Nadia Asyila buru-buru menyeluk poket seluar jeans yang
dipakainya bila telefon bimbitnya berbunyi. Private number? Siapa? Dia terus menekap telefon bimbit ke telinganya
setelah menekan butang hijau. Belum sempat dia memberi salam terlebih dahulu
pemanggil itu menyeru namanya. Sedikit cemas.
“ Nadia kau kena tolong aku.” Pemanggil itu masih dengan suara cemasnya. Nadia Asyila
meletakkan kembali barangan kraftangan yang berada ditangannya. Suara pemanggil
itu seperti pernah didengari. Tetapi siapa?
“ Bertenang. Siapa ni?” Nadia Asyila mengawal suaranya agar tidak turut cemas.
“ Aku Lin. Kau kena tolong aku.”
“ Apa yang berlaku?” Nadia Asyila bertanya. Tolong aku! tolong aku! bukannya nak cakap apa
masalahnya. Sempat lagi Nadia Asyila mengutuk.
“ Ilias. Nantilah aku cerita. Nyawa aku dalam bahaya.
Tolong datang ambil aku kat bus stop kat depan kedai makan Fatihah kat jalan
Cheras. Cepat sikit Nadia. Tanpa terus menunggu, Nadia Asyila pantas berlari
merempuh kasar pintu masuk Kedai kraftangan yang dikunjunginya. Dibuka kasar pintu kereta wira
aeroback miliknya. Gear dimasukkan dan kereta meluncur laju menuju ke destinasi
yang berada dikepalanya.
Fazar Azameer mengangkat tanganyya ingin memanggil wanita yang
menjamah pandangan matanya. Hampir keluar suara melepasi anak tekaknya. Namun dia menahan. Tidak jadi diteruskan niatnya apabila
melihat Nadia Asyila terburu-buru menuju pintu keluar apabila menerima
panggilan telefon. Mungkin ada kecemasan yang memerlukan dirinya dengan kadar
yang segera.
“ Untuk apa aku nak
panggil dia?” Fikirannya menyoal
dengan tiba-tiba. Pantas dijatuhkan tangannya yang agak meninggi. Dia sendiri
tidak sedar yang dia akan memberikan reaksi yang sebegitu pada wanita yang
menjamah pandangan matanya seketika tadi.
-Kan betul apa yang
aku cakap. Kau dah mula cintakan dia.
Fazar Azameer
kembali mendengar suara hatinya.
“ Diam.”
-Sampai bila-bila pun aku takkan diam. Kenapa susah
sangat kau nak mengaku yang kau cintakan dia?”
“ Aku tak nak
dengar apa-apa. Jangan nak cari masalah dengan aku.”
-Kau yang ciptakan
masalah dengan hati kau sendiri. Takkan cintakan dia konon. Kau hipokrit.
“ Aku cakap diam.”
-Kau nak beremosi
dengan aku? kau dah mula takut dengan bayang-bayang kau sendiri Fazar.
“ Aku tak cintakan
dia.”
-Ya! Kau cintakan
dia.
“ Never!”
-Hipokrit.
“ Shut up.”
-Kau cintakan dia.
“ Damn!” Fazar Azameer
pantas keluar dari kedai kraftangan. Dibatalkan niatnya untuk membeli sesuatu
yang menarik untuk dihadiahkan pada setiausahanya yang bakal menimang cahaya
mata sulung.
Dia benci apabila
kata hatinya mula berperang dengan fikirannya. Entah apa yang sebetulnya dia
rasakan pada saat ini, dia sendiri tidak pasti. Segalanya berserabut.
Bercanggah.
*************************************************************************************************
Nadia Asyila memberhentikan keretanya betul-betul di
hadapan bus stop yang disebut Radlina. Mana pulak dia pergi. Tadi suruh aku datang sini. Tak
ada pun. Tiba-tiba pintu keretanya dibuka dan seseorang meluru
masuk. Nadia Asyila sedikit terperanjat.
“ Hei! Awak ni siapa? Awak silap masuk keretalah.”
“ Ni aku Lin. Cepat bawa aku pergi dari sini.” Nadia Asyila telan liur. Terus memandu menyusuri jalan
raya yang sibuk.
“ Kenapa kau pakai macam ni?” Nadia Asyila menyoal Radlina yang sedang menyedut udara
sebanyak mungkin untuk membantunya bernafas. Baru disedari wanita itu seperti
benar-benar ketakutan.
Nadia Asyila menunggu bila Radlina membisu. Dipandang
atas bawah tubuh Radlina. Wanita itu hanya memakai sandal yang dipadankan
dengan seluar jeans biru berserta baju lengan pendek dan memakai topi juga
bercermin mata hitam. Sebahgian topi menutu separuh bahagian mukanya.
Nadia Asyila hampir-hampir tidak mengenali wanita itu
kerana rambutnya yang panjang mengurai dimasukkan ke dalam topi yang dipakai.
Macam tomboi. Langsung tidak sesuai bila difikirkan title peguam yang
dipegangnya. Dia tersenyum dalam hati. Namun seketika cuma
bila menyedari keadaan temannya yang gusar. Tapi sekarang wanita itu sudah
sedikit tenang. Nadia Asyila memberhentikan kereta di pinggir jalan.
“ Lin.” Nadia Asyila mengambil tangan Radlina dan dielusnya
lembut. Lebih kepada menenangkannya. Radlina membalas genggaman Nadia Asyila
dan memandang wajah insan yang baru saja membantunya.
Nadia Asyila terpempan apabila melihat jelas kesan
kebiruan di mata sebelah kiri kawannya. Dia baru perasan. Tadi wajah itu hanya
nampak sebelah pipi sahaja kerana Nadia Asyila peka pada pemanduannya. Disentuh
perlahan kesan biru itu. Radlina mengaduh.
“ Siapa yang buat kau macam ni?” Radlina tidak dapat menahan tangis. Sayu suara Nadia
Asyila yang menyapa telinganya menggamit air mata itu.
“ Teman lelaki aku. Ilias.”
“ Ni kes naya. Jantan tak guna.”Radlina mengambil sesuatu di dalam saku jeans yang
dipakainya. Helaian kertas. Diberikan kepada Nadia Asyila. Wanita itu membuka
dan membaca helaian kertas yang pertama.
‘ Ingat! Kalau rahsia aku bocor aku bunuh kau.’ Nadia Asyila membaca pula helaian kertas yang kedua.
‘ Kalau polis dapat tahu aku cincang kau sampai mampus.’ Nadia Asyila melipat kembali helaian kertas di
tangannya.
“ Boleh aku tahu dengan lebih dalam?” Nadia Asyila pasti apa yang berlaku pada kawannya adalah
serius.
“ Ilias mengedar dadah. Minggu lepas secara tidak
sengaja aku terdengar dia bercakap dengan kawannya tentang dadah. Dia dapat
tangkap aku. Selama itu jugalah dia kurung aku dalam rumah dia. Hari ni aku
dapat lepaskan diri.” Nadia Asyila lebih memahami. Dipandangnya beg pakaian
yang berada di seat belakang. Tadi dia tidak ambil kisah tentang beg itu. Kini
dia yakin yang wanita itu benar-benar dalam kesusahan.
“ Kau perlu bantu aku Nadia. Jangan bagi dia tangkap aku
lagi. Dia akan bunuh aku.” Radlina betul-betul ketakutan. Diraih wanita itu ke
dalam pelukannya. Diusap perlahan belakangnya.
“ Aku janji Lin.” Radlina pantas mengeratkan pelukan dan menangis tersedu
sedan.
“ Sekarang kita pergi balai buat report. Untuk sementara
waktu ni, kau tinggal je dengan aku.” Radlina mangangguk bersama air mata.
“ Terima kasih Nadia.” Nadia Asyila tersenyum dan mengangguk. Bersimpati dengan
kawannya.
“ Macam mana kau boleh dapat nota ni?” Dari tadi Nadia Asyila pening. Sedangkan dia diberitahu
yang Ilias mengurungnya.
“ Tiga hari lepas dia keluar. Dia tinggalkan nota tu
sebab aku tengah tidur. Hari itu aku takut untuk ambil apa-apa tindakan. Tapi
hari ini, bila perkara yang sama berulang, aku tekad untuk selamatkan diri
aku.”
“ Dia ada apa-apakan kau? Maksud aku ada dia buat
sesuatu yang lebih dari pukul kau?”
“ Maksud kau?”
“ Ada dia sentuh kau?” Radlina mengerti tentang apa yang dimaksudkan oleh polis
wanita itu.
“ Tak. Dia cuma pukul aku.” Nadia Asyila menyentuh bahu sahabatnya perlahan. Wanita
itu masih dalam ketakutan. Dia masih trauma. Nadia Asyila memandu keretanya
menuju ke Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur.
*************************************************************************************************
“ Masuklah Lin.” Nadia Asyila membuka pintu banglo yang didiaminya.
“ Nadia, tak apa ke? Nanti apa kata kawan-kawan kau?” Nadia Asyila menarik tangan Radlina yang masih tercegat
menunggu jawapan.
“ Nanti aku beritahu mereka.” Mereka menapak masuk. Kesemua yang ada di dalam banglo
memandang mereka tanpa berkelip. Mata mereka terarah pada Nadia Asyila dan
seorang wanita yang tidak dikenali yang sedang memegang beg pakaian. Tidak lagi
berminat menonton video yang terpasang.
“ Kenalkan ni kawan aku Lin. Dia akan tinggal kat rumah
ni buat sementara waktu.” Semua yang ada berpandangan. Namun menyambut huluran
tangan Radlina dan memperkenalkan nama masing-masing. Seketika kemudian Nadia
Asyila dan Radlina berlalu ke tingkat atas.
“ Siapa perempuan tu? Nak menyewa kat sini ke? Nadia tak
pernah cakap pun. Tiba-tiba je muncul.” Shahrina mengomel.
“ Tak baik kau berprasangka. Jangan cepat buat andaian.
Kita dengarlah dulu apa yang Nadia cakap. Lagipun aku tengok perempuan tu
nampak pucat je. Muka dia pun ada kesan lebam.” Azrin mencelah. Nadia Asyila duduk di sofa yang kosong. Kawan-kawannya
memandangnya tepat.
“ Maafkan aku. Mungkin kau orang marah sebab aku bawa di
ke rumah ni. Dia dah tak ada tempat nak dituju. Aku bawa dia datang sini sebab
tak ada sesiapa yang akan tahu dia akan tinggal kat sini. Ini penting untuk
menjaga keselamatan dia.”
“ Nadia, cuba kau cakap terus terang. Baru kami cepat
faham.” Aini mencelah. Nadia Asyila membuka cerita dari awal
hingga akhir. Semuanya mengangguk faham. Dan setuju dengan tindakan Nadia
Asyila. Nadia Asyila memandang sekeliling. Baru disedari yang
Amierah tidak menyertai mereka. Sudah seminggu pertelingkahan antara mereka
berlanjutan. Masing-masing keras kepala.
“ Aku naik dulu. Nak temankan dia.” Sekali lagi mereka mengangguk.
Amierah keluar dari bilik air dengan tangannya menekan
perut. Dia bersandar kelesuan pada sofa.
“ Mierah. Nadia ada bawa seorang perempuan. Dia akan
tinggal di sini buat sementara waktu. Sekarang mereka kat bilik.” Aini bersuara. Amierah bingkas. Geramnya datang
tiba-tiba. Terus langkahnya diatur menaiki satu persatu anak tangga. Suara
kawan-kawan memanggil namanya langsung tidak diendahkan. Tanpa ketukan, Amierah
membuka luas pintu bilik.
“ Hei Nadia. Kalaupun kau dah tak perlukan aku kat dalam
bilik ni, beritahulah dulu. Ni tak main redah je. Entah dari mana kau pungut
dia.” Nadia Asyila dan Radlina tercengang.
Minah ni sedap mulut dia je nak cakap. Kau tu yang main
redah tak sedar. Nadia Asyila cuba berlembut. Tetapi disuarakannya hanya
di lubuk hati. Tidak elok bertengkar di depan Radlina yang masih tidak stabil
keadaannya.
“ Lin kejap.” Nadia Asyila tersenyum. Dia menarik tangan Amierah dan
memaksa wanita itu menurut langkahnya keluar dari bilik itu. Nadia Asyila
memandang Amierah yang mencuka. Mungkin dah tiba masanya dia mengalah.
“ Mierah, aku minta maaf atas apa yang dah berlaku.
Terserahlah pada kau sama ada nak maafkan aku atau tak. Kalau kau marahkan aku
sekalipun, jangan libatkkan Lin. Dia dah cukup tertekan., tapi please… simpan
kejap marah kau tu. Kau boleh hentam aku bila-bila masa but not today.” Amierah sedikit terusik dengan kata-kata lembut Nadia
Asyila.
Betul ke apa yang aku dengar? Lin? Macam pernah dengar je nama tu. Anganan Amierah terus terputus bila terdengar jeritan dari
dalam bilik. Dia agak kalut dan seketika kemudian menyertai Nadia Asyila yang
berlari memasuki bilik itu.
“ Lin!” Nadia Asyila mendekati Radlina yang berada di penjuru
bilik. Tubuh wanita itu menggeletar dan dagunya diletakkan di antara kedua-dua
lututnya. Tangisan turut sama mengiringi. Dia semakin takut apabila ada lembaga yang
menghampirinya. Wajah Ilias jelas di matanya. Dia menjerit kuat.
“ Pergi. Aku benci kau. Jangan bunuh aku.” Radlina menolak kuat tubuh Ilias yang semakin hampir
dengannya. Nadia Asyila terdorong ke belakang dan terlanggar Amierah.
“ Lin bertenang Lin. Ini aku Nadia. Bukan Ilias.” Nadia Asyila cuba menenangkan Radlina yang bagai dirasuk
hantu. Ketakutannya menggunung. Sekali lagi Nadia Asyila cuba menghampiri.
“ Nadia hati-hati.” Sempat Amierah berpesan. Nadia Asyila mengangguk.
“ Lin, Ilias tak ada kat sini.” Radlina mendongak memandang wajah Nadia Asyila.
Ya Nadia! Bukan Ilias.
“ Nadia.” Terus dipeluk erat tubuh itu. Nadia Asyila terdorong
pula ke hadapan. Hampir-hampir dahinya terkena dinding. Ganas sungguh minah ni.
“ Lin kau selamat sekarang. Aku janji akan jaga kau. Aku
juga janji takkan biarkan Ilias sentuh kau lagi.” Nadia Asyila menenangkan wanita itu. Setelah keadaan
kembali pulih, Nadia Asyila memapah Radlina ke katil. Amierah turut mambantu.
Trauma wanita itu masih kuat .Nadia Asyila
memandang dua kali handphone yang telah berderai di sudut dinding berdekatan
bilik mandi. Mak oi ganas sungguh.
“ Nadia kau dah janji. Kau kena tolong
aku. Tadi dia call. Dia cakap kalau dia jumpa aku, dia akan bunuh aku. Aku
takut.” Tubuh itu kembali menggeletar. Nadia
Asyila merapatkan tubuhnya dan memeluk kembali insan yang teraniaya itu.
“ Lin, mengucap banyak-banyak. Ilias
takkan datang sini. Aku janji, pihak polis akan tangkap dia. Dia takkan
selamat.” Sekali lagi Radlina tersedu dalam
pelukan teman yang menyelamatkannya.
Amierah turut sama mengusap belakang
gadis malang itu. Simpatinya tumpah. Tadi aku cakap yang bukan-bukan. Pasti
dia terasa. Benar cakap Nadia. Dia dah cukup tertekan dan sekarang aku
tambahkan lagi tekanan dia. Setitis air mata gugur di pipi wanita
itu. Kesal.
Nadia Asyila dapat menangkap air mata
itu. Amierah bangkit dan berlalu. Semua kawan-kawan yang menggerumuni katil
sejak tadi turut sama merasai kepiluan. Mereka semua dapat memahami jiwa wanita
itu. Pasti Amierah kesal yang teramat.
****************************************************************************************************
Nadia Asyila menyelimuti badan Radlina
yang sudah lena. Dah puas pujuk baru nak tidur. Macam
mak dia pulak aku ni. Nadia Asyila senyum dalam hati.
Kenapalah nasib macam ni yang singgah
dalam hidup kau? Bersabarlah Lin. Aku yakin ada hikmah di sebalik semua ni.
Tidurlah! Raih kembali lena kau yang telah dirampas. Nadia Asyila mengurut tengkuknya yang
terasa lenguh. Nadia Asyila bangun dan mencium dahi
sahabatnya penuh kasih sebelum keluar untuk mencari kelibat Amierah.
“ Mana dia?”
Nadia Asyila bertanya lembut pada
Shahrina.
“ Itu.” Wanita itu menjuihkan bibirnya pada
Amierah yang berada di beranda luar. Mungkin sedang melayan perasaan.
Perlahan-lahan didekati tubuh wanita itu.
“ Cantik kan bintang malam ni?” Nadia Asyila bersuara. Tidak lagi
sekasar seperti hari-hari yang sebelum.
“ Bulan tu lagi cantik.” Amierah pula mengucapkannya.
“ Cantik lagi bulan yang kat sebelah
kau ni.” Nadia Asyila tersenyum dengan
kata-katanya. Dipandang raut wajah Amierah. Wajah itu juga tersenyum.
“ Nadia, apa yang sedang berlaku antara
kita sebenarnya? Kenapa kita boleh jadi macam ni? Mesti kau rindu nak peluk aku
kan?” Mereka tergelak.
“ Habis, kau tak rindu dengan pelukan
aku?” Gelak Amierah sedikit kuat. Dia
mengangguk.
“ Mierah, kita lupakanlah tentang apa
yang buat fikiran kita kacau. Kita boleh kembali macam dulu kalau itu yang kita
mahu. Memang betul kata Azrin. Kenapa kita perlu bergaduh hanya kerana
disebabkan lelaki?” Nadia Asyila memandang dada langit. Bintang
yang berkerlipan menenangkan hatinya.
“ Kau dah tak marahkan
aku? Aku yang cakap bukan-bukan pada kau hari tu. Tentang potret Fazar yang aku
hempas. Hari ini pulak aku hentam kau dan kawan kau tanpa tahu kedudukan yang
sebenarnya. Aku berdosa. Kasihan Lin. Aku berdosa Nadia.” Air mata yang
mengelir di pipi Amierah dikesat Nadia Asyila lembut.
“ Aku takkan marahkan kau kalau kau
kembali pada Amierah yang dulu. Yang sentiasa menyayangi aku.” Akhirnya pelukan yang menjadi jawapan
kepada persoalan itu. Kedua-duanya bersyukur. Semua kawan-kawan lain yang
mengintai di balik tirai tersenyum lega. Shahrina sempat bertepuk tangan. Nadia
Asyila dan Amierah melebarkan senyum.
“ Nampaknya rumah ni akan kembali
ceria.”
Aini melangkah menghampiri mereka.
“ So, malam ni kau tidur bilik kita.” Nadia Asyila mengajak temannya itu.
Tapi gelengan yang diterimanya.
“ Biarlah aku tidur sini malam ni. Tadi
aku cakap entah apa-apa kat Lin. Bangun nanti bila tengok aku kat sebelah,
histeria macam tadi.” Amierah berkata nakal.
“ Emm okeylah. By the way, dialah kawan
aku yang kau nak kenal tu. Lawyer.” Amierah menutup mulutnya yang sedikit
ternganga. Nadia Asyila hairan dengan reaksi
yang ditunjukkan.
“ Tak sangka pulak yang tadi aku
berhujah depan peguam.” Kawan-kawannya tersenyum mendengar
kata-kata itu. Nadia Asyila ingin berlalu.
“ Nadia, ceritalah dulu kenapa Lin
boleh jadi macam tu?” Belum sempat Nadia Asyila membuka
mulutnya, Shahrina terlebih dahulu menyampuk.
“ Kau pergilah
tidur. Aku nampak kau dah penat sangat. Biar aku yang tolong ceritakan. Lagipun
aku dah selesa dengan teman tidur aku sejak seminggu yang lalu.” Shahrina menolak
tubuh Nadia Asyila keluar dari bilik itu. Mereka terhibur dengan sifat
keanak-anakan Shahrina. Semua yang lain juga turut sama keluar melangkah ke
bilik masing-masing.
****************************************************************************************************
Nadia Asyila mendekati Radlina yang
duduk di bangku di halaman banglo. Nadia Asyila sengaja mengambil cuti untuk
menemani kawannya. Dia tidak mahu trauma wanita itu berpanjangan. Apa yang dilihatnya semalam sudah cukup
menggambarkan yang kawannya itu mengalami ketakutan yang teramat. Kesan lebam
yang berada di wajah itu pasti mempunyai kisah yang menakutkan. Nadia Asyila perlu membantu wanita itu
supaya dapat menempuh hari-hari yang mendatang. Nadia Asyila mahu mengembalikan
Radlina yang dikenalinya tujuh tahun lalu.
Radlina tersenyum bila menyedari yang
Nadia Asyila turut sama berada di situ. Nadia Asyila turut sama melabuhkan
punggungnya di bangku itu. Radlina sedikit bergerak untuk memberikan keselesaan
pada kedua-duanya. Nadia Asyila menjeling wanita di
sebelahnya. Radlina hanya memandang di kejauhan.
Aku perlu hilangkan kemurungan di wajah
ini. Lin, kalau diizinkan, aku sanggup bertukar tempat dengan kau. Aku tak
sanggup lihat kau dalam keadaan ini. Disusun
ayatnya untuk tidak menerbitkan kesedihan lagi pada wajah itu.
“ Kau masih ingat pada kenangan kita
dulu? Aku sayang sangat kenangan itu. Macam nak duduk je dalam kenangan tu
sampai bila-bila.” Nadia Asyila cuba menarik minat
kawannya untuk berbual. Radlina senyum dan melentokkan kepalanya ke bahu Nadia
Asyila.
“ Aku ingat lagi. Stay tiga puluh orang
dalam satu dorm. Sentiasa ceria walaupun penat dengan latihan. Apa yang paling
aku tak boleh lupa time kita kat lapang sasar. Masa kita temankan kawan-kawan
solat.” Nadia Asyila tersenyum. Ingatannya
masih kukuh pada apa yang berlaku.
“ Kebetulan hari itu kita cuti sembahyang
dan perangai kau memang giler masa tu. Berani kau kenakan abang askar tu. Siap
nyanyi lagi. Kau masih ingat lagu tu?”
“ Emm” Nadia Asyila tersengih senang. Radlina
sudah semakin ceria. Kedua-duanya membisu. Melayan perasaan dan mengimbau
kembali kenangan enam tahun yang lalu. Yang masih kemas dalam ingatan.