Syazwan dan Nadia Asyila melabuhkan
duduk di kerusi berhadapan dengan Fasha. Kawasan restoran agak lengang. Tidak
banyak orang yang datang untuk menikmati hidangan petang.
Fasha mencerunkan matanya ke arah
Nadia Asyila. Tidak senang dengan gelagat wanita itu dan Syazwan yang datang
secara tiba-tiba dan duduk tanpa diundang. Direnung insan di hadapannya dengan
pandangan yang tidak senang. Memang dia tidak menyenangi akan kehadiran mereka.
“ Hai. Long time no see.”
Nadia Asyila menuturkan ayat tersebut.
Masih diingati ayat yang dilontarkan oleh Fasha kepadanya semasa mereka berada
di Terengganu.
“ Kenapa? Kau dah mula rindukan aku?”
Wanita itu membidas. Senyuman yang
diberikan sinis. Memain-mainkan jarinya pada penyedut minuman.
“ Mungkin! Aku sentiasa rindu dengan
orang tak guna macam kau.”
“ Oh. Pertama kali aku mendengar
kata-kata kau yang agak kasar.”
Fasha melepaskan ketawanya. Tangannya
juga dirapatkan untuk menghasilkan bunyi tepukan. Senang padanya untuk mengejek
insan yang langsung tidak memberi apa-apa makna untuk dirinya.
“ Sudahlah! Korang berambus dari sini.
Aku sedang menunggu seseorang. Lain kali la kita bersembang. Aku tak ada masa
nak bercakap perkara yang remeh temeh.”
“ Siapa? Syed Faizal?”
Sekali lagi Fasha mencerunkan matanya
kepada wanita itu. Nadia Asyila melebarkan senyumannya.
“ Aku tahu segala-galanya tentang kau.
Ya! Mungkin kau tak ada masa untuk bercakap perkara yang remeh temeh. Mungkin
perjumpaan yang bakal kamu adakan juga untuk membuat cadangan lain untuk
hapuskan aku.”
Fasha sedikit tersentak. Namun tidak
ditunjukkan reaksi yang tiba-tiba itu. Cuba disembunyikannya. Nadia Asyila terus
menghadiahkan senyuman untuk dilihat oleh wanita yang berada di hadapannya.
“ Aku juga tahu yang keadaan Hisyam
sekarang disebabkan oleh kau.”
“ Hei kau cakap jangan main nak tuduh
jer. Kalau kau tak ada bukti kau jangan nak cakap sembarangan. Polis macam kau
ni langsung tak memberikan apa-apa makna pada aku.”
Wanita itu sudah bangun dari duduknya.
Suara yang dikeluarkan juga agak tinggi. Ada beberapa mata yang sedang
memandang ke arah mereka.
“ Kau takut?”
Sekali lagi wanita itu meledakkan
ketawanya.
“ Aku takkan pernah takut dengan orang
macam kau.”
“ Dengan aku mungkin. Tapi macam mana
dengan undang-undang?”
“ Hei perempuan! Apa yang kau nak
cakap sebenarnya hah?”
“ Kau dah mula takut kan?”
Nadia Asyila masih dengan senyumannya.
“ Kau jangan nak senyum la perempuan.
Aku benci tengok muka kau.”
Sepantas itu juga diambil jus yang
menjadi minumannya seketika tadi. Pantas disimbah mengenai tepat ke wajah Nadia
Asyila. Malang untuknya kerana tidak sempat mengelak. Syazwan juga tidak sempat
untuk melakukan apa-apa.
“ Kau jangan perkecilkan aku Nadia.”
Nadia Asyila mengelap wajahnya dengan
tisu yang dicapai di atas meja. Cuba untuk bertenang seketika. Terasa berdebar
hatinya dengan perasaan marah yang semakin membuak.
“ Aku ada surat jemputan untuk kau.”
Dibuka dan ditunjukkan surat itu tepat
ke wajah Fasha. Syazwan mengambil tempatnya. Berdiri di belakang perempuan itu.
Mata Fasha terbeliak dengan apa yang dibacanya. Namanya tertera di waran tangkap
yang berada di tangan Nadia Asyila.
Tanpa menunggu tindak balas daripada
Fasha, Syazwan terus memasang gari di tangan milik wanita itu.
“ Apa ni Nadia?”
Nadia Asyila melangkah rapat. Terlalu
sedikit jarak yang memisahkan mereka.
“ Kau ditahan atas tuduhan merancang
pembunuhan dan menyebabkan kematian.”
Perlahan dibisikkan ke telinga Fasha.
“ Kau tak ada bukti.”
“ Aku tak perlu tunjukkan bukti untuk
berurusan dengan pembunuh macam kau.”
“ Kau bangsat Nadia.”
Cuba diludah wajah di hadapannya.
Untuk kali ini, Nadia Asyila berjaya mengelak. Serentak itu juga tangannya
melayang. Tepat mengenai wajah Fasha yang terkedu dengan tindakannya.
“ Sebagai permulaan hukuman yang akan
kau terima.”
Syazwan menarik gari yang mengikat
pergerakan wanita itu. Pintu keluar dicari. Hanya beberapa langkah, kakinya
terhenti dengan langkahan Fasha yang mati.
“ Aku takkan puas selagi kau dan
Hisyam tak mampus.”
“ Itu pun kalau kau tak mati di tali
gantung.”
“ Kau memang bedebah.”
Dia terpaksa melangkah apabila Syazwan
menarik tangannya sedikit kuat.