Radlina memuncung dengan berita yang baru diterimanya.
Nadia Asyila tidak akan mengikuti mereka untuk bersama-sama bercuti. Rajuknya
mula membukit. Nadia Asyila menggerak-gerakkan mulutnya. Sedar yang sebenarnya
dia bersalah.
Dipandang wajah kawan-kawan yang lain yang turut berada
di ruang tamu. Menonton televisyen. Mengenyitkan matanya pada Amierah. Cuba
meminta bantuan. Wajah itu buat selamba. Yang lain juga begitu. Mereka juga
sebenarnya merajuk dengan berita yang mereka terima. Memang patut Radlina
merajuk.
“ Alah aku bukannya sengaja tak nak ikut.”
“ Kau tu memang banyak alasan. Dah Lin nak sponsor
semuanya. Kau Cuma bawak badan je. Tu pun susah. Kami ni kerja jugak. Tapi tak
de lah mengelak macam kau.”
Aini membidas. Nadia Asyila mencerunkan matanya kepada
wajah itu.
“ Eh sedapnya minah ni cakap.”
Ditonjol dahi wanita itu dengan jari telunjuknya. Geram.
“ Aku bukannya sengaja Lin. Korang nak pergi minggu
depan. Cepat sangat tu. Aku kalau apply cuti pun bukannya dalam masa yang
singkat dapat tahu lulus ke tak. Lainlah kalau bulan depan. Mungkin dapat.”
“ Kalau macam tu kita pergi bulan depan je lah.”
Radlina menyampuk. Nadia Asyila menggaru kepalanya yang
tidak gatal.
“ Eh aku main cakap je tu. Korang pergi lah minggu
depan. Lagipun Aini dah apply cuti kan? Alah, aku tak pergi pun tak apa lah.”
“ Kau ni memang tak faham bahasa lah Nadia. Lin nak
meraikan kau yang berjaya dengan rancangan kau untuk tangkap Ilias dan juga
meraikan dirinya yang dah terlepas dari cengkaman lelaki jahanam tu.”
Aini sekali lagi membidas.
“ Habis cuti kau tu macam mana?”
Nadia Asyila pula kembali menyoal. Giliran Aini pula
yang menggaru kepalanya. Semua yang ada ingin ketawa namun ditahan.
“ Ah! Tak apa lah. Nanti aku handle lah dengan bos aku.
Okey jer dia tu.”
Dia berkata selamba.
“ Eh senangnya minah ni. Kalau tak lulus macam mana?
Macamlah dia tu laki kau yang kau boleh handle senang-senang hati macam tu.”
Azrin pula menyampuk. Bosan melihat perbualan diorang
sedari tadi tanpa memperkatakan apa-apa.
“ Alah, kalau aku kena buang kerja nanti aku kerja di
butik kau jelah. Selesai masalah.”
Azrin membentuk-bentukkan mulutnya dengan kata-kata itu.
Amierah yang mendiamkan diri dari tadi malas mahu menyampuk. Dia okey pergi
bila-bila pun. Mereka merancang untuk pergi hujung minggu. Itu tidak akan
memberikan kerumitan kepadanya sebagai seorang guru. Azrin pula sememangnya
takkan mempunyai masalah. Pekerjanya ada untuk melihat butiknya.
Shahrina juga lebih senang mengambil sikap mendiamkan
diri. Sudah dijelaskan kepada Radlina bila-bila masa pun dia tidak akan
mempunyai masalah.
“ Kalau macam tu kita pergi bulan depan je lah.”
Radlina memutuskan.
“ Kita nak bercuti di mana sebenarnya ni?”
Nadia Asyila bertanya. Mula berminat.
“ Pulau Kapas.”
“ Terengganu?”
Semua yang ada mengangguk. Nadia Asyila tersenyum.
“ Nanti boleh la kita melawat sekolah lama kita.
Rindunya aku dengan sekolah tu. lepas keluar hari tu tak pernah pun aku
jejakkan kaki ke sekolah tu lagi.”
“ Samalah. Kami pun
tak pernah pergi sekolah tu lepas keluar. Lepas ni boleh la kita buat
rombongan. Tengok kelas-kelas dulu. Kebetulan hari minggu. Kira okeylah sebab
tak ada orang. Aku pun tak pernah pergi walaupun negeri kelahiran aku sendiri.”
Azrin mengungkapkan
ayat terakhir itu lebih kepadanya dirinya sendiri.
“ Habis tu bila
kita nak balik sini?”
Amierah menyoal.
Bimbang akan terbabas sehingga hari persekolahan.
“ Kita balik hari
isnin la. Kau mc je la hari isnin tu.”
Amierah seakan
berfikir seketika dan dia mengangguk setuju dengan apa yang diusulkan Radlina.
“ Okey. Sekarang
semua dah settle. Kita pergi bulan depan. Tiada lagi alasan.”
“ Eh tapi aku belum
confirm lagi ni. Entah-entah aku tak dapat kelulusan cuti tu.”
Nadia Asyila
berkata. Takut-takut.
“ Tadi kau cakap…ah
malaslah aku kalau macam ni.”
Radlina kembali memuncungkan bibirnya. Nadia Asyila
memandang kiri dan kanannya. Pening dengan semua orang yang seakan
mempersalahkannya. Mereka sekali lagi membuat muka selamba.
“ Yelah! Yelah! Aku cuba.”
“ Kau cuba lah sampai dapat. Kalau tak merajuk setahun
aku dengan kau.”
Radlina bangun dan berlalu ke dapur. Mahu menyediakan
makan tengah hari untuk mereka pada hari minggu itu. Shahrina dan yang lain
juga mengikut. Hanya tinggal Nadia Asyila bersendirian di ruang tamu.
“ Setahun? Takkan hari ni dah bermula?”
Nadia Asyila berkata perlahan. Hanya untuk menjadi
persinggahan di halwa telinganya sahaja. Matanya memandang kawan-kawan yang
berlalu meninggalkannya.
*****************************************************************
Fazar Azameer menghulurkan tangannya kepada klien yang
baru sahaja bersetuju dengan apa yang telah diperjelaskannya sebentar tadi.
Seperti projek yang lain-lain, untuk kali ini juga dia berjaya memikat hati
klien untuk berurusniaga dengan syarikatnya.
Prinsipnya yang selalu mendepankan kejujuran menjadi
tunggak utama kejayaannya selama ini. Itulah yang membuatkan dia sedikit bangga
dengan dirinya. Setelah menghantar kliennya dengan pandangan menuju pintu
keluar, dia kembali duduk di kerusi ruang lobi hotel. Dikemas satu persatu fail
yang bersepah di atas meja.
Pertolongan daripada setiausahanya juga banyak membantu.
Dia bersandar seketika apabila setiausahanya melarang untuk dia turut sama
mengemas fail. Senyuman diberikan kepada setiausaha yang sudah sarat dengan
kandungannya.
Diurut batang lehernya yang lenguh. Beberapa hari ini
dia tidak cukup tidur. Proposal yang dibentangkannya tadi banyak mencuri masa
tidurnya sepanjang dia menyiapkannya. Tidak sanggup untuk memberikan beban yang
berat itu kepada setiausahanya yang hanya menunggu hari jangka untuk masuk ke
bilik bersalin.
Satu juga beban kepadanya apabila wajah Nadia Asyila
juga kerap mengganggu dirinya. Selalu sahaja wajah itu hadir apabila dia ingin
melakukan sesuatu.
Kalau tidak benar-benar fokus dengan apa yang dia mahu
lakukan, dia akan terleka melayan bayangan wajah yang hadir itu. Memberinya
kerisauan tentang rasa hatinya sendiri.
Fazar Azameer melemparkan pandangannya ke ruang lobi
hotel yang luas itu. Pemandangannya terasa sedikit tenang dengan suasana hotel
mewah itu. Dia kaget apabila matanya terpandang satu jasad yang dirasakan dia
amat mengenali jasad tersebut. Tanpa sebarang pamitan, dia bangun dan pantas
menuju ke arah insan yang berada dua puluh meter menjauhinya.
Insan yang sedang berurusan di kaunter itu berpaling
untuk berlalu setelah mendapat maklumat yang dimahukannya. Langkahnya terhenti
apabila melihat batang tubuh yang sedang berdiri menghadapnya.
“ Fazar.”
Bibir itu bersuara. Fazar Azameer mengangguk laju. Tidak
menduga insan yang berada di hadapannya pada masa ini adalah seseorang yang
telah lama ditunggunya.
“ Fasha.”
Fazar Azameer mengungkapnya sayu. Masih tidak menduga
insan yang berada di hadapannya kini adalah seseorang yang sentiasa dinanti
kemunculannya.
“ Ke mana you menghilang selama ni? Dah puas I cari.
Merata. Tapi tak jugak jumpa.”
Fasha melebarkan senyumannya. Dia mempunyai
tanggungjawab untuk memberitahu perjalanan hidupnya kepada lelaki yang sedang
berdiri di hadapannya saat ini.
“ You ada kerja ke kat sini?”
Fasha menjawab pertanyaan lelaki itu juga dengan
pertanyaaan. Masih banyak masa. Fikirnya.
“ Ya! Tadi I jumpa klien. Tapi semuanya dah selesai.”
“ Bolehlah you hantar I balik rumah.”
Fasha sekadar menduga. Fazar Azameer mengangguk laju
tanda bersetuju. Dia mendekati setiausahanya yang sedang memandangnya dari
jauh.
“ I ada urusan dengan kawan I. Boleh kan you balik
dengan teksi?”
Shila hanya mengangguk tanda mempersetujui. Setelah
mengucapkan rasa terima kasih, Fazar Azameer kembali memanjangkan langkahnya mendekati
Fasha yang sedang menunggu.
Mereka beriringan melangkah ke pintu keluar. Lambaian
dihadiahkan oleh Fasha kepada setiausaha lelaki itu yang asyik memandang
mereka.