“ Dah masuk minggu kedua. Nadia tetap jugak macam tu.”
Rahimah memandang sayu anaknya yang terlantar. Entah apa
rasa yang dirasakan oleh anak perempuannya itu. Apakah sakit? Dia tidak berdaya
untuk membantu. Bibir itu kaku tanpa bicara.
“ Sabarlah mak cik. Sememangnya dugaan Tuhan memerlukan
banyak kesabaran. Mungkin akan tiba masanya nanti Nadia akan sedar.”
“ Mungkin! Apa akan ada kemungkinan untuk mungkin itu?”
“ Kita berserah sajalah mak cik.”
“ Mak cik tak sanggup untuk lihat dia dalam keadaan
macam ni. Kalau lah mak cik diberi peluang, mak cik mahu menggantikan
tempatnya.”
“ Tak baik mak cik cakap macam tu. Kita kena terima
dengan apa yang berlaku. Pasti ada hikmah dengan semua dugaan ni.”
“ Nadia beruntung mempunyai sahabat macam kamu Mierah.
Kawan-kawan kamu yang lain juga membuatkan mak cik terhutang budi.”
“ Apalah yang ada dengan budi kami mak cik. Persahabatan
kami sudah tidak mengenal budi. Kasih sayang kami diharap akan berkekalan
sehingga ke akhirnya.”
Rahimah memeluk Amierah
yang dirasakan seperti anaknya sendiri. Dia sebak dengan apa yang berlaku.
Sudah seminggu dia menumpang teduh di rumah sewa Nadia Asyila. Perjalanannya
bebas dengan pertolongan Amierah untuk menjemput dan mengahantarnya ke
hospital.
“ Mierah. Mak cik
sebenarnya ada kemahuan. Tapi mak cik segan untuk meluahkan.”
Dipandang mata Amierah yang tidak melepaskan pandangan
dari anak mata tuanya.
“ Apa sahaja mak
cik. Kalau terdaya saya akan tunaikan.”
“ Sebenarnya mak
cik berhasrat.”
Rahimah tidak dapat meneruskan kata-katanya. Keikhlasan
yang terpancar di wajah Amierah membantutkan segalanya.
“ Kenapa mak cik?”
“ Mak cik ingat nak
pindahkan Nadia ke hospital di Kelantan.”
Amierah kaget. Lidahnya terasa kelu untuk mengeluarkan
bicara. Seandainya hasrat itu ditunaikan, pasti ramai yang akan terkesan.
Mungkin Fazar Azameer adalah orang yang pasti akan merasa ketiadaan Nadia
Asyila.
Sejak Nadia Asyila ditempatkan di hospital itu, setiap
hari Fazar Azameer akan menjengukkan muka untuk melawat Nadia Asyila. Walaupun
hatinya marah dengan apa yang pernah dilakukan lelaki itu terhadap kawannya,
namun dia dapat merasai perasaan cinta yang sedang membara.
Dapat dilihat dengan jelas di pandangan lelaki itu.
Beberapa hari lepas secara tidak sengaja dia melihat ada titisan air mata yang
mengalir keluar dari mata lelaki itu.
Dia yakin yang hadir lelaki itu kali ini adalah untuk
mempersembahkan cintanya. Bukan lagi hinaan yang selama ini diterima oleh Nadia
Asyila. Sejak hari itu, Amierah semakin cunba menerima kehadiran lelaki itu.
Walaupun secara zahirnya dia masih berkasar dengan
lelaki itu, namun hatinya sudah dapat menerima akan kebaikan Fazar Azameer yang
semakin mendapat tempat di hatinya.
Pasti apabila diberitahu berita yang baru didengarinya
ini, lelaki itu akan mengeluh berat. Pasti tidak mampu untuk melepaskan cinta
hatinya semakin jauh. Dan Iqmal Hisyam.
Dia kasihankan lelaki itu yang tidak berdaya untuk
melakukan apa-apa. Untuk menjenguk Nadia Asyila di hospital juga dia tidak
berdaya. Dia terlalu bersimpati kepada lelaki itu.
“ Kami boleh jaga
dia mak cik. Ramai yang sayangkan dia. Kami takkan pernah biarkan dia
keseorangan.”
“ Mak cik tahu. Itu
yang buatkan mak cik segan dengan kamu semua. Tapi kalau dia dipindahkan,
senang untuk mak cik selalu menjenguknya. Tak perlulah mak cik menyusahkan kamu
lagi.”
“
Astagfirullahhalazim! Saya tak pernah merasa susah mak cik. Saya ikhlas dengan
apa yang saya lakukan.”
“ Mak cik tahu.
Tapi entah sampai bila Nadia akan macam ni.”
“ Kak Ros tahu
hasrat mak cik ni?”
“ Tahu. Mak cik dah
beritahunya semalam. Dan dia setuju. Nadia akan lebih dekat dengan kami.”
“ Kalau itu apa
yang mak cik mahu, saya turutkan.”
“ Mak cik tak
bermaksud untuk menjarakkan kamu. Mak cik harap kamu faham.”
“ Janganlah mak cik
risau. Saya faham. Saya yakin yang lain juga akan faham.”
“ Terima kasih
Mierah. Mak cik tak tahu macam mana nak sampaikan kepada kawan-kawan kamu yang
lain.”
“ Tak apa. Nanti saya
akan sampaikan. Bila mak cik nak pindahkan dia?”
“ Dalam minggu ni.”
Amierah mengangguk perlahan. Memahami apa yang dirasakan
oleh hati seorang ibu yang terpaksa menerima keadaan anaknya dalam keadaan yang
sebegitu.
************************************************************************
“ Maafkan mak cik kerana terpaksa membuat keputusan yang
begini.”
Rahimah memandang setiap wajah yang saat ini menunggu
untuk Nadia Asyila dipindahkan. Semua yang ada hanya memandangnya sayu.
“ Kami faham mak cik. Nanti kalau ada kelapangan kami akan
melawatnya.”
Syazwan memegang mesra bahu Rahimah. Dia tahu yang
keputusan itu sebenarnya sukar untuk dilakukan oleh seorang ibu. Bukan niatnya
untuk memisahkan Nadia Asyila daripada mereka. Semua yang ada memang sedar akan
kenyataan itu.
“ Fazar. Maafkan mak cik.”
“ Saya faham mak cik. InsyaAllah saya akan selalu
melawatnya.”
Rahimah sedar yang wujud perasaan terkilan di hati
lelaki itu. Dia menyedari akan bahang cinta yang hebat di hati lelaki itu untuk
anaknya.
“ Tak payahlah mak cik rasa bersalah. Saya faham akan
kasih sayang seorang ibu. Rasa cinta saya bukan apa-apa jika dibandingkan
dengan kasih seorang ibu.”
“ Terima kasih kerana memahami mak cik.”
Fazar Azameer mengangguk perlahan. Dia redha dengan
keadaan itu. Sewaktu Amierah memberitahunya tentang hasrat insan tua itu, dia
termenung panjang. Berat rasa hatinya untuk membenarkan. Tetapi, dia tiada hak
untuk menghalang kasih suci seorang ibu. Dia sedar yang dia perlu merelakan.
Rahimah menyapu
air jernih yang mengalir keluar menembusi ruang matanya. Dipeluk satu persatu
insan yang berada di hadapannya kini. Kesemua teman serumah Nadia Asyila telah
lama sebak.
Mereka juga telah membuat janji untuk melawat Nadia
Asyila apabila masa membenarkan. Walaupun tidak sekerap semasa kawan mereka itu
berada di Hospital Kuala Lumpur.
Rahimah mendekat menuju ke arah helikopter Polis Diraja
Malaysia yang telah menanti. Pertolongan kerajaan itu sememangnya dihargai. Perjalanan
udara pastinya lebih cepat dari jalan raya.
Kerumitan itu tidak ditanggungnya apabila pihak polis
sudi untuk menghulurkan bantuan. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga
kepada Syazwan kerana menguruskan segala-galanya.
******************************************************************
Syed Faizal menyepak pasu bunga yang berdekatan dengan
kakinya. Barannya datang apabila Fasha memberitahu tentang rahsia mereka yang
telah bocor.
“ Aku nak kau pujuk dia. Kelentong apa saja asalkan dia
kembali pada kau.”
Syed Fazial menuding jari telunjuknya berdekatan dengan
wajah Fasha. Fasha memandang Haziq yang mendekat. Kemudian memandang kembali
wajah Syed Faizal. Geram! Diraih tangan Haziq dan dibongkokkan badannya supaya
seiring dengan badan Haziq. Senyuman diberikan kepada anak kecil itu.
“ Haziq pergi masuk dalam bilik ya sayang. Mama nak
bincang dengan Uncle sekejap.”
Anak kecil itu menggeleng.
“ Sekejap je. Nanti mama datang.”
Akhirnya anak kecil itu akur. Membawa langkahnya
perlahan-lahan memasuki bilik.
“ Kalau ya pun you nak lepaskan marah you jangan la
depan budak tu. Selama ni you jugak yang lalai sampai tak sedar yang gerak geri
kita diperhatikan.”
“ Ah persetankan dengan semua tu. Benda dah jadi. Apa
yang penting sekarang I nak you buat apa sahaja untuk si Fazar tu kembali pada
you. Kalau tak boleh dengan cara biasa. Kita main cara kasar.”
“ Apa maksud you?”
Syed Faizal memandang wajah Fasha yang merenungnya.
“ Tak sangka yang Hisyam tu boleh lakukan apa yang kita
tak jangka. Tak sangka langsung yang selama ni dia tahu apa yang kita rancang.”
“ Itulah you pandang rendah sangat pada dia.”
“ Selama ni I ingat kita selamat sebab I tengok si
Hisyam tu macam budak baik. Rupanya bapak penjenayah.”
“ Sudahlah fikirkan Fasal dia. Lagipun dia dah terima
hukuman yang setimpal dengan apa yang dia lakukan. Sekarang macam mana caranya
untuk I kembali pada Fazar?”
“ I nak you yang fikirkan caranya.”
“ You gila? Ingat senang? Sekarang dia dah cintakan
perempuan yang separuh mati tu bagai nak rak. Macam dah tak ada perempuan yang
hidup dalam dunia ni.”
“ Itu silap you. Apa-apa pun I tak nak dengar alasan.”
“ Hei senangnya you cakap. Siapa yang rancang untuk bolot harta dia? You kan? Kalau
you tak muncul dalam hidup I sekarang ni I akan bahagia dengan dia tau. Tentang
Haziq tu kacang jer bagi I. Sekarang ni you yang timbulkan masalah kita yang
sebenarnya.”
Syed Faizal memandang tajam ke arah Fasha yang setia
merenungnya. Tiada ketakutan! Dia mendengus kuat sambil membuka kasar daun
pintu dan terus berlalu.