereka sama-sama tergelak.
Ada getaran bibir seakan mahu mengeluarkan patah perkataan tetapi segera Iqmal
Hisyam meletakkan jari telunjuk di bibirnya sebagai isyarat supaya gadis itu
tidak menyambung kata. Menyebabkan gadis itu mengalah dalam senyuman.