Nadia Asyila memejamkan matanya seketika. Menikmati
kesejukan air pantai yang menyentuh kakinya. Sengaja diaturkan langkahnya jauh
sedikit dari lobi hotel. Kesepian malam membuatkan dia tenang. Desiran ombak
laut setia mengiringi langkahannya di pesisiran pantai.
Nadia Asyila membuka matanya perlahan-lahan apabila
telinganya menangkap gelak ketawa mesra yang seakan hampir dengannya. Tangannya
yang memeluk tubuh dijatuhkan.
Jelas di wajahnya terpancar riak terperanjat.
Perlahan-lahan sandal yang berada di tangannya jatuh menyembah pasir pantai. Dua
jasad yang semakin mendekat dengannya kelihatan begitu bahagia.
Ikhlas. Dia cemburu dengan kemesraan yang ditunjukkan
itu. Walaupun kedua-dua insan yang berada di hadapannya kini masih tidak
menyedari kehadirannya.
Sudah terlalu lambat untuk dia mengelak apabila terasa
namanya disebut. Lambat-lambat dia kembali menoleh apabila seketika tadi dia
membelakangi.
Jasad Fasha dan Fazar Azameer berdiri gagah di
hadapannya kini. Dia cuba melemparkan semanis senyuman. Jelas kelihatan yang
senyuman itu sengaja di buat-buat. Sekali lagi dia gagal untuk menyembunyikan
realiti.
“ Hai. Long time no see.”
Fasha menghulurkan tangannya kepada perempuan itu. Nadia
Asyila menyambut huluran itu dan menggeggamnya sekejap. Terasa seram sejuk
badannya pada saat ini. Kesejukan yang seratus peratus tadi menghilang entah ke
mana.
“ Hai.”
Hanya itu yang mampu diungkapnya sebagai balasan.
Sememangnya hatinya sekali lagi terdera dengan memandang jasad Fazar Azameer
yang langsung tidak mengendahkannya.
“ You buat apa kat sini? Mungkin agak kasar kalau I
cakap yang mungkin you mengekori kami sampai kat sini. Bukan I nak tuduh. Cuma,
rasanya KL dengan Terengganu ni jauh. Takkanlah pertemuan ini hanya kebetulan
yang tidak dirancang.”
Fasha menghabiskan ayatnya dengan selamba.
“ Apa maksud you?”
Nadia Asyila kembali bertanya. Tidak menjawab persoalan
yang dilontarkan oleh Fasha. Sudah lama dia tidak bertemu muka dengan wanita
itu. Tetapi tidak susah untuk dia mengenali Fasha. Tidak banyak yang berubah
pada raut wajahnya.
“ I tak maksudkan apa-apa. I cuma membuat satu
kesimpulan yang berkemungkinan betul.”
“ Jom lah kita pergi.”
Fazar Azameer cuba menarik tangan Fasha untuk berlalu
dari situ. Dia tidak mahu berlaku sesuatu yang mungkin akan menjadi lebih
dingin dari udara yang mereka rasai sekarang.
“ I belum habis lagi lah sayang.”
Terasa kuat hentakan yang menyentak di dada Nadia
Asyila. Terasa sesak nafasnya dengan panggilan yang digunakan Fasha.
“ Mungkin dulu I silap kerana lepaskan you untuk
perempuan seperti dia. Sekarang I nak fahamkan dia yang jodoh kita memang kuat
dan tak ada sesiapapun yang dapat pisahkan kita.”
Ditolak perlahan tangan Fazar Azameer yang memegang
lengannya. Diusap dengan penuh kasih wajah lelaki itu. Seakan meminta izin
untuk memberinya sedikit waktu lagi. Lidah Fazar Azameer kelu. Tidak tahu apa
yang harus diperkatakannya.
Fasha melangkah mendekati Nadia Asyila. Hanya selangkah
yang memisahkan mereka.
“ Kami dah kembali menyemai kasih sekarang. Tiada apa
pun yang dapat memisahkan kami. Kau bukan penghalang kepada masa depan kami.
Apa yang aku lakukan dulu adalah satu kesalahan dengan memberikan kau peluang
untuk dia bersama kau.”
“ Kalaulah aku tahu kau perempuan yang pengecut. Tak
berani untuk memperjuangkan cinta yang kau rasa, aku takkan pernah sekali-kali
memberi peluang kepada kau untuk bersama dengan dia. Aku nak kau dengar dengan
jelas apa yang aku mahu katakan. Aku yakin yang dia memang milik aku. Apa yang
pasti, dia takkan pernah menjadi milik kau.”
Matanya tepat merenung anak mata Nadia Asyila yang
memandangnya dengan penuh kesayuan. Tiada apa yang dirasakan dapat
diperkatakannya saat ini.
Apakah benar dulu aku yang bersalah kerana memisahkan
mereka?
Pertanyaan itu melontar hebat di dalam hatinya.
“ Fasha, jom lah kita pergi.”
Sekali lagi Fazar Azameer cuba bertindak. Tidak mahu
menyebelahi sesiapa. Dia tahu, jika mereka berkeadaan begitu, kesemua mereka
akan terdera dengan sejarah yang akan diungkit.
“ Aku harap lepas ni kau akan biarkan cinta kami terus
bersatu. Tak akan ada lagi apa-apa barang yang boleh memberikan petunjuk yang
kau masih mencintai Fazar. Kalau kau masih simpan diari buruk kau tu, mungkin
kau dah patut bakar sekarang.”
“ Fasha, tak elok you cakap macam ni. Nadia, you
pergilah balik. Jangan teruskan lagi perasaan you tu. Kalau betul tekaan Fasha,
perasaan tu yang membuat you mengekori kami sampai ke sini, I minta maaf. Cinta
I takkan pernah wujud untuk you.”
Fazar Azameer berkata perlahan. Dia belajar untuk mula
berlembut dengan perempuan di hadapannya itu. Mungkin sudah tiba masanya untuk
dia melupakan segala apa yang berlaku dulu.
“ Saya akan pergi.”
Nadia Asyila berkata perlahan. Dia menunduk mengambil
sandal yang tadinya terjatuh. Kembali membetulkan badannya dan berpaling
melangkah ke arah lobi hotel yang kelihatan berbalam-balam di matanya. Air
matanya menuruni lekuk pipinya tanpa paksaan.
Langkahannya terhenti dengan tiba-tiba apabila batang
tubuh Fazar Azameer berada di hadapannya. Lelaki itu memandangnya penuh sayu.
Untuk pertama kali selepas pertemuan yang terjadi, dia melihat kesayuan di
wajah itu. Bukan lagi rasa marah yang membuak-buak untuknya.
Baru dia mahu berharap dengan wajah yang sayu itu. Namun,
dia cepat tersedar yang sekarang lelaki itu telah bahagia dengan cinta hatinya
yang selama ini ditunggunya tanpa jemu.
Apakah sekarang yang dia benar-benar perlu melepaskan
Fazar Azameer pergi? Apakah semudah itu dia perlu mengalah setelah apa yang dia
lakukan selama ini? Segala pengorbanan masa yang dia lakukan untuk mencintai
lelaki itu akan terpadam hanya dengan satu pertemuan sepasang kekasih yang
tidak diduganya pada malam ini?
Dan apakah pula tujuan lelaki itu menghalang langkahannya
pada saat ini? Apakah mahu meraikan kekalahannya atau mahu menghinanya lagi?
Atau, mahu melihat air mata yang sedang berjuraian dengan penuh kemanjaan pada
saat ini? Nadia Asyila semakin sebak dengan segala telahan yang dibuatnya.
Fazar Azameer dapat melihat dengan jelas air mata yang
menyinggah di pipi wanita itu. Digagahkan dirinya. Memegang kedua-dua belah
bahu wanita itu.
“ Maafkan I untuk apa yang berlaku malam ni. Maafkan
Fasha. Mungkin dia merasa tidak selamat dengan terserempak you kat sini. Kalau
betul yang you ikut I sampai kat sini, I tak salahkan you. Cuma, I mintak
tolong buang rasa cinta you untuk I. Dah sampai masanya untuk kita menjadi
matang. I dah janji dengan diri I yang I nak lupakan apa yang berlaku dulu.
Bukan kerana sekarang I dah ada Fasha. Tapi memang itu niat I sebelum I datang
ke sini. I harap yang you boleh berikan rasa cinta you untuk orang yang
benar-benar mencintai you.”
Fazar Azameer cuba mencari wajah Nadia Asyila yang
menunduk memandang pasir pantai.
Nadia Asyila cuba untuk menentang wajah itu. Tapi, dia
tiada kekuatan. Air matanya semakin laju menuruni pipi apabila pendengarannya
jelas menangkap apa yang disampaikan oleh Fazar Azameer. Satu permintaan yang
akan mengejami dirinya sekali lagi. Perlukah dia menerima permintaan itu?
“ Fazar.”
Fazar Azameer memandang ke arah datangnya suara itu. Dia
melihat Fasha yang sudah menjauh. Berjalan meninggalkan mereka.
“ I kena pergi sekarang. I mintak maaf untuk semua salah
silap I pada you. I harap yang lepas ni you takkan lagi muncul depan mata I
dengan adanya cinta di mata you. I harap sangat-sangat.”
Tanpa menunggu jawapan, Fazar Azameer berlari anak untuk
mengejar Fasha. Tidak mahu membiarkan rajuk kekasihnya itu berpanjangan. Susah
mahu memahami hati perempuan apabila berada dalam situasi rajuk.
Nadia Asyila menyapu air matanya dengan belakang tangan.
Hatinya begitu pilu.
Aku di sini bukan kerana mengekori kau Fazar.
Dilontarkan kebenaran itu di dalam hatinya.
********************************************************************************************
“ Jadi sampai ke sini Nadia ikut dia?”Nadia Asyila mendongak dari memandang pasir pantai. Dia
mahu melihat insan yang bersuara di hadapannya. Sekali lagi dia terperanjat.
Wajah Iqmal Hisyam yang menyapa matanya.
Lelaki itu tidak memandang wajahnya. Tetapi melemparkan
pandangan ke arah laut yang terbentang luas.
“ Macam mana Syam boleh ada kat sini?”
Nadia Asyila tidak menghiraukan apa yang diperkatakan
oleh lelaki itu sebentar tadi. Dia pelik dengan setiap jasad yang muncul di
depannya. Hanya dengan sekelip mata segalanya seakan mengikuti ke mana sahaja
kakinya melangkah.
“ Soalan itu sepatutnya Syam yang tanya.”
“ Tadi…”
“ Jumpa Fazar dengan Fasha? Itu yang Nadia nak
bagitahu?”
Ayat Nadia Asyila ternoktah dengan sendiri apabila
lelaki itu pantas memintas. Gelagat Nadia Asyila yang seakan memandang kembali
tempat pertemuan dirinya dengan kedua-dua insan tadi trhenti dengan apa yang
diperkatakan oleh lelaki di hadapannya kini.
“ Apa yang kamu semua buat kat sini?”
“ Itu satu pertanyaan yang jujur atau Nadia sengaja
berpura-pura?”
“ Syam cakap apa ni?”
Iqmal Hisyam terus memandang laut yang kelihatan gelap.
Tiada nikmat untuk dinikmati dengan pandangannya. Namun dia lebih selesa begitu
bagi melepaskan rasa hatinya yang melihat perbualan wanita itu dengan Fazar
Azameer seketika tadi. Ikhlas. Hatinya sakit.
“ Sampai kat sini Nadia ikut Fazar?”
Sekali lagi persoalan itu ditanya. Nadia Asyila diam.
Rasa hatinya memberitahu tidak perlu untuk dia menghiraukan pertanyaan itu.
Kenapa semua orang menuduh aku begitu? Hina sangtakah
aku sehingga akan mengikut dia ke sini? Sedangkan aku tidak pernah menyiasat
gerak gerinya.
Nadia Asyila terkilan dengan apa yang singgah di telinganya.
Memang ramai yang tidak mengerti hatinya. Entah kebetulan apa yang menemukan
mereka di sini. Dia hanya mahu mencari kegembiraan bersama teman-temannya.
Namun sekali lagi dia tersepit dengan mainan takdir.
Seakan dia tidak pernah terlepas dari genggaman takdir yang mahukan percaturan
yang merumitkan dalam kehidupannya.
Kejamkah dia sebagai hamba untuk memperkatakan semua
itu? Dia sudah tidak sanggup untuk menempuhi hari-hari mendatang dengan cabaran
dan dugaan yang berselimutkan dengan perasaannya.
Satu perasaan yang sentiasa mendera emosinya. Dia tidak
mahu suatu hari nanti dia akan tewas dan kecundang sehingga dia sendiri tidak
dapat mengenal apa-apa yang diperkatakan tentang emosi.
Dia memandang Iqmal Hisyam yang mematung di hadapannya.
Lelaki itu masih menunggu jawapan tanpa memandang wajahnya. Dia sedar hati
lelaki itu terluka. Dan hatinya juga terluka dengan apa yang sedang berlaku.
Mungkin diam lebih baik untuk dia. Biarlah lelaki itu
membuat penilaiannya sendiri.
“ Nadia balik hotel dulu.”
Langkahkan kaki Nadia Asyila diatur untuk berlalu. Namun
sekali lagi langkahannya terhalang. Sama seperti tadi. Tetapi jasad yang
menghalangnya kali ini bukanlah lelaki yang tidak mencintainya. Tetapi lelaki
ini adalah seorang lelaki yang tidak pernah mengaku kalah untuk mencintainya.
“ Syam tanya Nadia soalan.”
“ Kata orang kebenaran itu menyakitkan. Nadia tak mahu
menyakiti sesiapa.”
“ Jadi betul yang Nadia ikut dia?”
Sedikit tinggi nada suara lelaki itu.
“ Kenapa dengan Syam ni?”
“ Syam berhak untuk cemburu.”
Lelaki itu berkata tegas. Hanya untuk membuktikan rasa
cinta yang sedang membara di hatinya saat ini.
“ Syam tak ada hak untuk cemburu. Apa yang berlaku tak
seperti apa yang Syam fikirkan. Nadia nak balik.”
Langkahannya hanya setapak. Lengannya ditarik agak kasar
oleh tangan lelaki itu. Nadia Asyila sedikit mengaduh. Terasa mahu dipukul
badan Iqmal Hisyam dengan sandal yang berada di tangannya.
“ Apa yang Syam nak ni?”
“ Syam belum habis.”
“ Sudahlah Syam. Nadia penat dengan semua ni.”
“ Syam mahukan jawapan.”
“ Bukan! Nadia di sini bukan kerana dia. Puas hati?”
Nadia Asyila merentap lengannya kasar. Dia sebenarnya
tidak menyangka yang Iqmal Hisyam akan mengasarinya. Selama ini setiap apa yang
diperlakukan oleh lelaki itu terhadapnya segalanya penuh dengan kelembutan.
Namun fikirannya terus menjurus ke arah yang positif.
Lelaki itu berada dalam keadaan yang mengecewakan dirinya. Tidak ada apa yang
perlu dipersalahkannya. Nadia Asyila kembali dengan langkahannya.
Iqmal Hisyam mahu memanggil nama wanita kesayangannya
itu namun dia membatalkan niatnya apabila di telinga mereka kedengaran nama
wanita itu dilaungkan oleh suara seseorang yang lain.
Seketika kemudian terpampang di hadapan mereka badan
Amierah dan Radlina yang muncul di sebalik kegelapan malam.
“ Mana kau pergi? Puas kami cari. Eh…”
Amierah tidak meneruskan ayatnya apabila mengenali
lelaki di hadapannya. Sukar untuk dia mempercayai yang di hadapannya adalah
Iqmal Hisyam.
“ Apa yang kau buat kat sini Syam?”
Iqmal Hisyam juga turut terperanjat dengan kemunculan
wanita itu.
“ Ada reunion. Dan kamu?”
Nadia Asyila memandang seketika wajah Iqmal Hisyam. Dia
mengerti kini mengapa berlakunya pertemuannya antara Fazar Azameer dan Fasha.
“ La kebetulan pulak. Kami datang bercuti kat sini.
Petang semalam sampai. Enam orang.”
“ Oh.”
Iqmal Hisyam memandang wajah Nadia Asyila. Benar yang
wanita itu tidak membohonginya. Perasaan bersalah menyerbu hatinya yang menuduh
dengan melulu seketika tadi.
Tidak sepatutnya dia berkasar dengan wanita itu tadi.
Dia tidak bersalah dan sememangnya apa yang berlaku adalah kebetulan. Tadi dia
berkasar kerana matanya sakit dengan pandangannya yang dilihat seakan Fazar
Azameer sedang memujuk wanita pujaannya itu.
Walaupun dia tidak mengetahui apa yang dibicarakan oleh
lelaki itu, dia amat cemburu. Mungkin lebih tepat jika dikatakan yang dia
terlampau cemburu dengan apa yang dilihatnya. Dia merasakan yang dia berhak
untuk merasai semua itu walaupun Nadia Asyila menafikannya.
Dia mempunyai rasa cinta yang jelas dibuktikannya
sepanjang masa. Cuma, dia tidak diberi kesempatan untuk menyempurnakan rasa
cinta itu menjadi sebuah hubungan. Apa pun dia merasa gembira dengan berita yang
baru diterimannya itu. Menjelaskan kenapa Nadia Asyila boleh berada di situ.
“ Aku balik dulu.”
Nadia Asyila berkata perlahan.
“ Wait. Kau nangis ek?”
Amierah memerhatikan wajah itu yang kelihatan seakan
baru lepas menangis. Dia memang mengenali kawannya yang seorang itu. Gelengan
Nadia Asyila hanya dibiarkan berlalu bersama angin laut.
“ Kau buat kawan aku menangis Syam?”
Pantas Amierah menghalakan jari telunjuknya tepat ke
wajah Iqmal Hisyam. Lelaki itu pantas mengangkat tangan dan menggelengkan
kepalanya tanda apa yang diperkatakan oleh wanita itu sama sekali salah.
“ Habis kenapa dia menangis?”
Pertanyaan itu hanya dijawab dengan jungkitan bahu
daripada Iqmal Hisyam.
“ Dah lah kau tak payah nak buat bising kat sini. Aku
okey.”
Nadia Asyila menarik tangan wanita itu untuk berlalu.
“ Kejap! Kejap! Tadi Syam cakap yang dia kat sini kerana
reunion. Entah-entah Fazar pun ada kat sini. Dan kau nangis entah-entah sebab
kau jumpa dia. Betulkan aku kalau aku salah.”
“ Tak payahlah kau nak membebel. Aku penat. Jom balik.”
“ Syam.”
Amierah cuba meminta jasa lelaki itu agar membantunya.
Mahukan jawapan kepada agakannya sama ada betul atau salah. Lelaki itu hanya
memandangnya kosong. Tidak mahu memberikan apa-apa jawapan. Tidak kepada ya
ataupun tidak.
“ Jadi betullah kan? Hanya Fazar jer yang boleh buat kau
menangis. Mana dia? Apa lagi yang dia dah buat dengan kau? Bagi aku pulak ajar
jantan tak guna tu.”
Amierah mencari-cari kelibat yang dirasakannya tepat.
Mahu mencari jasad Fazar Azameer yang dia pasti ada berdekatan.
“ Kalau kau nak membebel, kau teruskanlah. Aku nak
balik. Jom Lin.”
Nadia Asyila terus memanjangkan langkahnya tanpa ada
halangan untuk kali ini. Radlina juga mengikutinya dari belakang setelah
memastikan ke mana arah yang patut ditujunya.
Sesaat kemudian, diapalingkan kembali langkahnya dan
mendekati Amierah. Ditarik tangan wanita itu agar mengikutinya. Seulas senyuman
dilemparkan kepada Iqmal Hisyam yang hanya memerhati.
“ Kami balik dulu.”
Radlina rasakan ayat itu yang paling tepat untuk
dituturkan kepada Iqmal Hisyam. Serentak itu juga anggukan diterima daripada
lelaki itu.
“ Baliklah Mierah.”
Amierah mendengus kuat dan berlalu dari situ.
Iqmal Hisyam melebarkan senyumannya dengan
gelagat Amierah. Satu keprihatinan yang patut dibanggakan untuk seorang kawan.