Fasha mengamuk sakan apabila Fazar
Azameer tidak menerima dirinya kembali. Memang hatinya membekam. Bencinya
kepada Nadia Asyila meluap-luap. Dia benci kerana Fazar Azameer menyebut nama
Nadia Asyila yang dikatakannya adalah sejujur manusia.
Kononnya pencinta setia. Tidak seperti
dirinya. Segala apa yang dirancangnya terbang melayang sekelip mata. Dia benci
dengan semua itu.
Dia mundar mandir di dalam rumah yang
berhawa dingin itu. Badannya langsung tak dapat merasakan sejuk kesan penghawa
dingin itu. Dia seperti cacing kepanasan. Kebenciannya semakin meluap-luap
apabila matanya terbayang-bayang wajah perempuan itu.
Perlahan-lahan udara dihirup dan
matanya dipejamkan. Mengambil sedikit nafas dan mencari ketenangan. Punggungnya
dilabuhkan di atas sofa yang tersedia di dalam rumah itu. Tangannya diangkat
dan memicit-micit kepala yang sedang diamuk rasa marah yang menggila sebentar
tadi.
Seketika kemudian, bibir mungilnya
mempamerkan senyuman. Sedikit demi sedikit terserlah kelebaran senyuman itu.
Segala apa yang dirancang sebentar tadi kembali menjamah pemikirannya.
Kemudian, perlahan-lahan dia
menyambung kembali perancangan yang ternokhtah tadi. Mahu menyempurnakan apa
yang terhalang. Perancangan yang kini telah bertukar arah dan mangsa.
Sesuatu yang akan menggemparkan dan
akan meletakkan dirinya dalam kejayaan. Akalnya terus laju mengatur apa yang
kini dirasakan sesuatu yang akan menyempurnakan dirinya.
Nadia Asyila memarkirkan keretanya di
tempat parkir yang disediakan untuk pelawat. Seketika dia menarik nafas dan
menghembusnya perlahan-lahan. Dia membuka pintu kereta dan mempersiapkan
dirinya seterusnya mengambil langkah menuju ke bilik Dr. Syarif. Dia mahu
menagih janjinya yang telah dibuat seminggu yang lalu.
Pintu bilik yang tertera nama Dr.
Syarif bin Muhammad diketuk perlahan. Dia berdoa di dalam hati semoga doktor
itu berada di biliknya dan tidak menyeleweng ke mana-mana. Harapannya itu
supaya kerjanya menjadi mudah dan lagipun dia malas untuk menunggu.
Daun pintu ditolak perlahan apabila
dia menerima arahan untuk berbuat demikian. Jelas suara doktor muda itu di
telinganya. Dia tersenyum girang. Senyuman yang dilemparkan mendapat balasan.
Seraya doktor muda itu menggayakan
tangannya sebagai tanda memberikan isyarat mempersilakan tetamunya itu duduk.
“Apa khabar Nadia?”
Senyuman makin dilebarkan.
“ Baik.”
“ Ada berita gembira ke? Happy je
Nampak.”
“ Hai mengusik saya ke doktor?”
Dr. Syarif menghamburkan gelak. Sememangnya
dia tahu apa yang membuatkan wanita di hadapannya itu begitu gembira.
“ Maafkan I sebab I tak dapat nak
sempurnakan janji yang telah dibuat minggu lepas. Ada kes kecemasan yang tak
dapat dielak.”
Tutur doktor muda itu menggugat
keceriaan di wajah Nadia Asyila. Perlahan-lahan pudar. Jelas di penglihatan
lelaki itu. Menunjukkan yang wanita itu tidak menyukai apa yang baru
diucapkannya.
Senyuman di wajah Dr. Syarif semakin
galak apabila melihat Nadia Asyila tertunduk.
“ I bergurau je la. Janganlah serius
sangat. Takkanlah I nak hampakan pasangan kekasih yang memberi kesan di hati I
ni.”
Nadia Asyila geram melihat wajah yang
tersenyum gembira itu. Geram dengan gurauan yang sesaat tadi seakan menghancurkan
harapannya. Namun dia turut sama tersenyum seketika kemudian.
“ Alah! Kalau doktor tak pergi pun
saya akan bawa dia keluar. Hmm.”
Akal wanita itu muncul tiba-tiba.
Mengungkapkan sekadar apa yang terlintas di fikirannya. Membalas balik apa yang
terkesan di hatinya seketika tadi.
“ Hmm yelah. Jom lah kita pergi. Cuma
dua jam je. Tak boleh lebih. Kalau apa-apa yang terjadi nanti I yang akan
dipersalahkan.”
Nadia Asyila mengangguk. Memahami
risiko yang sanggup diambil oleh lelaki itu jika berlaku apa-apa yang tidak
diingini.
Mereka melangkah beriringan menuju ke
arah wad yang menempatkan lelaki yang dicintai oleh Nadia Asyila. Derapan
mereka menarik perhatian beberapa penghuni yang dilintasi.
Ada yang ketawa memandang mereka. Ada
yang menjegilkan mata dan menyeringai. Tidak menyukai kehadiran mereka yang
mungkin mengganggu atau apa-apa yang singgah di benak penghuni di hospital jiwa
itu.
Walaupun ada jarak yang memisahkan
mereka, namun ia turut memberi kesan kepada Nadis Asyila. Merapatkan langkahnya
mendekati Dr.Syarif. Lelaki itu tersenyum.
“
Mereka takkan dapat menyentuh awak. Jangan risau.”
Nadia Asyila tersengih kelat.
Mempamerkan barisan giginya. Masih ragu-ragu dengan kenyataan itu walaupun dia
sedar akan realiti yang sebenarnya.
“ Tak sangka yang polis macam awak ni
pun takut dengan mereka.”
Nadia Asyila rasa terpukul.
“ Saya pun manusia biasa.”
Gelak yang sedikit kuat terhambur di
celah bibir doktor itu.
“ Dengan kekasih hati tak pulak.
Pelik-pelik.”
Nadia Asyila diam. Kelu lidahnya untuk
mengunggapkan sebarang kata dan menidakkan apa yang diucapkan oleh lelaki itu.
Sememangnya dia kalah untuk berdebat dengan pakar jiwa itu.
Namun perlahan-lahan dia tersenyum
apabila hatinya mengiyakan apa yang diperkatakan. Sesungguhnya cinta itu
mempunyai kekuatan yang tersendiri. Memberinya kekuatan untuk terus bertahan.
Mencintai sambil terus mengubati
kekasih hatinya.Walaupun dia
sedar yang lelaki itu tidak normal seperti sebelumnya, dia yakin yang cinta
lelaki itu masih kukuh untuknya. Masih berbekas kemas untuknya.
Jiwanya juga turut mengakui yang
lelaki itu miliknya. Hanya miliknya dari dulu hingga sekarang. Dia juga akan
memastikannya yang cinta itu akan kekal untuk masa yang akan datang. Nalurinya
pasti.
Nadia Asyila
memegang kemas tangan lelaki yang berjalan beriringan dengannya. Senyumannya
dilemparkan apabila lelaki itu turut membalas genggaman tangannya. Hanya
dengannya sahaja Iqmal Hisyam membenarkan setiap perbuatan wanita itu. Dirasakan
selamat apabila berada di samping wanita itu. Hatinya membenarkan.
Akalnya tidak pasti
siapa wanita yang selalu melawatnya di tempat yang menumpangnya. Namun dia
senang dengan setiap tingkah yang dilakukan oleh wanita itu. Seakan ada sesuatu
yang berbisik di hatinya bahawa wanita itu ada keindahan yang pernah bertapuk
dalam hatinya.
Pintu kereta di bahagian belakang
dibuka oleh Nadia Asyila untuk lelaki itu. selepas itu dimuatkan juga dirinya
di bahagian belakang kereta. Bersebelahan dengan Iqmal Hisyam. Dortor muda yang
baik itu sanggup menjadi pemandu tak bergajinya untuk hari ini.
Nadia Asyila gelak
sendiri saat teringat kata-kata gurauan doktor itu. Pegangan tangan yang sejak
tadi bertaut tidak dilepaskan oleh Iqmal Hisyam. Dia senang begitu. Apabila
Nadia Asyila cuba untuk meleraikannya, dia semakin mengeratkan pegangan.
Akhirnya wanita itu
hanya merelakan. Tersenyum sendiri. Berfikir seketika yang mungkin rasa sayang
lelaki itu sentiasa ada untuknya. Walaupun ada perbezaan yang amat ketara
dengan dirinya dahulu.
“ Kita nak ke mana ni Nadia?”
Pertanyaan doktor Syarif menyedarkan
dirinya. Berfikir seketika arah tuju destinasi. Seketika kemudian, akalnya
berbicara. Serentak itu mulutnya memainkan peranan.
“ Kita ke gudang yang terbiar di kawasan
kampung dekat Banting.”
“ Untuk apa? Kenapa mesti gudang?”
“ Mengulangi sejarah.”
Doktor Syarif tersenyum dan mengangkat
bahu. Biarlah! Pasti ada kisah yang tersendiri. Pandangan Nadia Asyila
dilemparkan ke arah Iqmal Hisyam yang berada di sebelahnya. Lelaki itu mendiamkan
diri sejak tadi. Tidak bertanya apa pun.
Seakan rela ke mana sahaja dirinya
dibawa. Pandangannya dilontar ke luar tingkap. Nadia Asyila mengalihkan
pandangannya pada tangan yang kukuh di genggaman lelaki itu. Dibawa genggaman
itu singgah seketika di bibirnya. Menghadiahkan ciuman lembut pada belakang
tangan lelaki yang dicintainya.
Menyesali betapa selama ini lelaki itu
terlalu banyak berkorban untuknya. Betapa selama ini lelaki itu menyayanginya
terlalu banyak. Betapa selama ini dia tidak pernah menghargai apa yang
diberikan lelaki itu untuknya.
Betapa selama ini dia buat untuk
melihat apa yang terbentang di matanya. Betapa selama ini dia tidak pernah mensyukuri
pemberian yang maha Esa. Hanya kerana dirinya mahu mengejar apa yang tidak
patut menjadi miliknya. Kekesalannya menebal.
Iqmal Hisyam memandang wajah wanita di
sebelahnya apabila terasa tangannya hangat akibat sentuhan bibir wanita itu.
Dia memandang kosong. Lama. Sesaat kemudian dia tersenyum. Menampakkan barisan
giginya yang tersusun cantik.
Setelah itu dia turut melakukan apa
yang dilakukan oleh wanita itu sebentar tadi. Turut sama membawa genggaman itu
menyentuh bibirnya. Akhirnya mereka bersama-sama melemparkan senyuman. Doktor
Syarif yang menyedari adegan itu hanya tersenyum. Memahami apa yang tersirat
dalam kepayahan kedua-dua hati itu dalam
mempereratkan ikatan.
Terimbau kembali di ingatannya apabila
Iqmal Hisyam merelakan Nadia Asyila memotong rambutnya untuk kembali pendek.
Memberus gigi lelaki itu yang entah berapa lama tidak diuruskan. Selama ini,
tiada sesiapa yang berani membersihkan gigi lelaki itu apabila pernah
ditengking oleh Iqmal Hisyam.
Semenjak kehadiran Nadia Asyila, Iqmal
Hisyam semakin terurus. Rambut dipotong kemas. Tiada lagi jambang dan janggut
yang berserabai. Misai juga telah dicukur oleh wanita itu. Sudah kembali kemas.
Dapat dilihat dengan jelas olehnya
betapa mendalam rasa cinta yang menjalar di setiap pembuluh darah wanita itu
terhadap Iqmal Hisyam. Walaupun hakikat menunjukkan dengan jelas yang lelaki itu
bukanlah sempurna seperti sebelumnya, namun, Nadia Asyila tidak pernah
mengurangkan rasa cintanya. Sentiasa memekar dan menebal. Semua itu dapat
dilihat dengan jelas oleh semua orang.
Cuma sekarang, hanya Iqmal Hisyam yang
masih tidak dapat melihat semua itu secara normal. Pasti masanya akan tiba.
Detiknya di dalam hati.
Kereta milik Nadia Asyila diparkir di
hadapan gudang terbiar yang berada agak pendalaman itu. Sunyi. Tidak ada yang
berani mendekati gudang itu apabila mendengar berita yang mengatakan bahawa
gudang itu berpenunggu.
“ Apa kisah yang pernah terakam di
sini?”
“ Kisah yang merubah kehidupan Syam.
Menukar dirinya dalam keadaan sekarang.”
“ Tragis. Apa yang berlaku?”
“ Keikhlasan seorang pegawai polis
dalam melakukan tugasnya. Menemui satu kebenaran yang menyakitkan kepada insan
yang menyayanginya.”
“ Oh! Jadi kejadian itu berlaku di
sini?”
Doktor Syarif mula menyedari duduk
perkara yang sebenar. Kejadian yang berlaku yang meletakkan diri Iqmal Hisyam
dalam keadaan sekarang.
“ Jadi apa yang you nak lakukan?”
“ Mengulangi sejarah.”
“ Maksudnya? Maaf untuk pertanyaan
itu. I cuma tak mahukan awak melakukan sesuatu yang merbahaya. Hisyam tidak
normal seperti yang you kenali sebelum you sedar dari koma. Dia telah menjadi
orang lain. Dia ada dunia dia sendiri.”
“ Jangan risau. Saya dah lama faham
keadaan tu. Saya takkan melakukan sesuatu yang akan memudaratkan.”
“ Boleh awak bantu saya?”
“ Itu dah memang menjadi tugas I.”
Senyuman diiringkan sebagai jawapan
untuk persoalan itu. mereka memanjangkan langkah. Memasuki gudang yang terbina
di hadapan mereka.
Perlahan-lahan Nadia Asyila mendekati
Iqmal Hisyam yang kini sedang berdiri di tempatnya suatu ketika dulu. Nadia
Asyila mula mencari ayat. Dia mahu menembalikan ingatan lelaki itu.
“ Syam ingat Fazar Azameer? Lelaki
yang menjadi kawan baik Syam selama ini. Lelaki yang pernah syam ikat pada
tiang di depan tu.”
Lelaki itu memandang kosong pada
persekitaran yang asing di hadapannya kini. Sentuhan lembut di bahunya
dipandang.
“ Syam ingat pada tempat ni?”
Diam. Tidak memberikan apa-apa
jawapan. Kembali membawa pandangannya ke sekitar ruang yang berada di
hadapannya. Nadia Asyila mencuba lagi. Membawa lelaki itu untuk berbicara.
“ Syam ingat tak apa yang Syam
beritahu Nadia kat tempat ni?”
Masih diam.
“ Syam ingat pada apa yang Syam
lakukan pada Nadia?”
Senyap. Perlahan-lahan Nadia Asyila
membawa dirinya mendekati lelaki itu. Hanya setengah meter sahaja yang
memisahkan mereka. Wanita itu membawa lagi langkahnya.
Semakin dekat dan dekat. Badannya yang
sedikit rendah dijingkitkan. Memeluk badan sasa di hadapannya. Merangkul kemas
leher lelaki itu. Tiada balasan pelukan untuknya. Lelaki itu kaku.
“ Syam ingat pada kata-kata Syam yang
Syam takkan benarkan sesiapa pun memiliki Nadia. Hanya Syam yang akan memiliki
Nadia.”
Iqmal Hisyam menolak perlahan-lahan
tubuh Nadia Asyila yang melekat di badannya. Mencipta jarak antara mereka.
Memandang wanita itu dengan pandangan kosong. Sesaat kemudian dia kembali
merenung sekeliling.
“ Mungkin cara ini tak berkesan.”
Doktor Hisyam menepuk bahu Nadia
Asyila perlahan-lahan. Memberi kesabaran untuk wanita itu.
“ Syam ingat pada bunyi tembakan?”
Pandangan Iqmal Hisyam terus menikam
matanya. Tajam. Nafasnya naik turun dengan agak kasar. Tangannya memegang
kepala seakan-akan menahan kesakitan. Langkahnya dilajukan menuju pintu keluar.
Nadia Asyila dan Doktor Hisyam
membuntutinya. Turut sama mempercepatkan langkah. Risau dengan keadaan lelaki
itu yang tiba-tiba berubah.
Langkah Nadia Asyila dan Doktor Syarif
terhenti apabila melihat Iqmal Hisyam menyandarkan badannya pada kereta.
Bertindak memeluk tubuhnya.
“ Syam okey?”
Nadia Asyila cuba menuturkan bicara.
“ Saya nak balik. Bawa saya keluar
dari tempat ni.”
Nadia Asyila dan Doktor Hisyam
berpandangan. Lelaki itu menuturkan ayat seperti orang normal yang sedang
bercakap. Nadia Asyila ingin menuturkan ayat lagi tetapi dihalang oleh Doktor
Syarif.
Wanita itu tidak membantah apabila
lelaki itu sudah membawa dirinya memasuki perut kereta. Berada di bahagian
hadapan kereta. Sebelah pemandu. Pandangan saling dihadiahkan oleh kedua-dua
insan itu. Pelik. Apakah itu satu perubahan yang positif?
Nadia Asyila melabuhkan duduknya di
bahagian belakang kereta. Tidak lagi bertemankan Iqmal Hisyam. Lelaki itu
seakan bertukar menjadi dirinya kembali. Memandang kawasan luar dengan
pandangan kosong. Senyuman juga seringkali dilemparkan. Entah untuk apa. Hanya
dia sendiri yang memahami.
“Kenapa dengan dia doktor?”
“ Mungkin memori silamnya hanya datang
untuk sesaat. Belum sempat untuk dia mengenali apa sebenarnya yang cuba you
sampaikan, kenangan itu sudah berlalu. Dan sekarang, dirinya sama seperti apa
yang kita kenali.”
“ Sebagaai seseorang yang bukan
normal. Akalnya tidak berada di alam realiti walaupun jasadnya sentiasa ada di
sini. Sebenarnya proses ini normal. Jangan risau. Kita akan usahakan lagi apa
yang terdaya. Pasti akan ada selitan takdir yang indah untuk menghiasi
hidupnya.”
“ Agaknya bila masa itu akan muncul.
Sudah penat saya menunggu.”
Serentak dengan itu juga mereka berdua
tergamam apabila Iqmal Hisyam mengawang-awangkan tangannya seperti berada dalam
ketakutan yang teramat.
“ Itu!”
Laungan dari celahan bibir lelaki itu
turut sama diiringi dengan tangannya yang menunjuk ke arah cermin depan
kenderaan. Sekali lagi mereka tergaman apabila baru menyedari kereta yang
dinaiki mereka terlalu dekat untuk bertembung dengan sebuah lori yang seakan
sedang menuju tepat ke arah mereka.
Sudah terlalu lambat untuk Doktor
Syarif mengelak kenderaan di hadapannya. Tanpa sebarang amaran, satu dentuman
yang kuat kedengaran di tengah-tengah lebuh raya yang agak lengang itu.